Bab 9 : Penjaga

Adventure Completed 1867

“Tolong kami, wahai manusia. Kami semakin reput. Kami sudah menerima banyak cahaya matahari dan air dari tanah. Kenapa kami masih begini?

Sebelum ini, kami sihat dan kuat. Adakah kami semakin tua? Adakah kami akan mati?” sedih mereka mendengar luahan pokok tua itu.

“Jangan risau, pokok. Kami janji kami akan membantu kalian!” bersemangat Shasya Edrina yang sudah berdiri di hadapan Ismail Razak.

Perasaan takutnya sudah hilang selepas mendengar kisah sedih itu. Dia tekad untuk membantu pokok-pokok di situ.

Tengku Ehsan mencangkung sebelum meletakkan tangannya di atas permukaan tanah.

“Awak buat apa tu, Izan?” pelik Nik Akhil melihat perbuatan jejaka itu.

Nur Halimah hanya memerhatikan perlakuan jejaka itu. Tangannya sudah mencapai sesuatu dari beg galasnya. Tengku Ehsan tidak menjawab pertanyaan Nik Akhil. Sebaliknya, dia mengalihkan pandangannya pada pokok tua itu.

“Boleh saya tahu dari mana sumber air ini datang?” soal Tengku Ehsan.

“Air ini datang daripada sungai yang mengalir di hujung sana,” dahan dari pokok tersebut bergerak seperti menunding ke arah sesuatu.

“Kemudian, air tersebut akan diserap masuk oleh tanah ini dan disalurkan kepada kami,” sambung pokok itu.

“Kamu tahu apa-apa ke, Izan?” tanya Ismail Razak selepas Tengku Ehsan sudah bangun dari duduknya.

“Saya yakin ada sesuatu yang menghalang mereka daripada menerima air. Buktinya, tanah ini tidak lembab. Kebiasaannya, apabila tanah terkena air, pasti tanah ini akan lembab,” ujar Tengku Ehsan sambil mengelap tangannya menggunakan sapu tangan yang dihulurkan oleh Nur Halimah.

Ucapan penghargaan diucapkan kepada gadis itu.

“Ditambah pula dengan cuaca yang sangat panas, pasti tumbuh-tumbuhan di sini cepat reput,” sambung Nik Akhil yang memahami hujahan Tengku Ehsan.

“Kalau begitu, baik kita pergi siasat sekarang,” bersemangat Shasya Edrina.

“Sebentar, wahai manusia,” terhenti langkah mereka apabila mendengar kata-kata pokok itu.

“Saya ingin mengingatkan kalian bahawa kawasan ini mempunyai penjaga. Dia selalu beristirehat berdekatan dengan sungai. Dia sangat baik. Cuma, paras rupanya boleh menggerunkan sesiapa yang melihatnya,” pesan pokok itu.

Masing-masing menelan air liur dengan sukar apabila mendengar perkataan ‘gerun’.

Nik Akhil, Ismail Razak dan Tengku Ehsan berjalan mendahului sang gadis yang berjalan sambil berpelukan lengan selepas memikirkan mereka akan menemui penjaga ‘gerun’ itu.

“Aunggg!”

“Aunggg!”

“Aunggg!”

Tersentak mereka apabila mendengar bunyi seperti raungan serigala. Kaki mereka sudah berhenti melangkah. Tubuh mereka kaku di situ. Sang gadis mula merapati sang jejaka di hadapan mereka.

“A..apa tu?” gagap Shasya Edrina berkata-kata.

Masing-masing menelan air liur yang terasa pahit dan kelat itu.

“Nik Akhil, pergilah tengok. Awakkan berani orangnya,” perlahan suara Siti Syazanah menyapa telinga Nik Akhil.

Beg galas jejaka itu sudah ditarik-tariknya perlahan untuk menghilangkan rasa gugupnya. Entah bila gadis itu sudah berdiri di sebelahnya pun dia tidak menyedari langsung.

“Betul tu. Lagipun, pokok tu juga kata yang penjaga tu baik. Cuma, paras mukanya saja yang menakutkan. Awak pun pergilah tengok, Izan,” sokong Nur Halimah yang berdiri berdekatan dengan Tengku Ehsan.

“Awak pun, Raz. Kami ada di belakang korang kalau ada apa-apa yang berlaku,” celah Shasya Edrina sambil memegang hujung baju lengan Ismail Razak.

“Ish korang ni. Baru nak mengaku yang kami ni berani. Sebelum ni asyik ejek kami lembik je,” geram Nik Akhil.

Sang gadis hanya tersengih mendengar ayat pedas dari Nik Akhil itu.

“Aunggg!!”

“Aunggg!”

“Aunggg!”

Bunyi raungan masih kedengaran.

Mereka berenam berjalan mendekati bunyi tersebut.

“Kenapa saya rasa sedih sangat bunyi tu? Seperti dia sedang terseksa,” luah Shasya Edrina.

“Saya pun rasa macam tu. Sesuatu telah berlaku pada penjaga tu ke?” risau Nur Halimah.

“Apa tu?” terhenti langkah mereka apabila mendengar suara Nik Akhil.

Mata mereka tertumpu kepada seekor makhluk yang membelakangi mereka. Untuk langkah berhati-hati, mereka bersembunyi di sebalik semak dan di sebalik pokok. Mereka mengintai sedikit untuk mengenalpasti punca raungan itu.

“Serigala ke?” fikir mereka apabila melihat makhluk itu menyerupai seekor serigala namun saiznya agak besar dari serigala yang biasa.

“Aunggg!”

“Aunggg!”

“Aunggg!”

Terbeliak mata mereka apabila mendengar tiga raungan sekaligus. Tanpa di sangka, makhluk itu mempunyai tiga kepala.

“Serigala berkepala tiga?” serentak mereka.

Badan makhluk itu semakin lemah sebelum rebah di atas tanah.

“Dia dah mati ke?” risau Ismail Razak.

“Izan, pergilah tengok dia. Dia sedang sakit tu,” terkejut Tengku Ehsan apabila melihat Nur Halimah sedang menangis merayu kepadanya.

Lengan Tengku Ehsan sudah digoyangkan beberapa kali.

“Raz, Akil, jom kita pergi tengok dengan lebih dekat,” ajak Tengku Ehsan.

Hatinya cair melihat air mata gadis itu. Ismail Razak dan Nik Akhil membalas dengan anggukan sebelum mereka mendekati makhluk berkepala tiga itu.

“Besarnyaa,” terlopong mulut Nik Akhil sambil mengelilingi makhluk itu.

“Aun,” semakin lemah bunyi raungan itu.

“Sabar ye. Kami nak tengok di mana korang cedera,” pujuk Tengku Ehsan sambil melihat setiap inci tubuh makhluk itu.

“Saya dah jumpa! Perutnya cedera! Banyak darah keluar ni,” lantang suara Ismail Razak menyentakkan rakan-rakannya.

“Cedera?!” yang lain terus mendekati Ismail Razak.

“Ya Allah! Banyaknya darah,” sebak Shasya Edrina melihat darah yang mengalir itu.

“Korang tolong hentikan darahnya dulu. Biarkannya baring menghadap ke atas untuk kurangkan darahnya dari terus mengalir.

Saya nak cari antiseptik dan benda yang boleh membalut lukanya jap,” mereka akur dengan arahan Siti Syazanah yang belajar jurusan perubatan itu.

“Syaza, boleh saya tekan bahagian lukanya tak?” tanya Nik Akhil yang sudah mengeluarkan jaketnya dari beg galasnya.

“Boleh. Ia juga boleh menghentikan darah dari mengalir,” jawab Siti Syazanah.

Tanpa membuang masa, Nik Akhil terus menekan bahagian perut makhluk itu menggunakan jaketnya. Siti Syazanah mengeluarkan sebotol air mineral dan ubat pencuci luka dari beg galasnya.

“Sabar ye,” Nur Halimah dan Shasya Edrina memujuk makhluk itu.

Kepala makhluk itu diusap dengan lembut untuk menenangkannya. Kedua-dua tangan mereka penuh untuk mengusapnya memandangkan makhluk itu mempunyai tiga kepala.

“Korang tolong tahan kaki dan tangannya. Saya nak basuh lukanya jap,” arah Siti Syazanah.

Ismail Razak, Nik Akhil, Tengku Ehsan dan Shasya Edrina menahan tangan dan kaki makhluk itu supaya tidak bergerak ketika Siti Syazanah membersihkan luka pada perut itu.

“Aun!” meraung makhluk tersebut.

“Baiklah. Saya sapu ubat kejap ye,” lembut suara Siti Syazanah sambil menyapu ubat pada bahagian luka selepas darah mula berhenti mengalir.

“Nik Akhil, saya campak pembalut ni. Awak tolong bagi balik nanti,” nyaring suara Siti Syazanah kerana wajah Nik Akhil tidak dapat dilihatnya.

“Faham!” balas Nik Akhil.

Siti Syazanah memusingkan pembalut pada perut makhluk itu sebelum mencampak pembalut tersebut kepada Nik Akhil yang berada bertentangan dengannya.

Dengan bantuan Ismail Razak dan Tengku Ehsan untuk mengangkat perut makhluk itu, Nik Akhil memberi semula pembalut tersebut kepada Siti Syazanah.

Selepas beberapa kali berbuat begitu sehingga ke penghujung pembalut tersebut, akhirnya kawasan luka makhluk itu selesai dibalut dengan sempurna.

“Alhamdulillah. Selesai juga,” lega semua.

Terduduk mereka kerana kepenatan.

“Selepas beruang, serigala pula kita jumpa. Selepas ni, agak-agaknya, haiwan gergasi apa pula ye kita jumpa,” bersuara Nik Akhil.

“Saya harap mereka baik juga macam Akitty, Bbetty dan Comel,” balas Shasya Edrina sambil mengusap salah satu kepala serigala itu.

“Comel?!” serentak yang lain.

“Kau bagi nama serigala yang digeruni orang ni ‘Comel’?” ulang Tengku Ehsan.

“Apa salahnya? Lagipun, mereka ni comellah,” bidas Shasya Edrina.

“Mereka ada tiga, Ed. Lagi dua nak bagi nama apa?” tanya Nur Halimah.

Tidak sempat Shasya Edrina menjawab apabila Nik Akhil dan Tengku Ehsan memotong percakapannya.

“Jangan suruh dia beri nama. Entah apa-apa dia bagi nanti!”

Geli hati mereka mendengar bantahan Nik Akhil dan Tengku Ehsan itu.

“Tak tahu nanti anak kau dapat nama apa. Harap suami dan anak-anak kau nanti mempunyai kesabaran yang tinggi,” ujar Tengku Ehsan.

“Tak baik cakap macam tu, Izan. Nanti anak dia dapat nama yang ‘power’, kau juga yang terkejut nanti,” balas Ismail Razak.

“Ha’ah. Padan muka kau nanti sebab ejek saya!” sempat Shasya Edrina menjelir lidahnya pada Tengku Ehsan.

“Itu sebab kau yang bagi nama, Raz. Bukan budak ni,” sampuk Nik Akhil sengaja mengenakan Ismail Razak dan Shasya Edrina.

“Macam ada maksud tersirat je, Akil,” syak Ismail Razak.

“Apa maksudnya?” pelik Shasya Edrina.

“Hahaha!” geli hati Nik Akhil dan Tengku Ehsan kerana berjaya mengenakan gadis itu.

“Tak baik buat macam tu korang ni,” tegur Nur Halimah yang turut menahan ketawa dengan Siti Syazanah.

“Sabar jelah dapat mereka yang sekepala ni,” bersuara Siti Syazanah.

“Wahai manusia,”

Tersentak mereka apabila mendengar suara yang garau itu. Mereka berenam terus bangun dari bersandar pada tubuh makhluk itu.

*Terima kasih kerana vote dan komen ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience