OBSES - 02

Romance Series 19920

Marlia berguling-guling dan menggeliat kecil di atas katilnya. Wajahnya sesekali akan berkerut. Entah apa yang dia mimpikan kali ni sehingga berpeluh-peluh. Selimutnya sudah entah kemana pergi. Deruan nafasnya semakin kedengaran berat. Tak lama kemudian, kelopak matanya terbuka sedikit. Tercungap-cungap dia mengambil nafas. Dia bangun dan mengeluh. Telefon pintarnya dicapai. Jam 04:40 pagi.

Rasa macam nak tidur semula. Tapi hari ni kelas mula jam 08:00 pagi. Kalau dia tidur, mesti subuh sekejap lagi Puan Marlina akan memekik menyuruhnya bangun. Tapi dia mengantuk!

Marlia berdecit keras dan menghempaskan tubuhnya semula ke katil. Tak peduli dengan badan rasa melekit disebabkan peluhnya. Salahnya juga. Mimpi nak yang ekstrem. Dalam dia melayan matanya sendiri, terdengar bunyi notifikasi dari telefonnya. Lambat-lambat dia mencapai dan melihat skrin telefon. Satu notifikasi dari aplikasi Instagram. Ada seseorang 'like' story dia. Dia meletakkan semula telefonnya ke tepi. Namun, tak lama kemudian, dia kembali bangun dan melihat semula pada skrin telefonnya. Mata dipisat berkali-kali semula dia melihat dengan betul nama akaun pengguna tersebut.

@mhd.frzal liked your story!

Farizal?! Like story dia? Biar kebenaran. Pantas saja jarinya menari di atas skrin tersebut. Membuka aplikasi itu dan melihat bahagian notifikasi. Memang sah lagikan benar, Farizal baru saja liked gambar yang dia muat naik malam tadi. Di pagi hening yang sepatutnya orang lain sedap membantai tidur, dia pula menjerit keseronokkan. Untung saja jeritnya hanya angin saja yang keluar bukannya betul-betul suara yang keluar. Tidak mahu marah jiran sebelah.

Marlia bergumpal, berguling-guling buat entah kali keberapa dengan senyuman lebar di wajah. Seronoknya bukan main kepalang lagi. Dah serupa dapat mesej yang lelaki itu ingin berkahwin dengannya saja. Memang pagi ni dia kena cerita dekat Edna.

"Wow... okay jadi?"

"Tu je reaction kau?" tanya Marlia yang mula kecewa dengan reaksi Edna. Edna macam biasalah. Reaksi loyar buruknya itu. Bukannya tak support kawan tapi dari tahun pertama sampailah dah masuk tahun terakhir ini, Marlia tak pernah berhenti bercerita tentang Farizal kepadanya. Apa Farizal buat, apa Farizal berbual dengannya, apa Farizal mesejnya, apa Farizal makan, dengan siapa Farizal bercakap, semua dia cerita. Walaupun momen tu sekadar 5 saat, pun Marlia akan cerita ibarat kejadian itu seakan berlangsung selama 5 jam. Mana tak dia muak. Nak cakap lebih-lebih, rasa kasihan pula.

Marlia bukannya tak cantik. Cukup sekali libas rambut, beratur lelaki dalam kolej ni mahukan dia. Tapi itulah, Marlia tak nak orang lain. Nak juga dengan Farizal.

"Mar, apa kata kau pergi je chat dia confess terus kat dia. Apa susah? Dari kau berhalusinasi, berdelulu tak habis-habis macam ni. Kau kena ingat tau kau tu tak sihat mana," bebel Edna. Marlia yang sedang meneguk air tin minuman kopi susu perisa Mocha itu hanya diam. Dengar tak dengar dengan bebelan Edna yang sama saja macam Puan Marlina. Bezanya, Puan Marlina takkan berhenti. Macam peluru perginya.

"Kau cakap senanglah. Cuba kau kat tempat aku. Baru kau tahu nak tambat si Jal tu lagi dasyat dari tambat lembu dengan kambing," katanya mendapat gelak halus dari Edna. "Sebab tulah aku suruh confess. Dah kalau nak mengorat pun susah. Zaman sekarang tak ada istilah perigi cari timba. Kalau suka, terus terang. Kalau jadi, jadi," kata Edna.

"Kau cantik. Baik tu... ikut masalah kau punya baik kau tu, kan? Body dah lawa dah. Nak kata kau pendek, aku ni yang tak cukup zat. Hah apa lagi? Cukup pakej dah untuk Jal tu. Jal pula, handsome ada rupa. Putih orangnya sama macam kau. Pandai. Tinggal lagi dia pakai spek je. Rabun punya orang. Haih, rabun-rabun macam tu pun ada yang tergila-gilakan dia," sambung Edna lagi sambil menjeling Marlia yang sudah tersengih sendiri. Terkepit-kepit malu. Ah, menyampah!

"Kalau betul kau sukakan dia, kau cintakan dia... pergi jelah luah dekat dia. Terima tak terima tu belakang cerita. Apa yang penting, dekat dalam hati tu dah terluah dah." Edna membuka buku lognya. Lama sudah dia tak kemaskini proses projek akhirnya.

"Selalu bayangkan dia pun tak elok, Mar. Sakit kau nanti," pesan Edna serius. Marlia menoleh ke arahnya sekejap sebelum kembali membuang pandangan ke hadapan. Selalu bayangkan dia?

Dah terlambat, Edna.

"Stop drinking coffee, Marlia. Mummy dah pesan kan?"

Di kediaman Encik Norman di malam hari, saat sedang menjamah makan malam bersama, suara Puan Marlina memetir saat sepasang matanya melihat tin air minuman di tangan anaknya. Ketika itu Marlia sudahpun habis makan dan ingin mengambil snek di dalam peti ais. Boleh pula Puan Marlina perasan kelibat air itu.

"Mummy, it's just a mocha. Chocolate. Not coffee."

"But still, it's contain coffee right? Kopi susu. You think mummy tak tahu dekat kolej you dah bedal berapa banyak air tu dalam sehari?" soal Puan Marlina dengan kening terjongket. Wajah Marlia berkerut. Ini yang mengundang kemarahan ni. Ada yang report rupanya. Siapa? Takkan Edna?

"Bukan Edna or not any of your classmates. But mummy tahu anak mummy macam mana and punya degil tahap gaban dia tu macam mana," tak usah bertanya secara lisan, Puan Marlina sudah menjawab soalan yang terlintas di mindanya tadi. Marlia mengeluh berat. Dia sudah bersandar pada kabinet dapur itu. Air tin tadi diletakkan ke tepi. Barangkali dah mula terkondensasi memandangkan sudah dua minit dia berada di suhu bilik.

"Darling, biar jelah dia minum. Mocha aje. Kalau 100% coffee, yes I tak marah you kalau nak bebel straight sejam dekat Lia, okay?"

"Boleh tak sekali je abang jangan manjakan anak abang ni? You nak doktor marah anak you ni lagi ke? Tak cukup kena panahan mata dengan doktor dekat emergency tu bulan lepas?" Puan Marlina cuba mengingatkan suaminya tentang kejadian lalu. Marlia juga dalam diam sedang dibebel, turut teringat kejadian bulan lepas. Mahu tergigit lidah bila teringat wajah doktor di wad kecemasan itu. Marlia menggeleng perlahan.

"Hah, apahal tergeleng-geleng tu? Orang tengah nasihatkan dia ni," marah Puan Marlina. Marlia tersentak sedikit. Dia menghembuskan nafas lalu air tin itu diambil dan diletakkan di hadapan ayahnya.

"Okay mummy, Mar tak minum. Nah, daddy minumlah. Mar belanja," katanya sambil menepuk-nepuk bahu Encik Norman. Encik Norman memandangnya dan Puan Marlina silih berganti.

"Mar tak nak ke? Tak apa, ambil jelah minum. But make sure malam ni last. Next day and the rest, cuba stop minum okay?" pujuk Encik Norman namun Marlia hanya sekadar menggeleng.

"No it's okay, daddy. Malam ni air tu daddy punya. Oh untuk cuba untuk stop minum..." Marlia menguman lama dan mengecilkan matanya. "Tak kot. Hehe," dia menayangkan sengihannya lalu berlari anak naik ke biliknya. Tak hirau dengan suara memetir Puan Marlina.

Masuk saja ke dalam bilik, birai katil menjadi tempat hempasan punggungnya dahulu. Telefon pintarnya dicapai. Aplikasi Whatsapp dibuka. Tetaplah membaca mesej setiap orang walaupun dia takkan membalasnya. Terdengar tawa kecilnya pabila membaca mesej di group kelasnya. Biasalah, dalam setiap kelas mesti ada moodmaker dan pengikut-pengikutnya. Sama juga kelas Marlia. Tak terlepas. Sedang asyik dia membaca kesemua mesej tersebut, telinganya menangkap bunyi seperti batuan kecil dilontar ke cermin tingkap biliknya. Dia menoleh ke arah tersebut. Biliknya yang sedia malap itu sedikit sebanyak mendatangkan aura seram.

Jam digital yang terletak di meja lampu bersebelahan katil dikerling. Baru jam 21:55 malam. Sekali lagi, dia terdengar ada beberapa batuan kecil dilontar ke cermin tingkapnya. Wah, ini tak kelakar ni. Desisnya dalam hati.

Takut? Marlia belum gerun sepenuhnya lagi. Dia masih boleh mengawal ketakutannya. Cuma sekarang ni dia rasa menyirap, nak baran satu badan.

"Woi, cikgu kau kat sekolah rendah dulu tak ajar kau sivik ke apa hah?! Main lontar-lontar batu kat cermin orang pula! Nak lontar-lontar pergi masuk lontar pelurulah, barua!"

Dum! Marlia terus menutup tingkap dan menutup langsir. Turun naik dadanya kerana melafazkan amarah pada manusia yang tak bersivik tersebut. Entah mana orangnya sembunyi pun dia tak tahu yang penting, barannya dah dilepaskan.

Tubuh dicampakkan ke atas katilnya yang empuk. Merangkak-rangkak dia seperti bayi kecil, cuba membetulkan posisinya dan mencapai semula telefonnya tadi. Kacau saja orang nak bersenang lenang. Instagram dibuka. Butang notifikasi ditekan. Buat sekian kalinya, dia menatap akaun Farizal yang liked story-nya pada pagi tadi. Dia menekan akaun tersebut lalu dia memulakan aktiviti stalk sambil berangannya. Hampir kesemua gambar yang dimuatnaik oleh Farizal akan di-screenshot dan disimpan kemas oleh Marlia.

"Handsome nya....!" Beginilah Marlia setiap malam sebelum tidur. Berguling-guling sambil gambar Farizal diletakkan di dadanya. Angan-angan yang kecil lama kelamaan langsung berubah. Terawang-awang sudah Marlia ketika ini. Tak peduli katilnya kusut macam baru lepas membiarkan kucing bergaduh di atas katil tersebut. Dengan mata yang terpejam, tersenyum-senyum, saat itu cuma ada Farizal... Farizal... Farizal... Farizal—

Thump!

Marlia tersentak. Terus terhenti semua angan-angannya. Dia bangun. Menoleh ke kiri dan kanan mencari dari mana sumber bunyi yang mengkagetkannya tadi datang. Entah kenapa, matanya terhala ke arah tingkap yang sudah ditutupi dengan langsir. Kuat perasaannya mengatakan bunyi itu datang dari cermin tingkapnya lagi. Marlia meneguk air liurnya perlahan.

"No, Mar... kau banyak sangat minum kopi hari ni. It's just your hallucination. Tak ada apa pun," dia cuba menenangkan diri sendiri sambil ketawa. Ya, mungkin betul cadangan Encik Norman dan Puan Marlina menyuruhnya berhenti minum sebarang minuman berkafein buat masa ni.

Sudah tidak ada lagi angan-angan atau aksi lentok tubuh, Marlia terus menyelubungi diri di dalam selimut. Memejam rapat mata sambil berdoa bahawa ini semua hanya mainan halusinasinya dan semuanya akan berakhir esok pagi.

Marlia salah.

Itu bukan halusinasinya. Memang ada. Dan dia wujud.

ngengggg

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience