BAB 9

Romance Completed 9878

Izyan Hasna terlopong melihat Danish di situ. Dia kalut. Tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Danish sudah salah faham. Dia tidak bermaksud hendak menyinggung perasaan lelaki itu. Kata-kata tersebut keluar ketika dia sedang geram.

Danish menyambung, “Izyan, thanks for telling the truth. Abang harap Izyan dapat berjumpa dengan lelaki yang lebih baik di kampus. Jangan cuai lagi dan jangan sengaja jatuhkan nota sebagai taktik nak mengurat lelaki. Lagi satu, jangan terima chocolat au lait daripada lelaki lain. Hanya abang yang boleh berikan Izyan chocolat au lait. Mak cik, Danish balik dulu.”

Selepas itu, Danish terus berlalu pergi tanpa menghiraukan panggilan Puan Ruzila. Izyan Hasna pula masih terpempan dengan kata-kata Danish. Lututnya terasa lemah untuk berdiri dan berlari mengejar lelaki itu. Dia marah dan malu dengan diri sendiri. Bodohnya dia!

“Izyan, puas? Kalau tak suka dengan rancangan mama sekalipun, tak boleh ke menolak dengan elok? Tengok, Danish dah terasa hati. Mama nak Izyan pergi jumpa dia, minta maaf.” Puan Ruzila mencekak pinggang. Dia hanya mampu mengurut dada sahaja pada ketika itu. Apa lagi yang boleh dia lakukan selain daripada menyuruh Izyan meminta maaf daripada Danish?

Izyan Hasna menunduk. Dia sedar bahawa dia bersalah. Memang patut pun dia dimarahi oleh emaknya.

“Dengar tak? Pergi minta maaf!” Puan Ruzila menguatkan suaranya.

“Baiklah, mama.” Izyan Hasna akur.

“AWAK, saya….” Tut tut tuuttt… Talian terputus. Izyan Hasna mencampakkan telefon bimbitnya ke tempat duduk penumpang. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Danish untuk meminta maaf tetapi, sekalipun lelaki itu tidak hiraukan. Setiap kali talian bersambung, pasti lelaki itu akan memutuskannya seketika kemudian.

Dia sudah tidak betah lagi untuk terus menelefon lelaki itu. Hari ini, dia mahu bersemuka dengan Danish. Biar dia terkejut dengan kehadirannya, dia tidak peduli! Apa hendak jadi pun, jadilah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience