SELESAI menyiapkan sarapan untuk keluarganya, Naura mengeluarkan dua buah bekas dari dalam almari. Nasi goreng yang masih berasap diisi ke dalam bekas itu. Satu untuknya dan satu lagi untuk Airel. Airel, rakan sekelasnya. Anak kepada Cikgu Rohani, guru matematiknya semasa di tingkatan tiga. Pelajar lelaki yang paling menonjol di sekolahnya. Bukan sahaja kerana wajahnya yang kacak, tetapi kerana aktif bersukan, selain pencapaiannya yang cemerlang dalam pelajaran. Antara pelajar sasaran untuk mendapat semua A dalam SPM nanti. Sedang dia, biasa-biasa sahaja. Tidak ada apa-apa yang istimewa. Tidak pandai berhias atau berdandan seperti rakan-rakan seusianya. Malah wajahnya yang cantik itu juga tenggelem dek tubuh gempalnya. Namun itu tidak mengurungkan niatnya untuk menarik perhatian Airel.
“Naura!”
Cepat-cepat Naura menutup bekas yang sudah dia isi dengan nasi goreng sebelum berlari ke tingkat atas sebaik sahaja mendengar jeritan nyaring ibu tirinya itu.
“Ya ma,” jawabnya dengan nafas mencungap. Takut-takut dia memandang ibu tirinya yang berdiri bercekak pinggang di muka tangga.
“Dah siap masak?” tanya Salina.
“Dah.”
“Tu…Fatin belum gosok baju. Tolong gosokkan baju dia,” ujar Salina sebelum berlalu masuk ke biliknya.
“Tapi…” Naura ingin membantah kerana dia sudah terlambat, namun jelingan Salina membuat suaranya tersekat di kerongkong.
Mahu tidak mahu terpaksalah dia menggosok baju adiknya itu. Adik satu ayah tepatnya. Fatin di tingkatan satu dan dia di tingkatan lima. Ibunya meninggal selepas melahirkannya dan tiga tahun selepas itu ayahnya mengahwini Salina. Kata ayah, dia tidak mahu Naura ketandusan kasih sayang seorang ibu. Apatah lagi dia bekerja di pelantar minyak dan hanya pulang sekali sekala.
Namun bagi Naura, biarlah dia ketandusan kasih seorang ibu daripada kehilangan kasih seorang ayah. Entahlah. Terlalu sulit untuk dia ertikan. Yang pasti, dia tidak merasa seperti memiliki ibu meskipun ayahnya menikahi Salina.
“Bap, dah siap gosok baju aku?” Fatin yang masih berkemban dengan tuala tiba-tiba muncul di depan pintu bilik menggosok. Bap adalah panggilan Fatin kepadanya. Singkatan kepada debab. Ya, dia agak debab berbanding Fatin yang kurus, tinggi, langsing dan sering menjadi siulan pelajar lelaki di sekolahnya.
“Kain dah siap. Baju tengah gosok ni.”
“Lembaplah. Cepatlah sikit! Aku dah lambat ni!” Fatin sedikit membentak. Kain sekolah yang sudah Naura siap gosok dan hampar di atas katil ditarik kasar sebelum disarungkan ke tubuhnya.
“Kalau tahu dah lambat, kenapa tak gosok awal-awal,” gerutu Naura.
“Aku study sampai lewat malam. Bukan macam kau, malas belajar. Tak sedar diri tu bodoh.”
Naura malas melayan. Jika dibalas, akan berakhir dengan perbalahan dan sudahnya dia yang akan menerima akibat. Papa tidak ada di rumah dan tidak tahu bila akan pulang membolehkan Salina dan Fatin berkata dan berbuat seenak mereka. Sedang dia, tidak ada siapa yang membela. Datuk dan nenek? Mereka juga sudah tua dan dia tidak mahu membebankan mereka dengan masalahnya.
Siap menggosok seragam sekolah Fatin, dia bergegas ke biliknya dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Sedar dia akan terlewat, namun apa dayanya. Selagi dia masih di rumah ini, selagi itulah dia tidak mampu menolak perintah Salina dan Fatin. Tunggulah selepas SPM nanti, dia akan mencari kerja dan berpindah keluar dari rumah ini.
Selesai bersiap, Naura buru-buru turun bimbang ditinggal oleh Salina. Namun baru saja kakinya mencecah anak tangga terakhir, terdengar deruman enjin kereta yang semakin menjauh membuat bahunya merosot. Dia ditinggal lagi. Terpaksalah dia mengayuh basikal dan bersedia berdepan hukuman kerana terlambat. Dia sudah biasa. Malah wajah tembamnya itu memang sentiasa menjadi pengunjung setia bilik disiplin. Dibebel, dimarah, tetapi apa dayanya. Seawal mana pun dia bangun, secepat apa pun dia bersiap, tetap juga dia akan terlewat ke sekolah. Apa saja kata-kata yang keluar dari mulut guru-guru bertugas setiap pagi, sudah kalis di telinganya.
Sangkut plastik berisi bekal nasi goreng pada pemegang basikal, dia mengayuh laju memandangkan hanya tinggal lima minit sahaja lagi sebelum locong pertama yang akan berbunyi pukul 7.15. Dia tahu selaju mana pun dia mengayuh tetap juga akan terlambat, tetapi setidaknya dia dapat meminimumkan kelewatan itu.
BEBERAPA meter menghampiri pagar sekolah, Naura mengayuh selaju mungkin. Akhirnya dia tiba bertepatan ketika pengawas mula menutup pagar utama. Saat dia menarik brek, terangkat tayar belakang namun mujurlah dia tidak tersembam membaham pasir.
“Cikgu! Cikgu Mazlan! Saya sampai tepat masa.” Naura menunjuk jam di pergelangan tangannya sambil buru-buru turun dari basikal. Cepat-cepat dia menolak basikalnya masuk melalui pagar tepi.
Cikgu Mazlan menggeleng. “Cepat sikit! Hari-hari asyik muka awak je yang lambat. Adik awak Fatin, dari tadi dah sampai.”
“Mama tinggalkan saya.”
“Siapa suruh lambat?”
“Macam mana tak lambat, dia suruh saya gosok baju Fatin. Lepas tu bila saya lambat, dia tinggalkan saya.”
Cikgu Mazlan terdiam, sambil berpandangan dengan Cikgu Rohani yang bertugas minggu itu. Hampir setiap hari alasan sama yang diberi Naura jika terlambat. Bukan mereka tidak tahu Naura tinggal bersama ibu tiri, namun sebagai guru mereka sedar batas campur tangan mereka hanya setakat di sekolah. Selagi mana tidak menampakkan sebarang mudarat ke atas diri Naura, mereka tiada hak untuk campur.
“Naura dah makan?” tanya Cikgu Rohani sambil beriringan dengan Naura menuju tempat letak basikal.
“Tak sempat. Tapi saya ada bawak bekal.” Naura tunjuk plastik berisi dua bekas bekal pada pemegang basikal.
“Amboi sampai dua bekas. Ada kelas tambahan ke hari ni?”
“Tak. Satu untuk Airel.”
Cikgu Rohani tertawa. Menggeleng dia dengan sikap terus terang Naura. Sedikit tidak berselindung yang dia sukakan Airel. Hampir setiap hari Airel merungut kerana rimas dengan Naura yang tidak jemu-jemu cuba menarik perhatiannya.
“Masak apa hari ni?”
“Nasi goreng je.”
“Naura…” Cikgu Rohani jeda. Naura yang sedang menongkat basikalnya dipandang lama. Naluri keibuannya bersimpati dengan gadis muda itu. Tiga tahun dia pernah mengajar Naura. Dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Naura pelajar yang bijak namun sikapnya yang selalu terlewat ke sekolah, serta sering tertidur waktu belajar membuat segelintir guru menganggap dia pelajar bermasalah dan mengabaikannya.
“Ya cikgu.”
“Perasaan suka pada kawan-kawan berlainan jantina tu biasa. Tapi…” Lagi-lagi Cikgu Rohani jeda. Cuba mencari perkataan sesuai supaya tidak menyinggung perasaan Naura.
“Tapi apa cikgu?” Naura tertunggu-tunggu kata-kata selanjutnya daripada Cikgu Rohani.
“Jangan terlalu tunjuk sangat. Kadang-kadang orang lelaki ni dia tak suka bila perempuan nampak macam nak sangat dekat dia. Naura faham kan?”
“Faham. Terima kasih cikgu. Naura masuk kelas dulu.” Naura hulur tangan menyalami gurunya itu sebelum berlari masuk ke kelasnya.
Cikgu Rohani menggeleng. Dia tidak yakin Naura benar-benar faham dengan apa yang disampaikannya. Bukan dia tidak suka Naura dekat dengan Airel, tetapi dia tidak mahu Naura nampak terlalu terhegeh-hegeh. Dia kasihankan gadis itu.
“Lewat lagi budak Naura tu?” Suara Zawiah, yang bertugas di pintu pagar utama bersama dia dan Cikgu Mazlan tadi membuat Rohani menoleh.
“Katanya kena tinggal,” jawab Rohani sebelum memutar tubuhnya, meninggalkan kawasan letak basikal di bahagian kanan pagar utama itu untuk kembali ke bilik guru.
“Kalau dah lembap terhegeh-hegeh, memang patut kena tinggal,” cemuh Zawiah.
“Tak baik cakap macam tu. Dia tu anak yatim. Tak ada mak. Duduk dengan mak tiri. Ayah kerja offshore. Entah-entah kat rumah kena buli. Tadi katanya kena gosok baju adiknya. Itu yang dia lambat.” Rohani membela Naura.
“Kalau kena buli, tak adanya debap macam tu Ni. Memang perangai dia. Lepas tu pancing simpati, salahkan mak tiri.”
Rohani malas melayan lagi. Melajukan langkah, dia meninggalkan Zawiah yang terkedek-kedek dengan langkah pendeknya. Zawiah berkawan baik dengan Salina. Tentu sekali wanita pendek gemuk seperti pokok durian montong itu sudah dijamu cerita dengan segala macam keburukan Naura.
“Ni, lajunya. Tunggulah oi,” jerit Zawiah.
“Aku nak isi kehadiran. Lewat nanti Eidlan bising. Naik nama aku dalam telegram,” jawab Rohani sambil menoleh sekilas.
WAKTU rehat, Naura cepat-cepat mendekati Airel yang sudah berkemas-kemas untuk ke kantin.
“Airel!” Dengan senyum lebar, dia berdiri di depan meja lelaki itu.
Airel angkat muka, pandang wajah Naura tanpa minat.
“Nah, saya ada buat bekal untuk awak. Makanlah. Bersih, halal lagi suci.”
“Kau ni memang jenis tak faham bahasa ke?” Airel papar wajah bengang. Benar-benar dia rimas dan terganggu dengan Naura.
“Faham. Saya tahu awak tak suka saya.”
Airel tertawa sinis. “Dah tu? Yang kau tayang lagi muka kau kat sini buat apa?”
“Sebab awak tak sukalah saya kena berusaha. Kalau awak dah memang suka saya, tak perlulah saya buat semua ni.”
Melongo Airel tidak percaya dengan jawapan Naura. Terdengar menjengkelkan, tetapi logik juga.
“Makanlah. Saya masak dengan ikhlas. Dimulakan dengan Bismillah, diselangi dengan zikrullah. Insha’Allah terang hati awak belajar lepas makan nasi goreng saya ni.”
Airel sudah bangun dari duduknya, mahu ke kantin. Beberapa rakannya sudah tersengih-sengih sinis melihat dia didekati Naura. Gadis kera sumbang dan sering dimarahi guru-guru kerana selalu tertidur, tidak siap kerja rumah, dan dilabel sebagai calon gagal. Bukan seorang guru menyindir dan memintanya supaya tidak datang untuk peperiksaan SPM kelak kerana bimbang akan menjadi penyebab kejatuhan gred purata mata pelajaran. Didekati Naura seperti satu sumpahan kerana dia pula yang akan menjadi mangsa sindiran rakan-rakannya.
“Kalau macam tu, baik kau yang makan sebab yang nampak benak, gelap hati sekarang ni kau,” ujar Airel dan terus berlalu sebelum Naura terus-terusan mengaganggunya.
Naura mencebik apabila buat kesekian kali, usahanya gagal.
“Dah-dahlah tu. Dah tahu orang tak suka, yang kau terhegeh-hegeh kenapa? Tak ada urat malu dah ke?” Sabrina, satu-satunya manusia di planet ini yang sudi berkawan dengannya bersuara.
Naura tidak segera menjawab. Kembali ke tempat duduknya, dia menyuap nasi goreng buatannya sendiri dengan hati sebal.
“Kita perempuan ni jangan nampak sangat terhegeh-hegeh, Naura. Cukup-cukuplah tu. Aku yang tengok ni rasa kesian dengan kau. Kau tak kesian dengan diri kau sendiri ke?” Sabrina terus membebel walaupun Naura nampak tidak begitu mengendahkan nasihatnya. Santai mengunyah nasi goreng seolah-olah layanan dan kata-kata Airel tadi sedikit pun tidak menyinggungnya.
“Eh, kau dengar tak apa aku cakap ni?” Sabrina menyergah.
“Dengar.”
“Dah tu, esok berhentilah. Jangan buat macam ni lagi. Kesian kat aku yang terpaksa tolong malu untuk kau. Letih tahu tak?”
“Aku suka dia layan aku macam tu. Lagi buat aku rasa nak approach dia. Biarlah dia meluat. Aku tak rugi apa-apa pun.”
“Masalahnya ramai orang mengata kau kat belakang. Macam-macam yang orang kata sampai naik bernanah telinga aku. Berhentilah Naura.” Separuh merayu Sabrina bersuara sambil menyuap bekal mihun gorengnya.
“Kalau aku tak buat apa-apa pun, orang tetap mengata aku. Biarlah.” Naura menjawab enteng.
Sabrina menggeleng. Membazir air liur saja menasihati manusia yang keras kepala seperti Naura.
“Kenapa kau suka sangat dengan Airel tu? Yalah, dia handsome tu satu. Tapi takkan sebab tu je kan? Ramai je budak lelaki kelas kita ni yang handsome, tapi kau tak minat pulak.”
“Sebab mak dia baik, jadi aku beranggapan yang dia pun sebenarnya baik. Cuma mungkin dia malu nak rapat dengan aku kot.”
“Kalau macam tu, ubahlah diri kau. Ubah jadi lebih baik. Datang awal, jangan tidur dalam kelas, skor markah tinggi, biar semua orang tengok kau dengan dua belah mata.”
Naura diam. Bukan dia tidak mahu, tetapi dia tidak mampu, Jika ayahnya pulang, baru dia boleh berehat dan menarik nafas. Boleh datang awal ke sekolah, boleh siapkan kerja rumah dan boleh mengulang kaji. Jika tidak, seharian dia disibukkan dengan kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis. Tidak ada sesiapa yang faham dan tidak ada sesiapa yang percaya kerana ibu tirinya itu pandai berpura-pura baik di depan semua orang.
“Inshaa’Allah doakan aku diberi peluang untuk ubah diri aku.”
“Amin…Insha’Allah. Semangat!”
“HEH, bukan bini kau bawakkan bekal tadi?” perli Nazeem. Bangku panjang kantin dilangkah sebelum melabuhkan duduk di sebelah Airel.
Airel berdecit. Tidak suka setiap kali dia dikaitkan dengan Naura. Namun dia malas berkata apa-apa. Banyak yang dia jawab, banyaklah nanti sindiran dan kata-kata sinis yang akan membuat hatinya panas seharian.
“Bertuahlah ada orang jaga.” Irfan pula memerli.
“Aku rasa baik kau terima jelah huluran cinta Naura tu. Jangan kata makan, silap-silap spender kau pun dia tolong basuhkan.”
Meledak tawa Irfan, Hafiy dan Kamil dengan gurauan Nazeem.
“Yang korang sibuk sangat aku dengan Naura kenapa? Dia tu silap dia gemuk je. Kalau kurus, lagi cantik dari Hana,” balas Airel, membuat Nazeem pula panas hati kerana teman wanitanya dikaitkan.
“Hei…Gurau kasar nampak. Jangan banding Hana dengan Naura. Macam langit dengan bumi.”
Airel tertawa sinis. Tahu pula marah. Cuit sedikit sudah melenting.
“Tahu pun marah. Kau masa nak tackle Hana macam Naura tulah. Terhegeh-hegeh dengan muka tak malu. Nak mula tegur ajak aku teman. Tak ada telur punya orang. Naura at least dia berani. Dia gerak sendiri tak ada sesiapa tolong.” Entah mengapa mahu membalas sindiran Nazeem, Airel membela Naura. Jujurnya, dia tidak begitu membenci Naura. Cuma dia rimas jika perempuan terhegeh-hegeh. Dia tidak suka perempuan seperti itu.
“Tak ada telur pun, kau tengok aku dapat perempuan macam mana. Selevel dengan aku. Pandai, cantik, berani, aktif. Kau sebut je nama Hana. Siapa tak kenal?” Nazeem mendabik dada, tidak mahu kalah.
“Eh Naura pun samalah. Sebut je nama Naura, semua cikgu kenal.” Irfan menyela disambut dengan tawa berdekah semua yang berada di meja itu kecuali Airel. Menyudahkan makannya, dia bangun lantas meninggalkan rakan-rakannya.
Share this novel
test_account