BAB 1

Romance Completed 9808

CEPAT-CEPAT aku melangkahkan kaki dengan pantasnya untuk menahan pintu lif dari tertutup. Haih, ini semua ayah punya pasallah. Boleh pula tu masa ni nak melabur saham dekat amanah jaya Dr Tan.

“Sekejap!!!!” Ambil kau! Huh, suara panah petir aku dah muncul. Aku tak kiralah orang nak tengok ke, orang nak marah, orang nak maki aku sekalipun, tak kisah dah! Yang penting pintu lif tadi yang hanya tinggal seinci nak tertutup tu, kini dah terbuka semula.

Aku dengan selamba main masuk aje dalam lif tersebut. Nasib baiklah tak ramai. Tiga orang saja, termasuk aku empat oranglah.

“Terima kasihlah pada yang tolong tahan lif ni.” Ucap aku, tapi mata aku tak pandang pun mereka semua. Mata aku, aku letakkan dekat skrin telefon bimbit aku.

“Itu suara yang kuat tadi, semolang dengar looo. Boleh pekak telinga. Bisinglah awak ni!”

Mata aku yang sedang baca whatsapp dari Kak Erna tiba-tiba terhenti. Aku pantas menoleh ke arah suara tadi. Dahlah pelat, lepas tu nak cakap aku bising pula. Aku sebat dengan rotan nanti baru tahu! Ayah aku tu pencen cikgu tau. Dia dulu memang suka sebat orang dengan rotan. Dekat rumah aku memang berpuluh-puluh rotan ada. Yang terbelah sepuluh pun ada. Fuhh, dahsyat betul Encik Zainal tu rotan pelajar. Siap boleh terbelah sepuluh rotan dia! Mesti kopak punggung dan tangan pelajar-pelajar ayah aku tu!

Yang aku duk cerita pasal ayah aku tu buat apa? Aku dahlah tengah geram dengan dia. Boleh pula aku dah lambat macam ni dia nak jumpa Dr Tan dulu. Macam tak boleh tahan aje. Aku tak naklah datang lambat. Walaupun terlambat satu minit pun, aku tetap tak mahu. Aku ni, kan setiausaha kesayangan bos. Aku tak naklah orang mengata cakap aku ambil kesempatan dalam kesempitan. Tak gitu?

Tapi ayah lain. Ada ke ayah boleh cakap macam ni tadi....

“Alaaa, Encik Kevin tak akan marah punya. Diakan sayang dekat kamu Nisa. Kalau dia marah kamu, kamu bagitahu ayah. Biar ayah bagi dia diam!” Aku pandang aje muka seposen ayah aku tu yang sedang memandu. Senang aje dia cakap nak diamkan bos aku tu. Dia ingat, bos aku tu pelajar sekolah ke? Yang dia boleh rotan-rotan?

“Silap-silap, Nisa yang kena buang kerja kalau ayah rotan Encik Kevin nanti.” Ujar aku yang sedang tak tentu arah dalam kereta. Rasa macam aku nak aje bawa sendiri kereta ni. Tapi apakan daya, aku masih lagi dalam trauma kemalangan dahulu.

Dah setahun aku tak memandu kereta lagi. Ayah ajelah yang jadi tukang angkut aku ke sana ke sini. Lagipun, aku seorang saja anak ayah. Arwah mak dah meninggal 4 tahun yang lepas. Tinggalkan kami dua beranak saja. Tapi, kalau tinggal dengan Encik Zainal ni, macam tinggal dalam rumah tu dengan sepuluh orang!

“Dasar pelat. Nak cakap orang bising pula!” Aku balas macam tu aje dengan cina pelat tu. Biarkan dia. Suka-suka cakap aku bising. Kalau tak suka, nak nasihat ke apa ke, cakaplah lembut-lembut. Dua orang lelaki melayu dah nak terhembur gelaknya. Aku tak kenal sangat pun lelaki ni, mungkin jabatan lain kut. Yang seorang perempuan lagi tu, buat tak tahu aje. Tengah syok tatap telefon bimbit.

Tiba-tiba bahu aku dipegang kejap. Aku tersentak pantas aku menoleh ke belakang. Mata kami bertembung sebentar. Cina ke bangladash ni? Baik-baik aku nak marah campur terajang tadi, tak jadi pula. Aku duk leka fikirkan yang lelaki ni cina ke bangla?

Nak kata rupa cina, tak ada pun rupa cinanya. Tapi suara tu memang macam cina pelat. Aku warganegara malaysia kut, 25 tahun aku hidup dengan bangsa bercampur dekat Malaysia ni, aku tahulah pelat mereka macam mana bila cakap bahasa melayu. Bangladash? Okey, mungkin boleh juga nak katakan bangladash, tapi ni bangladash terlajak mari!

Handsome kut! Mata cantik gilos! Nak pinjam anak mata dengan bulu mata boleh tak?

Rupa macam Hans Isaac pun ada juga ni. Tinggi lampai orangnya. Warna kulit tu ada gelap sikit. Macam warna kulit melayu.

Ehh, dah jauh dah aku fikirkan. Niat asal nak marah ni! Tapi kenapa si pelat ni masih tenung aku? Nak pegang bahu aku lagi ke?

“Jangan sentuh saya! Kita bukan muhrim! Awak sentuh saya lagi, saya gantung awak dekat siling lif ni! Faham?” Ecehhh, aku ni macam larat je nak gantung dia dekat siling atas ni. Tak payah nak gantung, tinggi dia pun dah nak cecah ke atas.

Lelaki pelat tu tengok aku sambil tersengih. Telefon bimbitnya yang dipegang tadi diselitkan di kocek seluar berwarna merahnya. What the fish man? Pakai shortpants dekat sini? Ini bangunan company, bukannya Sunway Piramid kut. Ini buat darah aku naik mendadak ni. Haih, nak kena ajar juga ke?

“Itu kasi angkat saya tinggi. Awak kasi angkat sama saya gantung atas.” Dasar pelat! Dah pelat, lepas tu ayat berterabur!

Pintu lif terbuka. Ini tingkat jabatan aku, tingkat ke 12. Sebelum aku keluar, wajib aku habiskan apa yang tergendala tadi.

“Pakaian awak ni kekwat betul. Ini bukan shopping mall atau kelab malam bersuka-ria. Balik rumah, pergi belajar bahasa melayu dengan betul. Ayat awak teruk, macam orangnya sekali.” Aku memaut beg tangan aku di bahu supaya tidak melurut jatuh. Aku tersenyum mengejek dan terus saja keluar dari pintu lif.

Lelaki itu, mata dia.... Mata dia masih bulat memandang aku. Bibirnya hanya tersengih saja. Macam orang gila. Suka pula ya dia kena sindir dengan aku? Muka menyampah tu aku malas nak tengok. Aku terus tekan butang lif yang di luar dinding. Terus pintu lif tu tertutup dan menghilangkan pandangan mata lelaki pelat tersebut.

Langkah kaki aku diatur dengan cepat. Bila tiba saja di depan pintu kaca pejabat, aku terus menolak pintu kaca tersebut. Cepat-cepat mata aku main peranan melihat seluruh pelusuk di dalam pejabat aku. Soalan pertama, mana bos?

“Kak, mana bos?” Tanya aku sambil melabuhkan sedikit punggung aku di meja Kak Erna.

“Kau apa pasal datang lambat? Belum pernah lagi kau datang lambat sejak tiga tahun ni, ini kali pertama aku nampak kau datang lambat.” Pandai betul Kak Erna ni jawab soalan orang.

“Ayah aku tu kak, boleh pula dia ada appoiment dengan Dr Tan. Ish, itu yang aku lambat.” Aku mengerling jam tangan di pergelangan tangan kiri aku. Lambat 10 minit. Encik Zainal tu tak seperti bekas cikgu langsung. Aku rasa ayah aku tu macam bekas pelajar tak habis sekolah. Tak ada rasa prihatin langsung tentang aku pergi kerja lambat. Boleh pula lagi dia cakap Encik Kevin tak akan marah punya, sebab aku setiausaha kesayangan Encik Kevin. Macam tahu-tahu aje ayah ni.

“Akak ingat kau jumpa jodoh tadi. Itu lambat sebab tengah angau! Rupanya ayah kau buat hal.” Kak Erna bangun, dia ke meja sebelah kirinya yang terdapat mesin faks, dia mengambil kertas yang keluar dari mesin faks tersebut.

“Aku kalau jumpa jodoh, bukan setakat angau dan datang lambat je kak, aku terus tak datang. Kau jumpa aku malam nanti kenduri kahwin terus!”

Ketawa Kak Erna bergema. Aku pula naik seram tengok dia ketawa macam tak jejak kaki. Macam Cik Ponti aje.

“Astaga, akak terlepas ketawa besar pula Nisa oi. Tu, bos ada dekat dalam. Bukan main risau dia lagi bila PA kesayangan dia tak nampak depan mata. Pergilah masuk, terangkan pada dia.” Aku mengangguk laju. Aku terus saja mendekat ke arah meja aku. Beg tangan aku letakkan di kerusi. Aku menarik nafas dalam. Haih, haraplah bos tak tanya apa-apa. Tak akan aku nak jawab yang ayah aku ada perjumpaan dengan Dr Tan last minute tadi. Tu penyebab lambat. Tak akanlah, kan?

Pintu kayu tu aku ketuk tiga kali. Tak lama kemudian terdengar suara Encik Kevin yang membenarkan aku untuk masuk. Aku terus masuk ke dalam bilik bos aku tu. Terlihat susuk tubuh kurus tinggi Encik Kevin yang sedang duduk meneliti kertas di tangannya.

“Risau saya. Ingat awak tak datang tadi.”

Aku rasa macam nak melompat gembira aje. Ayat pertama yang keluar dari mulut Encik Kevin tu petanda dia tak marah. Betullah, ayah dan Kak Erna cakap, yang Encik Kevin sayang aku. Sayang sebagai pekerja okey. Sebab mungkin aku ni berdedikasi orangnya. Dengar cakap dan pantas aje buat kerja. Eceh, tak salahkan puji diri sendiri?

Aku berdiri tegak di depan mejanya. “Maaf bos, ayah saya ada hal tadi. Itu yang saya terlambat.”

Encik Kevin angguk faham. “Tak apa. Ayah awak dah call sama saya tadi. Dia kata dia terlambat hantar awak kerja.” Encik Kevin ni cina tau. Jangan hairanlah kalau dia cakap pelat dan berterabur macam mamat mata cantik tadi.

“Saya ada kerja untuk awak hari ni.”

“Aik? Bukan ke tiap hari ke bos ada bagi saya kerja? Tak akan saya goyang kaki pula, kan?”

Encik Kevin ketawa kecil. “Ini kerja lain.”

Mata aku dinaikkan ke atas. Sedang berfikir. “Kerja apa bos?” Tanya aku sambil menarik perlahan tudung yang aku pakai ke belakang sedikit.

“Itu jaga saya punya amoi kejap.”

Kenal sangatlah amoi mana ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience