Bab 23

Romance Series 106380

HAMPIR seminggu Juwita tidak mahu bertegur sapa dengan Zailani walau dah berkali-kali Zailani memohon maaf. Sakit hatinya bila tidak dipedulikan oleh Juwita.

"Ju, aku tahulah anak bos datang meminang. Tapi tak payahlah nak sombong sangat." Telinga Juwita panas. Pasti kerja Junaidi menyampaikan berita itu kepada Zailani. Namun dia hanya mendiamkan diri. Langsung tidak berusaha untuk menafikan.

"Okey. Fine! Orang dah tak peduli pasal kita. Siapalah kita ni. Bukannya berharta pun orang nak pandang." Juwita menahan rasa.

Ada juga yang kena terajang kejap lagi ni. Lagi dia mendiamkan diri, lagi menjadi-jadi pula Si Kurita ni. Haish... cari pasal sungguhlah kau.

"Sekali lagi kau buka mulut, memang kau kena dengan aku, Zai." Juwita memberi amaran. Tersenyum Zailani mendengar jawapan Juwita. Namun, dia tak mahu kalah. Dia ingin mendengar sendiri dari mulut Juwita mengenai lamaran Haris.

Belum sempat Juwita hendak buka pintu kereta, Zailani terlebih dahulu bersandar pada pintu. Dia kulum senyum seraya menjungkitkan kedua-dua keningnya.

Haish... makin lawa pula Juwita ni tahan marah. Rasa nak cubit je pipi dia yang tak berapa nak montel tu.

"Tepilah kurita." Juwita cuba menolak tubuh Zailani namun hampa. Zailani sengaja mengeraskan tubuhnya.

"Kau ni saja je kan. Aku cakap tepi, tepilah." Marah Juwita. Zailani masih keras di situ. Sudahlah dia ingin segera pulang.

Dia sudah berjanji dengan Tuan Nabihah untuk singgah di sana sebaik saja balik dari kerja. Berang dengan sikap Zailani, Juwita mengeluarkan semburan pemedih mata lalu disembur ke wajah Zailani.

"Arghhhh..." Zailani menjerit. Pedih matanya ketika itu. Dia langsung tidak menduga Juwita akan bertindak sebegitu sekali.

"Rasakan. Aku cakap baik-baik tak nak dengarkan? Kau fikir kau punya sakit hati, habis sakit hati aku ni macam mana? Hati kau je aku nak kena jaga ke? Hati aku ni? Kau buat masak kicap?" Terus Juwita melangkah masuk ke dalam kereta. Namun, dia sempat menyerahkan sebotal air mineral kepada Zailani untuk mencuci matanya.

Zailani segera menuang air ke wajahnya sebaik saja mendengar deruan enjin kereta Juwita berlalu pergi.

"Siap kau, Ju. Ada lori ada bas. Kau nak sangat main kasarkan. Kita tengok siapa yang kena." Pelbagai rencana telah dirangka.

Zailani tersenyum sumbing. Sudah nampak rakan subahat yang boleh menjalankan rancangannya.

Zailani segera mendapatkan keretanya dan memandu pulang. Malam ni mak serta ayahnya akan berada di surau. Pasti Zaitun juga akan ikut serta.

Laju Zailani memandu. Dia sempat singgah di kedai serbaneka untuk mendapatkan barang yang bakal dijadikan bahan untuk rancangannya. Setelah berpuas hati, dia memandu pulang.

Sampai saja di depan rumah Juwita, Zailani makin tersenyum lebar apabila melihat kereta Juwita tiada. Salam dilaung sebelum Junaida datang menghampiri.

"Eh Abang Zai. Kak long tak balik lagi," ujar Junaida sopan. Zailani memandang sekeliling. Risau jika Juwita muncul.

"Kak long pergi mana?" soal Zailani sekadar berbasa basi.

"Pergi rumah Tuan Mansur." Berubah terus wajah Zailani mendengar jawapan Junaida. Sakit sungguh hatinya.

"Idi ada tak?" Zailani menyoal. Dia tidak mahu terserempak dengan Juwita.

"Kejap ye. Ida panggilkan." Junaida segera masuk ke dalam rumah. Selang beberapa minit, Junaidi keluar.

"Ada apa ni?" soal Junaidi. Zailani tersengih.

"Nak minta tolong sikit boleh?" Berkerut dahi Junaidi.

"Apa dia?" Zailani menerangkan apa yang ingin dilakukannya. Ketawa besar Junaidi dibuatnya.

"Okey. Set." Akhirnya Junaidi bersetuju.

"Ingat tau, nanti rakam ye." Junaidi angkat ibu jari seraya mengambil bungkusan yang diberikan oleh Zailani.

"Abang balik dulu. Jangan lupa Whatsapp ye." Zailani segera berlalu pergi dengan senyuman kemenangan.

Junaidi melangkah masuk ke dalam rumah, namun langkah kakinya terhenti apabila Junaida berdiri tegak di depannya.

"Apa tu?" soal Junaida sambil melipat tangan di dada. Junaidi angkat jari telunjuk kanan lalu diletakkan ke bibirnya.

Matanya meliar memerhati kiri dan kanan, bimbang andai Zaitun muncul. Segera dibisikkan rancangan Zailani ke telinga Junaida.

Buntang mata Junaida mendengarnya. Mulut yang terlopong juga ditutup dengan kedua belah tapak tangan.

"Seriuslah Idi?" Junaidi menggangguk sebagai jawapan pada soalan Junaida.

Petang itu tepat jam 4:00, Juwita tiba diperkarangan rumah mereka. Zaitun terlebih dahulu menuju ke surau memandangkan ada gotong royong untuk kenduri yang akan diadakan lepas maghrib nanti di surau.

Usai mandi dan berehat di depan TV. Juwita memandang bungkusan yang terletak di atas meja. Kad ucapan dibukanya.

Sorry sebab buat hati kau jadi masak kicap. Tapi tulah, sedap sangat hati kau ni sampai aku tak boleh nak lepaskan. So... sebagai tanda maaf aku, terimalah hadiah tak seberapa ni.

Ikhlas
Zailani

Juwita tarik muka. Minta maaf pun sempat lagi nak perli. Namun, dalam hati Juwita tersenyum bahagia. Sudah lama dia tidak menerima hadiah dari seorang kawan.

Tanpa ragu, dia membuka kotak hadiah itu. Dikaiskan kertas shredder yang penuh di dalam kotak. Berkerut dahinya saat memegang sesuatu yang terasa lembik.

Saat dia menarik benda itu keluar, menjerit dia kegelian. Sekasar mana pun dia, memang dia paling geli dengan serangga tu.

Buntang matanya apabila melihat beberapa replika plastik lipas, lipan dan seangkatan dengannya saat kotak itu terbalik di atas meja. Hampir saja dia menangis kerana geli.

"Zaiii!" Bergegar satu taman perumahan itu dengan jeritan Juwita. Merah padam wajahnya menahan api kemarah.

Berombak kencang dada Juwita dengan olah yang dibuat oleh Zai a.k.a Zailani. Junaidi mula terjingkit-jingkit untuk melarikan diri. Junaida turut serta. Pasangan kembar itu menahan ketawa yang bakal terhambur bila-bila masa saja melihat kakak sulong mereka menyinga.

Bagai petir yang menyambar, bertempiaranlah mereka melarikan diri.

Lengan baju Juwita disingsing hingga ke siku. Dia melangkah laju menuju keluar rumah. Berang sungguh hatinya.

Perhitungan dengan Zailani perlu dibuat. Memang sengaja cari nahas! Tergopoh gapahlah Juwita berjalan menuju ke rumah Zailani yang terletak di seberang jalan.

"Assalamualaikum..." laung Juwita dari luar pagar. Namun tiada sebarang sahutan. Semakin panas hatinya ketika itu. Sekali lagi salam dilaung dari luar. Namun hampa. Zailani tidak juga muncul.

"Aku jumpa kau nanti, siaplah kau Zai. Tak padan dengan kurita kau kan. Memang kau nak kena dengan aku," omel Juwita seraya melangkah pulang. Perhitungannya masih belum selesai.

Zailani perlu membayar semula apa yang berlaku tadi. Juwita tekad, dia takkan melepaskan Zailani.

Dah orang menjual, pastinya dia membeli.

Zailani yang berada di dalam rumah hanya tersengih melihat Juwita berlalu pergi. Sengaja dia tidak menyambut kedatangan Juwita.

Suka benar dia melihat gadis itu mengamuk. Makin comel wajahnya yang tak berapa putih itu apabila kemerah-merahan menahan marah. Tangan Zailani pantas mencapai telefon bimbitnya.

Perang belum berakhir tau. Siapa suruh kau mula dulu. Chaw.

Button send ditekan.

'Yes. Dah blue tick.' Zailani tersenyum sendiri.

Kau tunggu Zai. Siap kau nanti. Jangan berani kau nak jumpa aku lagi. Memang lunyai kau, aku kerjakan.

Teks dari Juwita dibaca dengan hati yang berbunga. Puas hatinya dapat mengenakan Juwita.

Zailani terus melangkah masuk ke dalam biliknya sebaik saja kedengaran azan Asar berkumandang.

Walau dia lembut bagai sotong kurita. Namun, dia masih tahu tanggungjawabnya. Mana mungkin dia mengabaikan seruan Ilahi.

Setelah selasai solat, Zailani duduk berteleku. Doa dipanjatkan agar Allah SWT sentiasa memberkati dan merahmati kedua ibu bapanya. Tidak lupa juga doa dipanjatkan buat Juwita yang sentiasa bersamanya saat jatuh bangunnya.

Walau apa pun yang berlaku, dia tetap dengan pendiriannya. Dia tidak akan sesekali berganjak dengan keputusannya. Dia yakin dan pasti. Keputusannya muktamad. Tiada dakwa dakwi lagi. Tiada siapa yang mampu mengubah keputusannya.

Zailani menguntum senyum. Senyum yang penuh makna. Hanya dia yang memahami rahsia disebalik senyumannya itu.

Deringan telefon bimbitnya membuatkan Zailani segera bangun dari tikar sejadah.

Tertera nama Juwita. Zailani ketawa geli hati. Masih jelas terbayang di matanya rakaman video yang diberikan oleh Junaidi sebaik saja Juwita membuka bungkusan yang dititipkan pada Junaidi.

Sempat juga dia berpesan supaya Junaidi merakam saat indah Juwita membuka bungkusan yang dikirimkan. Inilah hasilnya.

Juwita mengamuk sakan. Andai kata Juwita mengetahui akan video itu, pasti keadaan akan menjadi lebih panas. Zailani yakin, Junaidi juga tak akan terlepas dari api kemarahan Juwita.

Berbelas kali Juwita menghubunginya, namun Zailani hanya membiarkan saja telefon bimbitnya menjerit minta diangkat.

"Kita tengok siapa yang kena ye..." Zailani tersenyum puas. Dia tak boleh kalah kali ni. Juwita akan ditawan. Walau dengan apa cara sekalipun. Takkan sesekali dia lepaskan Juwita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience