Bab 37

Short Story Series 55831

“Arghh!!! Panas.” Haikal menjerit apabila dia merasakan seluruh tubuhnya seperti dibakar di atas api yang marak. Haikal melihat keadaan sekeliling yang sungguh mengerikan saat itu. Dia berada di tempat yang dikelilingi api yang sangat marak. Api itu bukan bewarna merah seperti yang sering dilihat tetapi api itu bewarna hitam dan mengeluarkan haba yang sangat panas sehingga seakan mahu mencairkan kulitnya.

Haikal cuba berjalan tetapi dia merasakan kedua kakinya sangat berat mahu melangkah. Ketika dia menunduk ke bawah dia melihat kakinya yang digari dengan rantai yang tebal sehingga membuatkan kedua pergelangan kakinya terluka teruk. Haikal sudah tidak sanggup merasakan kepanasan itu. Dia cuba mencari sumber air untuk dipuaskan rasa hausnya yang tidak terhingga saat itu. Dia berjalan sekeliling yang tiada sesiapa tetapi bunyi suara orang berteriak kesakitan memenuhi ruangan itu. Haikal mula berasa gerun. Suara siapakah itu? Mengapa sampai begitu sekali teriakannya seakan orang itu diseksa dengan kejam oleh seseorang.

Haikal meneruskan juga langkahnya walaupun sakit dan ketakutan kerana cuba melarikan diri daripada terus mendegar suara teriakan itu. Tiba-tiba dia terlihat satu lembah seperti sungai yang mengalir tetapi mengeluarkan bau yang sangat hanyir dan busuk. Dia fikirkan dia akan dapat menghilangkan hausnya tetapi dia hampa apabila bukan air yang mengalir di lembah itu melainkan air nanah yang sangat meloyakan tekaknya. Haikal yang tidak dapat menahan bau itu memuntahkan isi perutnya yang juga sangat berbau busuk.

“Aku berada di mana ini?” Haikal bertanya lebih kepada dirinya sendiri kerana setahunya sebelum itu dia sedang berseronok dengan kawan-kawannya dan teman wanita yang baru dikenalinya yang bernama Rose. Dia juga seperti teringat wanita yang memapahnya masuk ke dalam bilik tidurnya sewaktu dia dalam keadaan mabuk. Jika dia tidak silap wanita itu adalah teman wanitanya di luar negara yang sangat dia rindui.

“Siapa kau?” Tiba-tiba Haikal berteriak apabila melihat seseorang yang memakai pakaian serba putih sedang melihat dirinya daripada kejauhan.
Dengan tenaganya yang masih tersisa, Haikal mengikuti jejak langkah seseorang yang dilihatnya itu sehinggalah dia semakin hampir. Tangan orang itu dipegangnya dan dia menjerit kesakitan apabila dia merasakan tangannya seperti dibakar.

“Bertaubatlah sebelum terlambat. Masih ada waktu untuk kau bertaubat kepada Allah s.w.t..” Orang itu mengingatkan sebelum dia mahu berjalan pergi semula.

“Kita berada di mana ni? Adakah kita berada di neraka?” Haikal bertanya apa yang tersirat dihatinya. Adakah dia sudah meninggal dunia? Adakah berlaku sesuatu kepadanya sewaktu dia mabuk sehingga membawa kepada kematian? Haikal sudah mula resah dan semakin takut jika benar keadaan itu yang berlaku. Dia masih belum mahu mati!

“Neraka? Kau tidak akan mampu membayangkan seksa neraka yang lebih dahsyat daripada ini. Ini adalah peringatan Allah kepada kau agar kau kambali kepada-Nya. Ada seseorang yang telah kau seksa hidupnya. Mintalah kemaafannya dan bertaubatlah kepada yang Maha Esa. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu menyelamatkan dirimu.” Orang itu berpesan.

“Kau fikir aku akan takut dengan kau? Siapa yang aku seksa hidupnya? Tiara? Jenny? Amirah? Rose? Atau perempuan-perempuan murahan yang lainnya? Dia orang yang datang menyerah kepada aku bukan aku yang datang memaksa. Aku tak salah dan aku tidak pernah berbuat salah.” Haikal menjerit dan menunggu orang itu menoleh memandangnya.


“Rina Altafunisa!!!” Haikal terjaga dari tidurnya dengan keadaan yang berpeluh-peluh. Dia melihat tubuhnya yang di dalam keadan baik-baik saja. Dadanya turun naik seperti dia baru saja berlari dengan sangat laju. Haikal segera berdiri dari pembaringannya dan melihat sekeliling. Dia berada di dalam biliknya bukan berada di tempat yang mengerikan itu.

Dia bermimpi ngeri!

Haikal segera keluar daripada biliknya dan saat itu dia terdengar alunan bacaan Quran daripada bilik Showfah dan Aqil yang terbuka sedikit pintu biliknya. Haikal melangkah dengan laju dengan perasaan yang sangat marah saat itu kerana dia tidak mahu mendengar alunan surah saat keadaannya seperti itu. Ditolak pintu bilik Rina yang dianggap Shofwah itu dengan kasar. Belum sempat dia melangkah dia merasakan seperti ada binatang buas yang mahu menerkamnya sehingga dia terjatuh ke belakang. Ditutupi wajahnya saat itu dengan suara teriakan yang membuatkan semua orang terkejut.

“Astaghfirullah, kenapa ni Haikal?” Tan Sri Mansur yang baru saja terjaga daripada tidurnya segera keluar daripada biliknya apabila terdengar suara Haikal menjerit. Ketika itu dia melihat Haikal yang terbaring dilantai dan menjerit-jerit sambil menutup wajahnya. Segera Tan Sri Mansur mendapatkan anak sulungnya itu begitu juga dengan Aqil yang baru juga keluar daripada biliknya.

Haikal membuka matanya perlahan-lahan sebelum melihat Aqil, Tan Sri Mansur dan Shofwah yang menutupi wajahnya dengan purdah hitam seperti biasa. Rose yang berada di dalam bilik Rina tidak ikut keluar kerana Rina sempat melarangnya keluar. Rina tidak mahu Aqil dan Tan Sri Mansur melihatnya ketika itu kerana wanita itu mahu menjelaskan terlebih dahulu kepada Tan Sri Mansur bagaimana dia boleh berada di dalam rumah agam itu.

“Kenapa ni, bang?” Aqil cuba membangunkan Haikal yang masih terbaring di depan pintu bilik Rina. Aqil memandang sekilas ke arah Rina apabila melihat Haikal merenung tajam wanita itu.

“Kau…jangan baca lagi ayat-ayat itu.” Haikal segera berdiri dan bertindak di luar kawalan apabila tiba-tiba dia mencengkam kedua bahu Rina dengn kuat dan digoncang tubuh kurus itu berkali-kali.

“Ya Allah, kenapa dengan kamu ni Haikal? Bawa mengucap!” Tan Sri Mansur menarik Rina ke belakang sementara Aqil menarik Haikal menjauhi Rina.

“Kau nasihat isteri kau jangan baca al-Quran lagi pagi-pagi buta macam ni! Dia dah ganggu tidur malam aku.” Haikal menolak Aqil yang memeganginya sebelum masuk semula ke dalam biliknya. Tidak sampai beberapa saat Haikal keluar semula menuruni anak tangga tanpa berkata apa-apa kepada mereka yang berada di situ.

“Haikal! Kamu mahu ke mana tu?” Tan Sri Mansur memanggil Haikal dengan sangat kuat apabila Haikal tidak berhenti melangkah. Tan Sri Mansur juga segera berlari turun ke bawah bagi mengejar Haikal yang sedang marah itu.

“Rina okay?” Aqil memandang Rina yang kelihatan terkejut apabila wajah itu pucat lesi. Aqil sempat terpandangkan seseorang di dalam bilik tidur Rina. Adakah dia salah melihat? Siapakah wanita yang berada di dalam bilik Rina itu.

“Sampai bila kita perlu sembunyikan identiti Rina lagi? Aqil lihat kemarahannya? Bagaimana jika dia mendapat tahu bahawa Rina ini adalah Rina Altafunisa bukan Shofwah?” Rina bersuara lemah. Rina tidak tahu harus berbuat apa di dalam keadaan sekarang itu. Dengan langkah yang lemah Rina masuk semula ke dalam biliknya dan menutup pintu dengan rapat.
Aqil menyusuli Tan Sri Mansur yang berada di hadapan pintu rumah melihat kereta Haikal yang dipandu laju berlalu dari kawasan rumah mereka. Semua orang sudah terbangun dengan teriakan Haikal yang tiba-tiba itu. Entah kemanakah agaknya abang angkatnya itu pergi pagi-pagi buta seperti ini.

“Bagaimana keadaan Rina, Aqil?” Tan Sri Mansur bertanya apabila mereka sudah masuk ke dalam rumah semula.

“Dia terkejut saja papa, insyaAllah dia baik-baik saja.” Aqil menjawab perlahan.

“Sofi, pergilah naik ke atas lihat keadaan Rina.” Tan Sri Mansur memberi arahan kepada Mak Sofi untuk melihat keadaan menantunya.

“Aqil rasa ada seseorang di dalam bilik Rina ketika ini.” Aqil memberitahu apa yang baru dilihatnya sebentar tadi.

“Siapa?” Setentak Tan Sri Mansur dan Mak Sofi bertanya. Siapakah yang berada di dalam bilik Rina ketika itu sedangkan Rina tidak mempunyai kenalan lain selain daripada mereka.

“Entahlah, mungkin Rina akan jelaskan pada kita sewaktu bersarapan.” Aqil juga mengjungkitkan bahu. Tan Sri Mansur mengangguk tanda mengerti dan menyuruh Mak Sofi menyediakan sarapan pagi buat mereka sekeluarga.

“Papa rasa sudah tiba masanya kita beritahu identiti Rina yang sebenarnya kepada Haikal. Papa rasa ini yang terbaik sebelum terlambat.” Tan Sri Mansur berkata tiba-tiba sewaktu mereka duduk di ruang tamu sambil berfikir kejadian sebentar tadi.

“Papa yakin abang akan melayani Rina dengan baik? Papa lihat tadi kemarahan abang, bagaimana jika abang mengetahui bahawa selama ini perempuan yang dianggap Shofwah itu adalah Rina?” Aqil tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Mansur yang tiba-tiba itu.

“Aqil, cepat atau lambat pasti Haikal akan dapat tahu juga. Papa akan lindungi Rina daripada kemarahan Haikal. Kamu jangan risau.” Tan Sri Mansur menepuk bahu Aqil lembut sebelum bangun dari duduknya berlalu naik ke atas.

Aqil mengeluh. Dia tidak dapat membayangkan keadaan itu tiba saat Haikal mengetahui bahawa wanita berpurdah itu adalah Rina Altafunisa. Semoga ketika saat itu tiba dia berada di sana untuk melindungi wanita itu. Aqil berdoa penuh pengharapan kepada Allah agar melindungi Rina Altafunisa.

Share this novel

Cek Dah
2020-10-16 09:01:17 

I had feel Aqil will ended up dgn Rose. Semoga Aqil dgn Rose, Aqil pun mesti ada happy ending dia sendiri


NovelPlus Premium

The best ads free experience