Bab 14
Dia turut membawa senapang yang digayut kemas di belakangnya sementara parang pendek tersisip dipinggang. Amalina membawa beg sandang berisi minuman dan makanan. Kamera tersangkut di bahunya. Sepanjang perjalanan menyusuri tebing, mereka tidak menemui apa-apa binatang pun. Aneh, kawasan itu sungguh lengang, seolah-olah tiada kehidupan.
“Mengapa tak dengar suara burung ataupun monyet kat sini?” Tanya Amalina sambil memandang ke arah pokok besar yang tinggi menjulang ke langit.
Leo tidak menjawab. Dia hanya mengangkat bahu. Tiba-tiba dia berhenti melangkah. Amalina hampir-hampir melanggar tubuhnya.
“Lain kali kalau nak berhenti beritahulah! Jangan berhenti mendadak macam tu!” kata Amalina bagaikan memberi amaran.
“Shhh!” bisik Leo sambil meletakkan jari telunjuknya di atas bibir.
Amalina memasang telinga. Dia menanti apakah yang bakal muncul. Mereka masih berada di tepian sungai. Semak samun yang baru mereka tempuhi di belakang kian tinggi sehingga ke paras pinggang.
“Kenapa?”
“Tengok sana!” tunjuk Leo ke arah sungai. Di tengah-tengah sungai kelihatan berpuluh-puluh ekor itik liar sedang berenang dengan bebas.
“Cantiknya!” seru Amalina sambil mengangkat kameranya.
Amalina tidak tahu apakah mereka akan tiba ke destinasi tepat pada waktunya. Dia memerhati jam di pergelangan tangan. Hampir pukul dua belas tengahari, bermakna sudah lima jam mereka berjalan.
“Kita berhenti makan tengahari kat sini,” cadang Amalina.
Leo memanjat bukit dan menunjuk ke arah sebatang pokok tumbang yang ada di situ.
Mereka boleh makan sambil duduk di atas batang yang tumbang menyembang bumi. Itu lebih baik daripada duduk di atas tanah.
Di hutan ini di mana-mana sahaja menjadi habitat binatang samada yang merbahaya ataupun tidak. “Jangan sesekali kata tiada apa-apa di sesuatu tempat. Binatang pun pandai menyamar. Contohnya di tempat seperti ini,” kata Leo semasa mereka sama-sama menikmati sandwich sardin yang sempat dibuat oleh Amalina pagi tadi.
“Kau tengok daun-daun yang terdampar di atas tanah ni,” kata Leo lagi sambil menunjuk dengan jari telunjuknya. “Dalam daun-daun ni pun ada binatang merbahaya, yang boleh menggigit dan melepaskan bisanya ke dalam tubuh manusia.”
Amalina mengulum senyum, menyembunyikan rasa kagumnya.
“Kau tak percaya? Kau tentu tahu pasal kala jengking kan?”
“Ya.” Amalina menganggukkan kepalanya.
“Jala jengking biasanya menyorokkan diri di dalam lubang, di bawah daun-daun dan sampah sarap atau di bawah batu besar.”
Amalina terjerit apabila terasa ada sesuatu bergerak-gerak begitu hampir dengan kakinya. Leo mentertawakan Amalina apabila terlihat seekor katak berwarna kelabu kehitaman melompat keluar dari celahan dedaun yang terdampar di atas tanah.
“Katak,” beritahu Leo sambil mentertawakan Amalina.
“Bukannya kala jengking. Lagipun ia tak aktif pada waktu siang.”
“Kau memang sengaja nak menakut-nakutkan aku. Kala memang binatang yang aku paling ngeri. Aku geli sebenarnya melihat cara ia berjalan. Ekornya dilentikkan ke atas kepala.”
Leo merenung Amalina. Dilihatnya pagi itu Amalina begitu ceria. Hajatnya untuk merakam gajah mungkin akan jadi nyata. Itulah yang membuat wajah Amalina tidak langsung menunjukkan riak keletihan biarpun sudah hampir lima jam mereka berjalan kaki.
Mereka meneruskan perjalanan setelah makan dan berehat sebentar.
“Aku terlupa la,” kata Leo seolah-olah kesal. “Kita tak bawa tali tadi. Boleh terus panjat, tapi lebih selamat ada tali. Kalau-kalau jatuh macamana?”
“Tawakal ajalah. Baca bismillah, insya Allah selamat!”
Dia sebenarnya sudah tidak berdaya akibat menempuh perjalanan yang jauh itu. Peluh memercik dari seluruh tubuhnya. Baju kemeja yang dipakai sudah basah lejut. Beg sandang berisi air dan makanan terasa kian berat. Rasanya seperti ingin dicampakkan sahaja beg itu ke bawah.
Dia memerhati ke belakang, ke arah jejak yang sudah ditinggalkan. Terasa mereka berada di tempat yang semakin tinggi. Tidak lama kemudian sampai jua ke tanah yang lebih lebih rata.
“Lega….” keluh Amalina sambil mencari tempat untuk duduk.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Amalina juga sudah tertarik dengan Leo?
Share this novel