Delaila berdiri di balai ketibaan KLIA, memeluk beg tangan sambil merenung jam di pergelangan. Wajahnya jelas tidak puas hati. Sudah hampir dua jam pesawat mendarat, namun Farez masih belum muncul. Kalau sebelum ini, bayang lelaki itu sudah terpacak sebelum dia sempat keluar dari pintu ketibaan. Tapi malam ini — sepi.
Saat dia hampir melangkah keluar untuk menaiki teksi, kelibat Farez muncul, tercungap-cungap seperti baru lepas berlumba maraton.
“Maaf Del… Riz lambat. Kereta pancit tadi.” ucap Farez, mendahului segala soal jawab.
Belum sempat Delaila menjawab, Farez cepat-cepat mencapai beg tariknya dan sebelah tangan cuba merangkul pinggangnya.
“Eh, apa ni? I rimas la. Penat tahu tunggu Riz. Semua orang pandang I semacam. Riz kan tahu I tak suka lelaki yang tak tepati masa. I dah bagi schedule flight, kan?”
“Maaf Del, sungguh Riz tak sengaja. Riz janji lain kali tak jadi macam ni lagi.” pujuknya, lembut.
Delaila akhirnya mengalah. Dia mengurut pergelangan kakinya sambil merungut perlahan. “Kaki Del sakit tau berdiri lama-lama.”
“Nanti Riz urutkan ya. Jangan marah-marah. Riz rindu Del.” rayu Farez, sekali lagi cuba memujuk.
Sepanjang perjalanan, Delaila lebih banyak diam. Letih, mungkin. Dua belas jam dalam pesawat membuatkan tubuhnya merayu rehat. Baru sahaja matanya hampir terpejam, suara Farez memecah sunyi.
“Riz rancang nak hantar rombongan meminang bulan depan.”
Mata Delaila yang tadi layu tiba-tiba membulat.
“Serius, Riz?”
Farez hanya mengangguk perlahan, tersenyum.
“Riz... I rasa tak perlu tunang-tunang. Kita terus nikah je. I pun tak nak majlis besar-besar. Cukuplah akad dan kenduri kecil-kecilan. I nak tebus silap I...” ucap Delaila tenang, tetapi dalam hatinya bergelora.
Usia kandungannya sudah mencecah tujuh minggu. Dia tahu masanya makin suntuk. Jika dia tidak mempercepatkan perkahwinan, perutnya akan mula menonjol dan segalanya akan terbongkar.
Farez terpaku seketika, tetapi kemudian senyumannya melebar. “Del, Riz bersyukur sangat. Riz janji akan jaga Del sebaik mungkin.”
Delaila membalas senyuman itu, tetapi di dalam hatinya bergema monolog yang penuh rahsia.
Maafkan aku Riz. Aku terpaksa menipu demi menjaga maruah diri dan keluarga. Kalau kau tahu kebenarannya… tentang anak dalam rahim ini… kau mungkin akan pergi jauh. Tapi aku tak sanggup menggugurkannya. Maafkan aku…
________________________________________
Malam itu, Delaila tidak mampu melelapkan mata. Jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Fikiran bermain-main dengan kemungkinan — bagaimana jika selepas berkahwin perutnya semakin membesar? Mampukah dia terus menipu?
Dia perlu pastikan Farez tidak mengesyaki apa-apa. Dan satu-satunya cara yang dia tahu — ialah membuat Farez ‘memiliki’ dirinya sebelum mereka bernikah.
Dia capai telefon bimbitnya dan menghubungi Farez.
“Hello sayang, Del rindu Riz…”
“Del? Riz pun rindu Del. Esok Del tak fly kan? Esok kita jumpa ya.”
“Malam ni boleh tak? Del tak boleh tidur. Del rindu sangat. Nanti Del jemput Riz pakai kereta papa. Please…”
“Tapi… dah lewat ni Del. Apa kata orang nanti?”
“Alah Riz, kita kat KL la. Malam pukul 10 ni macam baru lepas Maghrib. Okay sayang, Riz siap-siap ya.”
Tanpa menunggu jawapan, Delaila terus menamatkan talian. Dia tak mahu memberi Farez masa untuk menolak.
Delaila membuka almari. Baju paling menggoda disarung perlahan. “Maafkan aku Riz. Malam ini, kau harus yakin bahawa aku milikmu.”
________________________________________
Delaila menjemput Farez dengan BMW milik papanya. Sewaktu Farez melangkah masuk ke dalam kereta, dia sempat memuji:
“Cantiknya Del malam ni…”
Delaila tersenyum manja. “Del keluar dengan Riz, mestilah kena tampil cantik. Biar Riz tak lari.”
“Kita nak ke mana malam-malam ni?”
“Tengok wayang nak? Last show. Kita jarang keluar kan…”
Farez hanya mengangguk. Mereka memandu menuju ke pusat bandar.
Filem tamat sekitar jam dua pagi. Mata Farez sudah layu, mengantuk bukan kepalang.
“Del lapar… kita makan ya?” Delaila bersuara manja.
Walau letih, Farez hanya menurut. Malam itu, dia turuti segalanya — asalkan Delaila bahagia.
Usai makan, jam menunjukkan pukul tiga pagi. Farez mengeluh perlahan.
“Del, kita balik ya. Riz tak tahan dah ni.”
Delaila hanya tersenyum nakal, lalu mengambil kunci dari tangan Farez.
________________________________________
Kereta dipandu perlahan menelusuri jalan sunyi.
“Riz… Riz sayang Del tak?” soal Delaila sambil menjeling.
“Sayang sangat. Riz sanggup buat apa saja untuk Del.”
“Betul? Buktikan...”
Satu kucupan hangat singgah di bibir Farez.
Dan malam itu, dalam kereta yang sunyi, mereka tenggelam dalam gelora nafsu.
________________________________________
Farez terjaga tiba-tiba. Nafasnya sesak. Dadanya berombak.
“Ya Allah… apa aku dah buat?”
Delaila hanya memandang wajah kekasihnya yang sugul. “Del minta maaf Riz… Del sayang Riz sangat.”
Farez hanya mampu menunduk. Tidak sanggup menatap wajah sendiri. Dosa besar telah berlaku.
Di dalam kereta yang makin hampir ke rumah, dua hati bergerak dalam arah berbeza.
Farez – menyesal dan terhukum.
Delaila – tersenyum lega, kerana jeratnya mengena.
Share this novel