Bab 8

Romance Series 297502

CELIK saja mata, wajah Hayl menjadi tatapan kornea matanya.

“Good morning sayang.” Hayl tersenyum sambil menatap wajah isterinya itu.

“Morning,” balas Aileen. Matanya yang masih mengantuk itu digosok-gosok perlahan.

“Sayang okay? Ada rasa sakit dekat mana-mana tak?” soal Hayl prihatin. Sejak kejadian Aileen pengsan ketika majlis resepsi mereka tempoh hari, dia sangat mengambil berat tentang kesihatan isterinya itu.

“Leen okay.” Aileen menolak selimut. Dia bangun daripada pembaringannya.

“Abang dah mandi ke?” soalnya.

Hayl mengangguk. “Dah. Leen pergilah mandi dulu. Lepas tu kita solat subuh sama-sama.”

“Hmm.” Aileen mengangguk.

“Abang dah ada wuduk ke?” soalnya. Mula terlintas idea nakal di fikirannya.

“Dah.” Hayl mengangguk. Tak tahu isterinya itu merancang sesuatu.

Cup! Pipi Hayl dicium tanpa rasa bersalah.

“Sayang...” Hayl terkedu. Patutlah Aileen tanya dia ada wuduk atau tidak tadi. Rupanya Aileen nak kenakan dia.

Aileen terkekeh-kekeh ketawa. Dia cepat-cepat melarikan diri ke kamar mandi. Takut kalau Hayl kejar dia.

Hayl menggeleng perlahan. Hujung bibirnya ternaik sedikit. Dia akui semakin lama hidup bersama dengan Aileen, dia semakin sayangkan isterinya itu. Cuma terkadang dia masih saja fikirkan tentang Dhia. Dan setiap kali itu juga Hayl akan merasa bersalah. Setiap kali dia teringatkan Dhia, setiap kali itulah dia tahu yang dia sudah menggores luka di hati Aileen.

HARI minggu begini mereka tidak kemana-mana. Cuma menghabiskan masa di rumah. Aileen datang daripada dapur membawa buah mangga yang sudah siap dipotong.

“Makan abang.” Pinggan berisi buah mangga itu diletakkan di atas meja kopi berhadapan dengan sofa di mana Hayl duduk.

“Thank you sayang. Susah-susah je.”

“Tak susahlah. Bukannya Leen pergi petik buah mangga tu,” selorohnya. Duduk dilabuhkan di sebelah Hayl.

Hayl ketawa kecil. Dirangkul pinggang isterinya itu.

“Sayang nak keluar tak hari ni?” soalnya. Hayl memang lebih suka menghabiskan masa di rumah saja waktu cuti. Tapi dia kesian dengan isterinya itu. Takkan nak terperuk dalam rumah je. Aileen pun mesti teringin nak keluar jalan-jalan.

“Leen tak rasa nak keluar hari ni,” balas Aileen. Dia memang suka berjalan tapi ikut mood juga. Kalau waktu malas tu, memang terperuk di rumah sajalah.

“Kalau sayang nak keluar, beritahu abang.” Rambut Aileen dielus perlahan.

“Hmm.” Aileen mengangguk.

“Abang, Leen nak tanya sikit boleh?” soal Aileen.

“Apa dia?”

“Abang pandai melukis kan?” Dah lama dia nak tanya soalan tu pada Hayl tapi belum jumpa masa yang sesuai.

Hayl terdiam seketika. Rasanya dia tak pernah cerita pada Aileen yang dia ada bakat melukis.

“Mana sayang tahu?” soal Hayl kembali.

“Adalah. Jawablah cepat, abang pandai melukis kan?”

“Ya. Tapi tu dulu. Abang dah lama tak melukis.”

“Oh. Kenapa?” tanya Aileen lagi. Walaupun dia sudah tahu jawapannya dia tetap mahu mendengar sendiri daripada mulut suaminya itu.

Hayl menghela nafas perlahan. “Kalau abang cerita, sayang jangan kecil hati ya.”

Aileen menggeleng. “Taklah. Leen okay je.” Di malam pertama perkahwinan mereka Hayl mengakui yang dia masih mencintai bekas kekasihnya, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan yang ini. Hati Aileen seakan sudah kebal.

“Dulu abang selalu lukis gambar Dhia. Dan Dhia pun selalu minta abang lukiskan gambar dia. Tapi lepas kami berpisah, abang berhenti melukis. Sebab setiap kali abang pegang berus, abang nampak bayangan Dhia.”

Aileen mengangguk perlahan. Dia benar-benar cemburu dengan wanita itu. Terlalu hebat cinta Hayl padanya. Dhia memang sangat beruntung. Dan sehingga kini Hayl masih hidup dalam bayangan Dhia.

“Kenapa tiba-tiba sayang tanya?” soal Hayl hairan.

“Saja. Kalau Leen nak minta abang lukiskan gambar Leen pula boleh? Leen nak abang lukiskan gambar Leen banyak-banyak.”

Hayl terdiam. Berat hatinya nak menunaikan permintaan isterinya itu. Lagipun sudah lama dia tidak memegang berus lukisan.

“Bolehlah abang. Please...” pujuk Aileen bersungguh. Lengan Hayl digoyang-goyangkan.

“Abang minta maaf sayang. Abang rasa abang tak boleh nak melukis lagi. Abang dah lama tak pegang berus.”

Aileen terus melepaskan lengan Hayl. Merajuk! Dia mahu bangun daripada duduknya tapi Hayl lebih pantas menarik pergelangan tangannya.

“Kita keluar pergi beli barang-barang lukisan.”

Terus berubah riak wajah Aileen. Terbit senyuman di bibirnya.

“Jom!”

KANVAS kosong dan wajah sang isteri yang tersenyum manis dipandang bersilih ganti. Detak jantung mula berdegup laju.

“Abang boleh!” Aileen memberi semangat.

“Tapi kalau lukisan ni tak jadi, macam mana?”

Aileen ketawa. Alahai... Comelnya!

“Takpalah kalau tak jadi pun. Leen tetap cantik dekat mana abang kan?”

Terbit senyuman di bibir Hayl. Hilang terus wajah gusarnya tadi.

“Cepatlah abang... Pipi Leen dah kejung ni. Penat nak senyum,” gesa Aileen. Sudah lebih kurang 20 minit Hayl tatap kanvas kosong itu. Tangannya tak bergerak-gerak daripada tadi.

Hayl menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Berus lukisan di tangan mula dicalitkan ke palet yang sudah diletakkan cat minyak. Tangannya mula bergerak laju. Menari-nari jari-jemarinya di atas kanvas kosong itu sambil memandang wajah si isteri di hadapannya.

“Dah siap ke abang? Leen nak tengok boleh?” soal Aileen membawa Hayl kembali ke alam realiti.

Hayl tersentak melihat lukisan yang sudah siap dilukis itu. Bukan wajah Aileen tetapi Dhia! Ya, wajah Dhia yang dilukisnya. Wajah Aileen yang menjadi tatapannya tadi tetapi wajah Dhia pula yang muncul di minda.

“Abang?”

“Err... Abang minta maaf sayang. Lukisan ni tak jadi. Abang lukis semula ya?”

“Nak tengok,” pinta Aileen.

“Tak boleh. Lukisan ni tak cantik. Biar abang yang lukiskan yang baru.”

“Takpalah. Biar Leen tengok.” Aileen bangun daripada duduknya dan berjalan menghampiri Hayl.

Hayl terus menutup lukisan itu daripada pandangan mata Aileen. Tidak mahu Aileen terluka melihat lukisannya itu.

“Biar abang lukiskan yang baru.” Serius kedengaran suara Hayl.

Aileen tak jadi mendekat. Hayl malu sangat ke sebab lukisan dia tak jadi? Apa salahnya kalau dia tengok pun. Lagipun normal lah kalau lukisan Hayl tak jadi. Ya lah, dia pun dah lama tak melukis kan.

Hayl angkat kanvas itu lalu dibawa keluar daripada bilik mereka cepat-cepat. Aileen tak boleh tengok lukisan ni.

Aileen cuba memujuk hati sendiri. Mungkin ada sebab mengapa Hayl tidak mahu menunjukkan lukisan itu kepadanya.

Beberapa minit kemudian, Hayl datang kembali bersama kanvas kosong yang baru. Mujurlah tadi dia beli banyak kanvas.

“Abang lukiskan yang baru untuk sayang ya. Abang minta maaf.”

Aileen mengangguk tanpa sepatah kata. Dia duduk kembali di tempat asalnya. Senyumannya sudah tidak semekar tadi.

Hampir sejam kemudian, lukisan Hayl siap. Kali ini wajah Aileen yang dilukisnya.

“Dah siap sayang.”

“Boleh Leen tengok?” soal Aileen meminta kebenaran.

Hayl mengangguk. “Come,” panggilnya.

Aileen terus bangun daripada kerusi dan mendapatkan Hayl. Bersinar matanya saat melihat lukisan wajahnya itu. Cantik! Cantik sangat. Dia tak sangka suaminya itu berbakat besar.

“Cantiknya. Leen suka.”

Hayl tersenyum sama. “Tapi abang rasa lukisan ni kosong.”

“Kosong?” Kening Aileen terangkat.

“Hmm kosong. Mungkin sebab senyuman isteri abang ni dah tak macam tadi.”

“Sorry. Pipi Leen dah kebas nak senyum lebih-lebih.”

Hayl ketawa. “Sorry sayang. Now, bagi abang senyuman paling manis yang sayang ada.”

Perlahan-lahan bibir Aileen melorek senyum. Hayl terus menarik Aileen ke dalam pelukannya. Melihat wajah Aileen membuatkan dia disulam rasa bersalah
Rasa bersalah kerana masih tidak mampu melupakan cinta lamanya walaupun dia sudah berkahwin dengan Aileen.

AILEEN menekup mulutnya saat melihat lakaran di kanvas yang diletakkan di dalam bilik stor itu. Inilah lukisan yang Hayl kata tak jadi tu. Bukan tak jadi. Cantik saja lukisan itu. Tetapi bukan wajah Aileen yang dilukisnya.

Dhia...

Kolam mata sudah tidak tertampung. Air matanya terus mengalir laju tanpa isyarat. Sesak dadanya menahan rasa. Hatinya bagai disobek-sobek.

Aileen mengambil kanvas itu lalu dibawa keluar daripada stor. Puas juga dia cari kanvas ini. Rupanya Hayl menyimpannya di sini. Patutlah lelaki itu sebolehnya tidak mahu dia melihat lukisan ini. Rupanya wajah Dhia yang dilukisnya.

Kanvas itu dibawa keluar daripada rumah. Aileen terus mencampakkan kanvas itu di atas tanah. Wajahnya basah dengan air mata yang tak tertahan.

“Kenapa? Kenapa Hayl masih ingat pada kau? Aku! Aku isteri dia! Aku yang selayaknya dia cinta. Bukan kau!” tempiknya dengan esakan yang semakin menjadi-jadi.

Akhirnya Aileen terduduk lemah di situ. Terhinggut-hinggut bahunya melepaskan tangisan. Dadanya dicengkam kuat.

Silapnya. Silapnya kerana mencintai lelaki yang masih belum selesai dengan masa lalunya. Dan akhirnya dia yang terpaksa menelan segala luka ini...

Share this novel

Hashim
2023-03-11 10:59:54 

sampai satu detik nanti pintu hati Leen tertutup untuk hayl masa sangat lah terlambatnya kan nak nyesal nangis bucu katil lah kot hayl ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience