2 Sah

Romance Completed 606745

HAZURA mengalirkan air mata sebaik sahaja lafaz ikatan itu usai diungkapkan oleh seulas bibir yang kini sah menjadi imam untuk dirinya.  Air mata itu mengalir bukan  kerana merasa terharu atau bersyukur seperti pasangan-pasangan pengantin yang lain melainkan disebabkan rasa sedih dan kecewa dengan perjalanan hidupnya sahaja. Wajah sayu dua orang insan yang begitu bererti di dalam hidupnya dipandang penuh, dan ketika itu, wajah itu jugalah yang terlihat paling terluka.

Hazura kembali menunduk di dalam esakan ketika sebentuk cincin disarungkan pada jari manisnya, ketika satu kucupan palsu singgah pada dahinya.  Dia tahu, semua itu hanya sandiwara di hadapan tok kadi semata-mata.  Tangan kasar imamnya itu dicium perlahan dan singkat tanpa menoleh pandang ke arah pemiliknya.  Hari yang seharusnya menjadi detik-detik paling membahagiakan dan bersejarah buat para wanita, namun hanya suram tanpa apa-apa makna buat Hazura, apatah lagi majlis itu hanyalah dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pengantin sahaja dan bilangan yang hadir cukup terhad. Bahkan, tiada langsung senyuman dan riak kegembiraan pada setiap wajah.

Selesai upacara akad nikah, masing-masing mula berebutan pulang. Begitu juga dengan Syed Ibrahim dan isterinya. Langsung tidak bertegur sapa dengan kedua-dua orang besannya lagi. Hanya sepatah dua kata sahaja yang dibualkan. Jika tidak ada hal penting, masing-masing akan membekukan mulut.

"Ayah, ibu..." Hazura terus menjatuhkan tubuh ketika hanya mereka yang tersisa di situ. Hanya mereka bertiga, kerana Tuan Hayrill Iskandar juga sudah duluan pergi tanpa berpamitan jauh sekali bersalaman atau menyapa kedua-dua orang mentuanya.

"Mulai dari hari ini, anak aku dah mati! Dah mati! Kamu bukan anak aku lagi, Hazura! Kamu pergilah ikut jantan yang dah tidur dengan kamu tu!" terketar-ketar ayat itu ditekan mati oleh mulut tua Harun. Bahkan, menoleh pada wajah bekas anak kesayangannya itu pun dia tidak sudi. Tingkahnya sama sahaja seperti Rasma. Masing-masing sudah bertekad untuk membuang anak kesayangan yang telah sanggup menconteng arang pada wajah mereka.

"Ayah, Haz minta ampun. Haz tak buat semua tu. Kami diperangkap. Kami..."

"Aku susah payah kerja setengah mati kat bendang tu sebab nak sekolahkan kamu, Hazura! Aku sekat perut aku dengan mak kamu ni sebab nak bagi kamu jadi manusia yang berguna, yang bermaruah. Macam ni cara kamu balas pengorbanan kami. Kenapa kamu tak minta dengan aku kalau betul kamu perlukan duit? Kenapa sampai sanggup nak...buat kerja terkutuk tu?! Mana pergi maruah kamu, Hazura?! Sekarang ni, aku nak kamu pergi! Pergi ikut jantan dan manusia-manusia yang jauh lebih senang dan kaya-raya dari kami ni. Kamu pergi! Aku haramkan kamu jejakkan kaki kamu ke sini lagi. Anak aku yang bernama Hazura dah mati. Pergi!!!" Harun menghalau dalam kesakitan dada yang keterlaluan.  Suaranya semakin terketar-ketar ketika air mata tuanya kian lebat berjuraian ke pipi.

"Ayah, ampunkan Haz ayah.  Haz tak buat semua tu.  Haz..."

"Berambus dari sini, Hazura.  Bawa semua barang-barang kamu.  Jangan tinggalkan walau satu pun.  Kalau tak, aku akan bakar!" Harun meraup wajah sebelum terus berlalu meninggalkan manusia yang tidak seharusnya lahir ke dunia jika tahunya hanya memberi malu kepada orang tua sahaja.

"Ibu, tolong Haz, bu. Haz tak buat semua tu. Tolonglah, percayakan Haz, bu." kaki Rasma dipeluk erat, jika perlu dicium pun dia sanggup asalkan ada secebis kemaafan buat dirinya sahaja.  Dia tidak perlukan apa-apa, cukuplah jika sekadar Tuhan mengembalikan kedua-dua orang tuanya seperti yang dulu.

"Pergilah Hazura, pergi. Ibu minta maaf. Pergi.  Anak ibu...anak ibu....dah mati." tidak kuat untuk hati seorang ibu itu menghalau, namun aib yang telah diwujudkan oleh anaknya itu juga dirasa amat memalukan. Dia menepis segala sentuhan Hazura, sebelum ikutan berlalu meninggalkan anak itu di ruangan tamu, membiarkan anak itu merangkak hina di atas lantai.

Bubbb Bubbb!

Belum sempat Hazura beralih mahupun mengangkat wajah, sebuah beg besar yang terisi dengan pakaian dan barangan peribadinya terus dilontarkan ke luar.  Tidak perlu mencari tahu siapa pelakunya kerana jawapan itu sememangnya sudah jelas.

"Jangan berani tunjukkan muka kamu depan kami lagi.  Pergi!" Dengan seluruh tenaga tua yang dia punya, tubuh Hazura terus ditarik kuat  sebelum ditolak tanpa belas ke luar rumah.  Rasma hanya mampu mengalirkan air mata ketika melihat kesakitan anaknya juga amukan suaminya.  Tidak tahu mahu berpihak kepada siapa, tetapi yang pasti hatinya juga benar-benar hancur dengan perbuatan Hazura.

"Ayah...ampunkan Haz, ayah.  Ibu! Haz tak buat.  Haz minta ampun ayah." Hazura terduduk bersama raungan pilu di hadapan pintu rumah yang sudahpun bertutup rapat itu.  Dia melaung simpati dan pengertian daripada kedua-dua orang tuanya.  Tidak cukup dengan itu, pintu kayu itu juga diketuk berkali-kali.  Namun, tetap sahaja sama tiada bezanya.  Hakikat tetap hakikat biar terlalu sakit untuk dihadam.  Kini, dia sah menjadi seorang anak buangan.

************

"Woi, kau okey tak?" Hazura tersentak ketika bahunya ditepuk agak kuat oleh tangan seseorang. Serentak dengan itu juga, air matanya terus dikesat kasar. Satu senyuman pahit ditayangkan, biar bibir merahnya terasa amat tegang sekali. "Kau ada masalah ke, Haz? Dua tiga hari ni, aku tengok kau selalu termenung dan...sorang-sorang. Mana pergi sahabat-sahabat sejati kau tu? Korang bergaduh ke?" Hafiz menyoal hairan sebaik sahaja melabuhkan punggung di sisi wanita itu.

"Aku...okey. Kami...macam biasa je cuma, aku yang sibuk sikit. Kau tahu kan, sebulan dua lagi final exam kita. Aku nak fokus, aku nak...dapat keputusan yang cemerlang. Aku nak cari kerja yang boleh dapat gaji besar, aku nak...aku nak...buktikan pada ibu dan ayah aku yang aku boleh buat mereka berbangga dengan kejayaan aku. Aku..." wanita itu tewas dengan rasa sebaknya. Bersimpul-simpul air mata mula membasahi pipi halusnya. Hafiz yang sedang ralit mendengar luahan hati Hazura lantas menjadi tercengang.

"Haz, kau..."

"Aku rindukan ayah dengan ibu, Fiz. Aku rindu mereka sangat-sangat.  Dah berbulan-bulan aku tak balik kampung." kian berbalam-balam pemandangannya saat itu, kerana sepasang mata yang dia punya semakin penuh digenangi dengan cecair-cecair jernih.  Sebak dirasa setiap kali mengingati kejadian pilu beberapa bulan lepas.  Kali terakhir menjejakkan kaki ke kampung halaman saat berlangsungnya majlis perkahwinan tanpa relanya.  Sedar tak sedar, sudah tiga bulan masa berlalu dan selama tiga bulan itu jugalah dirinya sudah dianggap anak yang sudah mati, tidak lupa juga seorang isteri tiri, isteri yang tidak dianggap.  Kali terakhir bertentang mata dengan suaminya juga ketika di kampung tempoh hari, setelah itu tiada langsung khabar daripada lelaki itu.  Hanya nafkah sahaja yang diterima setiap bulan.  Nafkah atas niat apa, Hazura tidak tahu.  Malah, Fatin dan Fatiya juga sama.  Tiada langsung sapaan mahupun senyuman daripada mereka.  Masing-masing berpakat untuk menjauh.  Seolah-olah ketiga-tiga mereka tidak pernah langsung mengenali sesama sendiri.

"Masa...kita cuti hari tu, kau tak balik ke?" soal Hafiz yang semakin sahaja terpinga-pinga. Dia tahu, banyak hal yang disembunyikan oleh wanita itu.  Dari cara Hazura mengelamun, tersenyum.  Semua itu sudah dihafal benar.

"Aku nak fokus study, lagipun..ayah dan ibu memang tak benarkan aku balik. Mereka nak aku fokus untuk final exam ni. Errr... Maafkan aku, emo sikit tadi." dalih suara halus itu sebaik sahaja kembali ke dalam alam realiti. Bibir yang mencebik sedih itu tadi spontan dimaniskan semula namun tetap sahaja terlihat sangat hambar. Tiada seorang pun yang tahu cerita dukanya, walau Hafiz sekalipun. Insan itu yang selalu ada bersamanya di saat suka dan duka dan tiada seorang pun yang tahu bahawa dirinya kini seorang wanita yang sudah bergelar isteri selain daripada Fatin dan Fatiya.

"Oh, tak apalah. Tak lama lagi, kau boleh je balik. Dua bulan lebih je lagi. Tak lama. Kau...sabar ya, Haz. Jangan sedih sangat, nanti kau susah fokus."

"Thanks Fiz, kau...selalu ambil berat pasal aku." ucap Hazura sebak.  Jika tiada Hafiz sudah pasti harinya semakin kesunyian.  Tidak ramai yang sudi berkawan dengan anak miskin sepertinya.  Hanya Fatin dan Fatiya sahaja namun kini semua itu sudah berbeza.

"Sama-sama. Kita bukan orang lain juga kan, aku sayangkan kau Haz. Tak naklah sedih-sedih. Jom, aku belanja kau abc." Hafiz bangkit dari duduknya, cuba mengumpan Hazura dengan dessert kegemarannya itu.

"Betul ke, kau belanja?" soal Hazura sambil tersenyum.  Sudah lama dia tidak memanjakan perut.  Makannya juga seringkali bersekat kerana mahu berjimat.  Saat ini dia hanya mampu mengharap pada nafkah yang dikirimkan oleh suaminya setiap bulan sahaja, malah dalam seminggu adakalanya dia tidak menjamah nasi langsung.

"Pernah ke aku tipu kau? Satu benda pun aku tak pernah sembunyi dari kau, Haz. Ke kau yang ada berahsia dengan aku?" Hafiz menduga dengan senyuman sinis.

"Errr...ma...mana ada. Memandai je!"

"Baguslah kalau tak ada.  Dah, jom."

*********

SYED IBRAHIM berdiri sambil menghela nafas.  Bibir tua itu menayang senyuman sinis ketika sedang menatap gambar seseorang melalui skrin telefon bimbit yang dihulurkan oleh orang suruhannya tadi.  "Celaka punya perempuan, berani kau bodohkan anak aku!  Kau tunggu apa yang aku akan buat!"  Dia kembali melabuhkan punggung seraya melonggarkan ikatan tali lehernya sedang otak pula ligat memikirkan rencana apa yang harus diambil seterusnya.  "I nak you semua terus intip Hazura.  Perhatikan semua kegiatan dia, dengan siapa dia berjumpa.  Jaga dia betul-betul.  Kalau ada apa-apa yang mencurigakan, cepat-cepat bagitahu i.  Faham?"

"Faham, tuan."

"Tapi, pastikan dia tak tahu.  Pastikan kerja kamu semua ni bersih tanpa apa-apa kesan. Kalau tak, you yang kena Luqman!" tegas Syed Ibrahim.

"Saya faham, tuan."

"Bagus.  Sekarang kamu semua boleh pergi dulu.  Apa-apa hal nanti, i akan call."

"Baik tuan."

Syed Ibrahim menekan butang interkom sebaik sahaja kelibat orang-orang suruhannya menghilang.  "Nasya, suruh Hayrill masuk jumpa saya sekarang."

"Baik, tuan."

Lelaki tua itu duduk memicit pelipis sementara menunggu kemunculan anak sulungnya.  Terlalu banyak perkara yang mahu dibangkitkan dan hal yang paling terutama sudah semestinya tentang Hazura.  Walau apa yang berlaku sekalipun, perkara tentang isteri kedua anaknya itu harus diselesaikan dengan segera kerana dia tidak mahu anak tuanya itu terus-terusan menjadi mangsa kelicikan.  Lembap sungguh pemikiran Tuan Hayril Iskandar itu, umur sahaja setiap tahun semakin bertambah namun langsung tidak pandai membela diri.

Tok tok tok.

"Masuk."
Muncul figura Tuan Hayrill Iskandar sebaik sahaja diberi kebenaran masuk oleh Syed Ibrahim.  Sudah pasti dengan kerutan wajah berlapis-lapis kerana awal-awal lagi dia sudah menduga, pasti akan ada perkara membeban dan menyakitkan yang akan diutarakan oleh ayahnya itu.  Setiap perkara yang meluncur keluar dari mulut tua itu sudah pasti harus dituruti, jika tidak jangan harap yang nafasnya akan terus-terusan terhembus di muka bumi ini.

"Kenapa pa?" Tuan Hayrill Iskandar menyoal dingin.  Punggungnya terus dihenyak malas di atas kerusi berhadapan dengan lelaki berkuasa itu.

"Macam mana? Kamu dengan..."

"Pa, kami belum bersedia lagi pa.  Bukan kami tak nak pun.  Tapi tolonglah, faham! Faham keadaan saya ni macam mana.  Saya betul-betul tengah serabut sekarang ni.  Lepas satu, satu masalah timbul." Tuan Hayrill Iskandar terlebih dahulu memotong tanpa perlu menunggu Syed Ibrahim menghabiskan kata.  Bukan kali pertama ayahnya membuka topik tentang itu, bahkan setiap hari.  Semua itu memang sudah menjadi rutin harian lelaki tua itu.

"Serabut? Semua masalah tu berpunca daripada kamu sendiri, Hayrill! Cubalah bertegas! Kamu nak tunggu umur kamu sampai 100 tahun baru nak fikir semua tu?!" hilang mendadak kesabaran Syed Ibrahim dengan kelancangan anak sulungnya.  Kedegilan itu barangkali diwarisi dari baka arwah ibu kandungnya.  Ramai yang selalu bertanya, mengapa jarak umur Tuan Hayrill Iskandar dengan Fatin terlalu banyak angkanya.  Sudah pasti kerana mereka berlainan ibu.

"Bagi kami masa, pa! Saya perlukan masa."

"Kamu bukan muda lagi Hayrill.  44 tahun, sepatutnya sudah pandai berfikir.  Otak tu, pakai! Jangan simpan kat lutut.  Isteri pertama kamu tu pun dah 37 tahun dah. Nak tunggu..."

"Isteri saya ada seorang je, pa! Cuma Rashida.  Takkan ada istilah yang pertama, kedua, ketiga atau kesepuluh sekalipun!" Tuan Hayrill Iskandar laju mengerat tegas. "Saya tak minta banyak, bagi saya masa.  Tu je!" tambahnya lagi bersungguh-sungguh dan serentak dengan itu juga Syed Ibrahim terus mengeluh.

"Masa? Baik, papa boleh bagi kamu suami isteri masa.  Ambillah berapa lama masa sekalipun.  Tapi dengan syarat!"

"Syarat apa?"

"Cari dan bawa Hazura balik ke rumah kita.  Jangan lupa siapa Hazura pada kamu, Hayrill!"

"Apa? Papa...argghh! Tak kan sampai macam tu sekali, pa? Tak cukup ke RM300 yang saya bagi pada dia setiap bulan? Takkan sampai nak pergi angkut dia bawa balik rumah pula? Nanti macam mana pula perasaan Rashida?" Tuan Hayrill Iskandar laju membantah dengan keras, laju juga menggelengkan kepala berkali-kali.  Cukuplah dengan memperisterikan Hazura membuatkan isterinya itu makan hati.  Dia sudah bertekad tidak akan pernah melukakan perasaan wanita itu lagi.

Syed Ibrahim tertawa sinis lalu bangkit mendekati arah tingkap kaca.  "RM300? Beli boxer papa pun tak lepas, Hayrill.  Banyak mana nilai RM300 tu dalam kepala otak kamu? Sedangkan pada Rashida..."

"Rashida tetap yang paling istimewa dalam hati saya ni, pa.  Berpuluh ribu pun saya tak akan pernah berkira." sekali lagi Tuan Hayrill Iskandar berujar yakin dan kali ini nadanya benar-benar ditegaskan mati.

"So, macam mana dengan Hazura?"

"Macam mana apa pula, pa? Hazura tu...cuma...seorang isteri tiri.  Bila sampai masanya nanti, saya akan ceraikan dia! Kalau bukan sebab benda bodoh tu, saya takkan kahwin pun dengan dia!"

"Isteri tiri? Bijak kamu cipta simpulan bahasa sendiri, Hayrill.  Tapi sayang, dalam hal yang jauh lebih penting, tak pula otak kamu tu berguna.  Papa tak kira, Hayrill.  Sama ada kamu setuju atau tak, papa nak kamu bawa Hazura balik rumah kita.  Jangan sampai papa yang bertindak.  Kamu tahu kan, bahaya kalau dia terus bebas kat luar tu.  Bukan bahaya pada dia sendiri, tapi bahaya pada keluarga kita.  Macam mana kalau orang luar tahu pasal semua ni?  Pasal punca perkahwinan kedua kamu, mana papa nak letak muka? Sekurang-kurangnya, kita boleh perhatikan dia dari dekat.  Papa tak minta pun kamu tinggal sebilik dengan dia, cukuplah dia ada di depan mata kita.  Faham?"

"Bagi masa untuk saya bincang dengan..."

"Ini arahan, Hayrill.  Bukan pilihan! Papa nak kamu cari Hazura dan bawa dia balik ke rumah kita.  Kalau tak, papa sendiri yang akan bertindak." Tidak mampu lagi mahu melawan atau membuka mulut, Tuan Hayrill Iskandar terus bangkit lalu keluar dengan hati yang kacau dan bengang dari ruangan besar itu.

Thanks untuk komen. Muahh.

Share this novel

Siti Rohani Idris
2022-08-21 07:14:26 

300 je. tolak tambah 10 sehari. patut pun hazura berikat perut


NovelPlus Premium

The best ads free experience