Bab 10

Romance Series 59136

Tangan nenek laju membelek setiap bunga yang tumbuh mekar di kedai bunga. Pemilik dia memang rapat dengan nenek sejak hampir setiap minggu akan ke sini. Nenek senang kata si Sophia ni punya pelanggan tetap. Mana tak nya, setiap kali datang sini jer, tak pernah pulang dengan tangan kosong. Mula – mula beli mawar, lepas tu kekwa, kemudiannya bunga orkid, dan sampailah sekeliling rumah penuh dah jadi taman bunga dalam sekelip mata. Mujur rumah tepi, adalah juga tanah nenek nak berkebun sambil menghias bunga – bunga kesayangan dia tu.

Peliknya, tangan nenek sejuk jer, selalu menjadi bila tanam apa – apa. Masa kat kampung dulu, tanah keras tu, di campaknya biji cili, ehh tau – tau hidup pula pokok tu. Menakjubkan. Aku ni langsung tak ada bakat macam nenek. Percayalah, hari ni aku beli bunga, esok dah mula layu. Tak faham kat mana salahnya.

Nenek masih tak selesai membelek bunga dari satu ke satu. Berfikir panjang nampaknya kali ni. Agaknya bunga apa yang menarik minat nenek sampai macam tu sekali eyh?

Senyap – senyap aku mencuri lihat bunga yang ada di hadapannya. Si Sophia pula sibuk menghasut nenek, dia pergi cerita macam – macam pasal pokok ni, alkisah konon cerita tentang pokok bunga tu.

Okey, tu bunga melur, bunga kemuning dengan.. kejap, lagi satu aku tak pasti. “Bunga apa yang hujung tu?” tanyaku kepada nenek.

“Tu bunga jasmine.”

Hanya mampu mengangguk. Cantik pula tengok bunga tu warna putih. Aku perhatikan lagi sekeliling. Baru aku perasan banyak bunga warna putih. Cantik pula tu. Tu bunga rose putih! Cantiknya!

“Sophia, susah tak nak jaga rose putih tu?”

Sophia jadi teruja untuk membuka mulut bila aku mula menunjukkan minat kepada bunga. Selalunya aku hanya mengikuti mereka berdua, sambil dengan begitu sahaja tentang penerangan tentang semua bunga yang nenek minat nak beli. Hari ni lain, aku pula yang minat.

“Baru sampai pagi tadi. Bunga mawar ni cerewet sikit. Nak jaga penuh kasih sayang dan dimanjakan.”

Alamak, aku bukan ada masa nak jaga masalahnya. Setiap hari sibuk kerja, Sabtu ada meeting selalunya. Bila aku nak jaga bunga tu kalau asyik sibuk.

“Kat rumah kan nenek ada tanam,” tegur nenek.
“Memanglah nek, tapikan warna putih lawa. Mia suka pula tengok. Yang kita punya warna merah dengan pink jer.”

Nenek menggelengkan kepala mendengar penjelasanku. Memanglah warna pink dengan merah jadi kegemaran orang ramai, tapi bagi aku putih juga yang cantik.

“Nek, kalau Mia beli, nenek boleh tak tolong jagakan. Mia bukan pandai jaga pokok semua ni. Nanti esok lusa mati. Boleh eh nek,” aku cuba merayu. Harapnya menjadilah. Aku suka sangat tengok bunga tu. Tak boleh jadi ni.

“Tapi hari ni nenek nak beli tiga bunga ni.”
“Kita beli empat – empat. Boleh?” haa, teknik membodek aku. Hebat kan?

Nenek menampar lembut lenganku. “Ikut suka kamulah, nenek ikut jer. Jangan lupa beli tanah lebih sikit. Nanti susah kalau tak cukup.”

Yes, mem besar setuju. Kan senang kerja aku. Maaflah bunga rose putih, tuan kau ni tak ada seni menanam bunga. Jaga bunga pun tak reti tau. Ni bersyukur jer masih reti urus diri sendiri. Kalau tak, memang sememeh aku setiap hari. Nanti ada masa, tuan kau ni yang manjakan kau, bercakap dengan kau tiap hari yer.

Tengoklah, muka Sophia bukan main ceria hari ni aku borong banyak bunga. Patutnya dia buat kad ahli, jadi ahli macam aku yang selalu berbelanja banyak dapatlah cenderahati kan, sebab jadi pembeli setia. Tak pernah aku tak beli bila datang sini.

Aku memerhatikan jam di tangan. Sudah hampir pukul empat. Langsung aku teringat janjiku.
Pekerja Sophia segera memasukkan bunga dengan tanah ke dalam keretaku. Nampaknya nanti balik aku terus solat, lepas tu aku terus pergi sanalah. Tak pon kalau tak salah ada masjid sebelum sampai sana, boleh jer lagi. Tengok mana sempat. Kalau azan masa kat rumah, rumah jelah jawabnya.

Mujur perjalanan ke rumah hanya makan masa 20 minit. Aku segera mengeluarkan barangan dapur yang aku beli tadi dengan nenek bersama bunga – bunganya. Dengar sahaja azan, aku segera solat dan bersiap ringkas. Rasanya tak perlu melawa sangat kot. Cukup sekadar tabur bedak dengan liptint jer. Biar tak nampak pucat sangat.

“Nek, Mia keluar kejap eh. Nak jumpa kawan.”

“Jangan balik lewat sangat tau Mia,” pesan nenek.

“Nenek jangan risau yer. Nenek duduk dalam rumah kunci pintu tau. Mia ada bawa kunci sekali ni. Ubat pun Mia ada bawa. Takut terlewat makan ubat, jadi senang.”

“Nak jumpa siapa tu?”

Terkedu aku dibuatnya. Nenek kenal Aliya dengan Acap. Tu sahaja aku selalu ceritakan. Tolak si Daniel. Mungkin nenek tahu sendiri bila nama dia tak disebut tu, adalah sebabnya. Si Adam ni pula, lain kes. Aku langsung tak pernah cerita.

Macam mana nak bagitahu ni eyh?

“Urmm, kawan? Kawan Mia. Mia dulu tiap minggu selalu duduk borak dengan dia kat pantai babah selalu bawa dulu tu.”

Kening nenek terjungkit. Okey, nenek mesti dah sedar aku sorokkan sesuatu. Kenapa susah aku nak sebut nama dia? Sebab dia lelaki? Yelah nenek nanti takutnya fikir bukan – bukan pula kan?

“Siapa? Nenek kenalah tau kawan – kawan kamu tu. Bahaya kalau keluar dengan sebarang orang.” Ada betulnya yang nenek cakap tu. Salah aku sebab tak pandai nak jelaskan. Salah aku nenek mesti dah salah sangka pasal kawan aku yang satu ni. “Daniel?” Nama tersebut laju keluar dari mulut nenek.

“Eh, bukan! Nama kawan Mia ni Adam nek.”
Aduhai, dia senyum pula dah. Jangan fikir bukan – bukan nenek. Bukan macam yang nenek fikir tu.

“Selamat berseronok.”

“Nek, kawan jer.”

“Nenek tak cakap apa pun kan?” terasa berbahang pipi aku. Nenek sakat aku! Dungunya aku ni. “Haa, tepuklah dahi tu lagi. Biar sampai benjol.”

“Malu Mia. Dahlah, Mia pergi dulu. Malas kawan dengan nenek macam ni.”

“Merajuk pula. Dia yang salah, nenek kena. Pergilah. Hati – hati kat luar tu. Balik awal tau.”
Tanpa menoleh laju aku keluar. Lagi lama aku kat sini, lagi banyak lah aku terasa disakat nenek. Paling utama sekali, nanti makin lambat pula. Baik aku cepat pergi.

Aku segera memandu pergi menuju ke pantai yang hanya memakan masa setengah jam dari rumah sekiranya jalan tak sesak. Dulu, angan – angan aku nak sangat berumah kat tepi pantai. Kononnya seronok boleh berenang selalu, tengok pantai, tengok gelagat manusia. Itu dulu. Angan – angan masa kecil.

Arwah babah yang ajar aku ke sini. Disebabkan anak manja dia ni kuat merajuk bila babah terlewat ambil dari tadika, arwah babah memujuk membawa aku ke sini. Babah ajar aku main layang – layang, makan ais krim. Bertuah hari tu kalau tiba – tiba ada pak cik tu bawa kuda dia berjalan kat sini. Sekarang tak pernah sekali aku nampak pak cik tu.

Agaknya kuda – kuda tu ada lagi ke? Kali terakhir aku nampak kuda tu seminggu sebelum kemalanngan. Lepas tu, aku tak pernah ke sini lagi sampailah aku mula sambung belajar di universiti. Ada saja aku beri alasan untuk ke sini setiap bulan.

Semestinya yang rajin melayan membawa aku ke sini ‘dia’. Daniel memang tahu hampir segalanya pasal aku.

Terngiang permintaanya mahu menjadi kawan aku. Kawan, aku tak tahu kalau aku mampu atau tidak jadi kawan dia. Aku tak sanggup nak risiko kan diri dengan rasa kecewa lagi. Aku takut aku berharap macam dulu.

Sampai di pantai, aku meletakkan kereta berdekatan dengan tempat biasa. Dari jauh, aku sudah ternampak susuk tubuh milik Adam. Dia tekun menunduk, aku pasti dia mesti tengah melukis. Sebab memang tu aktiviti dia kan. Sesekali dia mengangkat kepala dan mengurut bahu. Khayal betul kau dengan dunia kau kan Adam.

Aku memegang mukaku, aku tengah senyum ke? Kenapa tiba – tiba aku senyum ni? Dah lah pergi tenung Adam dari jauh. Aduhai Mia. Dia mesti tengah tunggu kau, tapi boleh pula kau buang masa kat sini.

Kakiku segera melangkah menuju ke arah Adam. “Assalamualaikum, knock knock, Mia is here.” Tanganku mengetuk lembut meja Adam. Dan sambil tu aku mencuri tengok lakaran lukisannya kali ni.

“Wa’alaikumussalam.”

Adam mendongak merenung aku. Matanya tidak berkelip melihat aku di hadapannya.

“Miss me?” soalku, tanganku menarik kerusi di hadapannya. “Obviously you are, right?”

Adam menggeleng kepala sambil tertawa kecil. Mungkin telah menduga aku akan terus menyakat dia. Dia kembali melukis, senyuman masih tak hilang dari bibirnya. “Perlu ke merindui gadis di depan ni?” matanya melirik merenung ku. Tidak berkedip.

Aku meletakkan daguku pada tangan dan berpura – pura berfikir dalam. “Dah lama tak jumpa kan? Patutnya rindu tau. Macam Mia, Mia mengaku Mia rindu kat…” Adam laju menggeleng kepala. Tangannya mencari sesuatu di dalam beg. Dia tahu tu apa yang aku maksudkan.

“Ni kan?” dia menghulurkan air milo mocha kegemaranku dan juga buah – buahan siap dipotong di dalam bekas. Percuma dank has untuk aku.

“Ya Allah, rindunya kat bekas ni. Tapi lagi rindu isi dalam tu yang percuma untuk Mia tersayang.”
Okey, aku mengaku. Aku memang kuat perasan macam ni.

Tanganku mengapai garfu dan mula memakan buah – buahan yang ada di depan mata. Benda percuma siapa jer tak suka. Dia memang selalu jaga pemakanan aku. Hebat dia ni. Tau – tau jer aku kena banyak makan makanan sihat.

“Adam, hari ni Mia tak bawa novel. Jadi tutup buku lukisan awak tu. Fokus borak dengan Mia yer hari ni. Kita kena borak panjang sebab dah lama tak lepak macam ni kan?”

Dia menurut permintaanku. pensel diletakkan ke tepi, buku ditutup dan dia kembali memandangku semula. “Memang, sebab mesti dalam fikiran awak tu banyak benda nak dibebelkan, betul tak?”

“Pembetulan, awak tu yang mesti nak tahu kenapa saya menghilang kan?” keningku sengaja aku jungkitkan berkali – kali untuk buat unsur suspen. “Mengaku jelah. Macamlah kita tak tahu.”

Adam mengambil seketul buah epal yang dipotong lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Eh, bagi kat aku, tapi dia pula yang makan. Buruk siku karang.

“Nak cerita? Masa tak panjang untuk bercerita kalau asyik melalut jer.”

Dia cakap aku melalut? Aku nak buat dia tertanya – tanya. Tak seronoklah kalau dia tak ada rasa ingin tahu ke mana jer aku pergi.

“Mia pergi misi cari orang jahat, jadi undercover agent, bang bang penjahat mati, the end!”

“Menarik tu.”

Ish dia ni. Tak seronok lah nak bercerita. Tengok tu. Geram pula aku jadinya.

“Dah, buang masa merajuk. Cepat cerita. Ni memang nak tahu sangat ke mana si gadis bertudung biru menghilang sampai berbulan. Ingatkan kali terakhir, aku ada buat salah. Rasa bersalah teruk. Betul ni. Dahlah tak tahu macam mana nak minta maaf, jadiaku cuma berharap dan berdoa yang takdir akan pertemukan kita lagi.”

Dia fikir aku marah sebab perbualan hari tu ke?

“Tak adalah Adam. Bukan macam tu.” Laju aku menjawab. Dia diam menanti cerita dariku. “Sebenarnya, nenek Mia sekarang tinggal dengan Mia. Jadi lepas tu, Mia buat keputusan tak mahu lah asyik keluar jer, sebab Mia nak luangkan masa dengan nenek Mia. Bukan senang nak pujuk dia duduk sini tau. Alhamdulillah nenek nak ikut.”

“Lega bila dah tahu kejadian sebenar.”

Aku menggigit bibir. Aku tak ceritakan hal sepenuhnya. Nenek memang betul antara sebab aku ambil keputusan tu, tapi selebihnya sebab Daniel. Aku mengelak dari dia. Kalau Daniel tak tahu lagi aku kat sini, mungkin aku akan berkala datang.

“Maaf sebab buat awak fikir bukan – bukan.”
Adam merenung wajahku. “Ada lagi hal lain yang kau tak cerita Mia.”

Aku tergamam. Seperti biasa dia boleh membaca fikiranku. Dia seakan tahu ada sesuatu yang aku sorokkan darinya. Entah kenapa aku jadi serba salah.

“Mia tak nak cerita dulu. Lagipun, biarlah sebab ni jadi personal reason. Pentingnya untuk awak tahu, bukan awak punca saya tak datang sini terus.”

“Jadi selamat dah nak datang sini sekarang?”
Aku mengangguk perlahan. “Mungkin?” sedaya upaya aku mengelak dari merenung ke bayangan sipi - sipi kumpulan yang sedang asyik menyanyikan lagu. “Adam,” dia mengangguk kecil memberi tanda dia masih mendengari setiap bicaraku.

“Ada masa Mia tertanya siapa lelaki bernama Adam yang ada di depan sekarang ni. Awak secara jujurnya tahu jer apa yang saya cuba sembunyikan, apa yang saya fikirkan. Siapa awak sebenarnya?”

Dia tertawa lagi. Hari bertuah aku ke bila dia banyak kali ketawa lebih dari biasa. Selalunya dia akan menyakat dan aku juga akan membalas sakat dia tu. “Mungkin sebab aku arif dan tahu cara manusia berfikir?”

“Mesti dulu belajar psikologi? Betul tak?”
Adam sekadar mengangkat bahu. Lagi dia dengan Misteri dia berpisah tiada. Lama – lama boleh jadi bosan tau dari rasa tertanya – tanya.

“Tak peduli, awak kena cerita. Siapa awak sebenar, kerja awak, keluarga awak, okey selain Rayyan dengan Puan Qaisara. Segelanya pasal awak. Saya nak sangat tahu.”

“Kenapa?” soal Adam.

Ya, kenapa aku nak sangat tahu? “Sebab awak ni terlalu misteri. Apa salahnya kalau saya tau? Kecil hati saya tau tak.”

“Hanya sebab aku tak mau cerita benda ‘remeh – temeh’ tu?” suaranya seperti mengejek. Ish, taulah aku sebut tu dulu. Ni nak balas balik ke apa?

“Maaf sebab cakap tu hal ‘remeh – temeh’. Okey tu benda penting sebab kalau tak penting takkan saya beria nak ambil tahu kan?”aku menepuk tanganku, kononnya aku dah dapat point untuk bidas dia.

Dan semestinya dia akan selalu berjaya buat aku tergamam walaupun satu jer perkataan keluar dari mulut dia tu. “Jadi sekarang kau dan sedar tu benda infomasi penting juga kan?” aku hanya mempu mengangguk tidak sabar menunggu dia memberitahuku. “Kalau nak tahu sesuatu yang penting, ianya bukan percuma Mia. Kau juga kena bagi sesuatu yang penting sebagai pertukaran untuk maklumat yang kau nak.”

Apa? Merepek apa ni? Apa jer aku ada yang dia nak? Pening kepala aku kalau melayan dia ni. Tapi aku memang nak sangat tahu. Biar misteri ni terbongkar awak. “Dan semestinya aku yakin ada banyak sangat yang benda kau nak tahu kan?” memang beribu soalan dan siap untuk ditanya jer ni. Cuma tak dapat sebab aku tahu dia takkan jawab, tak pun dia akan mengelak dengan mengaitkan aku pula.

“Semua pasal saya, awak dah tahu kan. Jadi saya tak ada benda nak ditukar dengan maklumat berharga awak tu. Awak tahu saya cikgu, mengajar kat mana, tinggal dengan siapa semua..”

Adam mencelah, “tu sebab kau yang bercerita. Aku tak tanya”

“Okey, betul tu! Tapi awak juga tahu apa jer ada dalam fikiran saya ni.”

“Boleh dikatakan aku bertuah sebab dapat teka dengan tepat.” Sekali lagi dia menyampuk.

“Tahniah Sherlock! Berhenti menyampuk sekejap. Jadi tak boleh ke, berbaik dengan saya, segala yang awak dah tahu pasal saya sebagai pertukarannya? Cuma maklumat yang lebih kurang sama. Tak boleh ke?”

Laju dia menggeleng. “Tak boleh. Berharga sangat tau diri aku. Tak cukup Mia, tak cukup.”

“Dah tu nak apa?” aku mengeluh. Sesekali aku terasa diri aku diperhatikan. Aku menoleh kiri kanan, tak lupa juga ke arah band Daniel. Perasaan aku jer kot?

Adam memetik jari di hadapanku. “Mia.”

“Apa.” Hilang mood aku melayan dia ni. Simpan jelah rahsia kau tu. Tak hairan pun. Macam aku tak boleh cari tahu sendiri.

“Memandangkan bagi aku, tu antara benda dan maklumat terpenting, bukan remeh tau. Jadi hanya orang tertentu jer boleh tahu. Kalau kau, Mia betul - betul nak sangat tahu...” dia berhenti untuk menyedut minumannya sehingga kosong. Aku masih lagi menanti sambungan ayatnya. Dia tersenyum sinis apabila tahu aku setia menunggu dia menyambung ayatnya, “kau kenalah jadi orang penting. Untuk aku.”

“Huh?”

Adam ketawa lagi. “Sebagai pertukaran, apa kata bagi hati kau? Ya, aku nak hati kau, Mia.”

Dia bergurau ke? Aku betul – betul tak tahu nak balas apa. Apa aku patut cakap ni.

“Mia,” jari telunjuknya yang runcing menyentuh daguku dan menolak lembut ke atas. “Tutup mulut tu.” Adam mengenyitkan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience