Bab 8

Romance Series 72307

“BITARA Holdings.”

Hati Rhea dibalut risau apabila mengetahui Hayyan akan mula bekerja di syarikat keluarga Trisha. Bermakna selepas ini mereka akan lebih kerap bertemu dan menghabiskan masa bersama.

“Tak boleh ke kalau abang kerja dekat tempat lain?” soal Rhea. Suaranya kedengaran resah.

“Kenapa? Sebab syarikat tu syarikat keluarga Trisha jadi saya tak boleh kerja dekat situ?” soal Hayyan kembali.

Rhea mengangguk. Mengiakannya.

“Jangan jadi budak-budaklah Rhea. Awak ingat senang ke saya nak cari kerja? Lagi-lagi dalam keadaan saya yang baru sihat ni. Nasib baiklah Trisha tolong saya dapatkan kerja tu.”

Tercarik hati Rhea saat mendengar jawapan Hayyan. Bukannya dia tidak tahu mengapa Trisha beria-ia membantu Hayyan mendapatkan kerja. Sudah tentulah kerana dia mahu Hayyan lebih dekat dengannya.

“Kalau saya tak kerja dekat situ pun, saya boleh je jumpa dengan Trisha bila-bila saya nak. Tak ada siapa yang boleh halang.”

Sekali lagi hati Rhea bagai direntap. Tubir matanya terasa hangat. Bibir digigit kuat menahan perasaan.

“Saya tak kisah awak setuju atau tak. Saya tetap akan kerja dekat situ.” Hayyan langsung bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.

Rhea menghela nafas berat. Dia tak kuat untuk terus berhadapan dengan Hayyan versi ‘baru’ ini.

“Rhea rindukan abang yang dulu...” Kelopak matanya dirapatkan membiarkan air matanya gugur membasahi pipi.

SEMANGKUK nasi goreng yang masih berasap diletakkan di atas meja makan. Kemudian Rhea menuangkan kopi panas ke dalam cawan.

“Abang dah siap?” tegur Rhea saat melihat kelibat suaminya itu keluar daripada bilik.

Sehelai kemeja hitam tersarung di tubuh Hayyan. Dipadankan pula dengan seluar slack berwarna kelabu gelap.

“Jom sarapan dulu,” ajak Rhea.

Hayyan datang menghampirinya. “Awak masak apa?”

“Rhea masak nasi goreng untuk abang.”

“Trisha ajak saya breakfast sama-sama pagi ni.”

Rhea terdiam seketika. Raut wajahnya langsung berubah bila dengar nama Trisha disebut. Rasa macam tengah hidup bermadu pula sekarang ni.

“Abang, walaupun abang tak ingat Rhea, tapi hakikatnya Rhea isteri abang bukannya Trisha. Dia cuma masa lalu abang. Kalau abang terus-terusan macam ni, sampai bila-bila pun abang tak akan ingat pada Rhea.” Entah daripada mana keberanian itu datang, Rhea tidak pasti. Tapi dia sudah tidak mampu menahan rasa lagi. Hayyan perlu tahu yang dia tidak suka suaminya itu rapat dengan bekas kekasihnya lagi.

“Awak tak faham Rhea. Awak tak ada dekat tempat saya. Cuba awak cakap, macam mana saya nak biasakan diri hidup dengan orang yang saya tak pernah kenal? Saya tak ingat apa-apa tentang awak. Saya dah paksa diri saya untuk ingat pada awak, tapi saya tetap tak ingat awak.”

“... Bagi saya, awak tetap orang asing. Walaupun dalam kertas, awak isteri saya yang sah,” ujar Hayyan lagi.

Rhea tergamam. Dia hilang diksi.

“Abang...”

“Jangan rosakkan mood saya Rhea. Saya pergi dulu.” Hayyan terus angkat kaki dan berlalu pergi.

Rhea terduduk di situ. Air matanya mengalir lagi. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain daripada menangis. Nak marah? Nanti dia juga yang akan disalahkan.

“Ibu?”

Rhea cepat-cepat mengesat air matanya saat suara si kecil menampar gegendang telinganya. Dia tersenyum pahit menutupi rasa hatinya.

“Ibu sedih ke?” soal Armel. Dia duduk di depan Rhea. Tangan kecilnya naik menyentuh wajah ibunya itu.

Rhea menggeleng perlahan. Tubuh Armel dibawa ke dalam dakapannya.

“Ibu sayang Armel tau.”

“Armel pun sayang ibu. Sayang ayah...”

Pedih hati Rhea saat mendengar ayat terakhir anaknya itu. Kasihan Armel... Dia tidak pernah merasakan kasih sayang seorang ayah walaupun sosok lelaki yang bergelar ayah itu ada di depan matanya.

“Walau apapun yang terjadi, ibu tetap sayang Armel. Ibu buat semuanya untuk Armel.”

Armel tersenyum ceria seolah mengerti apa yang Rhea cuba sampaikan sedangkan anak kecil itu tidak langsung tidak mengerti apa-apa.

SEJAK pertelingkahan kecil yang berlaku di antara mereka siang tadi, Hayyan langsung tak bercakap dengan Rhea. Pulang daripada pejabat, dia terus berkurung di dalam bilik.

Bukannya Rhea tak cuba memanggilnya tapi lelaki itu tetap berkeras dengan egonya walaupun jelas Rhea tidak melakukan apa-apa kesilapan pun padanya.

“Abang...” Tangan dihayun mengetuk pintu.

Hayyan yang sedang duduk bersandar di kepala katil itu mengeluh perlahan. Ingatkan lepas kejadian siang tadi, Rhea tak akan mendekatinya lagi.

Ah, agaknya hati wanita itu dibuat daripada apa? Besi? Atau keluli? Hayyan bukan apa, dia tidak mahu dihimpit rasa bersalah dengan layanan dinginnya terhadap Rhea. Jadi satu-satunya cara ialah menjauhkan diri daripada wanita itu. Tapi semakin dia cuba menjauh, Rhea semakin mendekat pula.

“Abang dah tidur ke?”

Hayyan selak selimut. Dia terus turun daripada katil. Pintu bilik dibuka kasar.

“Nak apa?” soalnya dingin. Hatinya jadi sakit melihat raut wajah Rhea. Terpancar riak kesedihan di wajah isterinya itu.

“Rhea ganggu abang ke?”

“Nak apa?” Hayyan ulang lagi soalan yang sama. Soalan Rhea sengaja dibiarkan tidak dijawab.

“Rhea minta maaf kalau Rhea buat abang sakit hati dengan kata-kata Rhea pagi tadi.”

Hayyan meraup perlahan wajahnya. Dia yang salah, Rhea pula yang kena minta maaf. Buat perangai betul kau ni Hayyan!

“Saya lapar.” Hayyan langsung mengubah topik. Kalau boleh dia tidak mahu membicarakan mengenai hal pagi tadi. Dia takut dia tidak dapat mengawal dirinya, nanti Rhea juga yang menjadi mangsa kemarahannya.

Rhea tersenyum kecil. “Rhea tahu abang belum makan. Jom, makan. Rhea panaskan lauk untuk abang.”

“Hmm.” Hayyan mengangguk perlahan. Tu lah, ego sangat! Kan dah berlapar.

RHEA tersenyum-senyum sendiri sambil memerhati Hayyan makan.

“Awak tak makan ke?” soal Hayyan.

Rhea menggeleng perlahan. “Dah lewat ni. Rhea tak makan lewat malam. Nanti gemuk.” Dia ketawa di hujung ayatnya.

Mata Hayyan meliar memandang Rhea. Gemuk? Rhea sedar tak yang dia tu dah terlebih kurus!

“Awak dah terlebih kurus. Apa yang nak dirisaukan kalau makan waktu malam pun? Bukannya terus gemuk.”

Rhea ketawa kecil. Senang benar hatinya bila dapat berbual dengan Hayyan seperti ini.

“Abang dah tak marahkan Rhea kan?”

“Hmm.” Cuma itu yang Hayyan balas. Berselera sekali dia menikmati masakan Rhea. Dia akui isterinya itu memang pandai memasak. Walaupun awal-awal dulu dia susah sangat nak makan masakan Rhea tapi sekarang kalau tak makan masakan Rhea, rasa macam ada yang tak lengkap.

“Macam mana hari pertama kerja? Okey?” soal Rhea ambil berat.

“Bolehlah,” balas Hayyan ringkas.

“Rhea harap abang sentiasa gembira walau dekat manapun abang kerja. Semoga abang dikelilingi dengan orang yang baik-baik.”

“Terima kasih,” ucap Hayyan.

Rhea mengangguk perlahan.

“Esok banyak tempahan?” soal Hayyan sekadar menghilangkan canggung antara mereka. Daripada tadi asyik Rhea je yang bertanya.

“Esok Rhea tutup kedai. Rhea nak keluar beli barang-barang meniaga.”

“Baguslah. Awak tak perlu kerja kuat sangat. Sesekali perlu rehat juga. Awak tu manusia. Bukan robot.” Hayyan kagum dengan semangat Rhea. Dia nampak betapa gigihnya wanita itu berusaha untuk mencari duit.

“Lagipun saya dah mula kerja. Kalau awak nak berhenti berniaga pun tak apa. Setakat kita bertiga, insya-Allah gaji saya cukup untuk tampung perbelanjaan kita,” tambah Hayyan lagi.

Bibir Rhea tersenyum bahagia mendengar ujaran Hayyan. Hatinya senang. Entahlah. Kadang-kadang dia sendiri tidak mengerti dengan Hayyan. Kadang-kadang lelaki itu melayaninya dengan sangat baik. Tapi bila mereka bercakap tentang Trisha, mulalah Hayyan nak melenting. Sampai Rhea jadi trauma dengar Trisha. Andai saja Trisha tidak pernah wujud di dalam kehidupan Hayyan...

Usai makan, Hayyan mahu kembali ke biliknya. Lagipun hari sudah lewat. Esok dia perlu bangun awal untuk ke pejabat.

“Abang.” Rhea menahan langkah Hayyan. Lengan lelaki itu ditarik perlahan daripada belakang.

Panggilan itu mematikan langkah Hayyan. Dia menoleh ke belakang.

“Boleh Rhea tidur dengan abang malam ni?” pinta Rhea.

Tubuh Hayyan langsung mengeras. Jantungnya berdetak laju. Wajah Rhea yang penuh mengharap itu dipandang lama.

Happy reading. Hi! Maaf sebab orked dh lama tk update. Terima kasih menunggu!

Share this novel

Siti Rohani Idris
2023-11-19 12:58:26 

kerana Cinta awak sanggup menjadi melukut d tepi gantang rhea wlau pun awak d sakiti


NovelPlus Premium

The best ads free experience