BELAKANG tubuhnya disandarkan pada dinding bilik air pada posisi berdiri sambil mendongak dengan mata terpejam. Air dari pancuran, mencurah-curah menyirami seluruh tubuhnya. Giginya diketap kuat teringatkan peristiwa tadi.
Haihhh! Bengonglah! Matanya dibuka, lalu dia memandang tapak tangan kirinya. "Kenapa kau buat hal, hah?! Tak pasal-pasal aku dapat malu! Nakal ni, haa, nakal! Biasa dia!" Izara menampar-nampar tapak tangan kirinya dengan lagak seperti ibu yang sedang memarahi anak. Kalaulah tangan itu boleh bercakap, pasti sudah dibalas bebelan dan tuduhan wanita itu.
Reaksi wajah lelaki itu ketika ototnya yang besar lagi kenyal di bahagian punggungnya bergegar ditepuk, terimbas di layar fikirannya. Bukan seketul, tetapi dua ketul sekali gus.
Mesti dia bagitahu si Joe pasal tu! Si Joe tu boleh tahan juga kalau membahan orang. Selagi hayat dikandung badan, selagi tulah dia ungkit! Kalau umur panjang macam jin, silap-silap sampai tujuh keturunan cerita tu tak habis. Arghhh! "Ni semua salah kau!" bentaknya sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah tapak tangan kirinya.
Selepas mengeringkan rambut. Dia terus menghenyakkan tubuhnya di atas tilam empuknya. Sekejap dia berkalih ke kanan, sekejap ke kiri. Jam menunjukkan pukul 1.15 pagi, tetapi dia tidak rasa mengantuk langsung.
"Otak, tolonglah rehat. Aku nak tidur!" Dia mengangkat tapak tangan kirinya di depan muka. "Sebab kaulah ni! Hisy!" bentaknya masih tidak berpuas hati. Suis lampu di tepi katilnya ditekan, lalu dia menarik selimut sehingga ke paras dadanya, kemudian dia terus menutup mata memaksa dirinya untuk tidur.
- - - - - -
"WAN, bangunlah! Apa ni, matahari dah tinggi masih membuta lagi ni? Tengok jam dah pukul berapa? Haih!" Puan Zalia menampar punggung anak lelakinya yang sedang tidur meniarap.
"Aduh, ibu ni. Orang perempuan memang suka tepuk punggung orang ke?" rungut Ikhwan sambil mengusap punggungnya yang terasa perit ditampar tadi. Malas-malas dia bangkit daripada perbaringannya dan duduk.
"Siapa suruh? Tadi ibu suruh Mak Ani panggil, Wan tak layan kan? Sampai merah tangan Mak Ani balik-balik ketuk pintu. Hisy! Bangunlah!" bebel Puan Zalia sambil menjegilkan matanya dan bercekak pinggang.
"Wan belum puas tidur lagilah, bu. Wan tidur berapa jam je sebelum subuh tadi," balas Ikhwan sambil meramas-ramas kasar rambutnya sehingga kusut tanda protes.
"Wan tak pergi ke butik ke?"
"Tengah hari nanti Wan pergi. Ada pekerja juga, kan? Bukannya Wan tak bayar gaji diorang," jawab Ikhwan sambil menyandarkan tubuhnya pada kepala katil dengan muka cemberut.
Puan Zalia hanya mampu menggeleng mendengar jawapan daripada anak sulungnya itu. "Dah, pergi mandi, lepas tu turun. Datin Tamara dengan anak dia ada kat bawah tu."
"Apasal pula diorang tiba-tiba datang sini waktu-waktu macam ni, bu? Dah diorang tetamu ibu, kan? Kenapa Wan kena ada sekali? Tak naklah! Wan nak sambung tidur."
"Hari tu, ibu ada cakap kat Wan pasal rancangan datin tu nak kahwinkan anak dia dengan Wan, kan? Ibu siap tunjuk gambar lagi. Dah lupa ke? Ke buat-buat lupa?"
"Ibu..."
"Dah, tak ada alasan! Ibu bagi masa 15 minit je. Kalau Wan tak turun, ibu bawa diorang naik!" ugut Puan Zalia, lalu dia terus melangkah menuju ke pintu.
"Astaghfirullah, ibu aku ni..." gumam Ikhwan sambil memerhati wanita yang agak berisi itu dari belakang. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia akur.
Pantulan imej wajah kacak dan tubuh segaknya yang memakai pakaian kasual dipandang di depan cermin saat dia menyarungkan jaket kulit ke tubuhnya. Cukup pakej sebagai lelaki idaman para wanita di luar sana.
Sebagai public figure dan pempengaruh di dunia maya, beratus-ratus mesej memenuhi peti mesejnya yang diterima daripada wanita dan juga daripada wanita tiruan di akaun media sosialnya yang hendak menjadi teman wanitanya, tetapi malang sekali, hatinya belum terbuka lagi untuk bercinta selepas dia pernah dikecewakan oleh cinta pertamanya ketika dia masih menuntut di universiti dulu.
"Hmmm... Have a good day, man!" ujarnya kepada dirinya sendiri di cermin sambil membetulkan jam di pergelangan tangannya sebelum dia keluar dari bilik.
- - - - - -
"WOW! So, inilah bakal Datuk kita ni ya? Nampak seribu kali handsome depan-depan macam ni," kata seorang wanita berambut warna perang yang disanggul kemas.
Puan Zalia tersenyum bangga mendengar pujian daripada wanita itu. "Wan, say hi to them."
Dengan muka tidak ikhlas, Ikhwan memandang wajah dua orang wanita yang duduk berdepan dengan ibunya. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. "Hai." Secalit senyuman paksa dilakarkan di bibir merah jambunya yang suci daripada noda rokok.
Wanita muda memakai baju tanpa lengan yang duduk di sebelah wanita yang lebih kurang sebaya dengan Puan Zalia, tiba-tiba berdiri.
"Hai..." Tangannya dihulurkan. "Adalia."
Ikhwan memandang sepi huluran tangan wanita itu. "Ikhwan." Mendatar nada suaranya. Kedua-dua tangannya masih kekal di dalam poket seluarnya. Ni ke perempuan yang ibu nak jadikan menantu? Anak matanya bergerak dari atas ke bawah melirik wanita itu dari kepala sampai ke kaki. Entah kenapa dia dapat rasakan aura negatif daripada wanita itu.
"Wan nak gerak terus ni, bu."
"Eh? Tak duduk dulu ke sembang-sembang sekejap? Baru pukul 10.00 pagi ni. Tadi, Wan cakap nak pergi ke butik, tengah hari, kan?" soal Puan Zalia.
Apa alasan aku nak cakap ni? Otaknya ligat berputar mencari alasan. "Wan nak jumpa girlfriend Wan sekejap sebelum pergi ke butik."
Membulat mata Puan Zalia selepas mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut anaknya. Laju sahaja dia memandang dua orang wanita di depannya dengan muka serba salah. Lantas, lengan kekar anaknya ditarik.
"Sebelum Wan jalan, Ibu nak minta tolong Wan buka tin jeruk yang kat dapur tu sekejap," ujar Puan Zalia dengan alasannya yang tidak logik. "Sekejap ye, datin, Adalia."
Entah sejak bila pula dalam rumah itu ada jeruk, kerana tiada seorang pun di dalam keluarga mereka yang suka makan jeruk. Dahinya berkerut dan dia hanya mengikut ke mana wanita itu membawanya.
"Sejak bila Wan ada girlfriend? Tak pernah bagitahu ibu pun!" soal Puan Zalia setibanya mereka di dapur.
"Dah ibu yang tak pernah tanya," balas Ikhwan dengan lagak bersahaja tetapi sinar keyakinannya terpancar pada raut wajahnya yang kacak, padahal dia tahu, kenyataannya itu cuma direka-reka.
"Datin tu beria nak Wan jadi menantu dia, tahu tak?"
"Apa yang buat ibu pun beria nak bermenantukan perempuan macam tu, bu? Tak nampak istimewanya pun. Cantik lagi girlfriend Wan. Ke sebab mak nak berbesankan datuk datin?" tukas Ikhwan.
"Bukan sebab tulah!" Keluhan panjang terpacul dari mulut Puan Zalia. "Sebab datin tu berkenan kat Wan masa Wan datang jemput ibu kat kelas senaman dulu. Wan kenal-kenallah dulu dengan Adalia. Tak kenal, maka tak cinta," kata Puan Zalia seakan-akan mendesak.
"Habis tu, girlfriend Wan nak letak kat mana?"
Puan Zalia mendengus. "Kalau macam tu, bawa girlfriend Wan datang sini hujung minggu ni. Ibu nak tengok! Kalau menepati kriteria menantu pilihan, ibu bagi lampu hijau. Kalau ibu tak berkenan, Wan kena putuskan hubungan dengan girlfriend Wan tu dan mulakan sesi suai kenal dengan Adalia."
"Ibu ni, kan... yang nak berkahwin tu, anak ibu ni, bukan ibu. Jadi, Wan kena pilih betul-betul orang yang Wan nak jadikan pasangan hidup. Kalau untuk kahwin setakat sebulan dua, ramai je calon, bu. Termasuk yang kat ruang tamu tu. Kalau ada babah sekarang ni, babah mesti sokong apa yang Wan cakap," balas Ikhwan dengan muka serius.
"Hisy, budak ni! Babah tak ada. Awal pagi lagi babah keluar pergi kutip duit sewa rumah, jadi jangan harap nak ada back up. Ibu tak kira. Hujung minggu ni, bawa girlfriend Wan tu datang sini. Ibu nak tengok!" tegas Puan Zalia, lalu dia terus melangkah keluar dari dapur menuju ke ruang tamu.
Ikhwan meraup wajahnya sambil melepaskan keluhan panjang. "Kat manalah aku nak cari perempuan yang boleh berlakon jadi awek aku ni...." Dahinya dikerut-kerutkan. Dagunya yang bercukur, diusap-usap. Sejenak kemudian, matanya terbeliak. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefonnya dari beg pouch kulit yang dilingkarkan di pinggangnya. "Hello, Joe..."
- - - - - -
"KAU tak tidur ke semalam? Tak habis-habis kau menguap dari tadi," tegur Aniza sambil menyiku lengan Izara yang berkali-kali menguap sejak tadi.
"Aku tidur dua jam je," jawab Izara dengan suara lemah sambil membancuh kopi menggunakan mesin di atas meja kaunter.
"Kau buat apa semalam?" soal Aniza sambil memandang ruangan kafe sederhana besar mereka yang agak ramai orang pada ketika ini. Kelihatan dua orang pekerja mereka yang bertugas sebagai pelayan, bekerja dengan tekun melayan pelanggan.
"Tak buat apa-apa pun. Tak dapat tidur." Wajah Aniza di sebelahnya, dilirik sekilas. Rakan baiknya itu tidak tahu pun tentang kejadian memalukan semalam.
"Kat meja mana nak hantar ni?" soal Aniza yang sudah mengangkat dua biji cawan besar kopi yang dibancuh oleh Izara.
"Dua-dua kat meja paling hujung sebelah kanan tu," jawab Izara sambil menjuihkan bibirnya ke arah yang dimaksudkannya.
Aniza terus menuju ke meja yang diberitahu. Kadang-kadang, dia sendiri yang akan menghantar pesanan pelanggan jika pekerja-pekerja mereka sibuk. Mereka hanya mempunyai empat orang pekerja sahaja. Dua orang di dapur dan dua orang lagi di bahagian pelayanan. Lagipun, setakat ini, mereka masih mampu menguruskan kafe itu dengan jumlah pekerja yang ada.
Selesai membancuh kopi pesanan pelanggan, Izara terus duduk di hujung meja kaunter sambil melepaskan keluhan lega. Akhirnya, dapat juga dia peluang untuk duduk. Kepalanya lantas dilentokkan di atas meja. Dia hendak melelapkan matanya sekejap. Lima minit pun sudah memadai.
"Zara, Zara!"
Lambat-lambat Izara mengangkat kepalanya dengan mata separuh terbuka memandang Aniza. "Ada pesanan ke?" soalnya dengan suara malas-malas.
"Tu... tu bekas bos satu malam kau datang tu."
Serta merta hilang rasa kantuknya. Matanya membulat sambil memandang ke arah pintu. Macam mana dia tahu kafe kat sini? Ni mesti Joe yang bagitahu. Topi di kepalanya sengaja diturunkan sedikit menyembunyikan separuh wajahnya dalam keadaan menunduk. Laju sahaja dia mencapai telefonnya dan berpura-pura sibuk menatal skrin.
"Hai," sapa Aniza sambil tersenyum mesra sebaik sahaja Ikhwan berdiri di depan meja kaunter.
"Hai," balas Ikhwan dan turut tersenyum sambil melirik sekilas wanita bertopi yang sedang duduk di hujung meja kaunter yang tidak memandangnya langsung. "Izara ada?" soalnya pura-pura tidak nampak.
"Tu." Aniza menjuihkan bibirnya ke arah Izara yang sedang fokus dengan telefon pintarnya. "Zara!"
Izara mendecit geram. Hisy! Ada apa pula dia cari aku ni? Takkan dia nak tuntut ganti rugi pasal semalam? Tak hilang pun teruna dia, getusnya dalam hati. Dia mendongak memandang Aniza dan Ikhwan silih berganti. "Ada apa?"
"Kita bercakap sekejap, boleh?" Ikhwan memanjangkan lehernya mencari meja kosong. Aku tunggu kat situ," ujarnya sambil memandang ke arah yang dimaksudkan, lalu dia memandang Aniza. "Cappuccino, please."
Izara berdiri sambil mengerutkan dahinya. Lantas, dia mencapai cawan yang bergantung di kabinet gelas di tepi mesin di atas kaunter.
"Takpe, biar aku buat. Kau pergilah. Mungkin dia nak bagi kau job lagi kot," teka Aniza sambil mengambil cawan di tangan Izara.
Haihhh! Izara membetulkan topinya, lalu dia melangkah menuju ke meja lelaki yang sedang menunduk menekan-nekan skrin telefonnya. Mungkin sedang membalas chat.
"Apa yang kau nak cakap?" soal Izara dengan lagak bersahaja setelah Aniza meletakkan air pesanan lelaki itu di atas meja. Setiap kali pandangan mereka bertembung, cepat-cepat dia melarikan pandangannya ke arah lain.
"Aku nak bagi job."
"Hari tu, kau cakap sekali je kita bekerjasama, kan? Dah settle dah pun semalam."
"Okay, ini yang last," kata Ikhwan dengan muka serius.
"Aku tak nak! Job fashion show tu, sebab kau yang beria minta tolong, kan? Kalau bukan sebab Joe tu kawan aku, aku memang takkan tolong kau langsung!"
"Kali ni, takde kaitan dengan fashion ke, show ke apa."
"Habis tu?" Dahinya dikerutkan menanti jawapan daripada lelaki itu.
"Aku nak upah kau berlakon jadi girlfriend aku." Tenang dan bersahaja nada suaranya.
"Kau dah gila ke? Atau kau memang gila?" bentak Izara sambil menjegilkan matanya.
"Terpulanglah kau nak cakap aku gila ke, sewel ke, yang penting aku bayar."
"Senang je hidup kalau banyak duit, kan? Kalau dah banyak sangat duit, kau pergilah cari orang lain! Kenapa aku juga? Kau ingat aku jenis perempuan yang boleh digula-gulakan dengan duit ke? Aku tak nak!" Izara bingkas berdiri dengan muka sebal.
"Kau tahu tak, aku ada satu juta followers kat laman sosial tau?"
"Aku tak tahu dan aku tak kisah! Kau nak bagitahu aku yang kau ni famouslah, gitu? Eh! Aku tak kenal pun kau!" Dia terus berpaling hendak kembali ke meja kaunter.
"Aku akan buat posting pasal aku kena cabul semalam," ujar Ikhwan.
Serta merta langkah kakinya terhenti, lalu dia menoleh memandang lelaki itu dengan mata yang terbuka luas.
Klik! Klik!
"Sekali dengan gambar si pelaku," ujarnya lagi sambil menyungging senyuman licik di bibirnya selepas dia menangkap gambar wanita di depannya.
"Kau!" Jari telunjuknya dihalakan ke wajah Ikhwan dengan muka tidak puas hati. Giginya diketap kuat. Geram.
"Well... Kau setuju dengan offer aku atau aku buat kau famous dengan satu postingan je," ugut Ikhwan, lalu dia menghirup air di cawannya yang masih berasap.
Mereka saling berbalas pandangan buat seketika. Si poyo ni memang saja je nak cari pasal dengan aku, kan? bentak Izara dalam hati. "Aku tak nak! Lantaklah kau nak post apa pun! Aku cuma nak kau tahu, aku bukan perempuan murahan!"
"Kalau tak murah, aku bayar mahal." Yakin dan tenang nada suaranya.
"Astaghfirullah... makhluk seekor niii! Kau faham bahasa ke tak ni?!"
"Faham... Kau cakap tadi, kau bukan perempuan murahan, kan? So... aku bayar mahallah nanti," balas Ikhwan sambil melakar senyuman nakal di bibirnya yang kelihatan sungguh menjengkelkan di mata Izara.
"Hisy! Buang masa aku je bercakap dengan orang sewel macam kau ni!" Langkah kakinya lantas diorak menuju ke meja kaunter.
"Niza, aku balik sekejap. Lepas zohor aku datang balik," kata Izara dengan suara mendatar tanpa memandang Aniza, lalu dia membongkok mengambil jaket dan sarung tangan kulitnya, serta topi keledarnya di bawah meja.
"Haa, yelah. Lagipun, dah tak ramai orang dah ni," balas Aniza sambil memandang Izara dan Ikhwan silih berganti. Apa hal diorang ni? Berkerut dahinya melihat riak wajah tegang yang terpamer pada wajah rakannya itu.
Ikhwan segera berlari anak menuju ke kaunter selepas dia melihat Izara sedang menuju ke pintu keluar. "Ni untuk air tadi. Keep the change," ujarnya kepada Aniza sambil meletakkan wang kertas 50 ringgit di atas meja, kemudian dia melangkah pantas mengejar Izara yang sudah berada di atas motosikalnya yang bersebelahan dengan motosikalnya yang diparkirkan di depan kafe itu sahaja.
"Zara!"
Tiada sahutan. Pada hakikatnya, Izara sedang menjeling lelaki itu di sebalik cermin gelap topi keledarnya.
"Izara! Aku betul-betul nak minta tolong kau ni. Last, last... okay? Last," tegas Ikhwan dengan muka bersungguh-sungguh.
Masih tiada balasan. Izara terus menekan butang merah untuk menghidupkan enjin motosikalnya selepas dia memulas kunci.
"Kau tak boleh pergi selagi kau tak setuju." Dengan pantas Ikhwan memulas dan mencabut kunci motosikal Izara.
Izara menaikkan cermin topi keledarnya dan mencerlung wajah lelaki yang menyakitkan hatinya itu. "Weiii! Bagi balik kunci aku!"
"No!" Ikhwan memasukkan kunci itu ke dalam poket seluarnya, lalu dia mengambil sesuatu dari motosikalnya.
"Weh, weh! Apa kau buat tu?!" tempelak Izara sambil memerhati lelaki itu merantai tayar depan motosikalnya.
"Selagi kau tak setuju, kau takkan dapat bawa motosikal kau ni," ugut Ikhwan sambil membuat mimik wajah seorang pembuli.
Izara mengetap giginya sambil membuka topi keledarnya. Lantas, dia turun dari motosikal dan berdiri tepat-tepat di depan Ikhwan. Matanya sempat melirik sesuatu yang bersangkut di pinggang lelaki itu.
"Kau betul-betul nak minta tolong aku ke ni? Hmm?" soal Izara dengan nada suara yang tiba-tiba berubah seksi.
Dia melangkah selangkah demi selangkah untuk merapatkan kedudukan mereka. Ikhwan yang tidak menjangka perlakuan wanita itu, perlahan-lahan berundur sehingga tubuhnya tersandar pada motosikalnya. Entah kenapa jantungnya tiba-tiba berdegup kencang melihat cara renungan wanita itu. Berani-beraninya wanita itu bertindak seperti itu di tempat awam.
"Ya, aku betul-betul nak minta tolong." Sedaya upaya dia berlagak tenang di depan wanita itu.
"Hmm..." Izara memicingkan matanya merenung mata dan bibir lelaki itu silih berganti sambil menguntum senyuman manis menggoda yang dibuat-buat. "Tapi, tadi aku cakap aku tak nak, kan? So... Aku tak naklah!" bentaknya pada perkataan terakhir, lalu dengan pantas dia mengambil segugus kunci yang bersangkut di pinggang lelaki itu, kemudian dia terus memakai topi keledar di tangannya. "Tepilah!" Tubuh kekar lelaki itu ditolak kuat ke tepi dan dia terus naik ke atas motosikal lelaki itu. "Ni helmet kau," ujar Izara, lalu dia melambungkan topi keledar mahal tersebut. Mujur dapat disambut oleh Ikhwan.
Vroom!
Ikhwan membulatkan matanya kerana terkejut dengan tindakan wanita itu.
"Bye..." kata Izara sambil tersenyum mengejek sebelum dia menutup cermin topi keledarnya dan terus memecut pergi dari situ.
Ikhwan hanya mampu memandang motosikalnya yang semakin menjauh dengan muka tidak percaya, lalu dia memandang motosikal milik Izara di depannya. "Macam mana aku nak buka kunci tayar ni kalau kunci rantai tu ada sekali dengan kunci motosikal aku? Haihhh, perempuan tu betul-betul menguji kesabaran akulah!"
Share this novel
hehehe padam muko..nk lawan izara yg cerdik akalnya huuu