HARIS hanya memerhati Juwita yang tersenyum gembira keluar dari kereta. Hilang gundahnya saat Zaitun memberitahu Juwita keluar bersama Zailani.
Entah mengapa semakin hari, hatinya semakin resah bila tidak melihat Juwita pulang dengan selamat. Lebih-lebih lagi semenjak peristiwa Juwita diculik.
"Amboi... happynya dia balik dating." Juwita ketawa mendengar usikan Zailani. Jam dipergelangan tangan kirinya ditilik seketika.
"Kenapa kau tak tidur lagi?" Juwita melabuhkan punggungnya di depan Haris.
"Saja ambil angin. Memang selalu aku duduk sini ambil angin. Kau je tak tahu. Pukul sepuluh je dah merap dalam bilik." Haris mengusik. Juwita ketawa.
Haris seakan terpukau dengan ketawa Juwita. Sejak mereka bertemu semua, susah baginya melihat ketawa yang benar-benar ikhlas dari Juwita.
Hembusan angin pada malam itu sungguh menenangkan. Terasa damai hati mereka di situ. Rambut Juwita yang diterbangkan angin, segera dipegang. Dia terus menggulung rambutnya lalu disepit menggunakan sepit rambut yang diambil dari dalam tas tangannya.
"Aku happy tengok kau macam ni. Mudah ketawa. Muka tak ketat serupa tertelan buah kudur." Berkerut dahi Juwita mendengarnya. Haris ketawa lepas. Juwita terdiam. Mula berfikir seteruk itukah dia selama ini.
"Teruk sangat ke aku?" Ada nada kecewa. Haris berubah riak. Rasa bersalah pula.
"Tak. Kau tak teruk. Mungkin apa yang pernah berlaku buat hati kau jadi keras macam tu. Tapi aku yakin dan percaya, kau tak sekeras mana. Cuma bertahan disebalik sisa-sisa kekuatan yang ada." Juwita terpempam seketika.
Benar. Hatinya rapuh. Dia cuba beriak biasa. Mengeraskan hati dari sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal. Luaran yang nampak bersahaja. Tapi dalamannya tiada siapa tahu. Bahkan tiada siapa tahu saban malam dia ditemani air mata. Terus teguh berdiri demi mereka yang disayangi. Tanpa mereka, dia sendiri tidak tahu kemana arah tujunya.
Apa lagi yang dia punya? Dia tiada apa. Harga dan maruah diri telah lama tercemar. Juwita tertunduk apabila memikirkan tentang itu. Satu-satunya perkara yang sering mengusarkan hatinya. Mampukah dirinya diterima seadanya dia? Apa lagi yang mahu dibanggakan? Dia tidak punya apa untuk dipersembahkan sebagai bukti ketulusan dan kesucian cintanya buat insan bergelar suami nanti.
Haris dapat mengesan wajah mendung Juwita. Sejenak dia mula terfikir kata-katanya mampu mencuit hati Juwita yang terlalu rapuh.
"Jangan bimbang Ju. Aku akan sentiasa ada untuk kau." Haris mengukir senyum pada Juwita. Juwita turut mengukir senyum nipis.
*****
ALIYA tahan hati melihat kemesraan Zailani dan Juwita di mall tadi. Hatinya bagai disiat-siat. Kenapa? Kenapa Zailani tidak mahu melayannya sebegitu? Bahkan satu universiti mengata Zailani gay apabila dia berubah perwatakan tapi Aliya yakin dan percaya Zailani bukan gay.
Kemarahan yang sedari tadi dipendam tidak mampu dibendung lagi. Habis dilemparkan barang-barang yang berada di atas almari solek. Berkecai botol perfumenya. Wangian Gucci Floral memenuhi kamarnya.
Aliya meraung menangis bagai orang hilang akal. Tak cukup dengan itu, cadar yang tersarung kemas ditariknya. Habis berantakan bilik itu. Kerusi kecil disudut tepi bilik juga terbalik dikerjakan.
Sudah seminggu dia di situ. Hatinya berat untuk meninggalkan Melaka. Kerana itu, dia dengan rela hati duduk di situ. Sanggup dia menguruskan butik mamanya yang berada di situ.
"Sales sini teruklah Ma. Bagi Liya pantau branch sini beberapa bulan. Then Liya balik. Lagipun dekat sikit Liya dengan Azmer." Masih teringat pembohongan dia pada mamanya. Aliya tersengih.
Datin Mawar percaya bulat-bulat katanya. Apatah lagi bila nama Azmer dikait sama. Memang besar harapan Datin Mawar untuk menjodohkan mereka. Bahkan perkenalan mereka juga diatur oleh mamanya.
Ya... Datin Mawar seorang yang cerewet. Bahkan soal jodoh anak-anak juga dicampur sama. Bukan sebarangan orang boleh berganding dengan anak-anaknya.
Aliya hanya menerima dengan hati yang terpaksa. Itupun selepas Datin Mawar membentak kerana Aliya sering melawan keinginannya. Dulu, dia ingin menghantar Aliya sambung belajar diluar negara tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan tidak mahu berjauhan dengannya. Kerana sayang dia turunkan walau bukan dengan rela hati.
Jadi demi mengelakkan Datin Mawar terus mengungkit hal itu, Aliya terima juga lamaran dari keluarga Azmer setelah bertahun mereka berkawan. Itu semua atas desakan Datin Mawar.
Walau Azmer maklum soal hatinya yang hanya ada Zailani, Azmer tidak pernah putus asa. Apa saja kehendak dan kemahuan Aliya diturutkan. Tidak pernah sekalipun dia mengeluh.
Aliya dapat melihat dengan jelas betapa Azmer menyayangi dan menyintainya namun entah mengapa terlalu sukar untuk dia membuka pintu hatinya buat Azmer.
Aliya memerhatikan biliknya yang bersepah teruk. Terduduk dia dibirai katil. Wajahnya diraup kesal. Sudahnya dia sendiri yang susah. Habis bersepah biliknya. Namun dia tidak peduli kerana dia tahu bukan dia yang akan menguruskan semuanya.
Share this novel