Bab 17 : Musuh Jangan Dicari

Romance Series 403831

"Anis, Anis kau keluar sekarang. Aku tahu kau ada dalam rumah ni. Kau keluar sekarang. Kau tak malu ke hah dok ganggu rumahtangga orang. Nak merampas laki aku?" Pintu rumah Arshad diketuk kuat, melampiaskan marah yang bersarang.

Mereka sekeluarga yang baru sahaja selesai makan malam sedang santai duduk bertenang di meja, bersembang isu-isu terkini, juga isu jawapan Idris petang tadi, tatkala mereka mendengar ketukan kuat dari tetamu yang tidak diundang itu.

Anne santai memakai tudung sarung yang diambil dari biliknya. Kemudian, berlenggang kangkung dia menuju ke pintu utama rumahnya. Buka sahaja pintu, tersembul wajah Dalina dengan matanya yang memerah dan bengkak, seakan baru sahaja selesai menghamburkan emosi dengan tangisan.

Di belakangnya, ada Azlan yang sedang merayu Dalina merendahkan suaranya. Bimbang didengari oleh jiran terdekat rumah Arshad ini, sekaligus menimbulkan tanda tanya dan menjatuhkan air muka Arshad sekeluarga.

"Kenapa? Maruah dia lagi penting ke dari maruah saya sebagai isteri awak? Siapa yang tak malu dok kejar-kejar suami orang sekarang ni? Siapa yang berusaha keras nak merosakkan rumahtangga orang sekarang ni?" Tempik Dalina lagi.

"Shhhh sayang. Jangan lah macam ni. Malu lah, Khaira ada dalam kereta tu. Kita balik dulu, bincang dekat hotel." Pujuk Azlan lagi.

"Eh korang laki bini ni memang jenis tak ada adab eh? Datang terjah-terjah rumah orang. Datang berbincang pujuk-memujuk depan rumah orang. Tak boleh eh buat group WhatsApp, senaraikan dulu agenda pergaduhan dan pujukan tu tanpa melibatkan orang lain?" Anne tayangkan riak wajah bosan.

"Kau nak musnahkan rumahtangga aku. Aku kena diam je? Aku kena pasrah je ke?" Soal Dalina dengan garang.

"Tak, aku tak cakap pun kena diam je. Masalahnya, kau salah orang. Yang patut kau marah, yang patut kau serang, laki kau. Bukan aku. Aku berhenti dari kerja, bagi notis 24 jam, terus pindah balik kampung, semata-mata demi nak jauhkan diri dari laki kau tu.

Tapi kalau dah dia yang datang cari aku dekat sini, aku nak buat apa? Memang dia tahu rumah aku ni sebab dia selalu datang rumah ni waktu kami berkawan dulu. Salah aku lagi ke?" Soal Anne kembali.

Dalina mendengus.

"Macam mana bukan salah kau, kalau kau yang melayan Azlan dekat WhatsApp? Siap bersayang-sayang lagi. Please lah jangan nak berlagak suci. Perempuan munafik macam kau lah yang sampai hati meruntuhkan rumahtangga orang lain." Balas Dalina dengan esakan yang masih bersisa.

Arshad dan Fauziah sudah terkejut mendengar ayat Dalina. Anak perempuan mereka betul-betul melayan Azlan, berskandal dengan laki orang?

"Betul ke apa yang dia cakap tu? Kau mesej-mesej dengan jantan tak guna tu lagi?" Tanya Arshad garang.

"Mana ada! Ayah bukan tak ingat apa yang dia buat dekat Anis dulu, ayah ingat mudah-mudah Anis tak terima dia semula? Memang tak lah. Anis takkan jilat ludah Anis balik.

Baik kita suruh Azlan tunjukkan handphone dia. Anis sanggup tunjuk handphone Anis sebagai bukti yang Anis tak ada nak mesej dia senyap-senyap belakang sesiapa." Balas Anne pantas.

Gila Anne mahu berdiam diri dan tidak membalas dengan cepat soalan ayah. Mahunya ayah panggil ayah si Bibah tu, kahwinkan mereka malam ini terus, tak ke gila Bibah dan adik-beradiknya hendak menerima kenyataan dia jadi mak tiri si Bibah?

Nehi heyyyy! Never! Sebaya ayah kot bapak di Bibah tu.

"Tak ada. Dia dah padamkan semua mesej. Tapi aku sempat screenshot nombor telefon dan perbualan korang." Balas Dalina dengan penuh keyakinan.

"Tunjukkan lah nombor telefon 'Anis' yang kau cakap tu." Arah Anne lagi.

Dalina mengeluarkan telefonnya. Laju sahaja skrin itu disentuh, membuka menu Gallery dan menunjukkan gambar nombor telefon skandal suaminya.

"Nope, tu bukan nombor telefon aku. Kau boleh cuba call, nak masuk dalam rumah buat spot check pun boleh." Anne beralih dari kedudukannya yang sedang berdiri tegak dihadapan Dalina.

Dalina mendengus geram buat ke sekian kalinya. Namun pantas sahaja di dail nombor telefon itu. Ada suara perempuan menjawab telefon itu.

"Assalamualaikum, ni Anis ke?" Tanya Dalina, tanpa sedar bercakap sopan dengan orang yang menyambut panggilan itu.

"Waalaikumussalam. Anis? Tak ada yang nama Anis dekat sini. Cik salah nombor ni." Jawab perempuan itu.

"Ni siapa yang bercakap?" Tanya Dalina lagi.

"Saya Orked." Balas Orked sopan.

"Ohhh, Orked. Orked Solehah...?" Telefon dalam genggaman tangan Dalina itu perlahan melorot dari telinganya, jatuh ke sisi Dalina.

"Eh mana cik tahu nama penuh saya?" Tanya Orked dengan suara yang teruja namun tanpa apa-apa jawapan, Dalina menamatkan sahaja panggilan itu.

Orked Solehah. Model yang pernah digunakan khidmatnya dalam salah satu iklan yang dihasilkan oleh syarikat ayahnya. Dicadangkan oleh suaminya. Tidak terfikir langsung. Apatah lagi, gambar profile di aplikasi WhatsApp Orked itu hanya menggunakan gambar kucing. Dalina mengetap bibir, kuat.

Selama ini dia terlalu yakin orang ketiga adalah Anis sehingga tidak terfikir untuk dia menghubungi nombor telefon yang diperolehinya. Hari ini, dia kalah lagi di hadapan Anis. Betul cakap Anis, orang yang diserang adalah orang yang salah.

Manusia yang patut dia belasah adalah Azlan. Lelaki yang tega menghancurkan hatinya berkali-kali walaupun usia perkahwinan mereka masih belum cukup lama lagi.

"Balik hotel, mandi, makan, rehat. Puan Dalina tak payah risaukan saya. Saya takkan sesekali jadi orang ketiga dalam rumahtangga sesiapa, apatah lagi rumahtangga puan dan Azlan. Azlan tu masa lalu saya.

Lagi pun, puan tengoklah saya ni. Gemuk. Azlan tak suka orang yang gemuk. Sebab tu dia pilih untuk kahwin dengan puan dan tinggalkan saya. Puan cantik. Ada segala-galanya. Kalau Azlan sia-siakan puan, puan tak perlu risau apa-apa melainkan angkat kaki sahaja.

Mulakan hidup baru dengan anak. Jaga anak baik-baik. Jangan sebab nak bela Azlan, puan hilang anak pulak. Jangan jadi beauty without the brain." Sempat dibasuh otak Dalina itu supaya lebih rasional dalam berfikir dan bertindak agar tidak terlanjur menjatuhkan maruah diri sendiri.

Perlahan-lahan, Dalina melangkah menuju ke keretanya. Azlan yang terkedu masih berdiri tegak seperti patung. Hanya selepas kereta Dalina meninggalkan perkarangan rumah Arshad, dia seolah baru tersedar yang terus masuk ke keretanya sendiri untuk mengejar Dalina.

"Lelaki ni, sekali bodoh, sampai bila-bila bodoh..." Bebel Anne.

"Ehemmm, berhati-hati sikit bercakap. Ayah ni pun lelaki jugak." Balas Arshad.

"...selain dari ayah, Anas, Anif, bang ngah Anwar, dan jugak Ansori Anak Umi." Balas Anne.

"Nasib baik buat pengecualian. Kalau tak, ayah tak bagi duit belanja dah." Arshad bertepuk tangan.

"Musuh jangan dicari ayah. Anis dah lah tak ada kerja sekarang ni. Income tak tetap. Anis mengharapkan ihsan dari duit pencen ayah je ni." Usik Anne.

"Anak perempuan memang sama macam maknya. Habiskan duit ayah aje. Tapi tu tadi, Ansori Anak Umi? Siapa?" Tanya Arshad.

"Penulis buku apa entah tu. Kakak suka sangat dekat dia. Masalahnya, orang tu tak tunjuk muka pun. Tak nak dikenali." Balas Anas.

"Tak tunjuk muka, tak kenal, mana tahu baik?" Soal Arshad lagi.

Anne sekadar membalas dengan senyuman kelat.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience