Bab 32: Derita

Romance Series 20066

"HOI! Korang buat apa?" sergah Damia apabila dia melihat ada tiga budak lelaki sedang mengerumuni Syafiqah. Syafiqah pula hanya menutup kedua-dua belah telinganya dengan telapak tangan.

Hari ni, dia ambil tugas yang selalu digalas Syafiq selama ini iaitu mengambil Syafiqah pulang dari sekolah. Motosikal EX5 milik suaminya dipinjam dan berkobar-kobar dia mahu menjemput Syafiqah. Tapi apabila tiba je di luar pagar sekolah, rasa geramnya kian tercabar menyaksikan situasi tu.

Damia turun dari motosikalnya. Langkahnya semakin laju mendekati Syafiqah yang terus memeluk dirinya. Tetapi matanya masih memandang tajam budak-budak lelaki yang sedang membuli Syafiqah tadi.

"Korang buat apa dengan Syafiqah, ha?" tanya Damia dengan nada tegasnya tak ubah seperti seorang ibu tiri.

Pelajar-pelajar lelaki itu tertunduk kaku. Kaki mereka umpama sudah melekat di tanah. Nak lari, tapi macam tak boleh pula. Masing-masing terketar dengan kemunculan singa betina tu yang bila-bila masa saja boleh membaham mereka.

"Korang ni memang tak malu ke buli budak perempuan? Apa korang ingat korang nampak hebat ke membuli orang ni?" Bercekak pinggang Damia sembur amarahnya. "Lepas ni, akak tak nak tengok dah korang buli Syafiqah. Kalau tak, akak report kat mak bapak korang. Faham tak?" sambungnya.

"Faham ... kak." Takut-takut budak-budak lelaki itu bersuara.

"Cepat mintak maaf dengan Syafiqah sekarang."

"Kami mintak maaf ..."

"Bagus. Dah, pergi balik!" tempik Damia lantang. Berterabur habis budak-budak lelaki itu berlari. Tahu pun takut.

Damia tersenyum lebar. Puas dia tengok budk-budak tu kecut perut. Ingat kental sangat hati tu. Ini baru kena sergah sedikit, dah pucat.

"Syafiqah okey tak?" tanya Damia sambil melihat-lihat keadaan diri Syafiqah.

Syafiqah menggeleng. "Syafiqah okey. Terima kasih, Kak Damia."

"Sama-sama. Lain kali kalau ada budak-budak nak buli Syafiqah, bagitahu je akak. Akak boleh settlekan diorang tu," ucap Damia bangga diri.

Syafiqah tersenyum segaris. Terhibur juga dia dengan celoteh kakak iparnya ini. Sedikit sebanyak hatinya yang dirudum resah dapat dia lupakan.

Damia lorekkan senyuman. Suka dia tengok Syafiqah tersenyum begini setelah dua hari wajah Syafiqah diselubungi muram. Bukan dia saja perasan dengan perubahan ketara Syafiqah itu, bahkan Syafiq juga.

Sejak dua hari yang lepas, Syafiqah lebih banyak mendiamkan dan mengasingkan dirinya. Mahu makan pun dia seperti tak ada selera. Mahu berbual pun, nak tak nak aje dia membuka mulut. Dalam erti lain, perangai Syafiqah itu luar daripada kebiasaan.

Mereka tak tahu punca Syafiqah menjadi sebegitu. Sudah banyak kali ditanya, tetapi apa yang dijawab Syafiqah, dia hanya mengatakan dirinya penat. Itulah jawapan yang berkali-kali diulang apabila ditanya.

Tapi mujurlah, kejadian tadi seakan memberi petunjuk tentang perubahan sikap Syafiqah itu. Sekurang-kurangnya, punca masalah yang Syafiqah hadapi sudah berada dalam pengetahuan Damia dan sudah dia selesaikan.

*****

"Betul ke tadi adik kena buli lagi?" tanya Syafiq tatkala masing-masing sedang asyik menikmati makan tengah hari.

Syafiqah telan liur. Dipandang wajah Damia sesaat sebelum kepalanya tertunduk. Kejadian tadi pasti sudah dilaporkan oleh kakak iparnya itu. Lambat-lambat kepalanya diangguk.

Dia tak memarahi dengan sikap Damia yang tak ubah macam penyampai berita tu, tetapi dia agak kesal kerana masalah sebenarnya masih belum diketahui oleh abang dan kakak iparnya.

Mereka tak peka!

Syafiq hela nafas. "Kenapa adik tak bagitahu along? Kenapa adik pendam masalah ni sorang-sorang? Tahu tak sejak dua menjak ni, along dengan Kak Damia risau tau dengan perubahan adik?" tegur Syafiq walaupun nadanya tidak kedengaran tegas. Nada suaranya masih mampu dikawal.

Syafiqah masih tertunduk. Masakan dia tak tahu akan perubahan sikapnya sendiri. Dia sendiri yang memilih untuk menyendiri tak seperti kebiasaan.

"Syafiqah mintak maaf ..." ucap Syafiqah. Tubir matanya sudah bergenang dengan air. Teguran abangnya tadi kedengaran lembut saja tetapi entah kenapa, hatinya menjadi sensitif. Abangnya tidak tahu akan dugaan sebenar yang dia hadapi.

Damia terus menggenggam tangan Syafiq dan matanya umpama cuba menyampaikan sesuatu kepada suaminya itu. Dia sedar akan perubahan wajah Syafiqah yang hampir menangis. Takut juga kalau Syafiq meneruskan dengan kata nasihatnya, makin melaju pula air mata Syafiqah itu jatuh.

"Syafiqah jangan sedih-sedih tau. Kak Damia dengan along tak marah pun. Kami sayang Syafiqah." Tangan kiri Damia mencapai tangan milik Syafiqah lalu mengusapnya lembut. "Pasal pembuli tadi tu jangan risau. Kak Damia jamin diorang tak berani dah kacau Syafiqah."

Syafiqah tak ada masalah dengan pembuli tu, tapi Syafiqah ada masalah dengan Mak Siti! Mak Siti dera Syafiqah! Nak je Syafiqah menjerit sekuat mungkin tetapi ayat itu hanya tertahan di dalam hati.

Ugutan Mak Siti beberapa hari lepas masih terngiang-ngiang dalam kepala. Tak sanggup dia beritahu perkara sebenar kepada along dan Kak Damianya. Nanti makin teruk pula derita yang dihadapinya.

Tak apa, Syafiqah. Untuk seminggu ni, aku kena bertahan sekejap dengan Mak Siti tu. Minggu depan, segalanya akan normal bila Kak Damia mulai kembali menemani di rumah Mak Siti. Mana mungkin Mak Siti nak mendera aku depan Kak Damia. Hati Syafiqah berbisik sendiri agar semangat dalam dirinya tak akan pudar.

*****

"Abang! Hangit sate tu," jerit Damia apabila dia tersedar sate yang dibakar Syafiq sudah berkepul-kepul asapnya.

"Allahuakbar ..." Syafiq cepat-cepat mengalih beberapa cucuk sate tu. Tapi malangnya, semuanya sudah berubah hitam legam. Itulah, dari tadi termenung saja kerjanya.

Punah. Sate tersebut sudah tak dapat diselamatkan lagi. Terpaksalah Syafiq buang sate itu ke dalam beg plastik sampah hitam.

Kan dah membazir. Dahlah membazir, lepas tu buang masa pelanggan yang menunggu pula.

"Abang okey tak ni? Dari tadi saya tengok abang macam terfikirkan sesuatu je," tanya Damia sambil tangannya ligat membantu Syafiq membakar sate yang baru.

Syafiq senyap. Hanya tangannya sahaja yang laju bekerja. Memang tadi fikirannya melayang tentang perkara lain. Dia berasa hatinya tak tenteram memikirkan Syafiqah. Tiba-tiba saja nama dan keadaan adiknya membuatnya sedikit gelisah.

Tadi sewaktu dia menghantar Syafiqah ke rumah Mak Siti, berlari-lari anak adiknya itu masuk ke dalam rumah tanpa sempat pun adiknya bersalam dengannya mahupun Damia. Syafiqah langsung menerobos saja Mak Siti di luar pintu tanpa sedikit pun menyapa atau memandang wajah orang tua tu.

Biarpun Syafiq memanggil berkali-kali adiknya itu tadi, tetap adiknya tidak menyahut. Mak Siti hanya tercegat di depan pintu dan diam seperti biasa. Syafiq masih tak dapat menebak apa yang sedang dialami Syafiqah. Tapi rasa ragu-ragunya makin mencanak-canak.

"Abang terfikirkan Syafiqah ke?" Damia menambahkan lagi soalan tanpa sempat Syafiq menjawab. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran suaminya itu dari tadi. Malah, dia turut perasan akan sikap janggal adik iparnya tadi.

Syafiq hela nafas. Tak tahu mahu mengiyakan atau menidakkan. Fikirannya buntu padahal dia belum tahu lagi tentang semua kebenaran yang terjadi. Firasatnya terus mengatakan ada sesuatu yang tak kena sebelum dia membuka gerai ni lagi.

"Entahlah. Abang rasa tak sedap hati, Takut ada sesuatu jadi kat dia," akui Syafiq jujur. Bukannya mahu menuduh Mak Siti melakukan apa-apa, tapi hanya sekadar risaukan adiknya saja.

"Abang takut mak ada buat apa-apa kat Syafiqah?" tanya Damia lagi.

Syafiq telan liur. Baru aje dirinya tak mahu bersangka buruk dengan ibu mentuanya, tetapi isterinya pula yang bersangka begitu terhadap dirinya. "Abang tak nak tuduh apa-apa. Cuma ..."

Tangan Syafiq terus ditarik. Syafiq yang masih terpinga-pinga biarkan langkahnya menuruti Damia yang kalut-malut itu. Dibiarkan saja pelanggan-pelanggan yang menunggu di gerai tanpa sempat mereka mengumumkan sesuatu. Damia marah Syafiq ke?

Langkah mereka berdua terhenti tepat pada motosikal milik Syafiq. "Sayang, kenapa ni? Abang ada salah cakap ke?"

Tanpa menjawab soalan Syafiq, Damia meminta kunci motosikal dari suaminya tu. Syafiq bagi je kunci di dalam poketnya. Mulutnya masih tak henti meminta maaf. Nampak gayanya, memang betul Damia memarahi dirinya. Mana taknya, dia sudah menuduh ibu isterinya itu melakukan sesuatu yang bukan-bukan.

"Abang ... naik cepat," arah Damia usai menghidupkan enjin motosikal.

"Tapi ... nak pergi mana? Sayang marah abang?"

"Saya tak marah abang pun. Tapi saya pun rasa benda yang sama macam abang fikir kat Syafiqah tu. Cepat naik, bang," desak Damia sambil memulas-mulas handle motosikal tu. Dia sudah bersedia untuk memecut laju menuju ke rumah ibunya.

Syafiq tergamam tetapi sedikit rasa lega menyapa hatinya. Ternyata sangkaannya tidak benar sama sekali. Mujurlah fikirannya dan isterinya tidak bersanggah. Tak naklah kerana hal ini, dia dan isterinya itu saling bermasam muka.

Syafiq terus membonceng motosikal yang ditunggang Damia. Sempat juga dia meminta maaf kepada pelanggan-pelanggan yang ditinggalkan mereka. Bukan sengaja tinggalkan gerai, tetapi kerana ada hal 'kecemasan' saja. Lagipun sekejap lagi dia akan datang semula ke gerai.

Semoga apa yang kami fikirkan tu tak betul. Doa Syafiq dalam hati. Biarpun sangkaan dia dan Damia belum menemui titik kebenarannya, tapi nalurinya kuat menyatakan agar dia pergi bertemu Syafiqah sekarang. Mungkin kebenaran yang sebenar akan disaksikannya sebentar lagi.

*****

Syafiqah duduk memeluk lutut di atas katil. Tadi pintu bilik diketuk kuat oleh Mak Siti, siap ditambah pakej jeritan lagi. Tetapi Syafiqah tak hiraukan. Wanita tua itu mesti mahu memaksanya buat kerja rumah.

Tak naklah dia merelakan diri lagi menjadi pembantu rumah secara paksa. Mujurlah Mak Siti tiada kunci pendua, kalau tak pasti dia bakal dibelasah teruk. Tak boleh terbayang.

Cukuplah dua hari yang lepas, dia dipaksa mencuci baju dan mengemop lantai. Semalam pulak dia diarahkan mengemas bilik dan mencuci tandas. Hari ni, dia tak mahu buat kerja yang lebih berat dari hari-hari yang sebelumnya.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memerapkan diri di dalam bilik milik Kak Damianya. Dengan mengunci pintu sajalah dia dapat mengelakkan diri daripada bertemu dengan Mak Siti mahupun Nadia. Nak tengok muka dua beranak tu pun cukup membuatkan dia cemas.

Esok adalah hari terakhir dia datang berseorangan ke rumah Mak Siti. Selepas itu, dia akan datang semula ditemani Damia. Tapi, mampu ke dia bertahan menghadapi sisa hari yang tinggal tu?

Kalau esok dia datang ke sini, mesti Mak Siti takkan biarkan dia berkurung lagi di dalam bilik ni. Tadi dia masuk ke dalam bilik ni pun tanpa jangkaan Mak Siti. Itu pun dia dikira bernasib baik sebab Mak Siti tak sempat menghalang.

Apa yang perlu dibuatnya esok ialah tak perlu datang ke rumah ni lagi. Ya, itu sahaja jalan yang ada. Alasan yang munasabah harus diberikan agar niatnya besok mampu tercapai.

Nak bagitahu perkara sebenar yang dia dianiaya? Tidak! Syafiqah masih belum berani mahu berbuat demikian. Mak Siti itu licik. Bila-bila masa aje wanita itu boleh laksanakan dendamnya.

Dalam sibuk merencanakan rancangan, tiba-tiba perut Syafiqah meraung minta diisi. Dia usap perutnya yang terasa kosong. Memang dia tahan rasa lapar tu sejak petang tadi.

Difikirnya, perutnya mampu bertahan sampai malam, rupa-rupanya salah belaka. Perutnya makin galak menyanyi apabila hidungnya ditusuk bau yang sedap. Bau seperti sesuatu yang dibakar. Makin lama makin menyengat baunya.

Setengah jam menunggu, bau itu sudah tidak menusuk kuat hidungnya lagi tetapi perutnya tetap berdegil. Syafiqah meronta. Dia lapar sekarang ni.

Lagi tiga jam sebelum abang dan kakak iparnya datang mengambil. Dia tak boleh tahan sudah.

Sambil menggalas beg miliknya, pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Syafiqah menghendap suasana di luar ruang kamar itu. Takut juga kalau Mak Siti sedang menunggu.

Setelah memastikan tiada sesiapa yang berlegar, matanya kini tertumpu ke arah bilik Mak Siti pula. Bilik itu tertutup rapat! Syafiqah hembus nafas lega. Pasti wanita tua itu dah malas mahu mengarahnya keluar. Mungkin dah tertidur agaknya?

Bilik bersebelahan Mak Siti juga diamatinya. Juga tertutup rapat pintunya. Sekali lagi Syafiqah hembus nafas. Dia tahu bilik itu milik Nadia. Masakan dia tak tahu, semalam dia dipaksa mengemas bilik milik gadis mengada itu.

Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke tingkat bawah. Dia perlu makan untuk mengalas perutnya yang semakin mengganas. Dapat ratah lauk-pauk saja pun jadilah.

Tudung saji diangkat usai matanya mengawasi sekeliling. Matanya membulat melihat hidangan yang dimasak Mak Siti. Ikan siakap tiga rasa, ulam raja, sambal belacan dan telur dadar menjadi santapan mata. Semua lauk itu belum terusik lagi.

Liur ditelan. Tadi berniat hanya nak meratah lauk-pauk je, tapi nafsu makannya semakin membuak-buak pula.

Pantas tangannya mengambil pinggan lalu periuk nasi di hujung dapur menjadi sasaran. Rugi kalau lauk sedap, tapi tak dimakan dengan nasi.

"Hoi budak!"

Terkejut dengan suara lantang seseorang dari atas tangga, tanpa sengajanya pinggan yang digenggam Syafiqah terlepas daripada pegangan. Habis berderai pinggan bercorak bunga berwarna merah jambu tu.

Dipandang wajah Mak Siti yang berada di atas sedang merah padam. Giginya diketap kuat. Nafasnya juga turun naik.

Tanpa banyak bicara, susuk tubuh Syafiqah menjadi sasarannya. Rambut Syafiqah ditariknya kasar sebelum tubuh kecil itu ditolak kuat. Akibatnya, jatuh terlentang Syafiqah.

"Kau bagi pecah pinggan aku! Kau memang budak tak guna!" Kepala Syafiqah menjadi mangsa pukulan pula.

"Maaf, mak cik. Syafiqah ta ... tak sengaja. Syafiqah lapar tadi," rayu Syafiqah walaupun tangannya cuba melindungi dirinya dari pukulan tersebut, tetapi tetap saja tak berhasil.

"Kau sengaja berkurung kat bilik. Lepas tu kau bagi pecah pulak pinggan aku!" Dipijak perut Syafiqah berkali-kali sehingga terbatuk-batuk budak tu.

Syafiqah menjadi lemah. Suaranya macam dah tersekat kat kerongkong. Permintaan agar dirinya ditolong seseorang tak henti keluar dari mulut. Mengharapkan dirinya segera diselamatkan.

"Mak, apa yang bising-bising ..." Nadia yang baru memunculkan diri segera terdiam. Matanya terhala kepada Syafiqah yang telah rebah. Sekarang dia faham situasi yang berlaku tanpa perlu habiskan pertanyaannya.

"Kamu tengok budak ni! Dia bagi pecah pinggan mak, tau."

Nadia menggelengkan kepala. "Budak pembawa malang. Dahlah mengelat dari buat kerja. Yang tahu, nak makan je. Lepas tu, rosakkan barang orang pulak!"

Kata-kata Nadia menambahkan lagi bara api yang memarak dalam diri Mak Siti. Mak Siti yang sudah sedia kejam makin bertambah kejam jadinya.

Syafiqah dipaksa bangun dari rebahnya biarpun tubuhnya sudah lemah-longlai. Rambutnya ditarik lalu tubuhnya diheret menuju tepat ke arah meja makan.

Ketika rambutnya ditarik Mak Siti itu, tanpa sedar kakinya terpijak serpihan pinggan kaca yang pecah tadi. Syafiqah mengerang kesakitan.

Sakitnya bukan kepalang. Langkahnya terhenti mahu mengurangkan kesakitan yang menusuk telapak kakinya tetapi Mak Siti tak hiraukan. Malah rambut Syafiqah ditarik semakin kuat.

"Kau lapar sangat kan tadi? Kau nak makan sangat kan tadi? Okey jap, aku nak suap kau." Pinggan kosong dicapai lalu separuh telur dadar diambilnya.

Hak ... tuih!

Berkali-kali telur dadar itu diludah Mak Siti. Telur dadar berkuah air liur itu sempat digaul sebelum tangan Mak Siti menyumbat ia ke dalam mulut Syafiqah.

"Makan!" paksa Mak Siti sambil menekan-nekan sisa telur dadar masuk ke dalam mulut Syafiqah. Syafiqah yang makin galak menangis sudah tak berdaya melawan.

Nadia terus duduk di atas kerusi berhadapan mereka. Sempat dia tertawa kecil dengan aksi yang dia saksikan itu. Rasa macam seronok pulak aniaya anak orang.

"Mak!" Suara garau seseorang memecah segenap ruang dapur itu.

"Mak! Apa ni?" Kini suara yang lain pula menikam gegendang telinga.

Mujur gerangan yang dinanti datang tepat pada masanya. Doa Syafiqah agar dirinya diselamatkan segera termakbul. "Along ... Kak Damia ..." rintih Syafiqah.

Pantas tubuh Mak Siti ditolak kasar oleh Syafiq. Terundur selangkah dia ke belakang.

Syafiq mendapatkan tubuh Syafiqah yang kembali rebah. Luluh hatinya melihat keadaan semasa adiknya itu.

Lemah. Malah, kaki adiknya juga sudah dipenuhi dengan cecair berwarna merah.

"Apa yang mak dan kak long buat ni?" tempik Damia lagi.

"Kak long dan mak dah buat apa yang perlu kami buat. Tak payahlah kau nak buat-buat tanya," jawab Nadia bagi pihak ibunya.

Satu kali tamparan dihadiahkan atas jawapan sinis Nadia itu. Tamparan kuat yang mampu menggegarkan otak. Damia sudah tak mampu bertahan.

"Kau memang setan! Lebih baik kau naik sekarang kalau tak nak aku naik tangan lagi." Damia lepaskan amarah.

"Tak guna!" jerit Nadia lalu dia terus pergi menuju ke tingkat atas apabila Damia yang sedang meradang memaksanya berbuat demikian.

"Kamu tampar kak long kamu?" Giliran Mak Siti pula bersuara. Jelas riak terkejut yang terpapar pada wajahnya.

"Mak diam!" Kalau diikutkan, muka ibunya tu pun Damia mahu tampar. Tapi Damia belum gila lagi nak naik tangan kepada ibunya sendiri.

"Kamu dah berani jerit-jerit kat mak? Lepas tu kamu dah pandai naik tangan kat kakak kamu tu? Lepas kamu kahwin dengan jantan ni, makin menjadi-jadi pulak perangai kamu eh?" balas Mak Siti.

"Damia berubah bukan sebab saya tapi sebab mak!" Syafiq mencelah pertengkaran. "Apa yang isteri saya buat kat mak dan kak long tu memang betul. Syaitan bertopengkan manusia macam mak dan kak long memang layak kena layan macam tu!" tambah Syafiq lagi. Suaranya tertahan-tahan.

Apabila melibatkan Mak Siti, memang selama ini Syafiq kalah dan suka beralah. Dia tak kisah kalau dirinya dibenci sekalipun tetapi takkan sekali-kali dia menahan apabila melihat adiknya terseksa kerana dendam kesumat ibu mentuanya.

Kesabarannya runtuh. Rasa hormatnya terus goyah atas apa yang berlaku sekarang ini.

"Kurang ajar punya laki bini! Minggu lepas siap melalak, merayu mintak maaf kat aku, kononnya nak mintak restu. Sekarang nak salahkan aku pulak?" Meja makan diketuk sekali oleh Mak Siti. "Kau tu lembab. Kau dah tahu aku ni perangai syaitan, tapi tetap nak hantar adik kau kat sini suruh aku jaga. Dasar jantan bodoh!" Kini ketajaman lidahnya menikam Syafiq pula.

Kolam mata Syafiq terasa berat dengan takungan air. Bukan kerana dia sakit hati dengan kata-kata pedas Mak Siti, tetapi dia turut bersedih atas derita yang adiknya terima. Kerana kebencian Mak Siti terhadap dirinya, adiknya turut terkena tempias. Malah tempias yang diterima adiknya lebih parah.

"Mak jaga sikit mulut mak!" tegur Damia. "Mak dah dera Syafiqah. Mak tahu tak Syafiqah ni anak yatim? Mak tahu tak berdosa besar kalau aniaya anak yatim ni?" tambahnya tak puas hati.

"Ah! Berdosa besar konon. Korang laki bini lagi berdosa besar dengan aku. Kahwin tak dapat restu. Tak berkat. Sampai mati pun aku takkan restui hubungan korang tu. Biar sampai korang mati pun, perkahwinan korang takkan bahagia," bidas Mak Siti yang kini matanya tepat memanah Damia.

Syafiq terus mencempung Syafiqah. Tak boleh lama-lama dalam 'neraka' ni. Makin berdesing telinganya mendengar perbalahan itu. Lagipun, kaki Syafiqah perlu diubati segera.

"Kami tak perlukan restu dari seorang ibu macam mak." Lantang Syafiq bersuara. "Saya rela kalau mak nak aniaya saya. Tapi kalau melibatkan Syafiqah, saya takkan berdiam diri. Saya pun takkan maafkan perbuatan mak tu." Langkahnya terus dibuka.

Mak Siti menyeringai. "Takkan berdiam diri? Kau nak report polis?"

Syafiq hentikan langkahnya sambil mencempung adiknya. "Biar Allah je yang balas perbuatan mak." Itu sahaja ucapan yang mampu menembak tepat ke jiwa Mak Siti.

Mak Siti tegangkan rahang. Menantu biadab. Memang tak layak pun lelaki macam Syafiq tu masuk dalam keluarga aku. Desisnya dalam hati.

"Puas hati mak?" Sinis Damia memerli. "Angah terkilan dengan perangai mak." Tanpa menghiraukan ibunya, Damia membawa diri mengikut jejak suaminya.

"Aku tak hairanlah kalau korang nak menjauh dari aku pun. Aku lagi suka. Mulai hari ni, korang bertiga jangan datang rumah aku lagi dah!" jerit Mak Siti macam wanita meroyan.

Amarahnya yang makin membahang membuatkan dia menolak kesemua masakan yang terhidang di atas meja sehingga jatuh ke lantai. Habis berterabur hidangan yang dimasaknya tu.

Bersambung...

Mak Siti ni dah macam sakit mental je tengok...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience