BAB 6

Drama Completed 315

Ibu sedang sibuk menghidangkan makan tengahari. Di atas meja penuh
lauk-pauk tersedia. Aroma kari ikan sembilang menangkap deria bau Salim.
Ada sambal petai, ulam jantung pisang, kerabu pucuk beka dan pelbagai
lagi, termasuk sepiring ikan pekasam. Sungguh membuka selera.

“Apa yang dibuat tadi, lama di atas rumah?” soalan ibu mengejutkan
Salim. Air minum dituang perlahan-lahan ke dalam gelas. Salim membiarkan
soalan tidak dijawab.

“Mak!” Mata Salim terbeliak melihat tulisan pada dinding bahagian dalam
dapur rumah. Tulisan dari kapur tulis. Kedudukan papan dinding agak
tinggi dan menghadap ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Huruf-huruf
jawi yang tertera pada papan dinding itu sama seperti yang dilihatnya
pada buku catatan.

“Apa kena ni?” ujar Mak Embun.

“Tulisan siapa ni mak?”

“Cuba baca!”

“24 Rabi’ul awal 1329 –bawa turun semai masuk … fa ya ta qaf … qaf
atau fa?” bacaannya tersangkut. Huruf akhir tidak jelas.

“Petak,” ujar Mak Embun.

“Petak? Oh bendang lah ni,” ujar Salim.

“Anak semai elok,” Salim dapat membacanya dengan jelas.Mak Embun
tersenyum melihat kesungguhan Salim.

“Mak, nak tanya ni. Siapa perempuan yang bernama Intan, yang mak kenal
dalam kampung kita ni?” pertanyaan Salim mengejutkan Mak Embun.

“Intan?”

“Ya … nama perempuan itu adalah Intan, mak,” tutur Salim.

“Dah lama, mak tak dengar nama itu. Simpan buku tu elok-elok Salim. Mak
dah lama cari buku tu tapi tak jumpa. Puas dah mak punggah almari tak
jumpa. Satu lagi buku catatan latihan arwah ayah hang masa masuk askar
pun dah hilang. Banyak catatan dalam buku tu,” ujar Mak Embun. Salim
tidak perlu bertanya lagi. Kini, dia tahu siapa sebenarnya gadis dalam
potret tersebut.

“Mak. Arwah ayah banyak menyimpan rahsia. Salim tidak menyangka bahawa
ayah adalah salah seorang askar yang terlibat dalam usaha penangkapan
pengganas di Rawang. Kemudian ayah juga turut sama melaungkan kata-kata
keramat pada 31 Ogos 1957.”

Buku catatan itu kini, bukan lagi rahsia yang perlu disorok. Hatinya
menguntum senyum bila teringat catatan untuk seorang ‘Intan’, yang setia
menunggu ‘kekasih’ yang berjuang membela tanahair untuk sebuah
kemerdekaan. Teringat juga catatan melalui bait-bait sajak itu.’Malaya
pasti merdeka.’ Timbul semangat baru dalam dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience