8

Romance Completed 95763

"Ke mana pula dia pergi?" Kepalanya digaru. Ikram Benjamin meliarkan pandangannya pada setiap penjuru kawasan itu. Hanya ada beberapa penduduk saja yang lalu-lalang disitu.

Dia menutup semula pintu kereta. Kakinya melangkah mencari Anggun Dahlia. Dia mendail nombor perempuan itu. Tetapi tidak dijawab.

Dia memasuki sebuah taman kecil. Taman itu dibina dibelakang tapak hotel tersebut. Pelbagai jenis tanaman perhiasan dan pokok-pokok bunga ada disitu. Cantik. Lampu-lampu neon yang terpancar menyerikan lagi suasana disitu. Ada sebuah bangku panjang dan sebuah meja kayu berhampiran tembok taman itu. Dia meneruskan langkah mencari Anggun Dahlia.

Matanya menangkap kelibat seorang perempuan bertudung sedang berdiri berhampiran tembok batu-bata itu. Dia menarik senyum. Nafas juga dihela lega. Disitu rupanya Anggun Dahlia.

"Sayang." Gemersik suara itu menerjah masuk ke dalam rongga pendengaran Anggun Dahlia. Perempuan itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya.

"Sayang buat apa dekat sini? Puas abang cari. Tadi kata migraine? Dah kurang sakitnya?" Ikram Benjamin menghampiri Anggun Dahlia. Muram saja raut perempuan itu. Sakit sangat agaknya.

"Sakit kepala lagi. Lepas tu rasa mual. Tak tahan. Itu yang Dahlia keluar ambil angin dekat sini." Dia merapati Ikram Benjamin. Tubuh sasa itu dipeluk kemas. Mukanya disembam pada dada lelaki itu. Matanya dipejam sekejap. Melepaskan rasa berat dikepalanya.

Ikram Benjamin pula berdiri kaku. Seperti ada arus elektrik yang mengalir dalam tubuhnya. Seperti yang dikatakan tadi, dia belum pernah menyentuh Anggun Dahlia sejak bergelar suami kepada perempuan itu. Namun, tidak lama bibirnya menarik segaris senyuman. Pipinya dirasakan panas tiba-tiba. Adakah dia malu ketika itu? Kalau benar, alangkah indahnya perasaan itu. Dia masih lagi tersenyum sendiri.

Kemudian, matanya menyorot ke bawah. Memandang ke arah Anggun Dahlia yang sedang memeluknya. Desah nafas perempuan itu kedengaran berat. Mungkin keletihan. Pelukan itu dibalas semula. Tubuh Anggun Dahlia dirangkul semakin erat dengan batang tubuhnya. Biar perempuan itu selesa.

"Sayang. Jom, kita masuk bilik. Abang dah tempah bilik hotel untuk kita. Nanti sayang sambung tidur dekat atas." Dia berbicara disebelah telinga Anggun Dahlia. Kedua belah pipi perempuan itu dipegang lembut. Kemudian, dia menatap anak mata perempuan itu.

"Tak laratlah nak jalan. Kita duduk sini kejap boleh tak?" Dia masih memeluk Ikram Benjamin seperti tadi. Matanya dipejam menahan sakit yang semakin mencengkam kepala.

"Hmm,alright. Come." Ikram Benjamin melepaskan pelukan itu. Dia memimpin tangan Anggun Dahlia menuju ke bangku panjang.

"Sayang duduk sini. Tapi sekejap aje tau. Dekat sini sejuk." Perempuan itu mengangguk lemah. Ikram Benjamin kemudiannya melutut didepan perempuan itu. Kedua-dua tangan dingin Anggun Dahlia diramas lembut. Sesekali dia meniup haba panas dari mulutnya ke tangan itu. Dia mendongak. Matanya mencuri pandang ke arah perempuan itu. Pandangan mereka bertemu. Anggun Dahlia menarik senyum.

"Dahlia suka dekat sini. Sejuk. Cantik. Ada pokok bunga. Ada cahaya lampu yang cantik. Macam duduk dalam syurga." Dia memandang suasana disekelilingnya. Benar. Tempat itu selesa. Tenang. Aman dan cantik.

"Hmm,kita ada dekat syurga. Syurga dunia. Syurga yang wujudnya bidadari cantik macam sayang." Ikram Benjamin memandang perempuannya sambil tersenyum. Tangan Anggun Dahlia yang berada dalam genggamannya dibawa dekat ke bibirnya. Lantas, bibirnya mengucup lembut kedua-dua tangan itu. Lama. Matanya juga turut terpejam sama. Sambil ditemani bunyi cengkerik. Angin juga meniup lembut menampar tubuhnya. Bulan dan bintang turut memunculkan dirinya. Mungkin mereka juga mahu menjadi saksi setiap perbualan itu.

Suasana sepi seketika. Mungkin sedang melayan perasaan masing-masing. Ikram Benjamin bangun dan duduk bersebelahan Anggun Dahlia. Terus saja perempuan itu menyandarkan kepalanya pada bahunya.

"Sayang, tidur?" Soalan itu keluar dari mulut Ikram Benjamin. Senyap. Sudah tertidur agaknya perempuan itu. Dia membiarkan Anggun Dahlia dengan lenanya. Dia membuang pandang pada kaki langit. Ada bintang yang berkelip-kelip cahayanya. Dia menarik nafas menghirup udara malam itu. Kemudian, pandangannya jatuh pada Anggun Dahlia. Hujung bibirnya melorek senyuman.

"Abang harap kita berdua akan datang sini lagi nanti. Abang sayang Dahlia." Matanya berkaca. Dia menyorot pandang pada perempuan itu. Dia sedang lena.

"Dahlia pun sayangkan abang." Suara bisikan itu menerjah masuk dalam pendengarannya. Ikram Benjamin terpana dengan sebaris ayat itu. Dia yakin dia tidak salah dengar. Dia memandang Anggun Dahlia yang masih terpejam. Tidak lama itu, bibirnya mengukir senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience