ATILIA begitu kelam kabut ketika ini. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 minit pagi. Lagi setengah jam sahaja, jam akan menginjak ke pukul 8 pagi. Cermin mata dicari. Tudung sarung, terus disarungkan ke kepalanya. Dia sudah tidak sempat untuk menggosok tudung. Sepertimana yang dipakai oleh gadis zaman kini. Tudung bawal? Shawl? Semuanyalah. Dia bukanlah seorang wanita yang pandai bergaya. Nasib baiklah, Irfan bukan jenis lelaki yang kisahkan dengan penampilannya.
“Ah, lambat dah aku ni. Ini entah pukul berapa aku nak sampai kolej, kalau dah macam ni,” bebel Atilia, sambil berlari menuju ke anak tangga. Belum sempat kaki mencecah anak tangga, tiba-tiba sahaja tudungnya ditarik dari arah belakang. Atilia hampir sahaja terlentang. Nasib baik jugalah, dia dapat memegang pemegang tangga.
“Argh!” jerit Atilia.
Yasmin ketawa sekuat hatinya, apabila melihat gelagat adik tirinya tadi. Dia merasakan, ia begitu kelakar di pandangan matanya.
“Apa ni! Apa masalah akak ha? Kenapa suka sangat mengganggu Lia!” marah Atilia.
“Relaxlah. Aku saje je. Aku kan dah cakap sebelum ni, yang aku tak boleh tengok kau senang.” Yasmin tersenyum sinis.
“Malas Lia nak melayan akak ni. Buang masa Lia je! Tak tahulah, kenapa busuk sangat hati tu!”
“Kau cakap apa tadi! Busuk hati?” Yasmin mahu memarahi adik tirinya itu. Tetapi, Atilia sudah laju menuruni anak tangga.
Atilia tidak mahu berbalah dengan kakak tirinya itu. Buang masanya sahaja. Dia sudah semakin hampir ke muka pintu utama. Baru sahaja dia hendak membuka pintu tersebut, lengannya tiba-tiba sahaja ditarik oleh ibu tirinya pula.
“Pandai kau sekarang ni ya? Kau mengadu dengan papa kau, suruh cari orang gaji balik? Siapa suruh? Aku tak suruh, kau tahu tak? Makin melampau kau sekarang ni kan?” Juliana mula naik angin.
“Lah, iya ke mama? Aih dah pandai mengadu dekat uncle pula ya?” Yasmin berjalan menuruni anak tangga, dan menuju ke arah Atilia dan ibunya. Yasmin menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada, sambil tersenyum mengejek.
“Mak cik ni, kenapa nak marah saya pula? Tadi anak mak cik, sekarang mak cik pula? Biarlah saya nak suruh papa saya carikan orang gaji baru pun. Apa masalahnya? Lagipun papa saya mampu.”
“Eh, menjawab pula budak ni. Kau tu dah ada. Nak buat apa cari orang gaji lagi? Buang masa bayar orang gaji. Kau jangan ingat, kau anak kandung laki aku, kau boleh minta apa yang kau nak? Macam tu?”
“Sebab saya anak kandung dialah, saya ada hak, nak minta apa yang saya suka. Saya tak pahamlah, kenapa la papa saya ni boleh kahwin dengan mak cik? Apa yang papa saya pandang dekat mak cik pun, saya tak tahulah. Dengan anak pun sama, dua kali lima!”
Pang!
Pipi Atilia ditampar Juliana. Atilia merenung tajam ke arah ibu tirinya itu. Sungguh dia benar-benar sakit hati.
“Bunuhlah saya ni! Kalau itu boleh puaskan mak cik dengan Yasmin! Sampai bila-bila pun, saya takkan anggap mak cik ni mama saya!” Atilia berlari keluar dari rumah.
“Eh... eh... mama tengok tu, kurang ajar betul budak nerd ni. Nak je Yasmin lempang-lempang muka dia tu mama.” Yasmin berasa berang.
“Relax... mama dah bagi sedas dekat dia tadi. Berani ya, dia sekarang ni dengan aku.” Juliana bercekak pinggang.
“Dia jadi macam tu, sebab dia dah ada boyfriend. Mesti boyfriend dia yang ajar dia untuk melawan kita. Dulu diam je.”
“Apa maksud kamu, dia dah ada boyfriend? Handsome ke?”
“Tak handsome langsung. Dahlah nerd, sama macam si Lia tu. Lia tu sesuai dengan lelaki hodoh macam dia.” Yasmin ketawa kecil.
“Kamu tu, tak ada boyfriend ke? Si Lia yang hodoh tu pun, dah ada boyfriend. Kalau boleh, cari yang kaya sikit. Jangan cari yang miskin.”
“Nantilah. Tak ada masa la nak fikir. Ma, kalau uncle mati nanti, harta dia dapat dekat kita ke dekat anak dia?”
Laju sahaja, tangan Juliana mencubit lengan anaknya. “Kamu ni dah kenapa fikir sampai ke situ?”
“Aduh! Aduh! Sakitlah! Isy, mama ni. Habis tu mama kahwin dengan uncle, bukan sebab harta ke?” Yasmin menggosok-gosok lengannya menahan sakit.
“Memang la. Itu salah satunya juga. Tapi aku sayang orang tua tu. Dia tu baik. Tak macam ayah kamu.”
“Habis tu ayah, mama tak sayang ke?”
“Nak buat apa aku sayang ayah kamu tu. Kalau mama tak tuntut cerai dulu, tak merasa la kamu duduk rumah besar macam ni. Kereta Honda lagi kamu dapat. Entah-entah, mama rasa kita ni dah merempat dah, dekat bawah jambatan. Sudahlah, ayah kamu tu ambil dadah lagi. Isy, memang taklah.”
Yasmin tersengih. “Ya tak ya jugakan? Kalau tak, tak merasalah Yasmin bawak kereta besar tu. Hmm... dah alang-alang ni, Yasmin nak seribu ringgit ma.”
“Kamu ni asyik duit ajelah. Kamu nak buat apa duit banyak-banyak ni? Mana pergi duit, yang bapak tiri kamu bagi sebelum ni? Kamu tak simpan ke?”
“Isy, mama ni. Mana ada simpan. Ingat cukup ke, setiap minggu lima ratus? Uncle tu, dahlah kedekut. Yasmin nak belanja kawan karaoke la. Hari ni birthday kawan Yasmin. So, nak celebrate la. Malulah Yasmin. Mestilah Yasmin nak tunjuk yang Yasmin ni orang berada. Bolehlah mama. Yasmin balik lambat ya mama, malam ni.”
“Nasib baiklah, bapak tiri kamu tu setiap minggu bagi mama duit.”
Yasmin tersenyum gembira, kerana bakal mendapatkan wang dari mamanya. Untung juga bila dapat hidup kaya raya ni. Minta apa saja, dengan mudah, dia akan mendapatkan kesemuanya.
ATILIA tiba di kolejnya dalam pukul 7.55 minit pagi. Begitu laju dia memandu tadi. Nasib baiklah tiada apa yang berlaku pada dirinya.
“Lambat awak hari ni. Nasib baik lecturer tak masuk lagi. Awak okey tak ni? Pipi awak tu kenapa? Macam kena tampar je. Siapa buat tu? Ibu tiri awak ke kakak tiri awak?” soal Irfan bertalu-talu.
“Kalau ia pun bagi la saya duduk dulu. Penat tau, berlari tadi.”
“Yalah, sayang. Sorry.”
Wajah Atilia kemerahan. Kali kedua, Irfan memanggilnya sayang. “Hmm, tadi saya terbangun lambat. Tu yang lambat masuk ke kelas ni.”
“Tu pipi kenapa?” soal Irfan lagi.
“Yang ini?” Atilia memegang pipinya.
“Hmm, kena tampar dengan mak tiri saya.” Mendatar sahaja suara Atilia
“Awak ni. Tak beritahu ke dekat papa awak yang dorang selalu buli awak? Geram pula saya tengok.” Irfan menahan marah. Bukan sekali dia melihat pipi Atilia ditampar. Tetapi, sudah berkali-kali.
“Saya dah cakap dah. Tapi itulah, papa saya cakap biasalah tu bila nak mengajar anak. Saya pun dah jadi malas nak mengadu dah.” Atilia mengeluarkan buku dari begnya.
“Tak apalah awak, nanti dah habis belajar ni, saya masuk meminang awak okey? So, awak tak adalah nak hadap dia orang lagi. Awak akan hadap saya je tau? Saya akan layan awak macam princess.” Irfan tersengih.
“Yalah tu.” Atilia menjeling Irfan.
“Apa jeling-jeling. Tak elok tau jeling-jeling bakal suami ni.”
“Poyo la dia ni.”
“Apa pula poyo? Tapi, jadikan kita keluar petang ni?” soal Irfan lagi.
“Jadilah. Kan dah beritahu malam tadi,” jawab Atilia sambil mengangkat keningnya ke arah Irfan.
“Manalah tahu, tiba-tiba tak jadi ke?” Irfan tersenyum.
Atilia hanya tersenyum kecil memandang Irfan.
TENGAH HARI itu, Dato’ Bahar menuju ke Hospital Gleneagles bersama pemandunya Pian. Dia harus mengetahui keadaan Seth Zarif. Sesudah memarkirkan kereta, Dato’ Bahar menuju ke wad yang didiami Seth Zarif, sambil membawa sedikit buah tangan yang dibeli dari luar tadi.
Pintu bilik wad ditolak. Kelihatan Seth Zarif yang masih belum sedarkan diri lagi. Di sebelahnya ada seorang lelaki yang memakai jaket hitam sambil berdiri di tepi katil.
“Assalammualaikum,” ucap Dato’ Bahar, sambil meletakkan buah tangan tadi, di atas meja kecil.
“Waalaikummussalam, tuan ni siapa?” soal lelaki berjaket hitam itu.
“Saya Dato’ Bahar. Saya yang menyelamatkan Seth Zarif semalam.” Dato’ Bahar menghulurkan tangannya kepada lelaki di hadapannya.
Khalid menyambut salam Dato’ Bahar. “Oh, iya ke? Terima kasih banyak-banyak Dato’, sebab dah bantu majikan saya semalam. Saya pun tak sempat nak berjumpa dengan Dato’. Saya pengawal peribadi Tuan Seth Zarif. Nama saya Khalid.”
“Oh... Khalid. Macam mana dengan keadaan Seth Zarif? Dia sudah sedar ke belum?”
“Dia sudah sedar subuh tadi. Tapi sekarang dia tidur semula, lepas doktor suntikan ubat padanya.”
“Syukur alhamdulillah,” ucap Dato’ Bahar.
“Silap saya juga semalam. Semua salah saya. Sepatutnya saya halang dia. Selalunya saya yang memandu kereta. Tetapi disebabkan semalam tunang dia balik ke Malaysia, jadi tuan saya yang mahu memandu sendiri untuk mengambil tunangnya di airport,” jelas Khalid.
“Jangan cakap macam tu. Dah takdir, kita pun tak boleh nak elak. Yang penting sekarang ni, majikan awak pun dah selamat.”
“Khalid... Khalid...” panggil Seth Zarif dengan nada suaranya yang lemah.
“Eh, tuan dah bangun?” Khalid menuju ke arah Seth Zarif.
“Mana Sara?” soal Seth Zarif.
“Tunang tuan ada shooting tadi. Sekarang, dia dah on the way datang ke sini. Kejap lagi dia sampai. Tuan, ni Dato’ Bahar yang selamatkan tuan petang semalam.” Khalid memperkenalkan Seth Zarif kepada Dato’ Bahar.
“Oh, Dato’. Terima kasih sebab dah selamatkan saya semalam. Saya betul-betul terhutang budi dengan Dato’.”
“Sama-sama. Lagipun memang kebetulan saya lalu di situ. Syukur alhamdulillah, awak pun dah selamat. Nasib baik saya sempat tarik awak.”
“Saya pun bersyukur sangat-sangat Dato’. Allah masih panjangkan nyawa saya lagi. Dan terima kasih sekali lagi, sebab dah selamatkan saya.”
Dato’ Bahar sekadar mengangguk, sambil melemparkan sedikit senyuman ke arah Seth Zarif. Sungguh dia tidak sangka, kali pertama dia bertemu dengan seorang ahli perniagaan muda yang berjaya di hadapannya.
Sedang mereka berbual-bual, tiba-tiba muncul tunang Seth Zarif di muka pintu wad.
“Sayang! You okey tak ni? Sorry, I lambat datang tengok you. Tadi I ada shooting.” Sara berjalan laju menuju ke arah Seth Zarif yang sedang terbaring merenung ke arahnya. Sara melihat keadaan tunangnya yang mengalami luka kecil, di tangan dan wajahnya. Nasib baiklah, tidak begitu teruk.
“Tak apa. I okey je ni.”
“Nasib baik, wajah you tak cacat ke apa? Kalau tak, mesti you tak handsome dah.” Sara memuncungkan bibirnya.
Dato’ Bahar sedikit tersentak dengan kata-kata wanita itu. Cacat?
Seth Zarif pula hanya tersenyum kelat. Perlukah tunangnya mengatakan hal seperti itu di hadapan Dato’ Bahar?
“Apa kata doktor?” soal Sara lagi.
“Er, doktor belum cakap apa. Ni, I nak kenalkan Dato’ Bahar. Dialah yang selamatkan I semalam.” Seth Zarif memperkenalkan Sara kepada Dato’ Bahar.
Sara berpusing memandang ke arah Dato’ Bahar. “Ops, sorry. Tak perasan ada orang. Thank you so much Dato’, sebab dah tolong tunang I. Kalau tak ada you semalam, I tak tahulah apa yang akan jadi pada tunang I. Thank you so much.”
Dato’ Bahar melihat wanita di hadapannya. Tinggi lampai orangnya dan juga cantik. Sepadan pula dengan Seth Zarif yang sememangnya memiliki paras rupa yang cukup kacak.
“It’s okay. Kebetulan I memang lalu situ. Jadi, dah menjadi tanggungjawab I, untuk bantu Seth Zarif.”
Sara tersenyum manis.
“Baiklah Seth, saya balik dulu. Jaga diri baik-baik,” ucap Dato’ Bahar.
“Thanks Dato’, sebab sudi melawat saya.”
“Sama-sama.” Dato’ Bahar terus berlalu pergi meninggalkan hospital tersebut bersama Pian.
Dan sekarang ini, tinggallah Seth Zarif, Sara dan juga Khalid di situ.
“You, I betul-betul risau tahu tak? Bila Khalid call I semalam, beritahu yang you accident. Macam-macam yang I fikirkan tahu? Dahlah I duduk dekat KLIA tu sorang-sorang. I takut tahu tak? Nasib baik ada orang nak tumpangkan I balik. Yang you pun satu Khalid, kenapa tak you je yang drive? Kenapa bos you pulak yang kena drive? Ni nasib baik tak jadi apa-apa tahu tak? Kalau apa-apa jadi pada tunang I ni, memang I tak kan maafkan you Khalid.” Sara cuba memberi amaran.
“Maafkan saya Cik Sara. Saya tahu salah saya. Saya tak halang Tuan Seth semalam. Semuanya salah saya.” Khalid menunduk.
“Sudahlah tu. I kan dah selamat ni. Khalid tak salah pun. I yang beria nak ambil you semalam dekat KLIA. Tapi tak sangka pula I boleh accident. Hmm... tak apalah, Khalid awak keluarlah dulu. Nanti apa-apa hal, saya panggil awak,” arah Seth Zarif.
Seth Zarif mahu memujuk Sara, dalam masa yang sama, dia tidak mahu Sara memarahi pengawal peribadinya itu.
Khalid yang mendengar arahan majikannya tadi, terus sahaja berlalu keluar dan menunggu di luar pintu wad.
“Tengok tu. You sengaja tak nak bagi I marah pengawal peribadi you tu kan? I bukan apa, I takut jadi apa-apa dekat you nanti, macam mana?” Sara menggenggam tangan tunangnya.
“Khalid tu dah tua. You tak boleh nak marah-marah dia, macam dia tu budak-budak pula. Hormatlah sikit dengan Khalid tu.” Seth Zarif menggeleng perlahan.
“You ni, kenapa nak marah I pula? I cakap benda yang betulkan?”
“Sudahlah. I tak nak bertekak dengan you dengan benda kecil macam ni. I sakit ni.” Seth Zarif mengeluh sakit.
“Okay, I’m sorry. Janganlah marah I.” Sara mengusap pipi Seth Zarif dengan lembut.
Tidak lama itu, muncul seorang doktor india, menuju ke arah mereka berdua.
“Mr. Seth, how are you today?” soal Doktor Ravi.
“I’m fine doctor. Tapi itulah, badan I masih sakit lagi,” jawab Seth Zarif.
Doktor Ravi, mengangguk-anggukkan kepalanya. “Hmm, I datang ni ada benda yang I nak beritahu pada you Encik Seth. Tapi I rasa, better you seorang sahaja dalam bilik ni. It’s to personal,” terang Doktor Ravi, sambil menanggalkan cermin mata yang dipakainya.
Seth Zarif terasa seperti ada perkara penting yang ingin diberitahu oleh doktor tersebut. Entah kenapa, dia merasakan sesuatu yang berat yang bakal dihadapinya. Hatinya mula berasa tidak tenang. Adakah sesuatu yang buruk bakal berlaku pada dirinya?
“Eh, kenapa pula? Apa yang personal sangat? You beritahu ajelah doktor. Lagipun I bakal berkahwin dengan Seth. So, tak ada masalah kalau I tahu pun.” Sara tiba-tiba bersuara.
“Tak apalah doktor. You beritahu jelah dekat sini. Lagipun, dia bakal jadi isteri I juga nanti,” jawab Seth Zarif.
Sara merenung Seth Zarif sambil tersenyum.
“Okeylah, kalau you dah cakap macam tu, I akan beritahu. I hope, you all berdua tenang, dengan apa yang I nak sampaikan sebentar lagi,” terang Doktor Ravi.
Jantung Seth Zarif mula berdebar-debar. Janganlah ada perkara buruk yang berlaku. Apalah, yang mahu disampaikan oleh Doktor Ravi?
Share this novel