Bab 72 : Kehilangan - 2

Romance Series 403934

Walaupun bumi London secara perlahan beralih musim dari musim sejuk kepada musim bunga, namun suhunya masih cukup sejuk terutama buat orang Asia yang sudah terbiasa dengan cuaca negara tropika yang berada pada garisan Khatulistiwa, menghasilkan cuaca yang agak panas dan lembab. Di satu sudut kurungan itu, Idris menggigil keseorangan kerana tingkap kecil yang hanya cukup untuk cahaya masuk ke bilik bawah tanah itu dibiarkan terbuka luas.

Tiada makanan dibekalkan. Hanya sebotol kecil air mineral yang juga sudah kedinginan. Idris sekadar minum untuk menghilangkan dahaga. Terlalu sejuk sehinggakan tiada selera. Jari-jemarinya dikepit di celah ketiak supaya tidak lagi kesejukan dengan lebih teruk. Pelbagai helah dan seksaan dari Sam. Selepas ini, entah apa yang bakal mendatang. Entah apa yang akan Sam gunakan sebagai tebusan.

"Ikut aku, Sam nak jumpa." Berkeriut bunyi anak kunci besi berlaga tatkala pengawal itu membuka pintu, mengejutkan Idris yang matanya sudah hampir terlelap berbantalkan lengan tadi.

"Duduklah." Pelawa Sam apabila Idris melangkah masuk ke ruang tamu.

Idris menurut. Belum masanya untuk dia melawan memandangkan pihak lawan yang mempunyai segala kelebihan.

"Makan?" Pelawa Sam lagi.

Idris menggelengkan kepalanya sambil tersenyum kecil. Pandai Sam memancing seleranya dengan menghidangkan makanan kegemarannya. Ayam goreng kari kering. Menu yang pernah diberi resepinya kepada Sam. Kalau lah dapat dinikmati bersama nasi putih panas-panas, tentu sekarang ini dia sudah tersandar kekenyangan.

"Tak sudi? Ke takut ada racun?" Seketul kecil ayam itu Sam suap ke mulutnya sendiri.

Mencuba untuk memancing selera Idris. Namun Idris hanya tersenyum lagi sebelum membuka mulutnya.

"Tak lapar."

Sam menggelengkan kepala. Jawapan selamat dari Idris, menolak tetapi pada masa yang sama dia tidak di labelkan sebagai kurang ajar. Sama macam waktu dulu-dulu, Idris tetap cerdik.

"So, macam mana? Dah fikir masak-masak?" Sepotong daging stik pula disuap ke mulut.

"Aku nak balik." Balas Idris.

"Boleh. Lepas kau dah setuju untuk kembali bekerja dengan aku." Balas Sam sambil meletakkan semula garfunya.

Mati seleranya mendengarkan jawapan Idris.

"Tak boleh. Aku dah ada kehidupan baru." Tingkah Idris.

"Lebih seronok dari kehidupan dengan aku?" Kain yang digunakan untuk mengelap mulutnya, Sam campak ke tepi.

"Alhamdulillah, lebih tenang." Idris menggenggam kedua tangannya untuk mengurangkan debaran yang bersarang di dada.

"Kau bodoh lah Ris, kau tahu tak? Kau boleh dapat semua yang kau nak, tapi kau lebih memilih untuk bekerja makan gaji. Gaji pulak, langsung tak setimpal dengan bahaya yang kau kena tanggung. Macam mana kau boleh cakap yang kerja tu boleh beri kepuasan pada kau?

Kerja yang tak boleh beri kehidupan yang mewah, kerja yang tak selamat. Kerja yang tak menjamin apa-apa kejayaan. Stay dengan aku. Kau petik jari je, semua yang kau nak akan datang menyembah kau." Sekilas, wajah Idris yang masih menunjukkan riak tenang itu dipandangnya sebelum sebatang cerut pula dinyalakan.

"Sam, kau sendiri pernah cakap dekat aku. Sampai masanya kita akan penat berlari dari kenyataan. Kita akan penat mengejar mencari destinasi supaya boleh kita berhenti dari semua ini dan menghabiskan sisa hidup kita dengan tenang.

Aku dah jumpa destinasi aku. Aku dah penat berlari Sam. Aku dah penat tertanya-tanya pada diri aku setiap kali aku bertemu dengan seseorang yang menarik perhatian aku. Aku nak berhenti. Hidup dengan tenang. Destinasi aku ialah Anis Rumaysa. Aku nak hidup bahagia dengan dia.

Aku dah tak nak terlibat dengan semua ini Sam. Aku tak nak tipu isteri aku. Aku dah mulakan segalanya dengan baik. Aku tak nak timbul masalah lain dalam rumahtangga aku. Apa sekali pun tawaran kau, aku hanya nak Anis Rumaysa." Panjang lebar Idris menjawab soalan Sam.

Sam hanya berdecit, seraya menggeleng kepalanya.

"Destinasi kau salah Ris. Mustahil juga perjalanan yang seharusnya panjang berakhir dengan destinasi yang terlalu dekat. Bila kau akan sedar yang Anis Rumaysa yang kau agung-agungkan sangat tu cuma sekadar persinggahan dalam perjalanan menuju ke destinasi yang lebih baik?"

Wain putih yang hanya sesuku gelas itu pula di teguk dengan rakus. Idris turut terikut menelan air liur. Bukan dek kerana seleranya terpancing. Namun tersentak dek kasarnya gaya Sam meletakkan gelas itu kembali ke meja.

"Kalau kau tetap berdegil, tak apa. Kita tengok selama mana kau boleh bertahan tanpa makan dan minum. Lebih lama kau berfikir, lebih lama masa kau terpisah dengan isteri kau." Sam tersenyum sinis, sempat merasa kemenangan berpihak padanya apabila riak wajah Idris berubah kelam.

"Sam..."

"Bos..."

Idris terdiam, mengalah tatkala melihatkan Leo yang tergesa-gesa mendapatkan Sam selepas mereka memanggil Sam pada masa yang sama. Leo mendekatkan wajahnya pada telinga Sam, membisikkan sesuatu. Riak wajah Sam diperhatikan oleh Idris.

Tentu hal yang sangat penting, memandangkan Leo tidak menunggu sehingga Sam selesai berbicara dengannya.

"Betul itu dia?" Tanya Sam.

Leo mengangguk.

"Finally, Sabrina Mulder memunculkan diri." Sam tersenyum lagi, terasa nasib baik begitu berpihak kepadanya.

Sabrina Mulder? The MULDER? Woah, patutlah Sam terlalu gembira. Dengan munculnya pemilik nama itu, terbentang luas jalan Sam untuk menjalinkan kerjasama bersama Mulder itu. Menurut khabar angin yang tersebar, seluruh kekuasaan dan kekayaan Mulder diserahkan kepada cucu kesayangannya walaupun perempuan. Sesuatu yang jarang berlaku kerana selalunya keturunan lelaki yang lebih diutamakan.

Menurut khabar angin juga, ayah Sabrina asalnya melarikan diri ke Malaysia kerana telah memeluk agama Islam dan enggan melibatkan diri dalam dalam dunia ini lagi kerana telah terpikat dengan ibunya yang merupakan seorang wanita Islam. Namun mereka kembali semula ke Belanda tatkala anak mereka berusia tiga tahun.

"Kita boleh berbincang nanti. Aku ada urusan yang lebih penting untuk diuruskan. Come on Ris, peluang baik tak selalu jatuh ke riba. Masih ada masa untuk kau berfikir dan buat keputusan yang baik hanya selepas kau dah fikir masak-masak." Sam mula mengatur langkah untuk berangkat ke lokasi yang dikatakan menjadi tempat Sabrina Mulder menerima tetamu.

"Sam..." Panggil Idris.

Sam menghentikan langkahnya.

"Kau tak pernah ada rasa untuk tinggalkan semua ini dan balik ke Malaysia? Kembali semula ke agama Islam?" Tanya Idris dengan keberanian yang dibuat-buat.

Sam berpaling mencari wajah Idris. Dia jeda seketika sebelum mengukir senyuman sinis.

"Dengan keadaan diri aku yang dah terpalit dengan dosa dari pelbagai kejahatan, kau rasa masih ada ruang untuk tuhan terima aku semula? Mengampunkan aku seolah aku tidak pernah melakukan apa-apa?" Sinis juga nadanya melontarkan kembali soalan yang dirasakan pasti Idris tidak mempunyai jawapan.

"Kenapa tidak Sam? Kita hamba-Nya, selangkah kita berusaha untuk kembali ke pangkal jalan, beribu kali Allah sudi menerima kita. Asalkan kita nak bertaubat nasuha. Asalkan..." Belum tamat Idris memberi jawapan, Sam meneruskan langkahnya untuk tetap pergi meninggalkan ruangan itu.

Idris terdiam sehinggalah tatkala orang suruhan Sam menarik dirinya dengan kasar untuk dikembalikan semula ke tempat kurungan bersama sebuku roti dan sebotol kecil lagi air mineral. Dalam keadaan sekarang ini, bagaimana untuk dia melepaskan diri dan kembali kepada Rumaysa dengan selamat?

'Ya Allah, cukuplah Engkau menjadi penolong kami. Dan Engkau adalah sebaik-baik penolong. Sesungguhnya tiada tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau. Maha suci Engkau dari berbuat kezaliman, maka bantulah aku ya Allah. Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri.'

Berulang kali zikir itu diratib di dalam hati. Dengan sepenuh keyakinan dan iktikad di dalam hati bahawa tidak lama lagi dia bakal kembali ke sisi isteri yang paling dirindui.

"Anne, apa-apa pun, kau kena sabar. Pihak berkuasa dah bekerjasama untuk mencari suami kau. Aku rasa tak lama lagi pasti dia akan ditemui. Kau kena sabar, dan doa banyak-banyak supaya suami kau selamat sejahtera." Pujuk Sabrina.

Anis masih mendiamkan diri. Sesekali, esakan halusnya terlepas dan menyapa telinga Sabrina, menyesakkan lagi dadanya apabila mendengar sendiri bagaimana sengsara sahabatnya itu menanggung kesedihan apabila menerima khabar kehilangan suaminya nun jauh di luar negara.

"Kau ada dekat mana Sab?" Tanya Anis yang diselimuti rasa bersalah kerana sejak dari tadi Sabrina menghubunginya, tidak banyak patah perkataan yang keluar dari mulutnya.

"Aku..." Sabrina melihat sekeliling rumah agam milik datuknya, mencari idea untuk memberitahu keberadaan dirinya tanpa memberitahu tempat sebenarnya.

"Aku ada dekat tempat yang sejuk ni. Ada kena siapkan kerja sikit untuk klien. Kita cakap lagi nanti ya. Aku akan call kau lagi. Jaga diri Anne. Aku sayang kau. Aku tak nak apa-apa yang tak elok jadi dekat kau. Jangan lupa makan. Jaga diri baik baik."

"Oh di Cameron Highlands ya. Okey tak apalah kalau macam tu. Terima kasih, sebab walaupun kau sibuk, kau tetap cari masa untuk call aku. Assalamualaikum Sab." Balas Anis.

"Waalaikumussalam." Sabrina hanya merenung telefon itu yang taliannya sudah diputuskan oleh Anis.

"Tak lama lagi, insya Allah suami kau balik." Bisik Sabrina perlahan.

Sewaktu melangkah masuk, Sam hanya disapa oleh pembantu rumah agam yang sudah berusia tanpa sebarang suara. Pembantu rumah itu hanya menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan menunjukkan ruangan menunggu sementara Sabrina memunculkan dirinya.

Sam segera berdiri apabila terdengar bunyi derapan tapak kasut bertumit tinggi yang pada sangkaannya adalah milik Sabrina. Tepat sekali tekaannya. Sabrina melangkah masuk diiringi oleh beberapa lelaki berpakaian kemas yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dirinya sebagai pewaris Mulder.

"I want this man!" Sekeping gambar Idris dilemparkan ke atas meja dengan angkuhnya.

Sam menelan air liur. Idris tentunya berada dalam tahanannya. Cuma, kenapa Sabrina mahukan Idris?

"This man is my future husband. Dia sekarang hilang, disorok, and I want him." Sabrina melirik ke arah Sam yang kelihatan gelisah.

Sudah terang lagi bersuluh, Idris sedang disorok oleh Sam. Hanya lokasinya yang masih menjadi persoalan. Untuk apa Sabrina membuang masa dan tenaga jika dia mampu membuatkan Sam menyerahkan Idris terus ke pintu rumahnya?

Enjoy reading. Doakan N ya. Masih ada follow up dengan doktor. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk singgah dan membaca :) Love, N

Share this novel

Ella Halim
2022-07-26 01:06:50 

semoga bertambah sehat .,..N xada kesinambungan ke dan apa kesudahannya

Nur Azlina
2022-05-29 10:09:59 

tq update semoga sentiasa bertambah sihat sejahtera dan sentiasa dlm lindunganya aamin....


NovelPlus Premium

The best ads free experience