BAB 5

Family Completed 5571

SEPERTI yang dijanjikan, hari ini Nazirah akan ke bandar bersama dengan Aimi. Sebenarnya Aimi sengaja mengajak Nazirah sedangkan dia sebenarnya cuma ingin mencari kerja di bandar. Bukan mahu berjalan-jalan di bandar. Bila mengetahui tujuan sebenar kakaknya mengajak ke bandar, Nazirah mula menarik muka masam.

Setelah agak lama berjalan kaki mencari kerja, masih juga tak dapat-dapat. Aimi bukanlah seorang yang mudah berputus asa. 100 kali direject, 1000 kali dia akan cari kerja yang lain. Begitu kontra dengan Nazirah. Sudah beberapa kali dipujuk dan diajak Aimi untuk pulang ke rumah. Namun Aimi tidak mengendahkan pujukan dan rayuan si puteri bongsu.

Kakaknya itu lepasan universiti luar negara, layak dapat kerja yang bagus-bagus, di pejabat dan syarikat besar, bilik berair-cond. Tapi, dia tidak mengerti mengapa Aimi bersusah payah mencari kerja di kedai-kedai tepi jalan. Dari sebesar kedai, hingga sekecil-kecil kedai, samua menolak. Dari gaji kecil, sampai ke besar, semua menolak. Entah kenapa.

“Jom, makan dekat kedai depan sana.” Aimi mengajak Nazirah untuk ke sebuah restoran yang berdekatan dengan tempat mereka sedang berdiri.

Aimi tidaklah terlalu kejam. Dia kenal adiknya. Kena panas sahaja, mulalah wajah dan tangannya kemerah-merahan. Puteri lilin sungguhlah. Sebab itu dia manja. Abah dan emak sangat-sangat menjaganya dengan rapi sejak dari kecil kerana kelemahannya yang satu itu. Lagipula, mereka berdua belum makan dari tadi, tidak salah mereka singgah makan di gerai yang ada.

Nazirah pula hanya bersetuju dengan cadangan kakaknya memandangkan perutnya sudah menyanyikan pelbagai muzik kerana kelaparan. Kalau hari-hari berjalan begini, dari kurus boleh melidi. Fikir Nazirah, dapatlah satu dua baju di bandar. Rupanya dapat lelah.

Aimi jalan beriringan dengan adiknya. Sesekali dipandang adiknya yang mengelap peluh di dahi. Nasiblah dibawa topinya, kalau tidak pasti sudah terbakar wajahnya. Aimi memandang adiknya yang sedang mengibas wajahnya sendiri dengan tangan. Tergeleng-geleng Aimi dibuatnya. Dia pasti adiknya ada masalah yang disembunyikan. Jadi, ini cuma satu cara halus supaya Nazirah bercerita. Andai tak berkesan, ada seribu cara lagi dah direncanakan oleh Aimi.

Sampai di kedai makan itu, adiknya cepat-cepat mengambil tempat di bawah kipas. Kepanasan sangatlah tu. Kalau orang lain melihat, pasti dikatakan Nazirah ni orang bandar yang tak biasa kena panas, sedangkan itu memang kelemahan dirinya sejak dari kecil. Dia tahu Nazirah mampu, maka Dia ujilah begitu.

“Penat?” soal Aimi pada Nazirah sementara menunggu makanan yang dipesan siap dan dihantar ke meja mereka.

“Mestilah penat. Kakak ni bukan nak bagitahu pergi bandar untuk teman kakak cari kerja.” Rungut Nazirah. Aimi tersenyum.

“Penat adik tu, tak ‘kosong’ sebenarnya. Kepenatan ni berbaloi. Nanti, balik rumah, dah rehat-rehat, fikir-fikirkanlah balik apa yang adik dapat sepanjang kat bandar hari ni.” Habis sahaja Aimi berbicara, pesanan mereka sampai.

Bau makanan yang terhidang sangat-sangat membuka selera mereka yang sedang lapar mahupun tidak. Sepi antara Aimi dan Nazirah. Hanya bunyi sudu berlaga sesekali kedengaran. Nasi goreng kampung dan jus epal memang satu kombinasi terbaik pada mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience