"Eh, Syafiq? Pak Ya tak tau pulak kamu ada kat sini," sampuk Pak Ya tanpa dijangka.
Kemunculan Pak Ya membuatkan ucapan Damia terbantut. Terpaksa jualah Damia lupakan untuk menyatakan hasrat hatinya tu.
"Oh, Pak Ya. Saja saya duduk sini sekejap. Pukul 6:00 kejap lagi saya pergilah jual sate tu," jawab Syafiq sambil berjabat tangan dengan Pak Ya.
"Ye ke? Patutlah. Najihah pun tak bagitau Pak Ya yang kamu ada kat sini. Ingatkan Damia ni bersembang dengan siapalah kat luar sini."
Syafiq hanya tertawa kecil aje dengan seloroh Pak Ya. Begitu juga Damia. Tapi sempat Damia hela nafasnya. Ada baiknya juga Pak Ya ni tiba-tiba muncul. Jadi tak adalah dia kena menjawab soalan aras tinggi daripada Syafiq tadi.
Ketika itu juga, Najihah pula muncul sambil menatang dulang yang berisi teko dan cawan. Air teh yang terisi dalam teko masih kelihatan wapnya yang tak henti menghembus.
"Jemput minum," pelawa Najihah sambil menuangkan air ke satu per satu cawan itu.
Damia dan Syafiq menundukkan sekali kepala mereka sebagai tanda terima kasih.
"Ha, Najihah. Baru je abi cakap pasal kamu."
"Ca ... cakap apa?" Najihah mengerutkan dahi.
"Pasal kamulah. Kamu tak bagitau pun yang Syafiq ada kat sini. Padahal tadi kita terserempak je kat dapur tapi kamu senyap je. Khusyuk sangat buat air," adu Pak Ya dalam nada bergurau.
Lidah Najihah terus menjadi kelu. Dirinya senyap bukan sebab apa, tapi pasti kerana mencuba menahan hati yang terluka.
"Oh yang tu ... Najihah terlupa nak bagitau," dalih Najihah yang cuba menamatkan perbualan.
"Hmm ... yalah." Pak Ya memutuskan untuk tak mahu bercakap panjang tentang hal itu lagi.
Air teh yang dibancuh Najihah diteguknya. Agak panas rasanya, jadi hanya mampu diteguk perlahan-lahan aje. Tetapi tatkala menikmati air itu, akhirnya dia terperasan sesuatu.
"Eh, kejap!" Pak Ya segera letakkan cawan di atas meja semula. "Syafiq. Kamu dengan Damia ni dah lama kenal ke?" Pak Ya sambung bertanya.
Bibirnya yang basah dek air yang tersisa dilap menggunakan punggung tangan. Setelah sekian lama, barulah dia terperasan akan hal itu. Tentang Syafiq dan Damia.
Syafiq dan Damia saling bertatapan. Maka bermulalah sesi soal jawab dengan Pak Ya ini.
"Err ... ya, Pak Ya. Saya dengan Damia nak kata lama sangat berkawan pun tak jugak. Dalam tiga atau empat bulan macam tu mungkin?"
Damia pun segera mengangguk. Apa yang Syafiq tanya, dia setujukan sajalah. Janji bukan dia yang jawab.
"Oh, ye ke?" Pak Ya mengetuk jari-jemarinya pada meja. "Kamu berdua kenal dari mana?"
Syafiq dan Damia sama-sama tersentak. Masih kosong fikiran mereka dengan pertanyaan Pak Ya itu.
"Dia orang kenal sebab Damia ni selalu beli kat gerai Syafiq tu," celah Najihah tatkala terlihat mereka berdua masih membisu.
Pantas Pak Ya memandang wajah anaknya itu. Wajah berseri Najihah ditatapnya dalam. Dia seakan-akan faham aje apa yang Najihah rasakan ketika itu.
"Hmm ... patutlah." Perlahan dan lembut sahaja Pak Ya menuturkannya.
Damia tersenyum nipis sebelum dia memutuskan untuk mengerling jam di telefonnya. Sudah beberapa minit jugalah dia di situ. Dirinya harus pulang segera.
"Umm ... saya rasa saya kena balik sekarang. Takut mak saya risau pulak saya balik lambat macam ni." Damia bingkas bangun daripada duduknya.
"Ha, baiklah. Ni kamu balik dengan Najihah jugak, kan?" Pak Ya angguk.
Damia mengiyakan sebelum Najihah turut bangun dari duduknya. Kunci kereta di dalam rumah dia ambil sebelum sama-sama dia dan Damia memulakan langkah untuk berjalan pergi.
"Saya balik dulu. Assalamualaikum," ucap Damia.
Kalau diikutkan, dia mahu berbual lanjut dan bersembang lebih dengan Syafiq itu. Tapi memandangkan Pak Ya sudah sertai mereka, rasa segan pulak.
Biarlah. Janji dia sudah dapat nombor telefon Syafiq. Nak berhubung bila-bila masa pun boleh.
"Waalaikumussalam." Serentak Pak Ya dan Syafiq menjawab.
Mereka berdua sama-sama menghantar pandangan ke arah kereta Najihah sebelum pacuan empat roda itu beredar pergi.
Seperti biasa, hanya iringan bunyi kenderaan-kenderaan dari luar kereta sahaja yang kedengaran. Najihah memang tidak gemar memasang lagu atau radio di dalam kereta.
Menurutnya, dengar suara di corong radio membuatkan dirinya cepat bosan dan mengantuk. Dia tu lebih suka suasana yang senyap ketika memandu.
Di sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya berbual-bual kosong sahaja. Yang selebihnya, disudahi dengan sunyi dan sepi.
Sedar tak sedar, akhirnya mereka tiba jua di pekarangan rumah Damia. Sebaik saja Damia turun dari perut kereta, susuk ibunya keluar dari rumah dengan tergopoh-gapahnya mendekati mereka.
"Ha ... balik pun kamu. Kamu berdua pergi mana tadi?" tanya Mak Siti yang masih tercungap-cungap setelah berlari-lari anak tadi.
"Dari rumah Najihah la mak. Kan angah mengaji kat sana," jawab Damia dengan nada menekan.
"Ye ke?" Mak Siti meleretkan nadanya seperti tak percaya. "Betul ke tu Najihah?"
Najihah yang baru sahaja menapak keluar dari kereta terus mengangguk.
"Hmm ... okeylah kalau macam tu." Mak Siti memutuskan jua untuk percaya.
"Mak, angah masuk dulu. Najihah, terima kasih tau hantar saya. Kelas esok saya datang macam biasa," ujar Damia yang kepenatan.
"Baiklah. Apa-apa, mesej je saya," balas Najihah pula.
Damia hadiahkan senyum sebelum dirinya dengan gegasnya melangkah masuk ke dalam rumah. Saja nak mengelak dari ibunya. Dengan ibunya yang kalut tak tentu arah itu, lagilah buat dirinya tu menyampah.
Mak Siti hanya menghantar pandangan tajam kepada anaknya yang beransur pergi tu. Apabila anaknya itu sudah diyakini tiada, mulalah dia nak 'bersoal-siasat' dengan Najihah tu.
"Najihah, betul ke Damia tu tak pergi mana-mana? Dia mengaji je kan kat rumah kamu tu?"
Najihah jegilkan matanya sebelum dahinya berkerut seribu.
"Eh, tak adalah mak cik. Damia tak keluar mana-mana pun. Memang dari start mengaji sampai habis pun, dia tak pulak pergi mana-mana," jawab Najihah jujur.
"Ooo ..." Mak Siti angguk kepalanya berkali-kali.
"Kenapa mak cik?" tanya Najihah pula yang merasakan sesuatu.
Mak Siti menyeringai. "Bukan apa, mak cik tak naklah Damia tu menipu. Kata nak pergi mengaji entah pergi merayau ke mana hala. Memandangkan kamu kata dia tak pergi mana-mana, rasa lega jugaklah mak cik dengar."
Kerutan di dahi Najihah masih tak menghilang. Hatinya makin berasa pelik. Macam sesuatu aje Mak Siti ni sampaikan Damia nak pergi ke mana pun ditanyanya.
Ada apa sebenarnya? Mungkin perkara ni ada kaitan dengan Syafiq?
Tapi apabila difikirkan semula, mungkin betul apa yang Mak Siti katakan itu adalah berkaitan Syafiq.
Najihah hanya membiarkan sahaja dirinya dibelenggu dengan pendaman dari bertubi-tubi soalan yang melingkar di fikiran.
*****
Usai mandi, Damia terus melabuhkan punggungnya di atas katil bersaiz bujang miliknya. Telefon pintar dicapai sebelum dia menolak-nolak skrin telefon untuk melayari media sosialnya. Tiada apa yang menarik, akhirnya dia memutuskan untuk mematikan aje skrin telefon.
Ting!
Sebaik sahaja Damia berbaring, telefon berdenting sekali menandakan ada notifikasi masuk. Cepat-cepat Damia menghidupkan kembali skrin telefonnya.
Seperti yang disangka, itu mesej dari Syafiq. Mata Damia terus segar dan bibirnya mengukir segaris senyuman nipis apabila dia membaca pesanan dari lelaki itu.
'Assalamualaikum. Awak tak tidur lagi kan?'
Damia yang masih tak lekang dengan senyum laju sahaja menaip pada papan kekunci telefon. Butang 'send' ditekan.
'Waalaikumussalam, awak. Tak tidur lagi pun. Saya kan selalu tidur lambat.'
Syafiq yang masih tak lepas dengan genggaman telefon pantas tersenyum riang. Mana taknya, tak sampai seminit pun dia menghantar pesanan kepada Damia, gadis tu sudah membalas dengan pantasnya. Tanpa memakan waktu yang lama.
Hati masing-masing bagaikan berada di awangan. Sudah lama jugaklah mereka tak berbalas mesej begini. Mujurlah perjumpaan di rumah Najihah tadi membuahkan hasil. Jadinya, bolehlah mereka berdua tu berhubung semula.
'Esok awak pergi mengaji lagi ke?'
Damia baca sekilas mesej itu sebelum menaip laju.
'Mestilah. Kalau boleh hari-hari saya nak pergi mengaji kat sana.'
Syafiq tertawa kecil. Dagunya diurut lembut tatkala memikirkan bait-bait perkataan untuk membalas pesanan Damia.
'Ooo ... okey. Kalau macam tu, jumpak awak esok.'
Damia baca mesej terbaru dari Syafiq. Belum sempat dia menghantar dan membalas pesanan baru, tindakannya terbantut.
"Amboi ..."
Mak Siti tiba-tiba mencelah. Memang tak reti ketuk pintu dulu ke nak masuk bilik orang?
Segera Damia matikan skrin telefonnya. Berlakon macam tak ada apa yang berlaku.
"Senyum sorang-sorang tu dah kenapa?" Mak Siti sambung bertanya sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan dengan meja solek.
Damia telan liur. Nak berdalih apa pulak ni. Tak naklah sampai pecah tembelang lagi.
"Tu mesti chat dengan Lokman, kan?" Mak Siti meneka tetapi mujurlah tekaannya salah.
Fuh! Nasib baiklah Mak Siti tak mengesyaki yang Damia berbalas mesej dengan Syafiq.
Damia pancarkan sengih yang terpaksa. Dalam hati tak nak pun dia pancarkan senyum tapi terpaksa jualah dia berbuat demikian sebagai tanda mengiyakan. Janji ibunya tu tak tahu perkara yang sebenar.
"Baguslah. Ni mak nak tanya satu benda. Kamu dengan Lokman jadi tak pergi dating lagi Sabtu ni?"
"Dating? Sejak bila Damia dating dengan Lokman tu mak?" nafi Damia.
Kalau membincangkan tentang perihal Lokman ni, entah mengapa hatinya selalu aje mahu membentak-bentak sebegitu. Sudahlah disuruh kahwin paksa, kali ni disuruh rapat dengan lelaki tu pulak. Memang taklah.
"Ala, kamu ni. Malu-malu pulak dengan mak. Kamu keluar berdua dengan Lokman dari Sabtu minggu lepas tu dikira dating la. Dah berkepit je kan dengan Lokman tu."
"Angah tak berkepit dengan Lokman dan angah tak anggap yang tu dating okey. Mak tak payahlah cakap pasal ni lagi. Mak pun tau kan yang Damia buat semua ni sebab terpaksa," balas Damia lalu dia membuang pandangannya ke arah lain. Bibirnya diketap-ketap. Rasa geram masih membekas dalam diri.
Mak Siti terus silangkan tangannya. Kepalanya tergeleng-geleng sahaja mendengar jawapan Damia.
"Ye, mak tahu tu. Tapi kamu jugak yang setuju, kan? Jadi apa salahnya mak teruskan je rancangan ni? Kamu setuju, Lokman pun setuju. So, mudah kerja," balas Mak Siti selamba. Memang taklah dia nak ambil peduli terhadap perasaan anaknya itu.
Damia raup wajahnya. Makin membara pulak amarahnya mendengar ibunya menjawab dengan santai macam tu. Perkara ini berkaitan jodoh dan jodoh bukan perkara yang boleh dibuat main-main!
"Ikut suka maklah. Dah, angah nak pergi toilet." Damia bingkas bangun dari duduknya cuba untuk menghindar ibunya.
Makin lama dia di dalam bilik itu, makin banyak pulalah dosa mengumpat dalam hati yang dia dapat.
"Eh kejap! Mak tak habis cakap lagi!"
Damia menghentikan langkahnya. Aduh! Memang kacau betullah ibunya ini.
"Soalan mak tadi kamu belum jawab. Kamu jadi tak pergi keluar dengan Lokman Sabtu ni?"
Damia julingkan mata ke atas. Lokman, Lokman dan Lokman. Boleh bernanah telinga hanya kerana dengar nama lelaki itu saja.
Nafas dihela dan dihembus perlahan. Dirinya cuba bertenang. Kalau boleh mahu saja dia menempik kuat ke arah ibunya tapi had sabarnya masih terbatas.
"Angah tak pergi keluar dengan dia Sabtu ni. Angah dah bagitau dia tadi," jawab Damia.
"Hah? Tak jadi keluar? Kenapa?" Membulat mata Mak Siti. Macam satu kesalahan besar pulak apa yang Damia cakapkan tu
"Angah nak pergi mengaji dengan Najihah." Damia masih tak menoleh memandang wajah ibunya. Lepas sahaja menjawab soalan ni, memang langkah kakinya akan terus tertuju ke tandas.
"Hari Sabtu pun? Kamu tak cuti ke? Takkanlah setiap hari kamu nak pergi rumah Najihah tu semata-mata nak mengaji?" Bertubi-tubi soalan yang disembur Mak Siti bagaikan tembakan pistol dengan berdas-das peluru.
Kalau diikutkan, memang tak nak pun Damia mahu mengaji setiap hari. Tapi kerana asbab tak mahu keluar bersama Lokman pada hari Sabtu tu, dia terpaksa jualah memutuskan untuk mengaji.
Biarlah, janji rancangan ibunya untuk membuatkan dirinya rapat dengan Lokman itu tidak akan berhasil.
"Ye, mak. Kenapa? Mak tak bagi angah pergi jugak ke? Takkanlah angah nak buat benda baik pun mak tak bagi," bidas Damia yang segera membuatkan Mak Siti terdiam malu.
Kalah. Kalau nak halang Damia ni dari pergi mengaji, nampak sangat diri Mak Siti ni terlalu jahil. Jadi terpaksalah dia ikutkan sahaja kehendak Damia itu.
Melihat ibunya masih membisu, Damia terus mengorak langkahnya. Ibunya ditinggalkan sendirian di dalam bilik.
Mak Siti masih memandang Damia dengan pandangan kosong. Ah! Rancangan gagal.
*****
"Mak!"
Suara tempikan yang nyaring dan kuat memecah hening di ruang rumah. Dari nadanya, suara ini bukannya milik Damia, tetapi milik anak Mak Siti yang seorang lagi itu.
Mak Siti dengan tergesa-gesanya terus bergegas menuju ke bilik Nadia. Dah kenapa anak sulungnya tu menjerit macam kena histeria aje? Nak kata ternampak hantu, matahari masih terpacak atas kepala lagi.
"Hoi, along! Dah kenapa terpekik-pekik ni?" tanya Mak Siti yang sudah bercekak pinggang.
Nadia ketap giginya. Air mukanya seperti dilanda kemarahan. Pantas jari telunjuknya ditujukan ke arah almari bajunya.
Bersepah dan berselerak.
Itulah perkataan yang mampu mengungkapkan keadaan almarinya ketika itu. Dengan bajunya berterabur di lantai, seluar pula dilonggok tanpa dilipat. Dah macam sarang tikus kalau dilihat.
"Mak! Siapa yang buat ni? Ni mesti kerja angah, kan?"
Mak Siti picit pelipis kepalanya. Memang dah sahlah itu kerja Si Damia. Kalau bukan anak bongsunya tu, siapa lagi yang buat?
"Dia dahlah tu. Tadi dia yang masuk bilik kamu masa kamu kat bilik air tadi."
Mata Nadia terus membeliak. Tangannya dikepal-kepal. Kalau boleh, nak je dia tarik-tarik rambut paras pinggang adiknya itu. Geram.
"Jadi mak tahulah yang dia buat semua ni? Mak! Kenapa mak tak halang dia?"
"Ye la. Takkanlah mak nak halang. Dia kata kat mak yang dia nak pinjam baju kurung kamu. Katanya baju kurung dia dah sendat. Jadi mak benarkan jelah."
Nadia menggaru kasar kepalanya. Terus dia duduk sambil mengutip satu per satu pakaian yang sudah bergelimpangan di lantai. Dasar Damia tak guna!
Mak Siti pula hanya ikuti sahaja kelakuan anaknya itu. Dia duduk bersimpuh sambil membantu melipat kembali pakaian-pakaian milik Nadia yang bergelimpangan itu.
Terpaksa jualah membantu kerana mahu Nadia segera bertenang. Dia tahu tahap kemarahan anaknya itu macam mana. Tapi kalau nak dibandingkan dengan Damia, Nadia masih jauh di belakang. Kalaulah Nadia yang buat semua benda ni kat adiknya tu, entah-entah Si Damia itu pulak yang serang kakaknya waktu tu jugak.
"Mak, dah tahu angah tu tak suka along, kenapa mak bagi jugak dia masuk bilik ni? Dia tu menipu. Kata nak ambik baju kurunglah, apalah. Last-last, saja je bagi bersepah bilik orang. Tak guna betul." Terkumat-kamit Nadia sembur makian kepada adiknya.
Tak cukup dengan makian, ini siap dengan pakej sumpah seranah lagi yang dihamburnya dalam hati.
"Dia memang nak pinjam baju kamu pun tadi. Dia kan nak pakai baju tu sebab nak pergi mengaji," balas Mak Siti. Tangannya laju sahaja melipat pakaian.
Nadia segera terkaku sebelum pandangannya dituju ke arah ibunya. Perkataan 'mengaji' itu macam satu perkara yang agak mustahil bagi Damia tu.
"Me ... mengaji? Angah pergi mengaji?"
"Ye la. Dari kelmarin lagi dia pergi mengaji dengan Ustazah Najihah," jawab Mak Siti lagi.
Mulut Nadia ternganga luas. Matanya terkebil-kebil. Otaknya sedaya upaya memproses apa yang diperkatakan ibunya itu tetapi semua itu seperti tidak masuk akal.
"Mak! Mak percaya angah tu lagi? Mak tahu tak yang Ustazah Najihah tu ..."
"Duk kat kampung sebelah." Pantas saja Mak Siti memangkas.
Nadia segera terdiam. Ibunya tahu semua itu tapi kenapa masih biarkan Damia pergi sana?
"Mak tahu kan kat kampung sebelah tu ada siapa? Ada si penjual sate tu tau tak mak? Mak tak pernah terfikir ke kalau-kalau angah tu pergi mengaji semata-mata nak jumpak dengan laki tu? Entah-entah, penjual sate tu jiran Ustazah Najihah," tuduh Nadia.
"Ish kamu ni! Mulut tu jangan main sembur je. Macamlah kampung sebelah tu penjual sate tu je yang duduk sana. Lagipun Ustazah Najihah pun dah bagitau yang angah tak pergi mana-mana sepanjang kelas mengaji tu," sangkal Mak Siti pula.
"Angah tu banyak akal sikit mak. Mesti ada je benda yang dia rancang. Confirm punya. Yalah, sebab kita paksa dia kahwin dengan Lokman. Mesti dia tengah buat semua ni untuk jauhkan diri dia dari Lokman tu."
"Sudahlah tu," bantah Mak Siti dengan nada suara yang agak keras.
"Cuba fikir positif sikit kat adik kamu tu. Jangan nak dirisaukan sangat. Mak dah mintak tolong Ustazah Najihah untuk tengok-tengokkan angah tu kat sana. Lagipun mak dah plan sebaik mungkin supaya angah dengan Lokman tu semakin rapat dan akan jadi kahwin. Kamu tak payahlah nak takut sangat." Mak Siti menyambung lagi hujahnya lalu bingkas dia bangkit dari simpuhnya.
Terkial-kial Mak Siti bangun. Kerja melipat sudah selesai. Begitu juga membebel.
Nadia agak geram jugalah dengan kata-kata ibunya itu. Tak pernah-pernah ibunya menyebelahi Si Damia itu, tetapi hari ini dia berbuat sedemikian pula.
Ah! Tapi dia biarkan sahaja rasa geram itu bertamu dalam hati. Apa yang terlintas di dalam fikirannya sekarang ini adalah bait-bait ayat terakhir yang diperkatakan ibunya tadi.
"Plan? Plan apa ni mak?"
"Adalah." Mak Siti membiarkan sahaja soalan Nadia itu tergantung sepi.
Makin tak keruanlah Nadia. Sudahlah hari ini almarinya bersepah sebab Damia, lepas itu ibunya pulak menyebelahi Damia. Kali ini, ibunya mahu berahsia dengan dirinya pulak.
Eii ...geramnya! Makin mencanak-canaklah rasa benci terhadap Damia itu. Tapi bila dicerna kembali, ibunya merancang sesuatu terhadap Damia?
Kalau betul baguslah, senang sikit hatinya mendengar tu. Tak sabar rasanya nak tengok adiknya segera naik pelamin bersama Lokman tu.
Bersambung...
Happy la Syafiq n Damia dapat berhubung semula ^^
Share this novel