BAB 9

Romance Completed 3415

Hensem! Rambutnya pendek dan kemas, matanya sederhana luas, hidung mancung sedikit. Senyuman yang diukirkan menambahkan lagi kehensemannya! Dan, ah … lesung pipit di sebelah kiri itu, lagi mengindahkan rupanya!

“Amboi!! Tengok ‘tunang’ sampai tak berkelip!” Terangkat sedikit bahuku dek terkejut dengan sergahan tiba-tiba Angah. Sengaja aku memasamkan muka, lagi-lagi melihat sengihannya itu.

“Dah … jom naik! Dah banyak dah ni!” Angah sudah mengangkat punggung seraya menjunjung bakul rotan yang separuh penuh itu. Aku membontoti langkahnya menuju ke pintu dapur. Untuk naik ke rumah, walaupun melalui pintu dapur, aku perlu melintasi halaman rumah terlebih dahulu. Entah mengapa, saat melintasi Along dan kawan-kawannya, bertambah kencang degupan jantungku. Dada terasa seakan mahu pecah. Aduhai … langkahan kaki pun rasa macam tak kena je!

Usai mandi, aku menghiris ubi kayu tersebut halus-halus sambil menantikan masuknya waktu Maghrib. Ubi itu nanti akan digoreng, dan kemudian disira dengan lada yang telah dimesin dan manisan. Santapan ringan kegemaran kami sekeluarga, terutamanya Angah. Arwah ayah dulu pun suka makan. Arwahlah yang menurunkan resipinya. Dulu-dulu ibu yang selalu buat, tetapi kini aku yang mengambil alih.

“Along dah nak hantar laptop ke kedai tadi. Tapi kawan Along kata, dia boleh tengokkan dulu. Kalau dia boleh baiki, dia baiki. Kalau tak, baru hantar ke kedai. Malam ni dia datang, lepas Isyak. Sara keluarlah nanti, kot-kot dia nak tanya apa-apa.” Along memberitahu sebaik melabuhkan punggung atas kerusi yang ditariknya di sebelah aku. Aku akur sahaja dan meneruskan menghiris ubi tersebut.

Tiba-tiba terdetik di hatiku, siapa kawan yang dimaksudkan?! Tadi kan Along bersama dengan Khairil Hafiz dan Adzhar sahaja, tentulah antara dua orang tersebut. Kalau Adzhar, alhamdulillah! Tapi kalau Khairil Hafiz, …!

“Er … kawan Along?”

“Khairil Hafiz.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience