Aliya memicit-micit lehernya yang mulai tegang itu. Sehari suntuk dia kesibukan gara-gara hari pernikahannya dengan Haziq. Majlis yang diadakan ala kadar sahaja, dengan bertemakan warna biru dan putih di sebuah hotel bertaraf lima bintang, Aliya sudah berpuas hati. Teringat pula sewaktu Haziq mencium dahinya untuk upacara akad nikah. Aliya memegang dahinya.
“Ahh, merepeklah aku ni!” Omelnya pada diri sendiri sebelum menarik comforter. Haziq masih belum masuk ke bilik, mungkin sedang di’tazkirah’kan oleh ayahnya di bawah. Malam ini, ayah dan abang Aliya akan bermalam di rumah Haziq. Latifahlah yang beriya-iya sangat. Katanya, mahu berkenalan dengan besanlah..
Tiba-tiba pintu dikuak dari luar. Aliya membatukan dirinya. Dia tahu, itu Haziq. Lantaklah. Aku penat, aku nak tidur. Nasib baik tak jemput ramai orang.. Kalau ikutkan ayah dengan mak si Haziq tu, seratus ribu jemputan pun tak cukup agaknya! Kata Aliya kepada dirinya sendiri.
“Aahhh, apa ni?!!” Aliya terjerit apabila Haziq tiba-tiba berbaring di sebelahnya. Haziq yang keletihan juga ikut terjerit sama. Kemudian, dia mengurut dadanya.
“Kau ni dah kenapa, terjerit macam ni? Macam aku pervert je, kan..” ujar Haziq selamba. Dia menarik bantal peluk dan memejamkan matanya. Apa yang Haziq tahu, dia ingin berehat. Jari telunjuk Aliya sudah tegak mengunjuk ke muka Haziq.
“Kau.. Kenapa kau nak tidur kat sini ? Pergi tempat lain sana..” kata Aliya takut-takut. Haziq sudah tergelak hebat. Dia dapat menduga apa yang ada di fikiran Aliya. Rasa penat yang ada digantikan dengan rasa ingin mengusik Aliya.
Haziq mendekatkan wajahnya dengan Aliya. Terlalu rapat hinggakan Haziq dapat mendengar nafas Aliya dengan jelas. “Sayang.. Kita kan dah kahwin.. Kenapa sayang takut dengan I ni ?” usik Haziq dalam nada menggoda sambil tangannya menarik comforter Aliya. Geli hati pula apabila melihat wajah Aliya.
Melihatkan tangan Haziq yang mulai merayap, Aliya pantas mengambil bantalnya lalu menutup muka Haziq. “Eee, jangan nak menggatal dengan aku la..” Haziq terdorong ke belakang. Ish, ganas betul perempuan ni..
Tiba-tiba pinggang Haziq terasa sakit pula. Tangannya pantas memegang pinggangnya. Akhirnya Haziq mengalah. Pernikahan tanpa rasa cinta ni memang susah rupanya, lagi-lagi kalau suami isteri tu musuh tradisi. Persoalan mengapa Aliya menerima lamarannya masih lagi berlegar dalam fikiran, cuma tidak terluahkan sahaja. Tak apalah, nanti aku cuba fikir, hehe..
“Dahlah.. Aku sakit pinggang ni, malas nak gaduh dengan kau. Lebih baik aku tidur.” Haziq kembali berbaring dan memeluk bantal peluknya tetapi diganggu Aliya sekali lagi.
“Weh.. Kau nak tidur sini, ke ?”
“Iyalah.. Habis kau nak suruh aku tidur mana ? Atas sofa ? Kau ingat ni drama ke apa ? Aku tahulah kita ni kahwin rela tak rela je, tapi tak payahlah nak berdrama sangat.. Macam ni je la.. Kita tidur je satu katil, tapi sana bahagian kau, sini bahagian aku. Bantal peluk ni kat tengah-tengah. Jangan risau, aku tak tidur ganas.. Memang confirm takkan termasuk bahagian kau.. Lainlah kalau kau yang nak masuk bahagian aku..” jawab Haziq selamba sambil tangannya menepuk-nepuk bantal peluk yang sudah diletakkan di tengah-tengah katil, sebagai pembahagi.
Wajah Aliya masih lagi ragu-ragu. “Wehh.. Jangan risau.. Aku tak nak dengan kau, kau pun tak nak dengan aku, kan? Tak ada babak ‘terkam-menerkam’ kat sini..” Haziq cuba meyakinkan Aliya sekali lagi. Leceh juga Aliya ni. Ingatkannya berani sangat, rupanya penakut jugak.
Otak Aliya mula berfungsi dan memikirkan logiknya idea Haziq. Lambat-lambat dia baring, itupun setegak dan sekaku orang yang sedang berdiri untuk menyanyikan lagu Negaraku. Tidak pernah Aliya bayangkan dia akan berkongsi katil dan comforter yang sama dengan Haziq. Inikah takdirnya?
Keesokkan harinya, Aliya membantu ibu mertuanya untuk menyediakan sarapan pagi. Ceria sungguh orang tua itu. Wahida dan Wafa, adik keempat Haziq turut membantu. Mereka gembira kerana akhirnya hajat ibunya tercapai juga.
“Dah siap pun.. Lia.. Lia pergilah kejutkan Haziq tu.. Jangan lupa kejutkan ayah dengan abang sekali..”
“Haa ? Hmm, okay ibu.. Lia pergi ye..” Dalam terpaksa, Aliya akur sahaja. Nak kejutkan ayah dengan abang, memang tak ada masalah ! Tapi, masalahnya si Haziq tu ! Hisy.. Aliya menghentak kakinya sewaktu menaiki anak tangga. Sampai sahaja ke bilik, dia terus mendekati katil. Semerta Aliya mencebik.
“Syoknya kau tidur.. Aku penat-penat bangun pagi, tolong family kau sediakan sarapan, kau pulak tidur lena ye? Siap tersenyum lagi. Eh, mamat ni..” Geram Aliya apabila Haziq seakan tersenyum dalam tidurnya. Aliya naik ke atas katil dan berdiri. Kemudian, dia melompat-lompat sambil menyanyi, “Selamat pagi, teman adik di sini, Pampers! Bangun pagi, gosok gigi dengan ubat gigi Safi, gigi putih..”
“Hoii!” terbantut nyanyian dan lompatan Aliya apabila Haziq tiba-tiba menjerit. Sakitnya hati Haziq, hanya Allah yang tahu. “Ehh, dah bangun ? Hmm, baguslah. Sedap jugak suara aku ni. Cepat mandi, ibu dah sediakan sarapan untuk kau.” Dengan bersahaja, Aliya turun dari katil.
“Memanglah aku tersedar.. Dah anak gajah tiba-tiba melompat atas katil, menyanyi suara macam katak pulak tu..” tempelak Haziq. Aliya menoleh, sambil menggeleng-geleng.
“Iskiskisk, tak baik betul suami aku ni.. Duhai Encik Suami, orang bangun tidur, terus baca doa.. Bersyukur kerana Allah dah pinjamkan nyawa pada kau untuk satu hari lagi.. Lepas tu, kalau kau nak mencarut aku pun, suka hati kau la ye..”
Wajah Haziq berubah. Terasa malu pula apabila ditegur sebegitu. “Hisy, bisinglah kau ni !” Haziq bangun dengan malas lalu menuju ke bilik air tetapi jalannya dihalang. Aliya berdiri tepat di depannya sambil tangan kirinya didepakan.
“Ni dah kenapa pulak ni ?” tanya Haziq. Aliya mengangkat keningnya, sambil matanya terarah pada katil. “Tu siapa yang nak kemas katil tu?”
“Iskiskisk, tak baik betul isteri aku ni.. Duhai Cik Isteri, kalau suami bangun tidur, isterilah yang kena kemas tempat tidur.. Tanggungjawab tu, tak boleh nak abaikan. Jangan lawan cakap suami, berdosa besar..” Sehabis ayatnya, Haziq memukul tangan Aliya, automatik tangan Aliya teralih. Haziq pula terus hilang ke dalam bilik air. Mulut Aliya sudah mula membebel marah, sambil langkahnya mula mendekati katil.
Haziq yang berada di bilik air tersengih kemenangan. Ambik kau, nak sangat sesi kerohanian, kan? Aku bagi sesi kerohanian jugak, terdiam terus! Hihi..
Share this novel