Perlahan-lahan aku mula menekan pedal minyak. Vroomm!! Kereta viva manual berwarna putih itu mengaum dengan kuat. Pantas sahaja aku melepaskan kembali pedal minyak tersebut. Mujurlah hanya mengaum. Tetapi⦠mengapa kereta ini tidak bergerak, ya? Bukankah pedal minyak itu bertujuan untuk menggerakkan kereta?
Aku suarakan persoalan yang menyerbu ke dalam kotak fikiranku ini kepada Encik Nazhan. Encik Nazhan mengatakan bahawa kereta itu kini sedang berada di dalam keadaan gear bebas. Andai aku menekan pedal minyak itu sekuat hati sekalipun, kereta itu hanya akan mengaum dan tidak akan bergerak walaupun seinci. Aku mengangguk-angguk seperti burung belatuk apabila mendengar penerangannya itu.
Pertama kali aku berjaya menggerakkan kereta itu, gembira bukan kepalang rasa hatiku ini. Hari ini, aku diajar memandu hingga ke gear dua. Sesekali kereta itu mengeluarkan bunyi geseran yang kuat dan mengilukan gigi. Keadaan ini berlaku apabila aku gagal memasukkan gear kerana tidak betul menekan pedal clutch. Sudah lebih daripada lima kali aku berpusing di litar pusat latihan memandu itu. Ah, rupa-rupanya bukanlah susah sangat mahu memandu. Puas sungguh aku rasakan apabila kereta itu membelok mengikut arah yang telah aku arahkan pada sterengnya.
*****
Aku berjaya mempelajari cara memandu di bahagian bukit walaupun pada mulanya kereta itu berundur ke belakang. Enjin kereta juga mengaum dengan sangat kuat apabila aku tetap menekan pedal minyak walaupun kereta itu sedang berundur menuruni bukit di dalam litar itu. Begitu juga di bahagian tempat letak kereta, aku telah berjaya meletakkan kenderaan dengan baik walaupun pada awalnya lebih daripada tiga tiang telah aku langgar. Berdenting kuat bunyi tiang itu jatuh ke atas jalan tar hingga menarik perhatian semua orang yang berada di pusat latihan memandu itu. Bukan sahaja orang, kucing yang berada di kedai makan di hujung pusat latihan memandu itu juga turut menoleh ke arahku.
Setiap kali aku melakukan kesalahan, Encik Nazhan akan menegur aku. Perasaan malu memang tidak mampu aku nafikan lagi. Namun demi sekeping lesen, aku tetap wajib meneruskan latihan memandu ini. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen. Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Walaupun aku belum mempunyai kereta sendiri, aku harus mempunyai lesen kereta sebagai persediaan masa hadapan. Aku tidak mahu berada di dalam keadaan sudah hujan barulah sibuk mencari payung. Tiada gunalah lagi payung itu andai diri sudah kuyup.
Share this novel