" Cukuplah Aryan. Kau memang nak seksa hidup anak aku kan? Kau tak tahu betapa dia terseksa selama ni hidup dengan kau? 4 tahun kau abaikan dia. Kau lupa yang dia tu isteri kau. Bila dia dah balik sini, kau suruh dia jaga anak kau pulak. Kau ingat dia tu apa? Senang-senang kau minta maaf. Lepas apa yang kau dah buat dekat dia. Tapi dia? Dia maafkan kan kau. Sikit pun dia tak bencikan kau. Sakit macam mana pun, dia telan seorang-seorang. Ada kau kisah pasal dia? Takda. Kau cuma pentingkan diri kau sendiri. Silap-silap kau tak pernah tahu pun apa yang dia lalui selama 4 tahun ni " dingin saja kedengaran suara Puan Afifah.
Aryan terkedu seketika. Dia akui memang banyak kesilapan yang telah dia lakukan pada Alisa sehingga dia rasa dia tidak layak untuk dimaafkan.
" Kau tahu tak Aryan, waktu kau bernikah lain Alisa tengah mengandungkan anak kau. Kau tahu tak?! " jerkah Puan Afifah. Air matanya merembes laju. Dia sudah tidak dapat menahan amarahnya. Alisa satu-satunya anak yang dia ada.
Segala kesakitan yang dilalui oleh Alisa turut dia rasakan. Aryan tergamam. Dia sendiri tidak pernah tahu Alisa mengandungkan anaknya 4 tahun lepas.
" Ap..apa maksud ibu? Saya tak pernah tahu pun yang Lisa mengandung " soalnya kesal.
Puan Afifah tersenyum mengejek.
" Sebab kau sibuk dengan perempuan lain. Kau tak pernah ambil tahu pun pasal isteri kau. Bila Lisa sampai dekat London, dia keguguran sebab terlalu tertekan dengan apa yang dia lalui. Dia lalui semuanya seorang-seorang. Mana kau waktu tu? Mana?!" .
Aryan meraup wajahnya. Sungguh dia tidak sangka Alisa pernah mengandung dan keguguran. Semuanya adalah kerana dia. Alisa langsung tidak pernah menceritakan padanya.
" Puas dah hati kau sekarang? Puas?!" .
" Sabar Fifah. Bawak mengucap. Ingat Allah. Jangan macam ni " pujuk Encik Hamzah. Dia tahu emosi isterinya sedang tidak stabil sekarang ini.
" Cukuplah kau buat dia terseksa selama ni Aryan. Dia lebih bahagia kalau kau lepaskan dia. Lepas Lisa sedar, aku nak kau ceraikan anak aku. Tolong jangan seksa hidup dia lagi. Dia bukan patung mainan yang kau boleh buat sesuka hati. Dia ada perasaan " .
Encik Hamzah, Datin Balqis dan Aryan terkedu dengan permintaan Puan Afifah.
" Astagfirullah al-azim Fifah. Apa awak cakap ni? " marah Encik Hamzah.
" Saya tak peduli bang. Saya nak Aryan lepaskan Lisa. Saya dah tak sanggup nak tengok anak saya terseksa lagi " .
Share this novel