Angin malam yang menghembus perlahan, kini mula terasa menggigit tubuh. Dinginnya mula mencengkam saat itu. Dari balkoni rumahnya, Hanis tetap berdiri statik membuang pandangan ke atas langit yang luas dan dipenuhi bintang. Cantik. Dalam suasana karar itu, peristiwa siang tadi kembali menerpa layar mindanya. Rasa bersalah mula membalut diri, apabila teringat tingkahnya sendiri. Kasihan pada Puan Kartini dan Nurul Atiqah. Bukan dendam, tetapi hatinya terlalu hampa dengan perbuatan mereka.
Keluhan dilepaskan. Dia tidak sepatutnya menunjukkan sifat demikian. Itu bukanlah yang diajarkan oleh ayahnya dulu. Arwah ayahnya pernah berpesan, tidak kiralah apa juga kejahatan dan kesalahan orang pernah buat pada diri kita, jangan pernah membalas dengan kejahatan. Sebaliknya, balaslah dengan kebaikan. Bahkan, kesalahan setinggi gunung pun, tetaplah memaafkan kerana ia merupakan satu kemenangan terbaik. Pesanan itu masih melekat dalam mindanya. Ya, pahit, memang pahit. Sukar, sangat sukar. Namun, dari situ banyak pengajaran yang boleh diambil oleh Putri Hanis.
“Jauh termenung tu. Jom, masuk ke dalam rumah. Karang masuk angin pula,” tegur Mariam setelah menyedari kelibat Hanis di luar balkoni. Hanis akur dan terus melangkah masuk ke dalam rumah, mengekori jejak langkah Mariam.
“Nah, from your future husband...” Sebuah kotak bersaiz sederhana, diikat kemas dengan reben berwarna merah jambu di sorong kepada Hanis. Wanita yang baru saja melabuhkan punggungnya disebelah Mariam, berkerut dahi memandang kotak di atas meja itu. Lama ditenung tanpa disentuh.
“Future husband? Siapa?” tanya Hanis, terkebil-kebil dirinya saat itu. Fikirannya kosong. Wajah Mariam dipandang menanti jawapan daripada wanita itu.
“Eh, kau ni. Tak tahu atau buat-buat tak tahu? Siapa lagi kalau bukan tuan Jason,” ujar Mariam sedikit mengacannya. Terbuntang luas mata Hanis saat mendengar nama itu disebut.
“Bila tuan Jason bagi engkau?”
“Tadi, masa engkau tengah mandi. Sebenarnya dia nak jumpa engkau. Tapi, tulah. Jadi, dia suruh aku bagi dekat engkau benda ni...” terang Mariam sambil tersenyum.
“Oh, okay. Kau ni tersenyum-senyum, dah kenapa?”
“Tak adelah, sebenarnya orang pun dapat dari sang pujaan hati...” tak semena-mena bahu Hanis dipukul manja oleh Mariam. Malu ada, gembira pun ada. Tak sangka Rendi romantik orangnya.
“Patutlah senyuman tu sampai ke telinga dah aku tengok,” usik Hanis sebelum ketawa terkekeh-kekeh. Mariam menjeling tajam sebelum ikut gelak sama. Seronok apabila mendapat kejutan daripada sang kekasih.
Sedang masing-masing membuka kotak kejutan itu, satu ketukan pintu mula mengasak gegendang telinga mereka berdua. Serentak kepala itu menoleh ke arah pintu. Baru saja Mariam mahu bergerak membuka pintu, Hanis terus mencegah.
“Tak pe, biar aku yang buka. Kau tengoklah isi kotak kejutan daripada sang kekasih hati kau tu,” sempat lagi Hanis mengusik. Mariam hanya tersenyum. Hanis berjalan menghampiri pintu lalu dibuka.
“Hanis...” Terkejut wanita itu apabila dirinya terus dipeluk erat oleh Nurul Atiqah. Suara tangisan yang keluar daripada wanita itu mula menerpa gegendang telinganya. Pada masa itu juga, susuk tubuh Jayden muncul di hadapan pintu kediaman Hanis.
“Hanis... aku minta maaf. Aku tahu semua tu salah aku. Aku sanggup terima makian engkau, asalkan engkau maafkan aku...” Atiqah langsung duduk melutut di hadapan Hanis sebaik sahaja wanita itu meleraikan pelukannya. Tersendu-sendu dia memohon kemaafan itu. Air mata deras mengalir di pipi. Hatinya tidak senang selagi tidak mendapat kemaafan daripada Hanis.
“Atiqah, masuklah dulu. Dah berdiri....” Laju Hanis menarik tubuh Atiqah berdiri lalu di bawa masuk duduk di sofa.
“Hanis... kau tak mahu maafkan aku ke? Tahu aku salah. Tuduh kau dengan benda yang kau tak buat. Aku minta maaf,” ujarnya sekali lagi. Mata tidak lepas dari melihat wajah Hanis. Keadaan menjadi bungkam seketika.
Hanis tersenyum. “Kita dah macam adik beradik, Atiqah. Mestilah aku maafkan engkau walaupun kau dah kecewa kan aku sedikit. Tapi, takpe. Aku pun nak minta maaf, sebab siang tadi aku terlalu emosi,” balas Hanis dengan jujur. Bahu Atiqah disapu lembut, memberi ketenangan pada wanita itu.
“Tak... kau tak perlu minta maaf. Kau patut buat macam tu. Aku terlalu bodoh sebab tak percaya dengan kau. Bodoh sebab tak siasat dulu. I'm so sorry. Aku tak layak jadi kawan engkau...” tangan Hanis digenggam erat.
“Benda dah lalu, biarlah berlalu. Ambil saja pengajaran yang ada daripada benda tu. Tak payahlah sedih lagi. Aku dah maafkan engkau pun. Lepas ni, jangan ulang macam ni tau. Boleh sakit jiwa aku,” pesan Hanis sebelum tersengih-sengih.
“Aku janji tak akan buat macam ni lagi! Apa yang aku cakap sebelum ni, aku tarik balik. Aku menyesal sangat-sangat cakap macam tu...” ujar Atiqah sungguh-sungguh. Jika diizinkan, mahu saja dia putar masa kembali.
“Sudahlah tu. Aku tak tahu lagi nak cakap apa. Kita lupakan aje apa yang pernah berlaku, okay?” balas Hanis dengan ikhlasnya.
“Terima kasih, Hanis.” Ucap Atiqah. Jauh dari lubuk hatinya, terselit rasa segan pada wanita dihadapannya itu. Sungguh mulia hati seorang Putri Hanis. Kesalahan sebesar lautan pun, wanita itu masih dapat memaafkan dengan ikhlas. Jika dirinya berada di situasi yang sama, mungkin dia tidak mampu untuk memaafkan orang tersebut.
“Hanis, saya pun nak minta maaf sebab berkasar dengan awak hari tu. Kalau Jason tak bertegas dalam hal ni, sampai ke sudah kami terus membenci awak,” ujar Jayden pula dengan rasa bersalahnya.
“Tak mengapalah, tuan Jay. Biasalah tu, semua orang ada salah silapnya, termasuk saya sendiri.” Jelas Hanis. Jayden dan Atiqah terangguk-angguk sesama sendiri. Mariam hanya mengukirkan senyuman melihat dan mendengar perbualan mereka. Gembira melihat Hanis tersenyum seperti sebelumnya. Ada banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah hidup seorang Putri Hanis. Sentiasa cekal dan tabah menghadapi ujian. Semoga selepas ini, wanita itu mendapat kebahagiaan yang diinginkan.
Suasana bungkam menemani dirinya sepanjang malam itu. Tidak dapat untuk melelapkan mata kerana terlalu memikirkan peristiwa siang tadi. Masalah ibunya, mahupun masalah yang menimpa isterinya, Neldia. Dirinya terlupa untuk bertanya punca kejadian, sewaktu melawat petang tadi. Semua itu disebabkan sisa kejutan yang masih terpahat dalam dirinya. Siapa sangka, pelaku sebenar adalah ibunya sendiri. Tuduhan yang dilemparkan kepada Neldia, membuatkan dirinya serba salah terhadap wanita itu. Dia mengeluh.
“Aidil, kenapa tak tidur lagi?” soal Puan Kartini sementara mengambil tempat pada sofa ruang tamu itu. Aidil yang berbaring, bingkas bangun dan duduk. Rupanya, ibunya juga belum tidur.
“Mata tak dapat nak lelap lagi,” balas Aidil ringkas. Wajah ibunya tidak dipandang dek kerana terlalu kecewa dengan sikap wanita itu. Perasaan marah itu ada tersemat dalam diri Aidil, namun ia cuba dibuang jauh-jauh. Sentiasa dipujuk hatinya agar bersabar dengan ujian tersebut. Seburuk mana pun perangai Puan Kartini, wanita itu tetap ibu seorang Aidil Hakimi.
“Macam mana dengan keadaan Neldia? Doktor cakap apa?” soal Puan Kartini lagi. Dia sangat-sangat menyesal dengan perbuatan yang pernah dilakukan. Namun, dia sedar, semua sudah terlambat. Dia yakin, anaknya pasti lebih membenci dirinya jika tahu bahawa dirinya juga yang memukul Ria Neldia. Dia sudah pasrah dengan nasibnya. Manusia kejam sepertinya, memang layak mendapatkan hukuman yang setimpal.
“Doktor kata kepala Neldia ada koyak, tapi dah kena jahit. Sekarang ni dia nampak macam okay sikit. Sebenarnya apa dah jadi, ibu? Ada perompak masuk rumah kita ke?” Tanya Aidil tanpa ada kemusykilan pada ibunya. Wajah ibunya dipandang menanti jawapan.
Puan Kartini tersentak dan diam seketika. Mengumpul keberanian untuk berkata jujur depan anaknya sendiri. Sebak pula hatinya melihat tatapan anaknya itu. Keluhan dilepaskan. Berat baginya untuk menerima kenyataan ini. Mahu tidak mahu, dia kena hadap kenyataan itu. Berani buat, berani tanggung!
“Ibu... Ibu yang bu..buat semua tu, Aidil. Ibu yang pukul Neldia guna pasu bunga tu. Ibu tak nak Neldia pecahkan rahsia, ibu. Maafkan ibu, Aidil...” Terang Puan Kartini dengan transisi kata yang terbata-bata. Pandangan dilarikan memandang lantai. Tidak sanggup mahu bertentang mata dengan anaknya sendiri. Dia tahu tanggapan Aidil pada dirinya saat ini. Kejam, tidak berperikemanusiaan, bertopengkan syaitan, barangkali?
Saat ibunya menuturkan kata-kata itu, diri Aidil bagaikan di hempas ombak yang kuat. Terkejut mendengar kata-kata ibunya sendiri. Aidil sangat terkilan sehingga tidak mampu untuk menjawab. Tidak tahu apa yang telah merasuki diri ibunya saat itu sehingga sanggup melakukan kejahatan. Hampir membunuh pula tu. Wajahnya ditekup dengan kedua tapak tangannya. Marah, sedih dan lagi sekali dirinya dihambat rasa kecewa. Tanpa disedari, air mata jantan Aidil mengalir melintasi pipi.
“Ibu minta maaf. Ibu ingat, dengan buat semua ni, hidup ibu akan aman damai. Tapi, ibu salah. Semua jadi teruk macam ni. Ibu menyesal. Sangat-sangat menyesal, Aidil...” ujar Puan Kartini disertai air mata yang mula keluar membanjiri di kala itu.
“Ibu tak kisah kalau kamu nak marah. Kalau kamu nak lapor polis sekali pun, ibu rela. Ibu memang layak dapat semua tu. Tapi ibu minta, tolong maafkan ibu dan jangan benci, ibu...jawablah, nak...” Kini, Puan Kartini sudah duduk melutut dihadapan anaknya. Saat itu, Aidil hanya membisu. Masih susah untuk menerima kebenaran ini. Kenapa harus ibu? kenapa?!
“Janganlah diam macam ni, Aidil. Jawablah, ibu tengah cakap dengan kamu ni.. Hati ibu tak senang kalau kamu diam macam ni,” Tangis Puan Kartini semakin kuat. Aidil hanya menggeleng lalu memeluk ibunya dengan erat. Kemudian, dia terus meninggalkan wanita itu sendirian tanpa berkata apa-apa. Puan Kartini hanya mempu melihat tanpa menghalang. Dirinya tersendu kepiluan di ruang tamu itu. Inilah balasan buat dirinya.
“Hantar I balik rumah mama. Buat masa ni, I nak stay sana. Boleh kan?” tanya Neldia sebaik sahaja memasuki perut kereta. Dirinya masih trauma mahu kembali ke rumah sendiri dan berjumpa dengan ibu mentuanya. Masih terasa saat pasu bunga itu melekat di kepalanya. Sakit sangat.
“Mesti you takut dengan ibu, kan? Sayang, ibu tak ada dekat rumah tu. Ibu dah serahkan diri pada pihak polis. Dia sedar, dia banyak melakukan kesalahan,” jelas Aidil. Sudah semestinya ia mengejutkan diri seorang Ria Neldia. Ya, keesokan hari selepas mengatakan hal sebenar, Puan Kartini pergi ke balai seorang diri dan menceritakan hal yang pernah dia lakukan. Lebih tepat lagi, Puan Kartini menyerahkan diri dengan rela hati. Sekarang ini, wanita itu sedang menjalankan hukumannya di dalam penjara.
“Tolong maafkan ibu, sayang. I terkejut sangat ibu boleh buat macam tu sekali. I pun nak minta maaf dengan you. I janji I akan menjadi suami yang adil dan bertanggungjawab,” Tangan isterinya dipegang erat. Neldia mengangguk. Tidak semena-mena, air matanya mengalir kerana gembira mendengar kata-kata suaminya. Dirinya juga berharap agar menjadi isteri yang baik dan dapat menerima Faresha dengan seikhlasnya.
*****
Happy reading <33
Share this novel