ORANG kata cinta pertama ni sukar untuk dilepaskan. Itulah yang berlaku pada Zailani.
Sungguh itulah yang Zailani rasa. Walau dipisahkan dengan jarak dan masa, dia tetap dengan pendiriannya. Cintanya buat Juwita tak pernah berkurang walau sedikit pun. Saban hari tak terlepas doanya buat Juwita dan siapa sangka akhirnya mereka berjodoh.
Orang juga selalu kata lelaki yang baik jodohnya dengan perempuan yang baik-baik. Sungguh pun ketika mereka bernikah, Juwita bukan lagi wanita yang suci, itu bukanlah bermakna Juwita bukan wanita yang baik-baik.
Masyarakat selalu berburuk sangka. Bahkan ketika wanita baik-baik dipertemukan jodoh dengan lelaki yang tak baik, wanita jugalah dicemuh. Pasti mereka terlupa Allah swt sebaik perancang. Aturan Allah cukup cantik.
Zailani tersenyum memerhatikan telatah Juwita dan anak sulong mereka. Haziq Hakimi Bin Azlan Zailani. Itulah bukti cinta mereka. Bahkah kehadiran Haziq juga mengeratkan lagi hubungan mereka.
"Sayang, jom kita balik dah nak asar ni." Zailani memeluk erat bahu Juwita. Juwita tersenyum bahagia. Haziq yang masih leka berlari dibiarkan seketika. Namun matanya tak lepas dari memerhatikan Haziq.
"Kita dah janji nak makan malam dengan ibu. Nanti merajuk pula ibu." Zailani mengingatkan Juwita akan janji mereka. Juwita mengangguk lantas Zailani mendapatkan Haziq.
"Anak babah nak lari mana? Jom kita balik. Kita nak jumpa nenek." Zailani memujuk Haziq. Anak yang berusia tiga tahun itu hanya tahu bermain. Seronok benar bila dapat bermain di taman permainan.
Semenjak mereka mendirikan rumah tangga, Juwita tidak lagi tinggal di Teratak Tuan Zaleha. Mereka berpindah ke rumah peninggalan Sazali. Sayang dibiarkan rumah itu kosong tanpa penghuni. Apatah lagi mereka pulang ke sana hanya dua kali sebulan.
Tangan Juwita digenggam erat sementara Haziq didukungnya. Zailani mengucup lembut pipi Haziq sambil mereka melangkah pulang ke rumah.
"Abang dah bagitahu mak dengan ayah?" soal Juwita.
"Dah. Lepas asar nanti kita ambil mak dan ayah." Zailani tersenyum bahagia.
Juwita hanya mampu tersenyum. Empat tahun hidup sebagai isteri Zailani. Zailani sangat penyabar orangnya. Apatah lagi ketika emosi Juwita tak stabil. Zailani sentiasa menjadi penenang Juwita.
Bahagia?
Tipulah kalau tak bahagia bila dilayan bak tuan puteri. Segalanya cukup sempurna. Kalau boleh serba serba Zailani ingin lakukan untuk Juwita. Namun Juwita tidak mahu berasa terlalu selesa dengan layanan Zailani. Tidak mahu membiarkan hanya Zailani melayannya bak tuan puteri.
Zailani sangat memahami. Bila Juwita penat dan tidak mampu mengawal emosi, Zailani akan membantunya menguruskan kerja rumah. Juwita memang seorang wanita yang tidak pandai memasak. Tidak pandai menguruskan rumah. Berkat kesabaran Zailani, perlahan-lahan Juwita belajar menguruskan rumah. Belajar memasak.
Hasilnya, Zailani tidak mahu makan diluar. Setiap hari dia akan meminta Juwita yang masakan makan malam buat mereka. Haziq akan berada di bawah jagaan Salmiah setiap kali mereka ke pejabat.
Haris yang selama ini mengelak dari Khaty akhirnya berjodoh. Siapa sangkakan? Khaty berubah menjadi seorang wanita yang sangat sopan. Hilang sudah kegedikannya akibat ugutan Juwita suatu masa dulu. Dah ada sorang anak pun sekarang ni.
Bahagia akhirnya menjadi milik mereka. Haris yang suatu ketika dulu menyimpan perasaan pada Juwita namun memilih untuk tidak memiliki hati Juwita kini bertemu dengan pemilik hatinya yang sebenar.
Haaa... mengelak punya mengelak, sudahnya jadi soulmate juga. Juwita tersenyum sendiri apabila mengenangkan Haris dan Khaty.
"Sayang senyum sorang-sorang ni kenapa?" Berkerut dahi Zailani melihat tingkah Juwita.
"Teringat Haris dengan Khaty. Akhirnya bersama juga." Zailani geleng kepala. Bukan dia tak tahu Haris punya perasaan pada Juwita.
Tapi Haris lebih selesa menyintai Juwita tanpa memiliki. Dia juga pernah bertanya kepada Haris. Tapi jawapan Haris membuatkan dia terdiam sendiri.
"Memang aku cintakan Ju. Tapi menyintai tak semestinya memiliki. Apatah lagi bila Ju hanya anggap aku sebagai seorang sahabat. Biarlah sebagai sahabat, asal aku tak kehilangan dia dan siapa sangka rupanya kami sepupu."
Tak mungkin Zailani lupa kata-kata Haris yang sangat menghormati perasaan Juwita ketika itu. Mujur juga Haris tak berusaha untuk memiliki hati Juwita. Jika tidak, jenuhlah dia perlu bersaing dengan Haris.
Haris lelaki yang punya segalanya. Rupa jangan cakaplah. Memang jadi idaman gadis-gadis malaya. Mujur juga Juwita tidak tertarik dengan Haris.
"Sayang, terima kasih kerana sudi jadi isteri abang. Ibu pada anak-anak abang." Juwita tersenyum lebar. Perutnya yang memboyot diusap lembut.
Enam bulan usia kandungan keduanya. Semoga semuanya baik-baik saja. Mujur kali ni dia tidak mengalami alahan teruk.
Juwita memandang Zailani yang sedang meletakkan Haziq di dalam baby seat.
'Terima kasih Ya Allah atas semua yang telah KAU kurniakan. Semoga ikatan perkahwinan ini kekal sehingga ke syurga.'
-TAMAT-
Share this novel