Bab 12

Romance Series 59136

Beberapa kali aku merenung telefonku, menantikan panggilan atau paling tidak pun pesanan ringkas di whatsapp. Namun, hampa. Tiada. Satu mesej sahaja. Satu pesanan. Masuklah. Tak pun missed call ke?

Ke telefon aku ada masalah ni? Line ada jer. Cuba aku restart? Menjadi tak?

Laju jariku menekan butang untuk menghidupkan semula telefon. Masih tiada. Dia ni, biar betul. Aku pula mana ada nombor dia. Dia jer ambil nombor aku hari tu. Ingatkan nanti dia buat call ke, boleh aku tahu nombor dia lepas tu. Patutnya aku minta terus jer nombor dia. Ego sangat aku ni sampai tak minta balik.

Tak pun, mana tahu aku tersalah tulis nombor telefon aku ke? Dahlah tak ada cara lain nak contact dia. Macam mana ni? Nak jumpa kat mana pun tak tahu. Kalau dah plan awal – awal tu lainlah. Boleh aku terus ke sana sekarang ni.

Knock Knock

Aku terus menoleh saat mendengar ketukan pintu. Wajah nenek yang sedang memerhati aku dari atas ke bawah. Mukanya berkerut memikirkan sesuatu. Aku turut melihat diriku di hadapan cermin. Ada yang tak kena ke?

“Nak ke mana lawa – lawa ni?” aku menelan liur, cuba memikirkan jawapan yang boleh mengelak dari persoalan seterusnya.

“Memandai jer nenek ni, biasa jelah. Mia nak keluar jumpa kawan kejap.”

Tolong nek, jangan tanya siapa. Tolonglah.

“Dengan siapa?” akhirnya persoalan tu muncul. Mungkin aku tak patut berharap.

“Nenek ingat tak, minggu lepas, Mia ada pergi jumpa kawan. Nama dia Adam tu.” Aku cuba menjelaskan perlahan – lahan, berharap nenek tidak salah anggap. Tak berjaya. Tengok muka yang nenek tengah buat tu. Habislah aku.

“Dating?”

Apa aku nak jawab ni. Moden betul nenek aku ni, tau jer yer perkataan dating. Dari mana belajar? Aku kena semak setiap drama yang dia tengok. Mesti belajar dari situ.

Penyelamat aku berbunyi. Mesej masuk. Aku terus memberikan senyuman kepada nenek dan menunjuk pada telefonku. Cara paling mudah untuk berpura – pura lupa soalannya kejap lagi.

Send location.

Aku melihat nombor yang tak dikenali. Semestinya dia, siapa lagikan? Tengok gambar profil dia. Orang lain letak gambar sendiri kebanyakan, dia letak gambar pantai. Cakap aku, tapi dia lagi obsess dengan pantai rasanya.

Kejap, dia suruh hantar lokasi? Takkan aku nak bagi alamat rumah aku kot. Biar betul dia ni. Tak boleh ke dia hantar alamat kat mana nak jumpa? Kan senang.

Tak boleh ke hantar alamat kat mana nak jumpa?

Tak.

Dia ni, kalau aku paksa juga, nanti sampai ke sudah tak berjumpa. Jadi aku ambil keputusan untuk hantar sahaja tanpa meneruskan pergaduhan. Nanti depan dia, kenalah dia siap sedia membebel dengan aku.

Jangan lupa bawa ubat, takut jalan sesak lambat dapat balik.

Perlu ke dia ingatkan macam ni? Bukannya aku tak tahu apa yang penting nak dibawa dan tidak. Aku merenung ke dalam beg tangan. Puas hati melihat ubatku berada di dalamnya. Tengok, aku tak lupa kan?

“Nek, kejap lagi kawan Mia tu sampai. Mia nak keluar tau.” Aku segera melihat diri aku dari dalam cermin. Memastikan diri aku tak kelihatan seperti zombie.

“Kalau dia hanya kawan, kenapa agaknya cucu nenek beria nak nampak cantik sekarang?” nenek memegang bahuku. Wajahnya kini kelihatan di dalam cermin. Merona merah pipiku mendengar pertanyaan dari nenek.

Aku memusingkan badan memandang nenek. “Nek, kita nak cantik sebab diri sendiri. Bukan orang lain.”

“Tapi sekarang ni, kenapa agaknya pakai baju lawa – lawa, benda yang nenek tak pernah nampak cucu nenek buat.”

Nampak sangat ke? Penat aku set dalam otak aku, biar tak nampak sangat aku bersiap hari ni. Tapi nenek cakap macam ni pula. Dah merundum aku jadinya. Si Adam mesti boleh nampak juga aku macam beria kan?

“Patut ke Mia tukar baju?”

Nenek tertawa mendengar pertanyaanku. Laju dia menggeleng. “Tak perlu. Cucu nenek nampak cantik sangat. Tak nampak berlebihan. Kalau dia tak nampak cantik kamu, dia memang tak reti menilai.”

Kata – kata nenek yang menenangkan aku. Dia menepuk – nepuk bahuku lembut. Tanganku pantas merangkul tubuh nenek. Nenek yang terbaik, dan aku bersyukur. Aku masih diberi kesempatan untuk merasakan kasih sayangnya itu.

Nenek membalas pelukanku semula. Setiap saat, dapat aku rasakan kasih sayangnya disebalik pelukan ini.

Saat bersama nenek terganggu apabila nada dering telefonku berbunyi. Aku terkejut. Tanganku mengapai telefon yang ada di atas meja solek. Panggilan dari dia.

“Hello?”

Suara Adam membalas, “Aku dah sampai. Rumah no 22 kan?”

“Hmm, kejap lagi saya keluar.”

Aku mematikan perbualan. Tenang Mia, kenapa nak gemuruh sangat ni? Tujuan utama kau nak tau pasal Adam. Bukan berseronok. Jangan anggap ni date, tapi anggap macam masa dia bagi untuk kau kenali dia.

Nilah masanya untuk aku tahu tentang Adam yang aku selalu rasa misteri tu.

Nenek menemaniku sampai ke depan pintu, walaupun berkali – kali aku berkeras menegahnya. Tapi nenek tetap nenek, dia takkan mengalah. Sama keras kepala macam cucu dia. Kalau aku tak mengalah, nenek pun tetap takkan mengalah. Beria dia nak tahu siapa lelaki bernama Adam yang aku selalu sebutkan selama ini.

Apabila pintu rumah terbuka, wajah dia secara semula jadi menjadi tumpuanku. Aku tak perlu mengambil masa yang lama untuk mencari kelibatnya. Dia sendiri sedang berdiri di luar pintu keretanya sambil bermain dengan telefon bimbit. Lagaknya itu membuatkan aku terfikir dia sedang membuat gaya ala model ketika itu. Ni salah satu cara dia nak buat orang lain kagum dengan dia ke?

Menyedari kehadiranku, Adam segera menyimpan telefon bimbitnya dan kaca mata hitam disimpan ke dalam poket. Senyuman di bibirnya tanpa dipaksa terus dipamerkan. Aku seperti berada di bawah pengaruh dia, aku sendiri tak boleh berhenti melihat dia ketika itu. Aura Adam di depanku ketika ini sungguh berbeza dengan yang aku selama ini kenal.

“Assalamualaikum,” Adam memberi salam. “Ni mesti nenek Mia kan?”

“Wa’alaikumussalam.” Jawabku dengan nenek hampir serentak.

“Segak orangnya Adam ni yer.” Puji nenek. Patutnya aku bagi warning, jangan puji dia ni. Mesti ego dia meninggi kejap lagi.

“Biasa jer nek. Saya Adam, kawan Mia.” Dengan sopannya Adam memperkenalkan diri. “Adam nak minta izin bawa cucu nenek keluar. Nenek jangan risau, Adam jaga dia elok – elok. Macam mana elok dia keluar dengan Adam, begitu juga keadaan dia masa balik nanti.”

Wah, siapa sangka dia boleh jadi hero melayu. Ayat penuh sopan yer. Tersusun kemas. Dialog mana dia curi? Kan seronok kalau dapat sakat dia masa ni. Mulut aku ni, dah gatal nak ucap ayat ni.

“Tak mengapa, nenek percaya kat kamu. Bawa kereta tu elok – elok tau.”

“Nek, Mia pergi dulu yer,” aku menyalami tangan nenek. “Jangan lupa kunci pintu. Mia ada bawa kunci, jadi jangan buka kalau ada orang datang tau.”

“Nenek tahu lah. Dah pergilah.”

“Bye!” tanganku melambai dari dalam kereta. Sayup – sayup susuk tubuh nenek mulai menghilang dari pandanganku.

Aku duduk bersandar menikmati udara sejuk dari pendingin hawa. Selesa sungguh lagi – lagi dalam cuaca panas terik macam sekarang.

Tangan Adam mahu menghidupkan radio. Menyedarinya, laju aku menepuk. Aku memberi insyarat tidak perlu.

“Nak terus bermula dengan soalan pertama. Jadi perlukan ketenangan. Mia tak mahu ada bunyi bising ganggu termasuk ni.” Jariku menunjuk ke arah radio.

Adam mengalah. Dia menjauhkan tangannya dari butang radio. “Suka hati Cik Mia. Okey, dah sediakan semua soalan untuk aku jawab ke?”

Mataku mengecil. Aku pasti dia akan kagum kalau tahu usaha aku macam ni. Tanganku menyelongkar beg tanganku, mencari senjata yang telah lama aku siapkan.

“Tadaa,” nada teruja tak dapat disorok. Adam tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat aku melambai – lambaikan kertas yang penuh dengan senarai soalan yang ingin aku tanyakan. “Harap awak tak rasa kagum dulu dengan semangat saya ni.”

“Kau dah berjaya buat aku nak tahu soalan – soalan tu.”

Mataku terpejam untuk menikmati rasa bangga dari pujiannya tu. “Siap sedia yer untuk soalan pertama.” Aku membuka lipatan kertas. “Pertama, nama sebenar awak.”

“Boleh tak kita buat benda ni adil?”

“Jawablah dulu soalan aku.”

“Dengar dulu.” Adam menjelingku dari ekor matanya. Fokusnya masih pada pemanduan. “Setiap soalan kau tanya, lepas aku jawab, aku nak kau jawab juga, dan kalau aku rasa tak menarik soalan kau tu, aku nak tukar soalan untuk kau jawab. Setuju?”

Apa ni? Dia cakap hari ni peluang aku bebas nak tanyakan segala benda yang aku nak tahu pasal dia. Ni dia buat syarat macam ni.

“Hari tu cakap lain, hari ni lain.” Aku mencebek, rasa tidak puas hati mulai bersarang. “Kenapa peraturan berubah jadi macam ni? Pusing balik, tak mahu lah macam ni. Hantar Mia balik!”

“Budak ni, tak nak dengar dulu.” Adam mengambil peluang memandangku ketika lampu insyarat bertukar merah. “Tak menariklah kalau kau terus menerus tanya soalan sampai habis. Nanti kalau semua soalan kau tu habis, kita nak buat apa?”

Pandai dia ni nak pancing minat aku.

“Jadi aku terfikir, ni salah satu cara kau dan aku, kenal dengan lebih rapat. Dan sekarang ni aku rasa kau masih buta lagi. Biar aku terus terang tanpa sorok dari kau. Ni salah satu cara aku nak kenal kau dan tunjukkan usaha aku nak tahu tentang kau dengan lebih dalam.”

Hebat. Dia berterus – terang macam tu jer. “Maksudnya?”

“Maksudnya, macam aku cakap hari tu. Harga untuk kau tahu semua tentang aku ialah jadi orang penting dalam hidup aku. Salah satu caranya, kita kena kenal dengan lebih rapat, aku tengah tunjuk usaha aku sekarang. Tulah dia.” Jelasnya.

Salah ni. Aku tak faham lelaki macam dia ni. Ringkas sangat pemikiran dia ni.

“Eh Adam,” aku membetulkan posisi dudukku agar senang memandang wajahnya. “Lelaki yang cakap straight to the point ni bagi saya tak menarik tau. Mia faham, sekarang ni awak nak cakap awak nak hati saya, jadi awak tunjuk usaha awak macam tu. Masalahnya, nak ambil hati orang bukan semudah ni yer. Lagi – lagi saya ni. Maaf, baik kita fokus kat topik kita balik. Okey?”

Aku membuka balik kertas senaraiku. “Ada lebih kurang 20 soalan yang saya mampu nak fikir, jadi baiklah, lepas awak jawab soalan saya, awak boleh tanya saya balik apa jer soalan awak nak. Saya setuju tu. Jadi nama awak? Nama sebenar tau.”

Aku memandang dia tidak berkedip. Menanti jawapan darinya umpama menunggu perkara yang mustahil berlaku. Dia menghela nafas sedalam yang boleh. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang ekspresi.

“Tak ada lagi ke perasaan dalam diri kau?”
Huh? Apa kena mengena dengan soalan aku tadi? “Soalan saya tadi..”

“Baiklah, aku terima cabaran kau. Aku cuba ambil hati kau, Mia. Aku maksudkannya.”

Adam. Masa macam ni, bukan gurauan untuk aku kalau seseorang libatkan hati. Mungkin kau tak pernah rasa luka dari ditinggalkan. Aku pernah. Kerana itu aku takut bermain dengan hati. Sehingga sekarang hati aku masih belum sembuh dari luka lama. Tak kisah kau mau katakana aku tidak berperasaan, pentingnya untuk aku ialah, aku jaga diri aku dari mengalaminya semua.

Lagipun, aku tak yakin hati aku akan mudah terbuka untuk sesiapa buat masa ini.

“Okey, soalan saya tadi, nama sebenar awak.” suasana sepi tadi segera aku ubahkannya dengan mengulang semula soalan ku tadi.

“Adam Nawfal.”

Laju tanganku menaip nama tersebut dalam carian di Google. Adam Nawfal yer. Hampa. Jadi betullah bukan pelukis. Tak ada pun nama dia dalam senarai pelukis terkenal.

“Asal?” tanya Adam.

“Bukan pelukis, tak ada galeri?”

Adam tertawa. “Mia, aku dah bagitahu kan?” Nampaknya aku terpaksa ubah hampir separuh dari soalan aku. Ingatkan dia bohong masa cakap dia bukan pelukis. Penatlah aku berjaga sampai ke pagi semata – mata nak memikirkan soalan berkaitan dia. Sekali begini pula. Aku siap google kot nama pelukis yang ada kaitan dengan Adam. Patutnya aku percaya jer. “Nama penuh kau pula?”

“Damia. Hana Damia.”

Aku yakin Adam dapat rasa nada kecewa aku.

“Aku pelik. Kau tak perasan ke pakaian aku masa ambil Rayyan?” persoalan Adam membuatkan aku berhenti mengelamun. Penting ke aku nak ambil tahu pasal pakaian dia? Apa bezanya dengan yang selama ni aku kenal, dengan hari tu dan juga sekarang? “Cuba kau ingat balik.”

Bagusnya kalau aku ni fotografik memori. Bolehlah nak ingat sekali imbas macam tu. Selama ni aku tak pernah nak anggap pemakaian dia boleh dikaitkan dengan sesuatu. Dah dia suruh, jadi cuba aku fikir balik.

Kalau hari Ahad, aku selalu nampak dia pakai baju t – shirt yang berkolar. Tak nampak menarik, hanya biasa – biasa jer. Sekarang dia pakai, sesuatu yang bergaya. Sekurangnya di mata aku. Baju tanpa kolar, fit dengan sempurna, tak terlalu ketat macam lelaki zaman sekarang selalu pakai, kemudian berlengan pendek. Warna pula, jadi kebiasaan lelaki lain juga, akan pakai warna gelap. Gaya ringkas dia tak ada perbezaan ketara macam selalu aku lihat. Permasalahan aku nak ingat balik gaya dia semasa ambil anak buahnya di tadika.

Dia pakai apa masa tu? Cuba ingat balik. Sesuatu yang berlengan panjang. Yer, dia tak pernah lagi pakai baju lengan panjang. Baju apa tu?

“Kemeja?”

“Bingo.” Adam mengesahkan jawapanku.

“Awak kerja pejabat?” aku bertanya, masih lagi dalam keadaan tidak percaya. Dari rupa dia, susah aku nak percaya dia kerja pejabat. Tak sesuai langsung. Aku tak boleh nak terima berita baru yang aku dengar sekarang ni.

“Tu soalan kedua ke?” dia bergurau. Aku tahu, sebab dia cuba menahan diri dari tertawa. Seronok lah tu dapat mainkan aku sekarang kan?

“Soalan kedua. Apa kerja awak? seriuslah ada kena mengena dengan pejabat? Tolonglah jangan stereotype tiba – tiba awak mengaku, pemilik syarikat besar, dan awak pewarisnya, ada cawangan kat seluruh negeri, lepas tu plan nak buka cawangan baru kat luar negara. Bukan kan? Tak se-cliché tu kan?”

Aduh.

Aku memegang dahi aku. Sempat pula dia nak jentik. Sakitlah.

“Kau banyak sangat tengok drama ni.”

Betulah tu. Aku berkhayal teruk ni. Tak mungkinlah dia macam tu. Cukup – cukuplah aku buat tangapan ikut suka. “Maaf.”

“Kerja perjabat dan syarikat tu, betul, kecuali syarikat besar dan pewaris tu salah. Kau nampak macam perempuan materialistik bila buat andaian macam tu.” Adam menghentikan keretanya di tempat yang begitu asing bagiku. “Nilah tempat kerja aku.”

Jariku menunjuk ke luar. Adam menganggukan kepalanya, gerak wajahnya menyuruh aku melihat sendiri syarikat yang berada di hadapanku. Aku mengintai sedikit. Perkataan tertulis besar itu aku baca. ‘Firma Guaman’.

Tak mungkin.

Mataku berkali – kali memandang dari Adam ke bangunan yang ada di hadapanku. Aku tak boleh nak terima kenyataan. Dia mahir melukis. Jadi aku fikir paling tidak pun, mesti berkaitan dengan lukisan. Macam arkitek, fashion designer, atau lain – lain lagi. Aku betul – betul tak sangka otak dia berfungsi juga untuk melukis.

Tak adil. Jadi dia ni pandai, ada kemahiran melukis, ada rupalah juga, dan pekerjaan membanggakan. Macam mana ada orang bertuah macam dia ni?

Jarinya membantu menutup mulutku. Aku kagum sampai tak sedar mulutku terbuka dari tadi?
Adam mengeluarkan sesuatu dari dompetnya. Bukti dia seorang peguam. Mungkin dia tahu sekarang aku masih dalam keadaan ragu – ragu akan kebenaran yang dia tunjukkan sekarang. Kenapa aku tahu semua ni? Tiba – tiba, aku rasa macam nak undur masa ke saat aku dan dia hanyalah rakan di hari Ahad.
“Adam, pada saya sekarang, awak macam manusia yang hampir sempurna. Ada segalanya. Tak hairanlah dulu awak cakap awak faham pemikiran manusia. saya faham sekarang.”
“Dengar Mia.”
“Mungkin kita patut ke soalan seterusnya?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience