Chapter 1

Horror & Thriller Completed 11904

Bab 1 : Loceng Gelang Kaki

Penat menyediakan laporan masih belum reda. Kerja di pejabat makin bertimbun akhir-akhir ini. Sejak 3 tahun yang lepas, Nelly bekerja sebagai seorang Pegawai Eksekutif Admin di salah sebuah hospital swasta yang terletak di ibu negara. Setiap hari dia akan pulang lewat dan menyambung kerjanya di rumah. Nelly hampir-hampir terlena apabila jarum jam menunjukkan pukul 2.45 pagi. Dia mematikan laptop, mematikan suis lampu dan seterusnya baring di atas katil Ikea miliknya yang empuk.

Ting..ting..ting.ting.ting..

Nelly tersentak. Matanya terbeliak terkejut. Walau bagaimanapun dia masih baring dan langsung tidak bergerak. Kaku.

Bunyi itu datang lagi! Bunyi loceng kaki! Seolah-seolah seseorang yang memakai gelang kaki berloceng berjalan mundar mandi di ruang tamu rumah nya.

Ting..ting..ting..

Jantung Nelly berdegup laju. Tangannya berpeluh dengan tiba-tiba. Bunyi itu kedengaran semakin hampir dengan bilik tidurnya. Makin lama bunyi itu semakin kuat dan laju. Seolah-olah ia berulang-alik dengan pantas di hadapan bilik.

Ting! Ting! Ting! Ting!

Nelly memberanikan diri untuk bangun dengan niat untuk membuka lampu. Bunyi itu semakin kuat seperti ia ingin masuk ke dalam bilik. Oleh kerana suis lampu berada di sebelah pintu bilik, Nelly membatalkan niatnya untuk membuka pintu. Dia cuba meraba-raba selimut di dalam gelap dan sedar yang selimutnya berada di lantai bersebelahan katil. Bunyi gelang kaki itu terus memecah kesunyian ruang rumahnya pada malam itu. Nelly cepat-cepat baring dan membalut keseluruhan dirinya. Dengan tiba-tiba, bunyi gelang kaki itu lesap.

Hilang.

Sekali lagi sunyi menyapa ruang.

Nelly berdebar-debar menunggu di dalam selimut kalau-kalau bunyi itu datang lagi. Setelah hampir 5 minit bunyi itu tiada, Nelly menarik selimut dan menjengah perlahan-lahan untuk melihat keadaan sekeliling. Semuanya normal. Dia melihat di dalam samar almarinya, meja solek dan juga meja kerjanya. Tiada apa-apa yang berubah. Nelly menarik nafas lega dan merasa sedikit selamat kerana bunyi itu tidak lagi kedengaran.

Tiba-tiba Nelly ternampak sesuatu. Dia terasa bagai kan terkena kejutan elektrik. Jantungnya bagaikan hendak meletop berkecai tanpa serpihan. Di dalam samar-samar, dia ternampak selimutnya di atas lantai bersebelahan katil.

Bukankah Nelly sudah mengambil selimut itu dan membalut tubuhnya?

Nafas Nelly semakin laju. Tekaknya terasa kering. Air mata mula mengalir di pipi. Nelly terasa kain selimut yang dipegangnya seperti kasar dan sedikit lembap. Bau kemenyan dengan tiba-tiba menusuk hidungnya sehingga dia terbatuk. Dengan terketar-ketar, Nelly mencapai Iphone 4 miliknya dan membuka 'torchlight app'. Dia menyuluh ke arah selimut yang dipegangnya dan kelihatan tompokan darah yang banyak! Selimut yang diambil pada mulanya tadi adalah bukan selimut tetapi sehelai kain putih yang bertompokan darah.

Tidak cukup dengan semua itu, bunyi gelang kaki pula memecah kesunyian di dalam bilik Nelly. Bunyi itu seolah-olah berada di sebelah katil nya!

Ting! Ting! Ting! Ting!

Nelly pengsan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience