Usai waktu persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Aku pelik
melihat pintu rumah terbuka luas. Aku lihat kereta ibu sudah berada di
garaj. Perlahan-lahan aku melangkah masuk. Aku terdengar suara ibu
memarahi seseorang. Aku mengintai di balik pintu masuk. Kepala
kujenggukkan sedikit ke dalam. Telinga aku buka seluas-luasnya untuk
mendengar butir amarah ibu.
“Kenapa along tak puasa? Bukan ke masa mula-mula nak puasa
tu along dah janji nak puasa penuh?!” marah ibu.
Aku terkejut. Along tak puasa? Aku lihat along menundukkan
wajahnya ke lantai.
“Along dahaga sangat lepas main bola tadi,” jawab along
takut-takut.
“Siapa suruh along main bola bulan-bulan puasa, ni?”
“Kawan along tak cukup orang sebab tu dia ajak along main
sekali.”
“Along ni dah besar tahu tak? Sepatutnya tahan sikit dahaga
tu. Berpuasa menyuruh kita menahan lapar dan dahaga. Dalam kes along ni,
nampak sangat along tak kuat iman. Mia yang kecik tu pun pandai tahan
makan dengan minum tau! Buat malu je kalau Mia tahu,” leter ibu lagi.
Acummm!
Tiba-tiba aku bersin. Along dan ibu memandang ke arah pintu
masuk.
“Hehehe...” Aku tersengih. “Mia tak dengar apa-apa...”
Sepantas kilat aku berlari menaiki tangga. Sampai di bilik, aku
meletakkan beg di kerusi meja belajar. Aku mencapai tuala lalu melangkah
ke bilik mandi.
Selesai mandi dan berpakaian, aku duduk di kerusi meja
belajar lalu membuka zip beg. Tiga helai kertas yang mengandungi
berlainan gambar aku keluarkan. Cikgu Jannah menyuruh kami mewarnakan
gambar itu di rumah. Pensil warna jenama Stabilo aku keluarkan lalu mula
mewarna dengan tekun.
*****
Aku sudah merasa nikmat terlentok tersandar di kerusi. Akhirnya siap juga kerja sekolahku. Aku bangkit lalu melangkah keluar dari bilik untuk menonton televisyen di
ruang tamu.
“Mia, mari tolong ibu kat dapur,” panggil ibu ketika aku
sedang khusyuk menonton televisyen.
“Mia tengah tengok kartunlah bu.”
“Tinggalkanlah tv tu sekejap. Mari tolong ibu, kejap lagi
dah nak berbuka,” kata ibu lagi.
“Kejap lagilah bu.” Aku masih lagi leka dengan rancangan kartun.
“Orang perempuan tak baik malas-malas, nanti tak ada siapa
nak.” Ibu sudah berdiri di hadapanku.
“Mia kecik lagi, mana boleh kahwin. Apalah ibu ni.”
“Kecik-kecik macam nilah kena belajar buat kerja dapur. Bila
dah besar nanti senang, tak payah asyik nak makan kat luar je. Jom
tolong ibu.” Ibu mengambil alat kawalan jauh lalu mematikan televisyen.
Kemudian tanganku ditarik.
Dengan malasnya, aku mengekori ibu ke dapur. Ibu memintaku
mengopek ikan bilis sementara ibu memasak lauk lain.
Selesai memasak, aku menolong ibu menghidangkan di atas meja
di ruang tamu.
“Mia pergi panggil ayah dengan along turun, lagi beberapa
minit aje nak berbuka.”
Aku berlari menaiki tangga lalu mengetuk pintu bilik ayah.
“Masuk jelah, pintu tak berkunci,” kata ayah dari dalam.
Aku memulas tombol pintu. “Ayah, ibu panggil turun.”
“Kejap lagi ayah turun. Ayah nak baca surah ni dulu, lagi
sikit je.” Ayah menyambung semula membaca al-Quran.
“Okey, ayah...” Aku menutup pintu bilik ayah semula lalu
melangkah ke bilik along. Pintu bilik along aku ketuk. “Ibu suruh
turun,” kataku sebaik saja along membuka pintu. Kemudian aku berpusing
mahu turun kebawah, diikuti Along. Sebaik sampai di meja makan, aku dan
Along mula duduk di kerusi.
Ibu keluar dari dapur sambil menatang satu jag berisi air
sarsi lalu diletakkan di atas meja. “Along tak boleh makan kat sini.
Along kan tak puasa, kenalah makan jauh sikit. Pergi duduk kat sofa
sana,” arah ibu. Nadanya sedikit marah.
Perlahan-lahan along mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggan
serta menuang air ke dalam gelas. Kemudian along melangkah ke sofa.
Beberapa minit kemudian ayah turun lalu melabuhkan punggung
di kepala meja. “Along, mari duduk sini. Kejap lagi nak berbuka,”
panggil ayah.
“Biarkan dia, bang. Orang tak puasa mana boleh duduk semeja
dengan kita,” ujar ibu.
“Dia tak puasa? Mana Min tahu?” tanya ayah terkejut.
“Siang tadi guru besar call Min, suruh datang sekolah.
Sampai je kat bilik guru besar, Min nampak dia dengan kawan-kawan dia
kat dalam. Guru besar cakap along dan kawan-kawan dia ditangkap masa
tengah minum air kat belakang makmal,” terang ibu.
“Astaghfirullahalazim... apa nak jadi dengan kamu ni
along?!” Suara ayah sudah meninggi.
“Sudahlah bang, tadi Min dah marahkan dia. Nampaknya kita
kena tarik baliklah seratus ringgit yang kita dah janjikan dulu,” kata ibu.
Aku sudah terkejut.
“Tapi ibu, satu hari je pun along tak puasa.” Along tidak
puas hati.
“Satu hari pun dikira tak penuh jugak. Ibu tetap akan
tarik balik,” kata ibu tegas.
Aku lihat muka along kelihatan muram.
“Mia dapat, kan ibu?” tanyaku mahu kepastian.
Ibu dan ayah memandangku.
“Mia mestilah dapat, sebab Mia belum pernah tinggal puasa lagi,” kata
ibu sambil tersenyum.
Aku menarik nafas lega.
“Dah azan dah tu. Mia, baca doa,” arah ayah sebaik saja
mendengar laungan azan maghrib.
Share this novel