Terkenal

Horror & Thriller Series 22056

Aku melajukan tanganku menulis perkataan terakhir yang sempat aku ujarkan dalam bentuk tulisan sebelum pengawas peperiksaan mengatakan masa sudah tamat dan menyuruh kami meletakkan pensil. Peperiksaan akhir semester ini yang paling merimaskan sudah berakhir. Akhirnya aku boleh pulang ke bilik dan bermalas malasan seperti apa yang aku buat seminggu sebelum peperiksaan bermula.

Bila fikirkan balik, apa sahajalah yang aku belajar semester ini? Entah betul entah tidak jawapan yang aku isikan tadi. Ah lantaklah, benda dah lepas.

Selang beberapa meja dari aku, Khalil duduk, tangannya mengetuk ngetuk meja gementar sementara menunggu kertas peperiksaan diambil. Dia menoleh ke arah aku dan tersenyum, takut takut. Mungkin juga rasa bersalah mula menjamah hatinya.

Aku sengih endah tak endah. Malas mahu bermasam muka dengannya kerana nanti pasti dia mahu mengikut aku ke sana ke mari meminta maaf. Rimas.

Mungkin juga aku sudah maafkan dia tetapi aku tidak akan sesekali mempercayai dia semula.

Kemudian, aku merasa sesuatu terkena belakang kepala aku. Aku menoleh dan Ana sedang tersenyum sengih menampakkan gigi siungnya yang unik itu.

"Eh, tak perasan pulak kau kat sini." Ujarku berbisik selepas kertas aku diambil. Mana boleh bercakap sebenarnya dalam dewan peperiksaan ini tapi lantaklah. "Kau nervous sangat nak jawab exam ke?" Dia berseloroh.

Gementar? Sejak aku punyai keupayaan melihat benda benda seram, perkara realiti seperti ini tidak lagi menakutkan aku. Sejujurnya, agak menakutkan juga apa yang aku rasakan waktu ini. Seolah olah kegelapan telah bawa lari aku daripada realiti aku sendiri.

"Takdelah." Jawab aku sepatah. "Aku still ada exam esok, kau dah habis ke?" Tanya Ana sambil menconteng lukisan dia atas tapak tangannya dengan pen.

"Dah habis. Aku dah bebas." Aku menjelir lidah tanda kemenangan. "Pernah ke kau bebas?" Ana ketawa sebelum aku tersentak. Aku tidak pernah bebas. "Kau pun sama." Jawabku defensif.

"Ya." Jawabnya sebelum ketawa kecil.

"Pelajar diminta meninggalkan dewan sekarang." Pengawas peperiksaan menyebut sepatah sepatah di mikrofon di atas pentas dewan itu. Aku mengemas barang barangku sebelum bangun dan bersiap sedia untuk keluar sebelum Ana menunjukkan tapak tangannya yang tidak mempunyai tanda kegelapan.

'Jangan percaya Khalil.'

Aku tersentak dan dahiku berkerut. Kenapa? Aku mahu bertanya sebelum seorang gadis menarik tanganku. "Awak tertinggal pemadam awak." Sebutnya sebelum pengalaman gelapnya memenuhi pandangan mataku.

"Ikah, kau kena tolong aku." Murni menggenggam tangannya. "Aku nak jadi terkenal, Ikah. Tolonglah aku." Gadis itu merayu.

"Aku tak sukalah benda macam ni." Ikah mengulang untuk kali yang ketiga. Perasaan serba salah memeluk dadanya erat. Dia tidak suka perkara mistik seperti ini.

"Sekali je, Ikah. Benda ni karut je. Tak betul pun." Mia pula memujuk. Puteri sekadar memandang.

Puteri, Ikah, Mia dan Murni sudah lama berkawan. Sudah dekat 3 tahun mereka sebilik di asrama puteri universiti itu. Semua benda pasti buat bersama sama walaupun selalu juga bertelingkah kerana Murni terlalu suka memaksa.

"Okay." Dan perangainya yang suka memaksa itulah yang menyebabkan Ikah mengatakan apa yang dia baru katakan.

Malam menyaksikan gadis gadis itu duduk di dalam bilik yang gelap gelita. Kemudian di depan Ikah lilin dinyalakan satu persatu membentuk bulatan yang mengelilingi satu patung budak perempuan yang usang.

"Ikah? Kau okay?" Puteri yang duduk di kananya yang sebaya umurnya menepuk bahu Ikah. "Ya..Takut sikit." Ikah jujur menjawab.

"Aduh Ikah kau ni, benda karut camni pun kau takut ke? Kita buat ni suka suka jelah. Just enjoy it." Murni di depannya mengerut wajah seakan tertekan dengan jawapannya tadi.

"Betul cakap Murni tu, Ikah. Kita nak have fun je." Sambut gadis dia belah kirinya dengan senyuman. Kepala digoyang goyang menyebabkan rambutnya yang diikat dua ikut bergoyang.

"Okay Mia." Ikah menjawab pendek dengan senyuman terpaksa. Dia takut sebenarnya tetapi mungkin juga tiada apa akan terjadi. Semua ini cumalah karut dan mereka hanya turut bermain kerana trend.

Murni menekan punat di atas kameranya. "Jom start." Dia tersenyum. "Sekejap, mana kertas yang kena baca tu?" Mia menggapai kertas yang terletak dia atas katil asrama yang tidak jauh darinya itu.

"Korang sure ke nak buat benda ni?" Ikah bersuara lagi, bersiap sedia untuk dimarahi Murni dan Mia namun dia lebih takut jika sesuatu tidak diingini berlaku nanti.

"Ikah, kalau kau tak nak buat, bagitau la awal awal, kami boleh cari orang lain gantikan kau. Aku nak buat video ni." Murni memutar matanya, jelas kelihatan dia jengkel dengan perbuatan dan percakapan ikah.

"Aku minta maaf, aku takut je." Ikah tunduk lantas gadis di kanannya memeluknya lembut. Hanya Puteri sahaja yang faham akan perasaannya waktu itu. "Jangan risau Ikah, takde apa apalah. Puteri ada." Puteri menenangkan Ikah.

"Okay." Ikah mencebik.

"Okay, pegang tangan masing masing dan baca kertas ni." Murni memberi kertas kertas tersebut kepada setiap seorang di situ.

Beberapa saat kemudian, bilik itu bergema dengan suara mereka berempat membaca jampi keramat yang disebarkan melalui media sosial itu.

aku lagi bang wingo wingo,
jin setan kang tak utusi,
jin setan kang tak utusi,
dadyo sebarang,
wojo lelayu sebet.

Tiada ayat pun yang mereka fahami di dalam jampi yang mereka baca itu namun mereka mengulangi ayat yang sama tanpa henti seperti yang diajarkan di dalam media sosial.

Video orang melakukan cabaran memanggil pontianak seperti yang mereka sedang lakukan selalu tular di media sosial dan itulah yang Murni mahu. Populariti dan duit. Itu sahaja yang dia fikirkan saat ini.

Ayat yang sama diulang sehingga tekak mereka merasa kering namun tiada apa terjadi. Mereka hanya boleh berhenti membaca jampi apabila patung di tengah tengah lilin tersebut berdiri dengan sendiri.

Itu maksudnya pontianak sudah datang. Sudah dekat. Sudah berada dengan mereka di dalam bilik tersebut.

Ikah merasa bulu romanya meremang tetapi dia tidak berhenti membaca jampi tersebut. Dalam hati memohon pada Tuhan yang tiada apa akan mengganggu mereka pada malam yang sunyi ini biarpun mereka sendiri yang memanggil makhluk itu.

Sepuluh minit lagi berlalu dan tiada apa yang berlaku. Murni mula kelihatan hilang sabar. Mia tersengguk-sengguk kerana mengantuk.

Lima minit berlalu sebelum Murni hilang sabar. Dia yang pertama menarik tangannya yang berpeluh dari pegangan rakan di kanan dan kirinya.

"Ah sudahlah, takde apa pun yang jadi." Ujarnya bengang. Mia mengangguk sebelum mencapai air dan minum menghilangkan dahaga. Ikah tersenyum sedikit, lega tiada apa terjadi. Puteri ikut tersengih.

"Bodoh betul." Ujar Murni sebelum mengambil patung buruk itu dan dibaling ke dinding bilik asrama mereka.

"Dahlah, baik aku tidur."Dia bangun untuk membuka suis lampu dalam gelap gelita itu. Wajahnya berkerut apabila dia menekan suis lampu berkali kali namun tiada apa yang berlaku. "Aik, tak ada elektrik ke?" Mia bertanya hairan.

"Entah." Murni menjawab. Ikah membuang pandang ke luar tingkap dan bilik bilik lain elok sahaja terpasang lampu. "Tempat lain elok sahaja ada elektrik." Ikah memberitahu.

"Tunggulah, aku pergi panggil felo tengokkan suis lampu ni sekejap. Kemas barang semua tu dulu." Murni mengarah sementalah dia berjalan ke pintu untuk keluar.

Wajahnya ibarat pucat tidak berdarah apabila pintu terkunci. Ibarat terkunci dari luar. "Eh apahal ni?" Dia menepuk nepuk pintu dari dalam. "Woi tak lawaklah, bukak pintu ni sekarang!" Murni mengamuk. "Ni mesti orang dengki dengan aku ni." Sambungnya lagi.

"Murni, sabar." Mia memujuk. "Mana boleh sabar! Ini dah lebih." Murni menyepak pintu tersebut namun masih tidak boleh dibuka.

Ikah dan Puteri bangun dari tempat mereka duduk dan mendekati Murni dan Mia. Pada saat itu, Mia menjerit sekuat hatinya menunjuk ke arah belakang Puteri dan Ikah.

Patung tadi itu berdiri dengan sendirinya.

Ikah dan Puteri menoleh perlahan lahan dan kaki mereka menjadi lemah longlai. Di depan mereka saat ini, seorang perempuan berambut panjang sedang merangkak di atas siling bilik itu. Rambutnya yang panjang mencapai lantai. Kakinya lapan melekat dia atas siling dengan kuat.

Ini bukan pontianak. Mungkin saja Mia yang lembab itu tersalah muat turun jampi.

Mia dan Murni yang sekarang berada di depan pintu menjerit sekuat hati mereka dan menepuk pintu berulang ulang kali. Menjerit meminta pertolongan dari luar namun pintu tidak terbuka walau betapa kuat pun mereka menolak.

Makhluk yang tadinya merenung Ikah dan Puteri kini memandang ke arah mereka pula. Pontianak yang berkaki lapan itu bergerak ke arah mereka.

Puteri menutup mulut Ikah daripada menjerit. Makhluk itu perlahan lahan merangkak dia atas mereka, rambut makhluk itu terkena bahu mereka.Air mata mengalir ketakutan namun suara disimpan dalam dalam.

Jeritan Murni dan Mia menjadi semakin kuat dan kuat namun Puteri dan Ikah tidak berani menoleh, suara jeritan itu berubah menjadi suara orang yang tercekik sebelum bilik itu menjadi senyap sunyi.

Ikah dan Puteri menoleh dan kelihatan makhluk itu sedang menggigit tengkuk Murni sementalah Mia sudah terbaring dengan lubang di tengkuknya.

Mata Murni terbeliak, tangan tergapai gapai meminta tolong. Makhluk itu dengan rakus menghisap darah dari tengkuk gadis itu. Puteri memeluk Ikah erat erat dalam ketakutan.

Makhluk itu menoleh ke arah mereka dengan wajah penuh darah sebelum ia mengilai sekuat hati memenuhi ruang kosong bilik itu.

Ikah rasa kakinya lemah longlai sebelum dia jatuh ke lantai dan apa yang dia nampak seterusnya hanyalah kegelapan.

Dia membuka mata. Bau busuk ubat memenuhi rengkung hidungnya. Badan ditolak untuk berdiri dan dia kini berada di bilik sakit blok asrama mereka. Puteri berada di sebelahnya, memegang tangannya erat.

"Puteri…Aku takut." Ikah berbisik. "Ikah, kau sedar jugak akhirnya." Mata Puteri berkaca. "Murni dengan Mia kat mana?" Mata Ikah melilau.

"Dorang dah meninggal, Ikah." Puteri menangis, wajahnya basah dengan air mata. Bilik mereka dipenuhi dengan polis dan wartawan pagi tadi.

Murni mahu jadi terkenal. Memang benar mereka jadi terkenal.

Aku tersentak. Mataku merenung ke dalam mata Ikah. "T-Terima kasih." Aku menjawab dengan tergagap gagap.

Seluruh tubuhku jadi sejuk. Sudah lama aku tidak mendapat visi seperti ini. Aku baru teringat akan peristiwa gempar setahun lepas di blok aspuri. Dua pelajar mati kerana kehilangan darah. Pintu dikunci dari dalam namun tiada bukti dapat menunjukkan Ikah dan Puteri yang membunuh mereka.

Puteri berhenti belajar dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa.

Ana masih memandang ke arah aku. Dan aku memandang ke arah Khalil. Dia tersenyum ke arah aku dengan wajah yang kelihatan tidak tahu apa apa.

Aku memang tidak percaya sesiapa tetapi benarkah aku tidak boleh mempercayai dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience