TANGGUNGJAWAB sebagai seorang pelajar masih tergalas di bahunya. Dia masih mempunyai baki selama tiga semester untuk dihabiskan sebelum dia mampu menggenggam segulung ijazah. Sesekali, bebanan tugasan yang melambak-lambak membuatkan dia seakan putus semangat.Namun demi abah dan ibu, dia harus kuat menghadapi apa-apa sahaja yang ada di depan mata. Demi insan kesayangannya itu, dia akan meredah ribut taufan malah puting beliung sekalipun demi mendapatkan segulung ijazah pada hari konvokesyennya nanti.
Jam hampir ke pukul 3.30 petang. Wieyda berjalan laju menuju ke pintu pagar. Dia yang seharian bertapa di perpustakaan langsung tidak memandang ke kanan dan kiri bila berjalan. Apa yang ada dalam hatinya, dia mahu cepat-cepat pulang dan memenuhkan perutnya yang kosong ini dengan apa-apa sahaja makanan yang ada di rumah nanti. Dia berpuas hati kerana seharian ini, masanya tidak terbuang kerana banyak juga bahan-bahan rujukan yang dia perolehi hasil dari menjadi ‘penunggu’ di perpustakaan itu tadi.
“Wieyda!” Satu suara halus menjerit memanggil namanya. Wieyda berpaling mencari pemilik suara. Dia kemudiannya tersenyum apabila melihat Sara datang menghampiri. Sara yang manis berbaju kurung daripada kain kapas berwarna putih berbunga merah jambu yang dipadankan dengan tudung sarung jenama Naelofari berwarna merah jambu menghulurkan minuman kepadanya. Wieyda menyambutnya lantas menyedutnya sedikit. Gelas itu kemudian dikembalikan kepada Sara.
“Cantiknya kau Sara. Anyway, kau dari mana ni? Tadi kata tak nak keluar. Kalau tak, tak adalah aku keluar ke library sorang-sorang.” luah Wieyda sambil menyentuh sedikit lengan baju Sara. Sara yang berkulit cerah, memang cantik sekali mengenakan pakaian itu. Sara mengukir senyum. Wieyda memang suka memujinya. Dia mengamati Wieyda. Sahabatnya ini nampak simple dengan mengenakan blouse berwarna biru bercorak flora dan dipadankan dengan jeans hitam. Tudungnya yang dililit kemas di kepala menambahkan keayuan. Dia tahu Wieyda jika tidak ke kelas, dia lebih selesa berpakaian begitu. Namun jika ke kelas, baju kurung dan kebayalah yang menjadi pilihan.
“Aku terlupa yang aku kena jumpa Dr. Kamal hari ni, pasal assignment aku tu la. Haa, kau pun apa kurangnya Wieyda. Cantik. Kalau kau rasa kau tak sesuai dengan warna pink, kau harus tahu yang kau sesuai sangat-sangat dengan warna biru. Macam ni..cantik. Oh ya. Aku nak ajak kau ke pementasan teater malam ni, nak tak? Jomlah. Assignment dah banyak yang settle kan?” mata Sara bersinar memandang Wieyda. Dia berharap sangat Wieyda akan sudi menemankannya menonton malam ini. Dia sebenarnya mahu menghilangkan tekanan yang sedang dirasainya sekarang ini. Wieyda kelihatan berfikir-fikir.
“Kat mana? Aku tak tau pun ada pementasan teater. Berapa harga tiketnya?” soal Wieyda. Dia tidak ada masalah mahu menemankan Sara memandangkan dia sudah tidak punya banyak tugasan yang perlu disiapkan. Setakat nak enjoy malam ini, mungkin tidak jadi masalah. Namun bila memikirkan harga tiket yang perlu dibayar, dia kembali muram. Rasanya daripada mengeluarkan wang untuk tiket itu, ada baiknya dia menggunakan untuk perkara yang lebih penting. Sebagai anak yang dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, Wieyda cukup menjaga dan berdisiplin dalam pengurusan wangnya. Sebolehnya dia tidak mahu membebankan abahnya dengan masalah kewangan apabila di hujung semester nanti. Duit PTPTN yang diperolehinya perlu digunakan sebaiknya agar dia tidak perlu menyusahkan keluarganya. Adik-adiknya yang masih bersekolah lebih memerlukan wang itu berbanding dirinya.
“Malam ni, kat Auditorium. Pasal tiket, kau tak payah risau, aku dah belikan untuk kita. Aku belanja kau, ok. Kau cuma temankan aku aje. Malam ni aku malas nak fikir pasal assignment la. Please Wieyda. Temankan ye.?” Sara memegang bahu Wieyda. Mereka ketika itu telah tiba di pondok menunggu bas. Wieyda membuntangkan mata. Sara sudah membelikan tiket untuknya?
“Kau ni, membazir aje, kalau aku kata aku tak dapat pergi malam ni, apa kau nak buat dengan tiket tu? Mahal tau? Aku tau lah kau kaya, tapi tak elok membazir tau..? Lain kali tanya aku dulu..” Wieyda membebel. Sara senyum.
“Aku tahu kau mesti akan ikut. So, aku terus beli je la. Lagipun kalau betul kau tak boleh temankan aku, aku ajaklah abang Eful kesayangan aku tu..” ujar Sara sambil tergelak sakan. Wieyda menggeletek pinggangnya. Gatal betul anak dara ni..
“Ooo.. habis tu apasal kau tak ajak aje abang Eful kau tu? Lagi syok, daripada keluar dengan aku..” Wieyda cuba menduga. Sara menggeleng-gelengkan kepala. Jari telunjuknya dilayang-layangkan di depan Wieyda.
“Friend comes first…ok.. aku nak luangkan masa dengan kau. Nanti kalau kita dah habis belajar, tentu susah nak jumpa.. dengan abang Eful, tak apa lah.. kan, nanti aku akan kahwin dengan dia jugak..” Sara ketawa dengan kata-katanya. Wieyda menggeleng-geleng sambil tergelak kecil. Dalam hati, dia terharu, Sara memang sahabat yang baik.
“Confirm ke dia mahu kahwin dengan kau, Cik Sara Adilla? Eh.. abang Eful dah sem last kan?” Wieyda bertanya. Tiba-tiba dia teringat tentang itu. Sara cepat-cepat mengangguk. Wieyda senyum tawar. Nampaknya, ini adalah semester terakhir dia dapat melihat Hazimi di sini. Hazimi akan meninggalkan kampus ini dan melangkah ke alam kerjaya jika diizinkan Allah. Dan tentunya mereka tidak akan bertemu lagi.
“Kenapa muram pula ni? Wieyda.. ermm.. aku tau.. kau sedih sebab nanti abang Hazimi kau tu akan tinggalkan kau kan?” Sara bertanya, berani sekali. Wieyda membuntangkan mata. Sebolehnya dia mengawal rona wajahnya agar tidak terkesan oleh Sara. Sara tersenyum. Biarpun Wieyda tidak mengucapkannya, namun Sara tahu ada perasaan indah tersemat dalam hati Wieyda untuk lelaki bernama Hazimi itu. Mata Wieyda selalunya akan bersinar-sinar bila bercerita mengenai Hazimi. Itukan simptom-simptom awal orang jatuh cinta.
“Kau jangan nak pandai-pandai ye. Kang tak pasal-pasal aku cancel temankan kau malam ni, pergi sorang-sorang..” ugut Wieyda, dalam masa yang sama tidak mahu Sara meneruskan topik berkenaan Hazimi. Sara mengangkat tangan tanda mengalah. Kemudian mereka sama-sama ketawa. Sebaik sahaja bas tiba, kedua-duanya menghilang ke dalam perut bas. Tiba sahaja di bilik, Wieyda mendirikan solat zuhurnya yang sudah agak kelewatan manakala Sara terus memanaskan lauk yang dibeli sebelum bertemu pensyarahnya Dr. Kamal tadi.
Share this novel