BAB 1

Family Completed 447

ASHA MARDHIAH terkedu sendirian tatkala pengunjung lain usai pergi
meninggalkan tanah muram ini. Cuaca bagaikan langsung tidak memberi
harapan kepada gadis itu. Kelihatan awan mendung di kaki langit – hujan
pasti akan turun dalam beberapa waktu lagi. Namun, Asha Mardhiah
langsung tidak menghiraukan semua itu. Baginya, apa yang dirasai oleh
dirinya sekarang lebih penting.

Setelah imam menghabiskan doa sebentar tadi, hati Asha langsung tidak
terdetik untuk mengaminkannya. Ramai juga orang yang melawat pusara yang
masih merah tanahnya ini. Kebanyakannya bukan orang asing – saudara
Asha sendiri. Ramai juga yang bersalaman serta mengucapkan takziah
kepada Asha ; namun dia langsung tidak bersuara. Dia bagaikan kaku di
dunianya sendiri. Peristiwa yang berlaku kelmarin masih menghantuinya,
bagai tidak ingin keluar dari minda.

Waktu itu, dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari asramanya –
kerana cuti pertengahan semester baru bermula. Ibunya menyambut Asha
dengan wajah yang penuh kerinduan. Mereka berpelukan seketika. Rasa
janggal terbit di hati Asha Mardhiah. Mengapa timbul perasaan bagaikan
dia takkan bertemu dengan ibu tercinta lagi selepas ini? Enggan berfikir
tentang hal itu, mereka berdua lantas menaiki kereta lalu keluar menuju
ke lebuh raya. Sewaktu mereka membelok ke persimpangan selepas plaza tol
sahaja, dengan tidak semena-mena ia berlaku.

Lori dari arah bertentangan rakus melanggar kereta Kancil kecil yang
dinaiki mereka berdua. Ibu Asha sempat menolak dia keluar apabila pintu
kereta tiba-tiba terbuka, dan Asha tercampak keluar ke persimpangan
jalan. Apabila dia membuka mata sahaja, kelihatan kereta ibunya remuk di
tengah-tengah jalan, dengan limpahan cecair merah bagaikan lautan darah
di bawahnya. Ibunya tercampak bagaikan patung yang tidak berdaya, jatuh
ke gaung tanpa jeritan. Asha Malika yang terseliuh kakinya hanya
mampu menjerit dalam tangis sendu.

Mengikut pakar forensik, ibunya telahpun meninggalkan jasad sewaktu
kepalanya terhantuk cermin pintu kereta. Mayat ibunya reput sedikit,
kerana kumpulan mencari hanya menjumpai ibunya setelah dua hari berlalu.
Tetapi ia tidak menegah Asha untuk mencium dahi ibunya buat kali
terakhir. Pada waktu itu, dia bagaikan orang tidak siuman.

“Pak long, mana ibu? Tak nampak dia pun,” kata Asha , bagai tiada apa
yang berlaku pagi itu. Ayah saudaranya hanya mampu melihat sayu akan
anak saudaranya yang baginya masih kecil itu.

Dan sewaktu pembacaan Yaasin bagi ibu Asha juga, dia masih kaku dengan
apa yang berlaku. Semasa melihat sekujur tubuh ibunya di lantai, entah
mengapa yang dia terfikir bahawa dia akan menemui ibu lagi selepas ini.
Tapi memang benar, dia pasti akan berjumpa kembali dengan ibunya di
akhirat kelak, itu sudah pasti.

Hujan mulai menitik perlahan-lahan. Setitis demi setitis air jatuh ke
tanah merah yang ditabur bunga di hadapan Asha ini. Pandangan dialih
kepada tanda nama bagi kubur ini.

Ain Ayumi bt Muzammil

1967 – 2013

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Dengan tidak semena-mena, air mata Asha Malika gugur pada waktu itu.
Setitis demi setitis – bak renyainya hujan yang melimpahi bumi waktu
ini. Lalu, hujan bertukar lebat, disusuli dengan guruh sabung-menyabung.
Alam langsung tidak menyebelahi Asha yang hampir basah kuyup bajunya .
Tangisannya yang semakin kuat tidak didengari, kerana limpahan hujan
yang sangat banyak menapis suara Asha . Dia terasa bagai ingin mengikuti
ibunya, bagai ingin menamatkan nyawanya sendiri. Hujan melimpah ke
wajahnya yang mendongak langit. Air mata dan air hujan bagai tidak dapat
dibezakan.

“Astaghfirullah al-Azim, Asha !”

Kelihatan tubuh ramping seorang wanita bertudung labuh. Dia sedang
membawa payung biru dengan ropol-ropol biru cair di tepi payung itu.
Eksperesi yang penuh kejutan terukir di wajahnya yang putih itu.
Perlahan-lahan, dia menghampiri Asha yang rebah di tanah merah.

“Kenapa ni, Asha ? Puas akak cari, rupanya masih dekat sini lagi!”
Wanita itu bersuara dengan kuat, tetapi tidaklah sehingga menjerit. Dia
harus melawan bunyi guruh yang menggegarkan alam itu. “Asha ? Kenapa
ni,” ulangnya lagi, apabila gadis di dakapannya langsung tidak memberi
tindak balas.

“Ibu, kak, ibu,” esak Asha diiringi sendu.

“Ya, akak faham. Dah, jom balik. Ayah dah tunggu tu,” kata Asha Taqdeer
sambil membimbing adiknya bangun.

Kepala Asha terangkat. Ayah? Tidak mungkin, bukankah ayah sudah pergi
meninggalkan kami?

--

ASHA duduk di sebelah adiknya di sofa berkulit hitam ini.
Hatinya masih terdetik rasa bersalah, kerana langsung tidak memberitahu
rancangan ini kepada Asha . Selama ini mereka berkongsi rahsia,
berkongsi air mata, berkongsi segalanya; tetapi kini dia bagai menjadi
pembelot pula dalam kepercayaan yang diberikan oleh adik sendiri. Pasti
sahaja Asha merajuk dengannya – sejak tadi dia tidak bersuara langsung.
Dia menuruti sahaja kehendak kakaknya itu untuk pergi ke rumah ayah
mereka tanpa melawan. Sewaktu di kereta sebentar tadi, Taqdeer ada
bertanya beberapa soalan kepada Asha . Jika jawapannya ya, Asha hanya
mengangguk perlahan. Jika tidak, dia menggeleng sahaja. Taqdeer hanya
tersenyum kecil melihat telatah adiknya itu.

Ya, dia juga turut bersedih dengan pemergian ibu. Apatah lagi dia sedang
berada di Kanada pada waktu itu, kerana mengikuti kursus selama tiga
hari. Setelah mendapat panggilan daripada pak long, dia terus bergegas
pulang. Nasib baiklah ada tiket terakhir ke Malaysia pada malam itu.
Asha Taqdeer baru sahaja tiba di tanah air semalam – dan ketika dia
pulang, dia terus dikejutkan dengan ketibaan ayahnya serta seorang
wanita yang tidak dikenali di lapangan terbang. Berita mengenai
kemalangan ngeri itu tersebar ke corong-corong media tempatan dengan
cukup pantas. Masakan ayah tidak mengetahui akan kes kemalangan itu.
Lalu, rancangan ayahnya tiba juga di telinga Taqdeer . Mereka berdua ingin
meminta hak penjagaan bagi Asha secara tiba-tiba. Apa salahnya,
bukankah Asha tetap nak kepada ayah mereka berdua? Sedangkan Taqdeer
pula telahpun dewasa, dan dia menetap di rumah sendiri.

Pada mulanya Asha Taqdeer menentang, kerana bagi dia ayah bagaikan tidak
mempercayai tugasnya sebagai kakak kepada Asha . Namun, apabila melihat
wanita bertudung labuh serta berjubah hitam yang berdiri di sebelah
ayahnya itu, dia terus terkedu tidak terkata.

“Kami ikhlas ingin menjaga Asha , Taqdeer ,” kata wanita itu, lembut
bagaikan hembusan angin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience