BAB 8

Thriller Completed 3138

“KAWAN-KAWAN, jaga-jaga mak gajah datang. Nanti gempa!” ejek Ain lalu disambut dengan gelak-tawa oleh dua orang rakannya, Hana dan Suhada.

Si gadis berbadan gempal yang melalui jalan tersebut berhenti lalu memandang ketiga-tiga gadis yang sedang seronok mentertawakannya itu. Tanpa menghiraukan mereka bertiga, gadis malang itu terus berlalu.

Di belakang sebuah blok, si gadis malang itu tersedu mengenangkan nasibnya yang sering menjadi bahan ketawa dan mangsa buli ketiga-tiga gadis nakal itu. Bukan sekali dua dia diperlakukan seperti orang bodoh, malah sudah banyak kali.

Seringkali dia mendiam diri dengan harapan Ain, Hana dan Suhada akan merasa bosan. Namun semakin dia mendiam, semakin melampau perbuatan mereka.

Sebentar tadi, mereka telah menukar kerusinya dengan sebuah kerusi yang patah. Sebaik saja dia duduk, apalagi jatuh berdebuklah.

“Tengok tu! Nangka busuk jatuh laa…” ejek Hana. Satu kelas mentertawakannya.

“Bukan sekadar busuk, berulat pulak tu. Eeiii… geli!” tokok Ain. Semakin galaklah mereka semua mentertawakannya. Akibat terlalu malu, dia berlari keluar dari kelas itu dan terus ke sini.

“Ameera!” kedengaran satu suara yang sedikit garau memanggilnya. Seorang jejaka yang segak dengan uniform pengawas tersenyum ke arahnya.

“Saya tahu kenapa awak ke sini. Awak nak marah saya dan suruh saya masuk ke dalam kelas, kan? Kalau tak awak akan adukan kepada cikgu. Nanti makin galaklah kau orang semua ketawakan saya bila saya kena denda!” ucap Ameera penuh emosi. Jejaka itu menggeleng.

“Jangan salah faham, Meera. Saya sebenarnya kesian tengok awak, asyik kena buli aja dengan Ain dan rakan-rakannya tu.” Ameera ketawa sinis.

“Awak nak kesiankan saya? Mujahid, jejaka idaman Malaya di sekolah nak kesiankan gadis hodoh macam saya ni? Kelakarnya!” Mujahid mengeluh apabila dipersendakan sebegitu.

“Awak jangan samakan saya dengan mereka. Saya tak macam mereka. Sungguhpun orang kata saya ni jejaka idaman atau apa jua gelaran sekalipun, tetapi saya ni manusia yang ada hati perut. Saya seorang yang mudah merasa simpati,” ucap Mujahid.

“Ameera, jangan biarkan mereka terus membuat awak macam ni. Awak kena bangun. Awak kena kuat untuk melawan mereka semula. Jangan terlalu tunjuk yang awak ni lemah, nanti makin seronok mereka aniaya awak,” sambungnya.

“Macam mana saya nak lawan, Muja. Saya hanya seorang diri. Saya tak ada kawan yang mahu menyebelahi saya. Mereka bertiga. Awak bukan tak tahu, saya pernah melawan tapi akhirnya lebih teruk saya dikerjakan mereka. Pernah berlaku di depan mata awak, kan? Nasib baik awak ada waktu tu, suruh kita orang bersurai. Kalau tak…”

“Awak mahu saya tolong awak?” soal Mujahid.

“Apa yang awak boleh tolong?”

“Saya akan jadi kawan awak, yang akan selalu lindungi awak dan sentiasa bersama awak tak kira waktu susah mahupun senang. Lepas ni kalau mereka usik awak lagi, saya sendiri akan buat laporan kepada guru disiplin.”

“Jangan! Err… tak apalah, ini urusan saya dengan mereka bertiga. Tak perlulah awak campuri urusan kami. Terima kasih aja,” ucap Ameera sambil menundukkan wajahnya. Mujahid terdiam. Hampa.

“Dah, jom kita masuk kelas. Loceng dah bunyi dah tu. Tadi kita dah terlepas kelas yang sebelum ni,” ajak Mujahid. Ameera akur. Terharu kerana keperihatinan jejaka tampan ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience