Bab 9

Romance Series 72307

“BOLEH Rhea tidur dengan abang malam ni?”

Jeda. Tiada balasan daripada Hayyan. Buatkan Rhea kecewa. Perlahan tangannya yang berada di lengan Hayyan melorot jatuh ke bawah.

Rhea tersenyum pahit. Pandangan dilarikan. “Maaf. Selamat malam abang.” Dia sudah berkira-kira untuk pergi tapi tiba-tiba tangannya ditarik.

“Dah ubah fikiran?” soal Hayyan. Matanya merenung dalam mata Rhea.

Rhea tersentak. “Aa...” Lidah terasa seperti terpasung di lelangit. Dia hilang diksi.

“Jomlah, tadi kata nak tidur sama.” Hayyan terus menarik tangan Rhea menuju ke biliknya. Biliknya yang suatu masa dahulu pernah menjadi bilik mereka.

Rhea masih lagi tergamam. Rasa macam tak percaya. Kakinya hanya mengikut gerak langkah Hayyan. Tangannya masih dipegang kemas oleh lelaki itu.

Tiba di bilik barulah Hayyan melepaskan pegangan tangannya. Pintu bilik ditutup rapat. Masing-masing membisu buat beberapa ketika.

“Kalau abang tak selesa Rhea tidur dengan abang, Rhea boleh pergi.” Akhirnya Rhea bersuara terlebih dahulu. Memecahkan kesunyian antara mereka.

Kalau tadi dia yang teruja nak tidur sebilik dengan Hayyan tapi sekarang entah mengapa tiba-tiba dia mengubah fikiran.

“Rhea.” Hayyan mendekati isterinya itu. Kedua belah tangannya naik memegang bahu Rhea.

Terkebil-kebil mata Rhea membalas renungan mata Hayyan. Dia menunggu Hayyan bersuara lagi.

“Saya mungkin masih tak ingat awak. Tapi awak tetap isteri saya yang sah. Dan tempat seorang isteri, di sisi suaminya.”

Rhea masih diam. Masih menunggu Hayyan menghabiskan bicaranya.

“Saya minta maaf kalau saya dingin dengan awak. Kadang-kadang saya tak boleh nak kawal diri saya. Saya marah dengan diri sendiri sebab tak ingat apa-apa tentang awak dan Armel.”

Tubir mata Rhea bergenang mendengarkan kata-kata yang keluar daripada bibir Hayyan.

“Tapi saya tak boleh nak buat apa-apa. Dan saya tak tahu nak buat apa, Rhea.”

“Abang...” Air mata Rhea mengalir perlahan.

“Dari hari pertama saya bangun daripada koma saya dah buat awak menangis. Saya dah banyak lukakan hati awak.”

“Rhea faham. Rhea faham abang tengah sakit.”

Hayyan menggeleng lemah. “Tapi itu bukan alasan untuk saya terus lukakan hati awak. Rhea, saya dah tak sanggup nak terus lukakan awak lagi. Saya tak nak terus hidup dalam rasa bersalah.”

Dada Rhea dihempas debaran. Telinga seakan tak sanggup mahu mendengar ayat yang seterusnya.

“Saya rasa... Kita patut berpisah. Itu yang terbaik untuk kita berdua.”

Zap! Jantung Rhea bagai direntap. Dia menggeleng tak percaya. Baru sebentar tadi Hayyan mengajaknya tidur sebilik tapi sekarang perpisahan pula yang lelaki itu minta?

“Abang! Abang cakap apa ni?” Makin lebat air mata Rhea membasahi pipi.

“Rhea, saya tak boleh nak hidup dengan awak. Saya masih cintakan Trisha.”

Pengakuan Hayyan buatkan seluruh tubuh Rhea melemah. Dia hampir rebah di situ. Ya ALLAH, sakitnya...

“Abang, abang tengah keliru dengan perasaan abang. Abang dah tak cintakan dia. Dia cuma masa lalu abang. Abang cuma cintakan Rhea. Abang cuma tak ingat Rhea. Rhea percaya suatu hari nanti abang akan ingat pada Rhea semula. Abang akan ingat betapa cintanya abang pada Rhea.” Bersungguh-sungguh Rhea cuba meyakinkan Hayyan. Sungguh dia tidak rela berpisah dengan suaminya itu.

Hayyan dunianya. Andai Hayyan tinggalkannya, hancurlah dunianya...

“Rhea tak kisah kalau abang masih belum ingat Rhea. Rhea tak akan pernah bosan tunggu abang. Rhea akan tolong abang ingat semula. Tolong... Tolong jangan tinggalkan Rhea...” ujar Rhea separuh merayu. Andai Hayyan minta dia berlutut di kaki lelaki itu pun dia sanggup. Asalkan Hayyan tidak meninggalkannya.

“Awak nak kita teruskan hubungan ni walaupun saya tak ingat awak? Walaupun saya masih cintakan bekas kekasih saya? Awak sanggup?”

Suara tangisan Rhea memenuhi ruang bilik itu. “Rhea sanggup. Sebab Rhea percaya abang dah tak cintakan dia lagi. Abang cuma cintakan Rhea. Cinta abang hanya untuk Rhea.”

Hayyan mengeluh lemah. Dia sudah tidak sanggup lagi menyakiti tapi Rhea seolah rela dirinya terus disakiti.

Rhea terus memeluk tubuh Hayyan. Erat. “Rhea akan tunggu abang sembuh sepenuhnya. Rhea tak kisah berapa lama pun Rhea perlu tunggu.”

Hayyan perlahan-lahan meleraikan pelukan mereka. Dia berundur beberapa tapak ke belakang. Dia sudah tak sanggup nak tengok Rhea terus menangis.

“Tidurlah. Dah lewat ni.”

Rhea mengetap kuat bibirnya. Macam tu je Hayyan akhiri kan perbincangan mereka?

“Selamat malam abang,” ucap Rhea perlahan. Wajahnya yang basah dengan air mata dikesat dengan belakang tangan.

Belum sempat Rhea memulas tombol pintu, tangannya ditarik perlahan oleh Hayyan.

“Nak pergi mana?” soal Hayyan.

“Rhea tidur dengan Armel je malam ni,” balas Rhea. Kalau tahu semuanya akan jadi begini, dia tak akan meminta untuk tidur sebilik dengan Hayyan malam ini.

“Tadi cakap nak tidur dengan saya?” soal Hayyan kembali.

Rhea pandang wajah Hayyan. Baru sebentar tadi Hayyan mahu mereka berpisah, sekarang ni Hayyan... Sungguh, tindakan Hayyan benar-benar di luar jangkaannya. Dia tidak tahu apa yang berada di dalam fikiran lelaki itu sebenarnya.

“Jom. Kita tidur je. Tak buat apa-apa pun. Jangan risau.” Hayyan terus tarik tangan Rhea berbaring di atas katil.

Rhea hanya menurut. Hayyan berbaring di sebelahnya selepas itu. Selimut ditarik menutupi tubuhnya dan Rhea.

“Good night, Rhea. I’m sorry for everything.”

Hati Rhea kembali sebak mendengar ucapan maaf Hayyan. Dia dah penat menangis malam ini.

“Kita tidur je. Tak buat apa-apa.” Sekali lagi Hayyan ulang ayatnya.

Rhea mengangguk perlahan. Sungguh dia rindukan detik-detik ini. Dulu sebelum pejamkan mata, wajah inilah yang dia akan tatap sepuasnya. Bangun daripada tidur, wajah Hayyan juga yang dia lihat dulu.

Tiba-tiba Hayyan hulurkan tangan pada Rhea. “Pegang tangan je takpa kan?” soalnya.

Hujung bibir Rhea ternaik sedikit. Dia menyambut huluran tangan Hayyan. Terasa jemarinya digenggam erat oleh suaminya itu.

“Abang.”

“Hmm.”

“Rhea nak peluk abang boleh?” pinta Rhea.

Hayyan terkedu. Dadanya dihempas debaran. Dia tak mampu nak menolak. Perlahan dia menarik pinggang Rhea rapat dengan tubuhnya. Tangan dilingkarkan ke pinggang isterinya itu.

Rhea tersenyum bahagia. Rasa sakit di hatinya tadi seakan dibawa pergi.

“Abang,” panggil Rhea lagi.

“Rhea, kita patut tidur sekarang.” Suara Hayyan kedengaran bergetar. Cukuplah. Janganlah Rhea minta yang lain pula. Jiwa lelakinya bergelora. Hakikatnya dia juga seorang lelaki.

Rhea merenung lama wajah Hayyan. Tangannya naik mengusap perlahan wajah suaminya itu. “Rhea sayang abang,” ucapnya perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience