Malam itu mataku degil benar enggan mengantuk. Mindaku sarat persoalan. Macam-macam yang aku fikirkan. Tentang SPM yang bakal bermula minggu depan. Aku tidak risaukan persediaan. Boleh dikatakan, sudah bersedia. Hal-hal lain yang berlegar di minda kusut serabut. Tentang halatuju sesudah SPM. Tentang bakal berpisah dengan kawan-kawan. Masing-masing akan membawa diri, bertaburan di mukabumi Allah yang luas ini.
Kenapa agaknya ada rasa sayu yang enggan hilang dari lubuk hati? Alia. Malam ini dia tidur di bilik Mama dan Walid. Dia masih merajuk. Katil kecilnya di sudut bilik kosong tak bertuan. Selalunya akulah yang akan memarahinya apabila dia berceloteh panjang di waktu malam begini, menceritakan kisah SpongeBob atau Upin Ipin yang diminatinya. Malah, apa-apa sahajapun yang dilakukannya pasti mengundang kemarahan aku.
“Kak Aina, tolong…Hidung Alia sakit..” Pernah dia mengadu. Menangis-nangis pula. Aku membelek.
Hidung mancung cantik bak hidung Nicole Kidman itu kemerahan di hujung. Ada kesan sengatan serangga. Ah..aku sudah tahu. Dia mencium bunga. Entah-entah di dalam kelopak bunga itu ada semut atau penyengat kecil yang terus menyerang hidungnya.
“Macamana boleh kena sengat di hidung?” Aku berpura-pura tidak tahu. Tanpa sekelumit simpati, aku mentertawakannya. Menyebut padan muka. Dia memandang wajahku dengan mata sayu. Masih teresak-esak kecil. Pasti sakit. Kulit lembut halusnya takkan mampu melawan sengatan serangga.
“Alia nak cium bunga, lepas tu nak bisik pada bunga. Tiba-tiba, sakit sangat hidung ni..” Itu jawapannya.
“Nak bisik apa pada bunga? Bukannya bunga boleh faham apa yang kita cakap.” Aku masih kabur. Bisik pada bunga? Itu perkara paling mengarut pernah aku dengar. Dari mana agaknya dia menerima ilmu mengarut dan tidak masuk akal seperti itu? Bibik Kartini sudah menghampiri. Dia spontan mendukung Alia, membawanya duduk di buaian kayu jati. Aku duduk di kerusi laman, sedang membaca post di FB. Ketika itu ada lebih kurang tiga bulan sebelum SPM. Syed Zain meletakkan gambarnya, bersiar-siar di Kota London. Alangkah baik sekiranya akupun berpeluang melanjutkan pengajian di sana. Aku akan menemaninya. Berpegangan tangan menyusuri Sungai Thames. Amboi, jauhnya angan-angan aku. SPM pun belum diduduki, sudah ada hati mahu ke London. Mahu berjalan berpegangan tangan. Miang sungguh anak Walid.
“Mari Bibik tiupkan sikit hidung tu. Kejap lagi baiklah tu…” Bibik Tini memang sangat kasih kepada Alia. Pantang menangis, dia akan cepat-cepat memujuk. Tubuh Alia masih terhinggut-hinggut tanda tangisannya belum reda. Aku cuma memerhati.
“Kalau kita rindu pada orang, kita boleh bisik pada bunga. Nanti bila malaikat dengar, malaikat bagi tahulah orang tu, siapa yang rindu. Kalau orang tu dah mati, pun kita kena bisik pada bunga, minta Tuhan letak dia dalam su…su…Apa dia Bibik? Alia dah lupa..” Suaranya merdu dan pertuturannya lemah lembut.
“Syurga, Sayang. Tuhan letak dalam syurga..” Bibik Tini menjawab. Tangannya membelai rambut Alia. Ia separas bahu. Lurus dan lebat. Warnanya tidak hitam betul.
“Ha..syurga. Nanti malaikat cakaplah kat Tuhan, minta letak orang tu dalam syurga..” Di atas ribaan Bibik dia menuturkan kata-kata itu.
Pandai, bisik hatiku. Belumpun empat tahun usianya tetapi petah berkata-kata. Cerdas pula akalnya dan ikhlas pula niatnya, mahu membisik kerinduan kepada seseorang.
“Orang minta doa masa sembahyanglah. Bukannya bisik pada bunga. Kita ni kan orang Islam, bukannya orang Yahudi…” Aku menempelak keras, walaupun aku amat arif, orang yang aku lawan bertekak itu pasti tidak tahu apa itu Yahudi. Jelingan mata Bibik Tini tidak aku hiraukan, walaupun maksudnya aku faham. Dia meminta aku menghentikan serangan. Memang aku kejam. Tak ubah tentera rejim Zionis menyerang penduduk awam Palestine yang tidak bersenjata.
“Budak-budak boleh bisik pada bunga sebab kita tak pandai sembahyang. Kalau ikut Mama sembahyangpun tak kira macam sembahyang sebab kita tak pandai baca. Tuhan tak marahpun bisik pada bunga.” Bersungguh-sungguh dia mempertahankan hujjah. Enggan menyerah kalah walaupun aku mengasaknya bertubi-tubi. Alia punya ciri-ciri seorang pembahas, bisik hati kecilku.
“Rindu pada siapa?” Itu soalan yang aku benar-benar ingin tahu jawapannya.
“Rindu pada Kak Aina. Selalu rindu. Pada Along, Angah dan Bang Chik pun rindu juga tapi rindu sikit. Pada Kak Aina, rindu banyak.”
“Pasal apa sikit? Kenapa Kak Aina banyak?”
“Sebab dia orang memang jarang balik. Alia tak rindu sangat. Kak Aina selalu balik. Bila dah lama tak balik, Alia jadi rindu sangat. Walid kata, nanti bila habis periksa, Kak Aina akan duduk di rumah dengan Alia lama-lama. Kita boleh pergi makan aiskrim Baskin Robbins, boleh pergi Legoland yang dekat rumah Mak Uda dan petang-petang boleh jogging dan bagi makan ikan di tasik Darulaman Park.”
Aku sekadar mengangguk, mengiyakan kata-katanya. Dia tidak menangis lagi malah tersenyum kepadaku dengan wajah semanis gula. Dia rindukan aku? Pada malam aku bersendirian di bilik, segala ingatan bertalu-talu datang, menyuburkan kenangan. Membuatkan mataku semakin hilang ngantuknya. Lebih baiklah bangun solat tahajjud.
Share this novel