BAB 9
Eisya membantu mak Mah duduk.
"Ibu tunggu sekejap ya,"
Eisya berlalu ke halaman bawah rumah. Dia memetik bunga raya untuk ibunya. Kemudian naik semula ke atas. Diselitkan bunga raya tersebut di tepi telinga ibunya.
"Ha, baru berseri muka ibu," Eisya senyum.
"Haih, buang tebiat kamu ni. Kenapalah dikutip bunga yang tengah mekar? Sayang je," ucap Mak Mah.
"Sebab Eisya nak ibu nampak mekar, segar macam bunga ni,"
"Setiap benda yang mekar akan mati juga akhirnya. Kita dan bunga tiada beza. Keduanya makhluk Allah,"
"Ibuuuuuuu, tolonglah jangan cakap macam tu. Kalau ibu pergi, Eisya pun akan ikut,"
"Eisyaaaa, tak baik kamu cakap macam tu, ibu dah tua. Bila-bila masa sahaja boleh dijemput Allah,"
Farisya menekup telinga dengan kedua-dua tangannya. Dia enggan mendengar, walaupun dia tahu itu adalah hakikat sebenar. Dia belum bersedia. Setiap kali sembahyang dia memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya ibunya diberi kesihatan yang baik, sihat tubuh badan dan dipanjangkan usia.
Tidak puas lagi dia bermanja.
Semenjak kejadian itu, ketiga-tiga mereka tidak mahu berenggang.
Kamal telah memohon bertukar ke hospital di kampung halamannya.
Farisya menyambung pengajian secara PJJ.
Hisyam juga memohon untuk menjalankan latihan praktikal di kawasan yang berdekatan.
Mereka nekad. Mahu sama-sama menjaga ibu.
Apalah gunanya pangkat, harta dan wang ringgit jika mereka kehilangan nikmat terbesar dunia akhirat mereka?
Mak Mah kini semakin pulih. Dia juga kerap berulang-alik ke hospital menjalani pemeriksaan kesihatan.
Rumah yang dulu sunyi kini hidup semula.
Walaupun ditegah membuat kerja rumah, Mak Mah tetap meneruskan rutinnya memasak untuk anak-anak.
Dia mahu menjamu anak-anaknya makan selagi hayat masih dikandung badan.
Share this novel