3 Pertemuan

Romance Completed 1031568

DATIN AZMA hanya mampu bergeleng kepala sahaja lantaran sudah berbuih mulut untuk menegur cara anaknya berpakaian. Malaika pula hanya dengan selamba sahaja menyuap nasi goreng ke dalam mulut lalu mengunyah dengan gaya yang dibuat-buat. Dia tahu, ada dua pasang mata sedang memerhatikannya dengan pandangan yang sangat tidak berpuas hati.

"DAH hampir seminggu Baby berehat kan? Bila nak tolong Daddy uruskan bisnes kita tu?" Kata-kata permulaan oleh Datuk Rizman yang terlantun, tiba-tiba membuatkan Malaika hampir tersedak makan. Suapannya dihentikan, lalu matanya dibawa menghala ke arah kedua-dua orang tuanya dengan kerutan kening yang berlapis-lapis terbentuk.

"Alaa Daddy ni, hari tu kata bagi masa sebulan kat Baby. Ada tiga minggu lebih lagi kan? Baby belum puas enjoy lagi...." Malaika beralasan dengan alunan suara penuh kemanjaan. Datin Azma yang sedari tadi menahan hati lantas sahaja membulatkan mata.

"Daripada kamu hidup tak tentu arah, keluar tiap malam, lagi baik kamu tolong Daddy, Malaika. Tak guna belajar tinggi-tinggi sampai oversea tu kalau hujung-hujung terperap kat kelab malam tu!" Datin Azma mencelah dengan nada yang sedikit memerli membuatkan riak wajah Malaika langsung berubah kemasaman.

"Alaaa...Mummy ni pun sama! Baby bukan budak-budak lagi tau! Baby dah besar, Baby tahulah mana yang baik dan mana yang buruk untuk Baby. Tak payahlah nak kongkong Baby sangat!" Malaika memprotes.

"Minum sampai mabuk, berjalan terhuyung hayang dah serupa orang tak betul tu baik sangat ke?" Datin Azma yang semakin gagal menahan rasa geram laju menghamburkan rasa ketidakpuasan yang sudah lama bertimbun di dalam hatinya.

"Tu namanya....enjoy! Baby happy dengan life Baby dan Baby bukan budak- budak lagi untuk Mummy dengan Daddy terus atur semua kehidupan Baby!"

"Tahu pun diri tu bukan budak-budak lagi tapi kenapa perangai masih tak nak berubah-ubah ke Mal nak Mummy panggilkan menantu Mummy tu untuk ubahkan perangai gila Mal ni?"

"Bencilah! Asyik-asyik nama dia tu je! Tak ada orang lain ke? Menyampahlah! Baby bencikan dia. Benci sangat-sangat dan Baby tak takut dia langsung! Kalau dia kat depan Baby sekarang ni, Baby belasah dia cukup-cukup, biar tulang -tulang dia remuk dan patah semua.." Tenang sahaja Malaika mengungkap namun jelas memperlihatkan kegeraman dan kepanasan yang membara-bara di dalam hatinya ketika itu.

"Astaghfirullahalazim, apa yang kamu cakapkan ni, Malaika? Mummy tak kira, kamu pilih nak tolong Daddy kamu ni kat office tu ke atau kamu nak Mummy ......"

"Orang tahulah Mummy, tak payahlah bawa sangat nama mawas tu! Minggu depan Baby akan mula masuk kerja untuk tolong Daddy. Bukan susah pun!
Tapi dengan syarat, benarkan Baby keluar malam esok. Sebab Baby nak temankan Aina attend dinner company cousin dia...."
Datin Azma kembali mengeluh dengan permintaan Malaika. Datuk Rizman pula yang lama membisu lantaran buntu mahu sebelahkan siapa juga ikutan mengangkat muka untuk anak mereka.

"Kamu nak minum lagi kan?" Soal Datin Azma kasar.

"Mestilah......minum air sirap yang berbubble-bubble....Urgghh, My heaven...!Okay, i'm done. Sedap nasi goreng Mummy. Love you both, Muahhh...!" Selamba sahaja Malaika bangkit dari duduknya dengan gaya yang sangat gedik lalu melangkah menuju ke tingkat atas.

"Betul ke awak nak panggilkan Tengku Adama tu?" Datuk Rizman kembali bersuara sebaik sahaja kelibat anaknya sudah ditelan oleh anak-anak tangga yang dipijak. Soalan itu lantas membuatkan Datin Azma tersenyum lalu mengalun tawa lucu.

"Taklah, lagipun manalah saya tahu mereka tinggal kat mana sekarang. Ma dengar dah pindah, dah tak duduk rumah lama tu dah.." Datin Azma menjawab sambil mengunyah perlahan makanan yang disuap ke dalam mulut. Untuk seketika, otaknya giat memikirkan keberadaan keluarga besannya yang sudah sangat lama terputus hubungan dengan mereka semenjak kepergian Malaika beberapa tahun lalu.

"Tu lah yang buat abang hairan...." Datuk Rizman merespon perlahan.

"Ma saja je ugut dia. Takut rupanya nak berjumpa dengan laki dia tu!" Datin Azma menambah dengan sedikit sisa tawa.

"Abang kesian sangat tengok nasib anak kita tu, Ma. Ada laki tapi digantung tak bertali, kenapa tak diceraikan saja Mal tu? Tak faham abang! Dah lima tahun dah, bukannya lima bulan!" Datuk Rizman meletakkan sudu ke dalam pinggan semula sebelum kedua-dua tangannya digunakan untuk meraup wajah. Kesal itu pasti, dan dia sempat merasa seolah-olah dirinya amat tidak berguna kerana gagal mempertahankan nasib Malaika.

"Salah anak abang juga, dia yang tak mahu keluarga Che Puan tu tahu dia kat mana. Sampai kita-kita ni yang ikut bersubahat.... Tapi abang kena ingat, jahat-jahat Adama, dia masih lagi bagi Mal nafkah abang tahu tak? Bukan dalam jumlah yang sikit, tu yang buat anak abang tu makin jauh terpesong dengan duit-duit dia tu dan Ma yakin, Malaika tu tak tahu langsung yang bagi nafkah dengan selama ni ialah laki dia sendiri, bukannya Che Puan.

"Salah Adama juga. Dia tak pernah ikhlas pun terima Malaika. Ingat anak kita tu apa? Patung?! Dah hilang, tahu pula nak mencari, sombong sangat! Kalau bukan disebabkan keadaan kita terdesak sangat dulu, abang takkan setujulah dengan rancangan gila Che Puan tu! Sampai anak sendiri jadi mangsa!" Pengakhiran kata yang terucap oleh Datuk Rizman penuh emosi sebelum kedua-duanya sama-sama diam lantaran otak mereka sedang kembali memutari detik-detik lama yang sudah lama disimpan mati.

"Saya berjanji akan tolong Datuk langsaikan semua hutang-hutang syarikat Datuk, bersihkan semula nama Datuk, tapi dengan syarat...." Datuk Rizman yang tadinya menunduk, laju mengangkat wajah.

"Apa syaratnya Che Puan?" Soal Datuk Rizman penasaran sambil terus-terusan membawa mata ke arah wanita berkelas kayangan itu.

"Suruh anak perempuan Datuk tu kerja dengan saya, sebagai....."

"Sebagai apa Che Puan?" Datuk Rizman memintas kerana tahu, wanita angkuh itu sengaja mengajaknya bermain kata.

"Sebagai maid ....." Che Puan Manira menjawab dengan tampang yang penuh angkuh dan bermuslihat.

**********

TENGKU ADAMA mendengus kasar sebaik sahaja keretanya diberhentikan. Tempat yang biasa dikhaskan untuk kereta kesayangan sepertinya telah direbut oleh kereta seseorang. Dengan rasa kemalasan, dia mula bergerak keluar. Dia tahu, ada dua wajah yang tidak tahu malu sedang berada di dalam. Oleh sebab itu, dengan sengaja sahaja gerakan kaki yang akan dibawa masuk diperlahankan.

"Angah, come...Along dengan adik datang ni..." Panggil Che Puan Manira sambil. mengoyak senyuman senang dan teruja kerana ketiga-tiga anak kesayangannya kini sedang berkumpul di depan mata.
Mahu tidak mahu, Tengku Adama akhirnya terpaksa menurut juga biar saat itu, hati yang ego sedang menegah.

"Datang sini nak buat apa?? Perempuan mana pula yang kau bawa? Yang kau pula datang nak ajar mengaji ke??" Tanpa senyuman, tanpa pelukan, jauh sekali hendak bersalaman, Tengku Adama terus melontarkan kata sindiran tajam kepada 'tetamu' yang datang. Memang dia tidak suka dengan kehadiran Tengku Aeril dan juga Tengku Hazim di situ namun lantaran serba salah dengan riak ceria Che Puan Manira, lantas membuatkan dia tidak kuat untuk menolak mahupun untuk mengelak.

"Angah....." Che Puan Manira mahu menegur, namun Tengku Aeril laju mengusap bahu ibunya agar bertenang.

"Orang datang nak tengok Mummy lah! Apasal masalah Angah ni!" Tengku Hazim yang sememangnya sejenis yang sukar menahan sabar langsung membalas kasar. Sejak kecil lagi, kedua-dua adik beradik itu memang pantang berjumpa, ada-ada sahaja yang akan diperbalahkan dan yang akan menjadi mangsa pada akhirnya ialah Tengku Aeril memandangkan dia yang lebih tua dan yang paling tenang dan penyabar. Benar-benar mengikuti baka arwah Tengku Zain.

"Kalau setakat setahun sekali datang nak tunjuk muka, baik tak payah!" Tengku Adama masih sahaja menjawab sinis. Tampangnya terlihat tenang namun di dalam hatinya pula sedang mendidih kepanasan.

"Dahla tu, Angah. Along dengan adik datang baik-baik ni kan? Janganlah nak buat perangai pula. Belajarlah mengalah sikit .." Che Puan Manira kembali menegur lembut. Dia tidak mahu terjadinya pergaduhan di situ kerana hati seorang ibu itu benar-benar rindu mahu melihat anak-anaknya berkumpul sama.

"Kalau Angah tak mengalah, Angah takkan duduk sini jaga Mummy, tak macam monyet dua orang ni!"

"Angah merungut ke? Angah merungut sebab terpaksa duduk dengan Mummy, jaga Mummy?" Terkedu seketika Che Puan Manira di tempat duduknya. Riak yang tadinya ceria langsung berubah mendung tatkala mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Tengku Adama namun laju sahaja lelaki itu menggeleng kerana enggan Che Puan Manira tersalah faham. Bukan seperti itu maksudnya.

"Adama tak pernah merungut untuk jaga Mummy, tapi Adama nak juga dua ni jadi manusia yang bertanggungjawab. Hidup berfoya-foya macam tak ada masa depan. Yang Along ni, taksub sangat dengan minat dia tu. Ke sana sini tolong orang lain tapi mak sendiri tak nak jaga?" Tengku Adama membalas tanpa memandang Che Puan Manira kerana matanya lebih sibuk ditajamkan ke arah dua lelaki yang sedang merenung wajahnya.

"Salah ke Along buat baik Angah? Tak semua nasib orang kat luar tu bernasib baik macam kita Ngah. Along rasa, sesekali tu memang patut Angah ikut Along, buat kerja-kerja kemanusiaan ni, tolong orang-orang susah biar otak Angah terbuka sikit. Jangan nak fikir ego Angah tu ju..." Tengku Aeril yang sedikit terusik rasa kesabarannya juga berkeras mempertahankan diri.

"Buang masa ikut hal-hal yang tak berfaedah macam tu. Dia orang tu boleh je hidup, antara malas dengan rajin je dan yang akan tertipu dengan kelicikan mereka tu, orang macam Along ni lah! Kesian!" Sinis bunyi tawa Tengku Adama terlantun keluar. Tengku Aeril segera menarik nafas kerana mahu menenangkan diri. Dia sememangnya tidak mahu lagi bertekak akan tetapi kata-kata Tengku Adama sungguh menggugat tahap kesabaran yang dia punya.

"Angah, angah... Hidup kat dunia ni tak ada yang kekal. Bila-bila masa je Allah boleh tarik semua yang kita ada...."

"Termasuk bini! Angah lagi kesian, kena tinggal bini! Dahlah bakal bini sebenar lari, dah tu bini kontrak pun lari! Padan muka!" Tengku Hazim mencelah. Riak mukanya sangat berpuas hati dan setelah itu dia terus tertawa jahat.

"Adik, dahlah tu!" Kali ini Che Puan Manira lebih memilih untuk menegur Tengku Hazim kerana dia tahu, tiada gunanya untuk menegur Tengku Adama, satu-satunya anak yang paling degil, kasar dan keras kepala namun diam-diam dialah yang paling penyayang.

"Kau Hazim, biadab sangat kan! Sini, Angah nak ajar sikit!"

"Dahla tu, Angah, adik!!" Che Puan Manira mengeraskan lagi suaranya. Sesak sungguh dada melihat rupa perangai lelaki-lelaki yang pernah mendiami rahimnya suatu ketika dahulu. Langsung tidak pandai berdamai.

"Orang macam ni tak layak jadi adik Adama, Mummy! " Tengku Adama membentak lantang sambil bangkit dari pelabuhannya. Posisi Tengku Hazim lantas didekati dan adik bongsunya itu juga ikutan bangkit berdiri.

"Habis tu, Angah ingat Angah tu bagus sangatlah??" Soal Tengku Hazim di saat bahu kekar mereka saling berlaga. Melihat keadaan yang semakin kacau, Tengku Aeril juga ikutan berdiri lalu bergerak untuk mendapat dua orang adik-adik kesayangannya.

"Dahla tu, adik! Dah, dah....!" Bahu Tengku Adama diraih, lalu lelaki itu pula dengan kasar menepis sentuhannya.

"Korang bertiga ni nak Mummy mati ke? Mati macam cara Daddy mati? Korang tahu tak, disebabkan perangai korang macam nilah yang buat Mummy kehilangan Daddy, bergaduh tak sudah-sudah! Orang lain sampai sepuluh anak pun tak macam korang!" Che Puan Manira yang sudah ketipisan rasa sabar terus menjerit habis-habisan. Wajah ketiga-tiga anaknya dipandang tajam bersama air mata yang kian lebat turun menjatuhi kulit pipi.

"Mummy, sorry...Mummy jangan cakap macam tu. Along yang salah, Along minta maaf.." Seperti biasa juga, Tengku Aeril yang akan mengalah. Dia kemudian beralih untuk mendekati kedudukan Che Puan Manira kerana mahu menenangkan wanita itu yang sudah hanyut dalam keesakan.

"Kalau korang sayang dan kesian dengan Mummy ni, tolonglah.... jangan bergaduh!" Rayu wanita itu dalam nada yang terketar-ketar. Melihat keadaan Che Puan Manira seperti itu, Tengku Adama terus bergerak ke arah tempat duduknya tadi. Beg kerjanya diambil sebelum mula menyusun kaki untuk membawa diri. Namun, gerakan kakinya dimatikan seketika sebelum kembali memberi mata ke arah dua orang lelaki tadi silih berganti.

"Korang baliklah! Blah! Kalau bukan sebab korang datang sini, Mummy takkan marah macam ni! Berambus!"

"Memang adik nak balik, tak kuasa nak hadap perangai bongkak Angah ni!" Tengku Hazim membentak lantang dari posisi diriannya. Lelaki muda itu juga mula bergerak untuk mendapatkan kedudukan ibu dan abang tuanya. Tubuh Che Puan Manira dipeluk erat, juga disalami sedikit lama dan hal yang sama dilakukan terhadap Tengku Aeril. Setelah itu, dia melangkah pergi ke muka pintu. Dengan senyuman sinis, pandangannya yang jahat kembali diarahkan kepada Tengku Adama lalu dengan selamba sahaja jari tengahnya ditayangkan kepada abang keduanya itu sambil gerakan mulut membisik perkataan yang paling kotor. Biar tanpa suara, namun jelas difahami oleh manusia-manusia di situ.

"Astaghfirullahalazim, adik!!" Che Puan Manira dan juga Tengku Aeril dengan serentak menegur perbuatan Tengku Hazim namun lelaki muda itu pula sudah duluan meloloskan diri ke luar bersama gelak tawa jahat yang sengaja diterbangkan dengan lantang sekali.

***********

AINA memaut lengan Malaika erat, sambil turut melangkah memasuki dewan besar yang kelihatan tersangat mewah dengan gaya gerakan kaki mereka yang serupa seorang model terkenal.

"Ramainya orang, Babe......Haiss, rasa macam malu je...!" Aina berbisik sambil melirik ke kiri kanan. Ada juga rasa gugup di hati kerana berpasang-pasang mata kagum sedang terhaluan tepat ke arah mereka. Namun tidak bagi Malaika, justeru keadaan seperti itu yang malah membuatkan dia merasa lebih bahagia dan percaya diri. Dia suka diberi perhatian, tidak kiralah sama ada difokuskan kerana hal baik mahupun kerana hal yang tidak baik.

"Kalau malu, lapar....! Dah jom, jalan je. Orang tengok kita sebab kita ni cantik sangat!" Ujar Malaika penuh yakin seraya menarik tangan Aina agar turut menyertai langkahan divanya. Dengan aura yang begitu menyerlah, malah dengan cara mereka berpakaian yang agak menyeksakan mata para wanita namun sungguh menawan yang teramat untuk hiburan para teruna, memang sudah pasti menjadikan sepasang sahabat itu paling menjadi perhatian para mata, terutamanya golongan lelaki bermata buaya.

"Mana satu cousin you tu? Tengku Iqbal kan?" Malaika kembali memuntahkan suara dengan gaya yang penuh kegedikan. Caranya berkata-kata sahaja sungguh terlihat begitu menggoda belum lagi jika dia berkoyak senyum.

"Jap, i tengah cari lah ni...." Ujar Aina sambil menyelerakkan pandangan matanya ke merata-rata. Walau sibuk dalam pencarian, kaki mereka masih sahaja dihayunkan biar terasa tanpa arah.

"Malaika? You Malaika?" Malaika laju menoleh saat mendengar ada suara yang memanggil terikut dengan sentuhan halus pada lengannya.

"Shasha?? You kan? My God, i ....i tak sangka akan jumpa you kan sini? Dijemput juga ke?" Bertalu-talu pertanyaan Malaika terlontar ke udara kerana merasa begitu terkejut dan teruja dengan kehadiran sahabat lamanya di situ.

"Ya, i dengan bos i..." Shasha menjawab sebaik sahaja pelukan mereka terlerai. Tersenyum manis bibir wanita itu ketika meniliki penampilan berani mati Malaika. 'Hot' sangat! kerana seperti apa cara Malaika, memang sudah dia faham benar.

"Oh...kenalkan, Aina.. My bff..." Malaika kembali bersuara lunak sambil menunjuk ke arah Aina.

"Hai, i Bartishah, tapi panggil Shasha je.."

"Hai Shasha, i Aina. Cantiknya awak.." Sempat Aina memuji kerana dia sememangnya seorang yang rajin menanam tebu pada tanah bibir.

"You pun apa kurangnya, sama cantik macam Malaika ni.." Tersipu-sipu Shasha membalas puji. Rambut perang yang sengaja dilepaskan disisir penuh gaya dengan jari-jemari halus. Senang sungguh hati apabila ada yang sudi memuji kerana dia sedar dia bukanlah secantik Malaika.

"Thanks Shasha. You duduk mana?"

"Meja yang tepi sekali tu, you berdua pula?"
Pertanyaan Shasha spontan membuatkan Malaika laju mengangguk berkali-kali tanda ikutan penasaran dengan persoalan tersebut.

"Haa, Aina. Kita duduk mana?"

"Depan tu...…" Aina menjawab penuh bangga.

"You berdua kenal ke Tengku Iqbal? " Shasha mula menebak dengan pertanyaan lantaran merasa terkejut dengan jawapan yang diungkapkan Aina. Tempat duduk yang ditunjukkan oleh wanita itu sudah pasti bukan calang-calang gerangan yang akan mendudukinya. Jika bukan golongan berjawatan tinggi, maka mereka sudah tentu merupakan ahli keluarga terdekat pemilik syarikat yang menjadi penganjur utama untuk majlis pada malam itu.

"My cousin. Daddy i dengan Daddy Abang Iqbal adik beradik.." Sekali lagi Aina membalas dengan nada dan tampang kebanggaan. Untuk seketika, Shasha kekal berlopong mulut pada kedudukannya sambil mata terusan memandang Aina penuh rasa kagum. Bukan kerana kecantikan wanita itu, melainkan kerana sikapnya yang begitu peramah dan tidak sombong biar datang daripada golongan kayangan.

"Oh, no wonder..! Tapi..... jap, jangan cakap yang you ni anak Tengku Mukhriz?"

"You betul, tu la Daddy i!"
Kekal membulat penuh mulut Shasha mendengar jawapan bersahaja Aina. Manakala Malaika pula terus tertawa lucu dengan respon Shasha.

"Oh My God, i kagum sangat dengan Daddy you! Dia hebat sangat dalam hal-hal bisnes ni! For your information, syarikat tempat i kerja tu sesekali, ada juga buat urusan dengan company Tengku Mukhriz and your dad baik giler.....Sumpah!"

"Thanks bagi pihak Daddy i..." Aina menjawab sambil bertunduk kepala tanda penghargaan.

"Sama-sama. I minta diri dulu, takut pula kalau bos i mencari..." Shasha mula berpamitan. Tubuh Malaika dipeluk sambil menggerakkan bibirnya untuk mengungkapkan sesuatu pada telinga wanita itu.

"You cantik sangat Baby, nasib i bukan lelaki kalau tak, confirm i jatuh cinta dengan you.."

"Thanks Shasha, you so sweet!" Tertayang kembali kegedikan Malaika mendengar pujian yang ditujukan oleh wanita itu untuknya.
Seusai berpamitan dengan pelukan dan senyuman, Shasha terus mengatur langkah untuk pergi.

"Jom kita.....argghhh! Apa ni!" Belumpun sempat dua wanita gedik itu membuka semula langkah kaki panjang mereka, jeritan Malaika duluan kedengaran.

"Sorry .....Miss, i tak sengaja. I...."

"Aduh, habis baju i!" Malaika mengherdik namun hanya melalui bisikan kerana dia tidak mahu membuat kacau di dalam majlis itu.

"Tapi Miss yang........" Kata-kata Kamal tergendala buat seketika tatkala matanya memandang pada wajah Malaika. Sempat otak itu mencuba untuk mengingati sesuatu, kerana wajah Malaika seperti pernah dia lihat namun untuk memikirkan lebih lanjut, dia masih sahaja gagal untuk menemui jawapan.

"YANG APA??!" Malaika menyoal kasar lantaran merasa bengang dengan tatapan aneh Kamal.
'Tahulah i ni cantik, tak perlulah pandang macam nak telan orang!'

"Yang jalan tak tengok depan...."

"Habis you nak salahkan i! Hiiss, ego! Salah sendiri tak nak mengaku! Kalau hensem sangat tak apa juga! Aina, macam mana ni?? Habis baju i!" Malaika merungut kesal. Aina yang seakan terpaku pada wajah Kamal pula laju sahaja memaksakan diri agar cepat tersedar.

"I....i tak tahu. Kita balik je lah...." Usul Aina teragak-agak. Walau merasa rugi untuk pulang dengan membawa perut kosong, namun hanya cadangan itu yang mampu terluah dari mulut manisnya.
Malaika terus menggeleng kepala tanda tidak bersetuju. Dia tidak akan rela jika malam yang sepatutnya dikhaskan untuk dia bersukaria disia-siakan sahaja.

"Semua ni disebabkan you, habis baju i! I nak you ganti baju i and i tak nak yang murah! Alergi tahu tak! Setakat beratus tu, kat pasar malam pun berlambak!"

"Eh, apa pula Miss...i...." Kaget besar Kamal mendengar permintaan gila wanita itu.

"I tak kira, kalau tak i jerit! I akan kata you nak cabul kehormatan i! Nak??"

"Astaghfirullahalazim....apa pula...."

"Bawah tu apa boutique, i tunggu kat toilet. Sepuluh minit dari sekarang!" Tidak mahu mendengar sebarang alasan, Malaika terus menarik tangan Aina agar menyertainya, meninggalkan Kamal dalam keadaan yang terpinga-pinga. Namun belum jauh melangkah, Malaika kembali memusingkan tubuh lalu bergerak semula untuk mendekati Kamal.

"Satu lagi, i nak yang cantik macam ni..." Pintanya penuh kesinisan. Terangkat lagi kening Kamal mendengar permintaan wanita itu.

"Seksi macam ni?" Soalnya sedikit ragu.

"Mestilah, takkan you nak i berkebaya pula!"

"Okay, okay..."
Kamal mengeluh dengan beban yang paling berat tanda memberontak namun kerana takut dituduh lelaki gila seks, mahu tidak mahu akhirnya dia terpaksa menurut juga arahan kejam Malaika.

_
_
_
_

"You dari mana ni Kamal?? You bermalam ke dalam toilet tu?!" Kamal tersentak ketika ada suara kasar yang tiba-tiba menegurnya. Selain wanita gedik yang berhantu tadi, dia juga takut mati dengan pemilik suara garau yang sedang merenung tajam ke arah wajahnya saat itu. Kenapalah hidupnya dikelilingi dengan manusia-manusia kejam tidak berperikemanusiaan?

"Maaf Tuan, saya kena cepat. Saya dilanggar oleh seorang perempuan ni, tapi dia salahkan saya balik. Berlagak sangat. Lepas tu dia minta saya pergi belikan baju untuk dia sebagai ganti rugi, dahlah minta yang ......mahal! Habis duit saya, Tuan..." Dalam suara yang bergetar menyusun ayat, Kamal juga sempat mengadu kepada majikannya itu.

"Dari mana you beli dress tu?" Soal Tengku Adama kehairanan namun masih sahaja dengan nada yang kasar.

"Boutique kat bawah tu.."

"Harga?"

"Ni yang paling murah, 5k..." Jawapan Kamal kemudian diselangi dengan tangisannya. Sedih memikirkan wang simpanan yang kian menyusut. Mungkin inilah akibatnya kerana ikutan menyelit diri di dalam kehidupan golongan para bangsawan.

"Muka je cantik tapi sombong sangat!" Lelaki itu menambah rasa geram. Terlihat seperti anak kecil mengadu kepada ayahnya.

"You kata you dilanggar, maknanya you tak salah dan you ni lelaki, tapi kenapa you tak lawan?"

"Dia ugut akan jerit pada semua orang yang saya ni raba dia, Tuan! Malulah saya nanti kalau dia betul-betul buat macam tu! Malu satu hal, tak pasal-pasal masuk lokap pun satu hal!" Tampang kesinisan Tengku Adama hilang lalu berganti dengan riak geram. Dia yakin, wanita yang dimaksudkan itu pasti jenis yang suka mengambil kesempatan. Materialistik sangat!

"Jom, i nak tengok macam mana kuatnya perempuan tu!" Tengku Adama memutus lalu melangkah penuh gaya keangkuhan malah lebih angkuh daripada gaya Malaika pada penglihatan mata Kamal. Hati lelaki bongkak itu sudah terlalu tidak sabar untuk mengerjakan wanita samseng yang sudah berani-berani membuli pekerjanya.

"Dia kata yang dia tunggu kat toilet, Tuan..."

_
_
_
_

"Babe, mamat tu dah datang! Nampak macam dia bawa Abang Long dia....kot.." Aina yang turut menemani Malaika menunggu kedatangan Kamal, laju memberitahu biar dalam nada yang teragak-agak kerana kali ini Kamal tidak keseorangan, melainkan membawa 'Abang Long' bersama dan sumpah, riak lelaki itu terlihat sangat garang dan menakutkan biar wajahnya tampan teramat.

"Tak kisahlah dia bawa Abang Long ke, Pak Long ke, orang macam tu mesti kena diajar! Tak ada mata! Suka hati je nak langgar-langgar i, habis kotor baju i! "
Bebel Malaika sambil berjalan ke luar.

"Haaaaa, datang pun! Ma.....ma..ba...ba...." Jerkahan angkuh Malaika langsung tidak menjadi ketika matanya dijamu oleh wajah tegang seseorang yang cukup dia kenal iaitu lelaki yang pernah menyakiti hatinya lima tahun lalu.

"Sorry Miss, i terlambat....Ni..!" Dalam kebengangan, masih sahaja Kamal bernada lembut kerana caranya memang seperti itu. Gentleman sungguh!
Bungkusan beg kertas yang terisi dengan dress merah lantas diberikan kepada Malaika namun huluran Kamal pula langsung tidak bersambut kerana pandangan Malaika sudah lama jatuh pada wajah Tengku Adama. Debaran di dada kian berkocak hebat saat melihat mata tajam tahap mematikan milik lelaki itu sedang meniliki penampilannya dari atas sehinggalah ke bawah membuatkan dunia Malaika seakan mati untuk seketika detik.

Dab Dub Dab Dub Dab Dub....

Jari jemari halusnya saling berkuisan dan wajahnya tetap sahaja membawah. Hanya sesekali sahaja mencuri memandang ke atas namun dia akan laju-laju kembali menakurkan wajah saat melihat tatapan mata Tengku Adama langsung tidak beralih daripada dirinya. Entah mengapa keyakinan dan keangkuhan yang dia telah pupuk dan miliki selama ini tiba-tiba kalah dengan Tengku Adama.
Seharusnya dia memaki, menghina, membenci si bongkak yang telah terlalu lama dia dendami kerana memang seperti itu perancangannya sebelum kembali ke Malaysia, namun semua itu punah lantaran kelemahan hatinya sendiri menghadapi yang pertemuan tiba-tiba sahaja itu.

Maaf jika ada ksalahan ejaan yg mlampau dan susunan ayat. Terus terang , BBP rushing siapkan kerana tiga hari ni BBP sgt bz. Thanks utk komen, syg kamu semua.

Share this novel

Nabila Nissa
2021-12-31 16:38:39 

melampau betul ank dia nie


NovelPlus Premium

The best ads free experience