Chapter 1

Thriller Completed 13723

Bab 1

Lampu sudah ditutup. Yang masih menyala hanya dua buah lampu kecemasan. Apa pun, cukuplah untuk menerangi kolam renang di dalam Blok C itu.

Hari itu hari Sabtu, tidak ramai pelajar yang menggunakan kolam renang itu tadi. Saat ini, semua pelajar, guru dan pekerja di sekolah itu sudah pulang. Malam minggu ialah malam untuk berehat-rehat.

“Eh, tengok tu. Tak tahu nak balik rumah ke? Orang lain semua dah balik dah.”

Zira terkejut melihat seorang pelajar yang sudah siap berpakaian mandi sedang berjalan dengan santai menuju ke kolam renang.
Susuk tubuhnya yang menawan seolah-olah menggamit-gamit mata Zira untuk tidak beralih arah.

“Dia ni memang berani sungguh. Dahlah berani, lawa, seksi pulak tu! Kalau akulah, tak nak aku mandi kolam seorang diri macam tu. Dahlah gelap gelita keliling, sunyi pulak tu. Eii! Menakutkan!” balas Maria.

“Kalau ada orang jahat nanti macam mana? Tak fikir ke? Ish, seram,” tokok Maria sambil mengangkat-angkat bahu dan terus menggosok-gosok lengannya menandakan tahap keseramannya yang tinggi saat itu.

“Okey, senyap. Kita tengok je apa si Ji Hoo tu nak buat.” Lantas Zira terus menumpukan perhatiannya kepada Ji Hoo.
Ji Hoo yang bertubuh langsing itu terus meletakkan tuala mandinya di atas sebuah kerusi rehat. Kemudian dia melangkah beberapa tapak lagi ke pinggir kolam renang.

Sesampainya di pinggir kolam renang, Ji Hoo mencangkung seketika sebelum menupang tubuhnya dengan tangan kirinya untuk duduk.

Kemudian, dengan tangan kiri masih berada di belakang, dia menjulurkan kaki kanannya ke dalam kolam. Perlahan dan berhati-hati. Dituruti oleh kaki kirinya.

Kemudian tangan kanan Ji Hoo pula menyentuh permukaan air kolam itu. Dia mengocak-ngocak permukaan air itu seketika. Senyum lebar menghiasi wajahnya. Matanya yang sepet menjadi bertambah sepet.

“Selesa,” gumamnya.

“Suhu yang sesuai,” tambahnya lagi.

Seterusnya, Ji Hoo meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang untuk menolak tubuhnya ke dalam air.

Perlahan, tubuhnya masuk ke dalam air dan selepas menyelesakan dirinya, dia mula berenang.

Ji Hoo baharu sahaja pandai berenang. Diajar oleh kakak tirinya sendiri. Kalau tidak, jangan haraplah hendak melihat Ji Hoo di situ. Memang dia mudah panik tika berada di dalam air.

“Amboi, seronok betul dia berenang. Tengok tu, dah berapa lap dia dah buat tu,” ujar Maria.

“Biasalah, orang baru pandai berenanglah katakan. Samalah dengan engkau tu, masa baru dapat iPhone. Tiap saat belek iPhone. Naik meluat aku menengoknya,” tempelak Zira.

Maria ketawa lalu menjelirkan lidahnya kepada Zira.

“Eh! Maria! Tengok tu. Ada orang lainlah! Aku ingat dia sorang je dalam kolam renang tu.”

“Mana? Mana?”

“Tu, kat ujung tu…” jawab Zira lalu memuncungkan bibirnya.

Maria terus menumpukan perhatian. Kelihatan satu figura di dalam air yang sedang beralun itu.

Nampaknya Ji Hoo langsung tidak menyedari kehadiran figura tersebut. Dia masih lagi menikmati saat indah itu sepuas-puasnya.
Keindahan berenang di waktu malam seorang diri, secara mencuri-curi. Tiada gangguan. Ji Hoo seronok kerana selama ini dia tidak tahu yang berenang juga merupakan salah satu terapi untuk merehatkan minda.

Dia amat memerlukannya. Tekanan untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang sangat menghantuinya. Ayahnya memang mengharapkan kejayaannya.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mewarisi empayar perniagaannya kecuali Ji Hoo? Kakak tirinya memang tidak berminat hendak campur tangan dalam perniagaan ayahnya.
Kakak tirinya lebih meminati bidang sukan. Dia ingin menjadi perenang terhandal dan disegani di negaranya.

Rentak Ji Hoo semakin laju. Dia sedang berimaginasi yang dia sedang berlumba dalam satu pertandingan renang di sekolahnya.
Tangannya sudah menyentuh dinding kolam renang di sebelah sana dan kini dia memusingkan dirinya untuk memecut ke belakang semula.

Dengan sekuat tenaga, Ji Hoo mengerah dirinya untuk berenang sepantas yang boleh. Kini tinggal kira-kira 300 meter sahaja untuk dia sampai ke dinding kolam itu.

Tiba-tiba Ji Hoo memperlahankan rentaknya. Sepasang matanya sudah ternampak satu figura asing yang berada di hadapannya.
Figura itu melekap di dinding, seperti… seperti labah-labah! Dengan mata yang merenung tajam ke arahnya. Figura itu melekap di dinding kolam dalam keadaan terbalik iaitu kaki ke atas dan kepala ke bawah.

Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi rambut yang hitam, lebat dan panjang. Berbuai ke kiri dan ke kanan di dalam air itu. Dan ajaibnya, biarpun kepalanya berada di bawah, rambutnya berbuai menghala ke atas!

Sesekali kelihatan sepasang mata berwarna merah merenung tepat ke arah Ji Hoo.

Zira dan Maria turut terkejut. Malah kalau nak dibandingkan antara Ji Hoo, Maria dan Zira, Maria dan Zira yang lebih terkejut. Jeritan mereka berdua lebih membingitkan telinga!

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah figura itu akan mencederakan Ji Hoo?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience