Bab 10 : HV

Mystery & Detective Series 29168

~Feelings that comes back are feeling that never left.~

"Abang..."

Baariq menoleh sedikit sambil angkat kening, bertanya tanpa sebarang suara.

"Eshal dah jumpa dia..."

"Siapa?"

"Eshan Maisur."

Baariq tergemap. Sebaris nama yang tidak pernah luput dari hati dan fikirannya. Sahabat sepermainan sejak dari kecil lagi.

"Es... Eshan?"

Eshal mengangguk. Dapat merasakan ada getaran disebalik suara itu. Mak Som dan Bazilah turut sama tergemap. Baariq menunduk.

'Eshan, dah lama kita tak jumpa. Kau masih kenal aku ke, Han? 10 tahun, 10 tahun lamanya kau pergi tanpa mengirim sebarang khabar berita. Satu kali pun kau tak pernah contact aku. Dan hari ni aku baru tahu yang kau dah balik rupanya, tapi... kenapa kau tak cari aku? Kita.. kita masih kawan ke Han?' Baariq bermonolog pedih dalam hati, teringatkan satu-satunya sahabat baiknya.

Kerana akur pada setiap janji yang dibuat dengan Eshan dan arwah Waeez dulu, dia terperangkap di sini. Bertanggungjawab menjaga dan memikul amanah yang disandarkan di bahunya. Baariq pejam mata seketika, terbayang saat dimana hari perpisahan dengan Eshan dulu. Kira-kira 10 tahun lepas.

* * *

2008. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Riq, aku pergi dulu." Eshan tepuk bahu sahabatnya. Beg galas disangkut di sebelah bahu. Hari ini dia akan berlepas ke Turki, meninggalkan bumi Malaysia untuk mengubat hati yang lara. Merawat lara yang ditinggalkan oleh Sarah. Sarah, satu-satunya insan yang berjaya masuk ke relung hatinya lantas memberikan dia bunga-bunga cinta. Dengan Sarah, Eshan kenal apa itu bahagia. Eshan kenal apa itu erti tanggungjawab. Eshan belajar bagaimana cara untuk 'melindungi' seseorang yang kita sayang sampai ke satu tahap sanggup melakukan apa saja termasuklah mengorbankan nyawa sendiri.

Arghh... tapi silap dia juga! Dari awal lagi dia sudah tahu yang Sarah itu sudah berpunya tapi masih terhegeh-hegeh mahu berkawan dengan Sarah. Selalu tayang muka tidak kesah setiap kali Sarah bercerita tentang hubungan cintanya dengan 'Abang Pilot' sehinggakan hati sendiri tergores pedih pun dia tidak sedar. Sungguh dia cintakan gadis itu.

"Han, nanti sampai sana kau jangan lupa text aku. Kau tetap ada aku, Han"

Eshan senyum nipis, nampak sangat tidak ikhlas. Sekadar untuk menyenangkan hati sahabatnya sahaja. Dia tahu berat untuk Baariq berpisah dengannya melalui cara sebegini tapi mereka terpaksa. Selagi dia di sini, keadaan tidak akan berubah. Orang-orang Waazin sudah gila sehinggakan walid yang tidak bersalah pun kena tempias. Tahap gila Waazin tu, sehingga sanggup kacau periuk nasi keluarganya dan keluarga Baariq. Salah dia seorang sahaja tapi kenapa semua orang yang terdekatnya juga kena tanggung akibatnya? Berkuasa sangat ke Waazin tu? Kalau sudah namanya ketua kongsi gelap, siapa yang tidak gentar?

Eshan panjangkan sedikit kepalanya ke hadapan, iaitu dibelakang Baariq. Ada Mak Som, Pak Maliq, Tengku Eqbal dan Tengku Naina yang sedang tenung dia dan Baariq disini. Mak Som dan uminya sesekali mengesat pelupuk mata. Walid dan Pak Maliq masih tayang muka biasa walaupun hati masing-masing berkocak hebat.

"Riq, aku tak tahu bila aku akan balik sini tapi boleh kau janji dengan aku satu perkara?"

"Apa Han? Bagitahu aku. Kalau untuk kau, aku sanggup buat apa saja."

"Tolong jaga keluarga aku," ujar Eshan sambil mengerakkan sedikit kepalanya ke arah mereka.

Baariq turut sama pandang ke sana. Setiap wajah di sana itu ditatap. Baariq kembali pandang Eshan, bahu Eshan dipegang kejap.

"Kau jangan risau Han, aku akan jaga diorang. Diorang pun keluarga aku."

"Terima kasih, Riq. Kau memang sahabat aku."

"Kau jaga diri baik-baik dekat sana Han."

"InshaAllah. Aku cuba."

Sekali lagi pengumuman berkumandang menandakan sudah tiba masa untuk kesemua penumpang pesawat Malaysia Airlines dari KLIA masuk ke balai pelepasan. Eshan sudah bersedia untuk bergerak. Sekali lagi dia berpelukan dengan umi dan walidnya. Makin kuat uminya menangis. Usai berpelukan dengan uminya, Eshan bergerak kepada Pak Maliq dan Mak Som.

"Pak Maliq, jaga umi dan walid, ya?"

"Jangan risau Tuan Han, Pak Maliq akan jaga diorang. Tuan jaga diri elok-elok dekat sana." Sempat Pak Maliq titipkan pesanan.

Eshan mengangguk, dia bergerak kepada Mak Som pula. Tangan Mak Som dikucup.

"Mak Som, terima kasih jaga Han selama ni. Mak Som tolong jaga diri elok-elok, ya?"

"InshaAllah. Jangan lupa hantar mesej dekat kami, Han. Kami sentiasa ada dengan Han," pesan Eshan pula.

"InsyaAllah Mak Som." Eshan bergerak kepada Baariq pula. Mereka berpelukan sekejap.

"Ina, sudah la... Anak kita bukannya mahu pergi berperang. Dia cuma balik ke rumah nenda dia." Tengku Eqbal menegur, tidak betah melihat isterinya yang masih bercucuran air mata.

"Ina tetap sedih abang. Han pergi macam ni, dalam keadaan terdesak... Siapa yang tidak risau?"

Tengku Eqbal paut bahu isterinya, dielus lembut bahu isterinya. Mata masing-masing melekap kepada Eshan dan Baariq.

"Syhh.. sudah la tu Ina... Ini yang terbaik. Untuk keselamatan Han. Kita ikhlaskan saja."

Tengku Naina mengangguk. Mengiakan kata-kata suaminya. Ya, demi keselamatan Eshan dari Waazin jadi mereka berkorban. Tambahan lagi, dengan cara ini sahaja mampu menjauhkan Eshan dari kenangan-kenangan bersama Sarah.

Eshan memulakan langkah. Seketika, dia berhenti dan berpusing semula kepada Baariq. Baariq terngadah, menanti butir bicara Eshan yang seterusnya. Dia pasti Eshan ada sesuatu yang ingin diperkatakan lagi sebelum berangkat pergi.

"Riq, janji dengan aku. Kalau 'dia' dah balik suatu hari nanti, kau jaga dia bagi pihak aku. Aku tak tahu apa yang berlaku pada dia nanti tapi tolong, tolong jaga dia baik-baik. Walau apa pun alasan dia tinggalkan aku, aku tahu dia dah fikir masak-masak dengan keputusan dia." Eshan tinggalkan satu amanah berat untuk Baariq sebelum berpusing dan meneruskan langkahnya.

Baariq terkaku di tempatnya.

"Han... Sampai macam ni pun keadaan kau, kau masih fikirkan pasal dia?" Baariq bergumam perlahan sambil mata tidak terlepas dari melihat Eshan yang kian jauh darinya.

Sungguh lain perwatakan Eshan bila bersama Sarah. Eshan jadi orang lain. Eshan jadi matang. Eshan bukan lagi badboy, bukan lagi kaki club. Eshan sudah jauh berubah tapi sayangnya perubahan itu langsung tidak berjaya memikat hati Sarah. Sarah tetap setia kepada Waeez.

Siapa Waeez? Waeez kekasih Sarah. Abang Pilot, itu gelaran yang selalu Sarah momokkan. Kata Sarah, Abang Pilot itu mukanya lebih kurang Eshan. Rasanya kalau mereka duduk sebelah meyebelah orang boleh cop 'mereka' itu kembar seiras. Tapi sejujurnya, Waeez itu misteri orangnya. Sekejap ada, sekejap hilang. Jumpa Sarah pun sekadar berjumpa dibawah pangsapuri mereka. Selesai berjumpa, Waeez berdesup hilang. Dia dan Eshan belum pernah sekalipun berpeluang untuk berjumpa dengan Waeez.

* * *

2018.

"Abang dengar tak Eshal cakap ni?"

Ingatan Baariq pada kenangan lalu berkecai. Baariq mengerdipkan matanya, kembali ke realiti. Dihadapannya kini bukan lagi Eshan tapi Eshal. Eshal Maisarah. Eshan Maisur dan Eshal Maisarah. Nama mereka berdua hampir sama. Seolah-olah ada sesuatu yang mengikat antara mereka berdua. Dan hanya Baariq sahaja yang tahu.

Baariq sedut nafas, kembalikan ingatannya dari terus teringatkan kenangan lalu.

"Eshal tanya apa?" soal Baariq.

"Eshal tanya, apa patut Eshal buat sekarang?" Eshal menunduk, muram. Takut berdepan dengan Eshan setelah hati lelaki itu teruk dikecewakannya.

"Reaksi dia macam mana?"

"Dia macam confused. Tak bercakap apa pun tapi cara dia pandang Eshal tu, Eshal Nampak dia macam terkejut dan keliru."

Baariq mengerut kening. Mak Som dan Bazilah juga sama.

"Keliru yang macam mana tu Eshal?"

Eshal tidak segera menjawab sebaliknya dia pula teringatkan kejadian dua hari lepas.

Dua hari lalu.

"Balqis!" Eshal masih mengejar. Cepat sungguh anak kecil ini berlari. Makin ditegah, makin laju pula dia berlari.

"Balqis jangan lari. Bahaya!" Sekali lagi dia menjerit.

Balqis sudah melepasi pintu utama dan menuju ke pintu pagar. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan. Kata Kak Ita tadi, petang-petang macam ni masing-masing sudah mula buat perangai. Sudah tidak sabar mahu pulang ke rumah lebih-lebih lagi sewaktu penjaga datang menjemput mereka.

Eshal berhenti mengejar bila Balqis sudah pun selamat berada dalam pelukan seorang lelaki yang sedang berbual dengan Kak Ita. Eshal angkat sedikit mukanya mahu melihat siapakah orangnya.

Zap! Anak matanya melekat terus pada anak mata lelaki itu. Eshal terlopong disebalik niqab, terbuka mulutnya.

'Es.. Eshan? Ini betul-betul Eshan?' suara hatinya bertanya. Terkejut dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan ini.

"Balqis, sini dengan Teacher Ita..." Kak Ita menarik Balqis dari pelukan Eshan. Balqis sudah berpindah kepadanya. Balqis dipeluk, rambut anak itu dielus manja.

"Kenapa Balqis lari ni? Buli Kak Eshal ya?" Kak Ita yang masih tidak tahu apa yang sedang berlaku, bertanya kepada anak kecil itu seraya mengangkat pandangannya kepada Eshan.

Mahu memohon maaf kepada anak kenalannya atas kelakuan Balqis sebentar tadi. Senyuman yang melebar dibibirnya sirna dengan sendiri bila dia melihat cara Eshan tenung Eshal yang sudah menunduk itu. Kak Ita membuka mulut mahu bertanya,

"Han..." Sekonyong-konyong itu Nafla muncul, menyapa Eshan. Serentak Eshan mengalihkan anak matanya. Terkejut dengan kemunculan kakaknya.

"Dah lama ke Han sampai? Maaf-maaf acik lambat." Nafla tunduk periksa tas tangannya.

Eshal pula masih kaku menunduk ditempatnya.

"Eh tak ada lambatnya cik. Dah settle ke? Kalau dah jomlah kita gerak." Eshan membalas, menutup rasa canggung yang tiba-tiba datang.

"Jom-jom. Kak Ita, saya balik dulu ya." Nafla berpaling sedikit kepada Kak Ita dan bersalam dengan wanita itu.

"Eshal, saya balik dulu ya. Nanti jangan lupa esok datang kerja macam biasa," pesan Nafla kepada Eshal pula.

Eshal mengangguk. Nafla senyum terlebih dahulu sebelum mengekori adiknya ke kereta. Nafla teringat sesuatu.

"Eh, sekejap Han..." Nafla mengelar lengan Eshan yang sudah membuka pintu kereta. Eshan berpaling kepada Nafla.

"Acik lupa nak kenalkan Han dengan Eshal."

Eshan kerut kening, tak faham.

"Sini lah." Nafla paut lengan Eshan lalu bergerak ke hadapan sikit. Lebih tepat lagi kini mereka berdiri di hadapan Eshal semula. Eshal yang masih menekur kakinya mengangkat wajah. Terkejut bila majikannya datang semula.

"Ni acik nak kenalkan. Pekerja baru acik, Eshal Maisarah."

Eshan terngadah. Eshal Maisarah? Kenapa... kenapa nama mereka hampir sama.

"Eshal, ini adik saya. Eshan Maisur."

Eshal panggung wajah kepada Eshan. Senyuman terukir, tidak sabar menanti reaksi dari Eshan. Manalah tahu bila Eshan dengar namanya, Eshan akan teruja bila tahu siapa disebalik niqab ini. Walaupun dia sudah berubah dari segi penampilan itu tidak membuktikan yang dia bukan Sarah yang dulu. Eshal ataupun Sarah, dia tetap orang sama.

Eshal masih menanti. Manalah tahu kalau tiba-tiba Eshan berkata 'Sarah? Ini Sarah kan?' Oh kalau benar-benar itu yang berlaku, dialah oarang yang paling gembira. Itu tandanya Eshan tetap ingat dia walaupun sudah 10 tahun tidak bersua muka. Tetapi dia dapat merasakan reaksi Eshan sebaliknya. Eshan memandangnya dengan satu pandang yang sukar untuk dia tebak apa yang sedang bermain dalam fikiran lelaki itu. Muka Eshan tidak beriak. Dingin.

Bibir Eshan bergerak sedikit, seperti mahu berkata sesuatu. Eshal menanti.

"Jom." Sepatah. Hanya itu yang terkeluar dari mulut Eshan seraya berpusing dan membuka pintu kereta.

Senyuman dibibir Eshal secara perlahan-lahan mati. Ada rasa hampa menerjah hatinya dengan jawapan Eshan. Tubuh kekar Eshan dibawa masuk ke dalam kereta. Nafla yang sedikit terlopong dengan reaksi Eshan itu, tergopoh-gapah mendapatkan Eshan. Kereta dinaiki mereka perlahan-lahan bergerak meninggalkan Taska Permata Budi Maryam selepas mendapat arahan dari Eshan.

"Eshal, kalau Eshal nak balik, Eshal dah boleh balik." Kak Ita bersuara perlahan, memujuk. Dia juga menyaksikan perubahan watak Eshan sebentar tadi.

Eshal berpaling sedikit kepada Kak Ita.

"Tak apa Kak Ita. Lagipun masih ada anak-anak lagi kat dalam tu. Saya tunggu sekejap lagi."

"Tapi sepatutnya Eshal dah boleh balik. Eshal cuma tukang masak, bukannya guru. Ini semua bukan kerja Eshal." Kak Ita serba salah. Sudahlah Eshal tu baru mula kerja hari ini.

"Tak apa Kak. Lagipun saya seronok layan anak-anak. Walaupun hari ni hari pertama, saya sudah rasa seronok," balas Eshal, ikhlas.

Mereka beriringan masuk semula ke Taska Permata Budi Maryam.

* * *

Datuk Waazin melemparkan kot hitamnya ke lantai sebaik sahaja masuk ke dalam Villa JW.

"Kau, kau stay. Yang lain boleh pergi." Arahan pertama Datuk Waazin jatuhkan kepada orang bawahannya. Jari diluruskan kepada Aqil dan Winda selaku penjaga dan bodyguard kepada Evan Khalish dan Eman Khadija.

Dua orang bodyguardnya, Johan dan Ramzi mengangguk lalu mengundur beberapa tapak sebelum lesap di sebalik pintu utama. Datuk Waazin mencerlung matanya kepada Aqil dan Winda. Serupa mahu telan sahaja mereka berdua itu hidup-hidup lalu dihumban ke laut, biar jerung makan. Hatinya sakit dan geram dengan pertemuan yang berlaku di rumah Tengku Eqram sebentar tadi. Bagaimana cucunya, Evan boleh berjumpa dengan Eshan terlebih dahulu sebelum dia?

"Susanti bawa Evan dan Eman masuk," arah Datuk Waazin kepada pembantu rumahnya yang masih tegak berdiri di penjuru ruang tamu.

''Baik-baik Datuk." Susanti patuh. Kerusi roda Eman ditolak dan meminta Evan mengekorinya balik ke bilik mereka.

Datin Joanne menonong masuk ke biliknya selepas mendapat arahan untuk mengosongkan ruangan itu. Arghhh lantak dia! Dia pun malas mahu masuk campur dalam urusan suaminya dengan cucu-cucu tirinya. Lebih baik buat hal sendiri dari layan fiil singa jantan Waazin tu!

"Dah berapa kali budak tu jumpa Evan?" soal Datuk Waazin sesudah memastikan tiada sesiapa lagi di ruang tamu selain dari mereka bertiga.

Aqil dan Winda berpandangan seketika bila disergah begitu. Nasib baik Evan dan Eman sudah dibawa masuk ke bilik. Kalau tidak, lagi terdera emosi dan perasaan dua beradik itu. Kepala keduanya menunduk, hormatkan majikan.

"Aku tanya, dah berapa kali budak tu jumpa Evan? Kau dah pekak ke apa?" Datuk Waazin tidak puas hati dengan kebisuan keduanya terasa berang.

"Winda! Aqil!"

Ternaik sedikit bahu Winda, terkejut. Aqil kekal bertenang. Jiwa dia lebih kental dari Winda. Jadi setakat disergah begitu, sudah tidak menjadi apa.

"Su... sudah dua kali Datuk."

"Twice? But you don't tell me anything?"

Menikus Winda. Kenapa dia sanggup ambil risiko untuk tidak berterus terang kepada Datuk Waazin walaupun dia tahu dia bakal dihukum? Jawapannya ialah sebab Evan. Evan merayu supaya tidak memiberitahu datuk dan neneknya tentang pertemuan mereka. Muka Evan bercahaya gembira saat menceritakan pertemuannya dengan Eshan. Dia betul-betul percaya yang ayahnya masih ada walaupun hakikatnya, tidak.

"I'm sorry Datuk." Winda menekur lantai. Jari jemarinya bermain dengan sesama sendiri.

"Last warning. Aku tak suka diorang berjumpa. Kalau dulu aku boleh buat perkara tu dengan betina miskin tu, tak mustahil aku boleh buat perkara yang sama pada kau dan Aqil. Aku boleh pisahkan kau dari keluarga kau. Bukan untuk hari ini saja tapi untuk selamanya. Ingat tu Winda!"

"Baik-baik. Saya akan ingat pesanan Datuk. Maafkan saya sekali lagi, ini semua kecuaian saya."

"Good." Sepatah, kemudian matanya tala kepada Aqil pula.

"Dan kau Aqil, kau sebagai bodyguard diorang tapi apa yang kau dah buat? Aku tak rasa kau cuba halang diorang untuk jumpa. Kau hanya biarkan saja budak-budak tu jumpa dengan Eshan. Kenapa kau biarkan? Sebabnya kau kesian dengan budak-budak tu, kan? Tapi kau dengar sini Aqil, walaupun diorang tu anak kesayangan kawan baik kau tapi kau kena ingat, kau sekarang bekerja dengan aku. Kalau bukan sebab kau tu kawan Haikal, tak ada sebab untuk aku simpan kau lagi. Pembelot macam korang ni seeloknya aku..."

Tak terus meneruskan ayatnya sebaliknya dia hantar pandangan mengerunkan buat Winda dan Aqil.

"Bang! Biar berkecai otak bodoh korang ni." sambung Datuk Waazin.

Terhinjut sedikit bahu Winda, dada tak usah cakap. Berdegup kemain laju dari biasa.

"What's going on papa?" Tidak semena-mena Wajdi Haikal muncul.

Datuk Waazin mengisyaratkan supaya Winda dan Aqil pergi sebelum dia berpaling kepada Wajdi Haikal, anak keduanya.

"Kau dari mana?" sergah Waazin kepada Wajdi. Wajdi yang masih elok berpakaian kasual itu di jeling.

"Dari rumah Isabella." Wajdi Haikal balas acuh tidak acuh.

"Berapa kali aku perlu ingatkan kau? Kau kena ada setiap kali aku pergi ke mana-mana majlis. Bukannya buat hal kau saja," marah Datuk Waazin.

Geram sungguh dia dengan perangai Wajdi Haikal. Langsung berbeza dengan abangnya, Waeez Haikal. Mereka berdua anak kandung Datuk Waazin dengan isteri pertamanya, Tengku Haura.

"Nak saya ada dalam majlis papa? Biar semua orang tahu budak cacat tu anak saya? Itu tujuan papa kan?" Wajdi jadi panas. Geram sungguh dengan tindakan ayahnya. Ada ke patut, setiap kali dia pergi ke sebarang majlis budak berdua itu pasti dibawa bersama dan setiap kali itulah ayahnya akan bagitahu kepada semua kenalan mereka bahawa budak berdua itu adalah anaknya. Huh!

"Budak cacat tu anak saudara kau, Wajdi!"

"Yes, tapi tetap bukan anak Die! Tak perlu papa nak bagitahu semua orang yang diorang tu anak Die. Just cakap budak-budak tu anak arwah abang Haikal. That's it!" Kalau Waazin berang, dia juga berang!

"Not matters what, semua orang perlu tahu yang diorang tu anak kau. Aku tak nak tiba-tiba ada orang muncul tuntut diorang."

"So, papa takut perempuan tu muncul?" Tersungging senyuman sinis di bibir Wajdi. Takut juga rupanya Datuk Waazin ini.

"Kau jangan berani sebut pasal betina tu. Aku jijik, aku benci!" Meruap-ruap kemarahan Waazin, benci kepada perempuan yang sudah berjaya merampas Waeez darinya dan juga punca kepada kematian Waeez Haikal.

Berteraburan tawa Wajdi sambil bertepuk tangan. Wajdi melangkah setapak demi setapak melepasi ayahnya. Tangga dituju. Dia masih lagi ketawa mengejek. Ketawa yang menyakitkan halwa telinga Waazin.

"Tak dapat Die bayangkan, rupanya disebalik gagahnya nama Datuk Waazin... dia takut dengan seorang perempuan kampung yang bernama Sarah."

Kisah silam yang jadikan masa kini huru-hara akan di huraikan kemudian. Sesiapa yg pernah baca kisah ni, sy harap kalian tidak membocorkan apa jua persoalan yg ada.. =) Tq to all the readers. HV.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience