Saya jumpa tujuan hidup bukan dalam sehari dua, bahkan makan masa bertahun. Bertahun-tahun saya hidup tanpa saya tahu tujuan hidup. Malah saya baru sedar tujuan hidup masa saya belajar di universiti. Tu pun syukur masuk U, kalau tak, entah ke laut agaknya.
Persoalannya, kenapa nak beriya-iya sangat untuk tahu tujuan hidup? Apa yang bagus sangat kalau tahu tujuan hidup? Dapat duit ke? Harga barang boleh turun ke? Minyak boleh turun ke? GST boleh hilang ke? (ayat orang materialistik) Kalau kita terus hidup je tanpa tahu tujuan hidup tak boleh ke?
Mudahnya begini, kau tahu kipas angin atas meja yang ada jenama Khind, dan sebagainya tuh kan? Ok, kita tahu apa tujuan kipas angin tu direka oleh manusia kan? Macam mana kita tahu? Kita tahu sebab kita baca manual pada kipas angin tu, lalu kita gunakan kipas angin tu macam biasa.
Tetapi cuba kau bayangkan, kipas angin tu kau guna sebagai pengadun tepung dan telur yang nak buat kek tu. Boleh berfungsi tak? Ataupun kau gunakan kipas angin tu untuk jadi enjin motorboat. Ha, atas bot tu kelam kabut cari suis plug.
Agak-agak, apa berlaku pada kipas tu? Mestilah tak dapat berfungsi lama, atau cepat rosak. Sebab apa? Sebab dia digunakan BUKAN sebagai fungsi asal dia. Sepatutnya fungsi kipas direka adalah untuk sejukkan badan, bukan adun kek atau jadi enjin motorboat. So, untuk memastikan kipas tu boleh bertahan lama dan berfungsi dengan baik, kau mesti guna kipas tu sama macam fungsi dia dibuat.
Korang nampak tak apa saya nak cakap? Berhuhu la aku sampai esok.
Ok la, saya bagi contoh realiti semasa. Saya tak tahu sama ada kau yang baca ini adalah pelajar sekolah, mahasiswa/i, atau orang dah bekerja. Tapi cuba kau bayangkan, kau sekolah seawal sekolah rendah selama 6 tahun. Kemudian sambung sekolah menengah selama 5 tahun. Lepas tu ada rezeki sambung Matrikulasi atau STAM selama 1 tahun, atau sambung STPM selama 2 tahun, ataupun sambung diploma selama 3 tahun.
Kemudian ada rezeki lagi, kau berjaya masuk universiti, kalau nak sambung degree. Belajar di universiti, at least 3 atau 4 tahun biasanya kecuali medik. Ok la kita ambil angka 4 tahun. Lepas habis universiti, kau pun dapat kerja. Itupun nasib kalau kau tak “tanam anggur” bertahun-tahun tunggu kerja turun dari “syurga”.
Lalu kau pun bekerja dengan gaji yang ikut suka hati nak letak berapa. Dah 2,3 tahun kerja, kau pun berkahwin, lalu dapat anak. Kau teruskan bekerja untuk bayar rumah, kereta, api air dan sebagainya. Itu belum lagi nak bayar tanggungan anak lagi. Pejam celik pejam celik, dah umur 55 tahun. Masa untuk pencen.
Bila dah pencen, kau pun tunggulah anak-anak berbakti pada kau, bagi duit bulan-bulan berserta dapat duit pencen, kalau ada la. Dan itu pun kalau dapat anak yang jenis kenang jasa. Kalau dapat anak yang macam hampagas, memang tak ke mana lah jawabnya. Moga dijauhkan. Moga Allah kurniakan kita anak-anak yang soleh dan solehah.
Ha, tak habis lagi cerita ni. Setelah bertahun-tahun mereput di rumah tanpa berkerja, kau pun dah umur 65. Kalau kau jenis malas membaca dan berfikir, maka cepatlah nyanyuk. Kalau rajin berfikir sikit, mungkin lambat sikit nyanyuk, atau tak nyanyuk. Lalu tinggal beberapa tahun lagi, kau pun akhirnya mereput jadi mayat, lalu diusung ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Maka tamatlah riwayat hidup kau di dunia dan bersedialah masuk ke salah satu taman-taman Syurga atau salah satu dari lembah-lembah di Neraka semasa di kubur. Kemudian anak-anak serta generasi kau pun buat kitaran yang sama seumur hidup mereka, sampailah mereput jadi mayat dan masuk kubur.
Persoalannya, adakah Allah cipta kita hanya untuk itu? Hanya untuk itu saja? Itu saja? Saya tertarik dengan kata-kata Hamka antaranya,
“Kalau hidup untuk kerja dan makan, maka kera di hutan pun kerja dan makan juga.”
Jadi apa bezanya kita dengan kera, babun, lintah, orang utan, nyamuk Aedes, ikan majlis perbandaran dan sebagainya? Bukan ke Allah dah beritahu dalam surah at Tin, kita ni adalah sebaik-baik ciptaan?
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
(Surah At Tin 95:4)
Kalau kau masih tak faham apa saya tulis panjang-panjang ni, silalah terjun tingkap. Hehe. Takdelah, silalah baca sekali lagi sampai faham. Kalau kau dah boleh bayangkan, faham dan berfikir apa yang saya nak sampaikan ni, sepatutnya kau dah mula berfikir,
“A’ah la. Aku hidup ni untuk apa? Kenapa Allah hidupkan aku?”
Kalau kau masih tak mampu berfikir macam ni, maksudnya punchline saya tak sampai. Perghh, hambar. Kau kena ingat yang Allah ciptakan kita ni bukan untuk main-main atau suka-suki je. Serius. Barbie Doll yang ada di supermarket tu pun, direka bukan suka-suka, melainkan untuk bisnes dan perkara lain.
Itu Barbie Doll, ni apatah lagi kita manusia yang cukup sifat, ada akal dan nafsu, boleh berfikir, boleh belajar, kerja dan sebagainya. Walaupun kita bukan malaikat, tetapi Allah ciptakan kita bukan suka-suka je.
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan dikembalikan?”
(Surah Al-Mu’minun 23:115)
“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.”
(Surah Al-Anbiya’ 21:19)
Jadi kalaulah Allah ciptakan hatta langit dan bumi bukan secara main-main, apatah pula kita manusia yang ada akal dan hati. Mesti ada sebab lagi serius kenapa Allah ciptakan kau. Kau hidup bukan untuk makan, minum, pergi tandas, potong kuku, belajar, kerja, kahwin, dapat anak, pencen, lepas tu mati. Tapir kat Zoo Taiping pun boleh buat. Jadi kau hidup untuk apa?
Kalau nak tahu tujuan hidup kita, kita kena tengok dulu FALSAFAH kenapa Allah ciptakan manusia. Persoalannya, apa falsafahnya? Aduh, dah macam masuk kelas sastera la pula. Jangan pening, saya buat ia ringkas dan mudah faham. Supaya saya dan kau tak pening, dan akhirnya kita bergembira sambil makan pop corn.
Falsafah Allah ciptakan manusia hanyalah satu saja, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara TOTAL kepada Allah. Maksudnya, Allah nak kita menyembahnya secara total tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu perkara. Dan Allah nak kita TAAT kepada Allah secara total tanpa melanggar perintahNya.
Apa tujuan ganjaran disebalik kita sembah dan taat secara total kepada Allah? Ganjarannya adalah REDHA ALLAH kepada manusia dan SYURGA. Ini adalah ganjaran maha besar kepada sesiapa yang melakukan ketaatan secara total kepada Allah. Tetapi, apa yang kita kena buat untuk dapat redha Allah dan Syurga ini?
Haa, macam mana nak buat adalah, kau kena ikut manual yang Allah dah turunkan kepada seluruh manusia, iaitu al Quran. Allah sebut dalam Al Quran,
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada Ku.”
(Surah Adz-Dzariyat 51:56)
Dalam al Quran, manual rujukan hidup yang sepatutnya kita baca hari-hari, Allah dah beritahu yang Allah ciptakan kita untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah. Kena taat perintah Allah, jauhi larangan Allah. Ibadah ini bukan hanya solat semata-mata, bahkan makan, minum, tidur, kerja, study fizik kimia bio syariah ekonomi sastera semua itu boleh jadi satu ibadah. Jangan sempitkan perkataan “ibadah” hanya solat, puasa, zakat dan haji saja.
Islam ni adalah cara hidup kita, maksudnya setiap perkara yang kita buat kerana Allah, jadilah ia ibadah hatta masuk dalam jamban dan minum air mineral sekalipun. Sebab tu masuk jamban kena baca doa.
Tetapi, ibadah saja tak cukup. Kalau hidup untuk ibadah saja, Jin pun diciptakan untuk beribadah juga. Kalau macam tu, apa beza kita dengan Jin ifrit, Jin mata toncet, Jin yang jual seluar dan sebagainya. Jin ini makhluk ghaib yang Allah dah ceritakan secara detail dalam surah Al Jin. Kau buka dan baca terjemahan. Kalau rajin, baca tafsirnya sekali. Jadi apa beza kita dengan Jin? Bezanya adalah pada satu ayat di surah al Baqarah,
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah..”
(Surah Al-Baqarah 2:30)
Pemimpin atau khalifah ini bukan semata-mata ada jawatan di sekolah, universiti, tempat kerja ataupun negara sekalipun, malah pemimpin paling biasa adalah kita pimpin diri sendiri, iaitu pimpin nafsu kita supaya taat kepada Allah dan jauhi larangan Allah. Pemimpin tak semestinya berjawatan. Pemimpin yang paling besar adalah kita tadbir dunia ni dengan Islam, seperti kata imam almawardi yang sangat mahsyhur .
"Mendirikan agama (Islam) dengan kukuh, dan mentadbir dunia dengan petunjuk agama (Islam)"
Ok jelas? Jadi inilah tujuan hidup kita bagi mencapai falsafah awal tadi, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara total kepada Allah.
Share this novel