PAGI itu, sebelum keluar kerja, Arman duduk di birai katil. Dia buka dompet. Kosong. Cuma tinggal RM10.
Keningnya berkerut. Semalam sebelum tidur, dia masih ingat duit RM100 yang diperoleh hasil buat Grab malam minggu.Duit itu dia lipat kemas dan selit di dalam ruang kecil dompet. Duit yang dia simpan untuk minyak motor dan belanja dapur minggu ini.
“Dira...” panggil Arman sebaik Nadira keluar dari bilik air, sambil mengelap rambut yang masih basah.
“Hm?”
“Awak ada ambik duit dalam dompet saya?”
“Ha’ah." Nadira menjawab tanpa rasa bersalah. Terus ke meja solek, menuang toner pada kapas sebelum diratakan ke wajah.
"Saya bagi mak. Dia kena bayar kutu pagi ni," sambungnya.
“Kenapa tak tanya saya dulu?!” Suara Arman naik setakuk.
“Duit tu duit awak buat Grab, kan? Awak buat untuk keluarga. Mak saya keluarga kita jugak.”
“Ya, tapi saya dah asingkan duit tu. Saya nak guna untuk isi minyak dan belanja dapur minggu ni.”
Nadira berdecit marah. “Tak payah nak bising-bising. Kalau tak cukup, buat la lagi Grab malam ni. Saya pun penat fikir macam mana nak hidup dengan bajet cukup-cukup makan ni!”
Arman mendengus geram. Kalaulah Nadira tahu betapa susahnya nak mendapat RM100 itu. Namun percuma berdebat dengan Nadira yang berhujung dia sakit hati. Akhirnya dia capai beg sandangnya lalu terus keluar.
"Arash, Arisha, jom. Dah siap makan?" tanyanya pada anak-anak.
"Dah..." Dua anak itu turun dari kerusi lalu terus mengambil beg masing-masing.
WAKTU rehat tengah hari, Arman hanya makan sebungkus roti Gardenia perisa jagung. Dengan wang RM10, hanya itu yang dia mampu beli. Niat mahu bawa bekal mi goreng yang dimasak di rumah, namun pergaduhan dengan Nadira pagi tadi membuat dia terlupa.
Ketika dia menghabiskan gigitan terakhir, Daud tiba-tiba meletakkan dua bungkusan makanan di atas mejanya.
"Hari ni birthday Cik Thalia. Dia belanja semua orang," ujarnya.
"Oh..." Arman pandang kotak makanan dengan label cafe sebuah hotel lima bintang itu.
Perlahan dia buka penutup bekas. Nyaris jatuh rahangnya melihat hidangan di dalam. Lamb shank dan nasi arab. Dia buka kotak kedua. Ada dua biji scone, dua biji macaroon berwarna merah dan kuning dan sebiji croissant.
"Betul-betul rezeki jatuh dari langit," getusnya.
Perut yang sudah berbunyi membuat dia tidak menunggu lama. Namun dia hanya makan nasi arab. Pastri dan hidangan lain itu dia simpan untuk di bawa pulang kepada anak-anaknya
HUJAN renyai mula turun ketika menyelesaikan trip terakhirnya malam itu.
Jam hampir 11.20 malam. Fizikal letih, mental lebih parah. Kelajuan motor sederhana kerana jalan licin. Dia cuba fokus namun mindanya melayang.
Tentang anak-anak. Tentang dompet yang kosong. Tentang hidup yang statik dan seperti berpusing di tempat sama.
Tanpa sedar, dia melewati lampu merah. Hon berbunyi nyaring namun sudah terlewat saat dia tersedar.
Tubuhnya bergolek di atas jalan basah. Rasa perit di bahu dan kaki menyerang serentak.
Dari celah mata yang kabur, dia nampak kereta putih berhenti tidak jauh. Seorang wanita turun tergesa-gesa dengan payung di tangan.
“Arman?” Suara itu dikenalinya.
Suara Thalia. Nadanya panik dan cemas
DI HOSPITAL, Thalia menunggu Arman di bahagian kecemasan. Norli juga ada bersama. Dihubungi Thalia untuk menjemputnya kerana keretanya perlu dihantar ke bengkel.
“Awak kena rehat. Walaupun luka luaran je, tapi dalam jugak ni. Harap-harap tak ada patah kat mana-mana,” ujar Thalia. Ketika itu mereka menunggu giliran untuk x-ray.
“Saya minta maaf. Saya tak perasan lampu merah...Nanti kereta Cik Thalia tu..." ujar Arman. Dalam kepala, sibuk berkira-kira berapa ganti rugi yang dia perlu bayar sehingga kesakitan yang mendera seluruh tubuh langsung tidak terasa.
"Tak apa..." Thalia cepat-cepat menyela. "...yang tu kita bincang kemudian."
Arman mengangguk.
"Awak dah call isteri awak?" tanya Thalia.
"Dah..."
Hening. Tiada sesiapa bersuara. Hanyut dalam fikiran masing-masing. Thalia pula tidak sampai meninggalkan Arman seorang diri sebelum isterinya sampai.
KETIKA Arman kembali dari pemeriksaan x-ray dengan ditemani Thalia dan Norli, dia melihat Nadira melilau di bahagian kecemasan.
"Dira..." panggilnya.
Thalia dan Norli turut memandang ke arah yang sama. Seorang wanita cantik dengan solekan tebal persis model mendekati mereka.
"Macam mana awak boleh accident?"
Pertanyaan Nadira dengan nada yang terdengar kasar itu membuat Thalia dan Norli berpandangan. Arman pula nampak malu sehingga tidak tahu ke mana harus membuang muka.
"Hujan lebat tadi. Jalan licin." Thalia menjawab bagi pihak Arman. Melihat cara isteri Arman memperlakukan suaminya, dia pula yang jadi sakit hati. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana rendahnya harga diri Arman saat ini.
"Awak ni siapa?" tanya Nadira ketus.
"Saya yang bawak dia ke hospital."
"Oh..." Nadira kembali memandang Arman. "Lain kali bawak motor tu hati-hati la! Dah tahu hujan, berehatlah kat mana-mana. Yang pergi redah jugak, kenapa?"
"Nama pun kemalangan. Bukan sengaja. Yang penting, dia selamat." Lagi-lagi Thalia bersuara membela Arman.
"Menyusahkan betul." Nadira terus merungut. Perlahan saja, namun terdengar juga oleh Thalia dan Norli. "Saya terpaksa tinggalkan live saya tadi sebab awak accident. Dah la view tengah banyak."
"Dira..." Arman bersuara. Nada dibuat setenang mungkin walau hanya Tuhan yang tahu betapa dia mahu menjerit di depan muka Nadira saat ini.
Bicara Nadira terhenti, namun wajahnya ketus.
Arman pandang Thalia dan Norli dengan wajah serba-salah.
"Isteri awak dah datang, kita orang balik dulu ya?" ujar Thalia.
"Ya. Terima kasih Cik Thalia, Cik Norli."
Thalia dan Norli mengangguk. Sempat mengerling Nadira sekilas sebelum berlalu.
"KECIK besar je aku tengok bini dia tadi," ujar Norli. Ketika itu dia dan Thalia sudah berada di dalam keretanya.
"Kan... Suami accident kut. Tak tanya pun macam mana keadaan suami dia. Patah ke, luka ke. Kalau kita, risau nak mati."
"Tahu tak apa. Boleh dia kata, dia terpaksa tinggal live. Eh pempuan...apa sangat la live tu banding dengan nyawa laki kau." Norli berapi-api.
"Aku kesian tengok muka Arman tadi. Mesti dia malu gila dengan kita."
"Yalah. Siapa tak malu perangai bini macam tu. Jatuh maruah dia."
"Bini dia tu, hei...sekali aku tampar, jerebu satu hospital."
"Kannn...Mekap tebal macam nak pergi kahwin. Pakai tudung, tapi tak hormat suami. Muka cantik tapi perangai tak semenggah. Hai...Arman...Arman...masa pilih bini dulu kau tak tapis dulu ke..."
"Masa bercinta mana tunjuk perangai sebenar."
"Tulah kan. Dah kahwin, tak boleh buat apa. Nak-nak bila dah ada anak. Terpaksalah hadap sambil doa biar dia berubah."
"Kalau tak berubah, aku sedia jadi penyondol."
Norli jeling. "Menyempat."
"Aku ni tunggu peluang je tau. Daripada pemuja rahsia, aku akan jadi pencinta sejati."
"Sondol je Thalia. Sondol sampai gondol."
Thalia tertawa. Berkobar-kobar pula Norli. Padahal sebelum ini dia yang lantang menghalang.
ARMAN hanya diberi cuti sakit tiga hari. Selama tiga hari itu, anak-anaknya tidak ke sekolah kerana tiada sesiapa menghantar. Hendak harapkan Nadira, matahari tinggi atas kepala baru celik mata. Adiknya Nadim juga sama.
Hari itu dia kembali ke pejabat dengan menggunakan motosikal yang dipinjam dari salah seorang rakan rider.
Ketika punggung baru mencecah kerusi, Thalia memanggilnya ke bilik.
“Duduk, Arman.”
Arman akur. Gugup. Tangannya basah. Dia mengagak Thalia mahu bercakap tentang keretanya.
"Dah sihat?" tanya Thalia.
Dia mengangguk. "Alhamdulillah."
Thalia senyum. Dia tarik laci lalu mengeluarkan sekeping resit panjang.
“Ini bil bengkel. Kos ganti dan cat bumper, lampu pecah, calar bahagian tepi, semua sekali RM5,370.”
Arman telan air liur. “Saya tak mampu bayar sekaligus, Cik Thalia. Kalau...saya bayar ansur-ansur boleh?”
Thalia diam. Pandang Arman lama. Fikirnya Arman akan merayu supaya tidak perlu membayar, namun lelaki itu tetap mahu bertanggungjawab. Ah, benar-benar membuat dia semakin kagum.
"Awak nak buat ansuran berapa bulan?" soalnya.
Arman tidak segera menjawab. Wajahnya nampak berfikir-fikir.
"Kalau saya bayar se-seratus sebulan boleh? Kalau saya buat Grab, ada duit lebih, saya bayar lebih." Arman teragak-agak. Bimbang ditolak.
"Kalau seratus sebulan, nak selesaikan lima ribu, dalam 50 bulan jugak tu. Lebih empat tahun."
"Tapi...saya memang..."
“Saya boleh bagi awak pilihan lain,” potong Thalia.
Arman pandang Thalia. Tertunggu-tunggu pilihan yang ditawarkan. Berharap pilihan yang lebih baik.
“Kahwin dengan saya.”
Hai semua. terima kasih yang sudi baca novel baru ni. terima kasih juga yang tinggalkan komen dan ulasan. saya suka baca komen semua tau. tapi semalam tak sempat nak balas. terima kasih juga untuk yang donate coins. semoga dimurahkan rezeki....,❤️❤️❤️
Share this novel
calyta... ada nama baru tak untuk Thalia nie ..
wahhhh kali ni ramai sokong penyondol... ni no kira bukan species oink oink.. kannnn...
Semoga Arman bahagia