BUNYI enjin motosikal milik Hud bergema kuat, di kawasan sawah padi tersebut. Roda berpusing laju di jalan tanah yang tidak rata. Cahaya matahari menyapu wajahnya.
Masih terngingai-ngingai suara pengarah di telinganya semalam.
“Kayu. Langsung tak ada emosi. Kau ni tahu berlakon ke tak? Buang masa betul. Sekarang ni keluar. Ramai lagi orang kat luar tu, yang nak berlakon,” rungut pengarah tersebut.
Hud sudah berlatih berminggu-minggu, menghafal dialog, bercakap sendiri, sehinggalah ia terbawa ke dalam mimpi. Tetapi semalam, di bawah lampu studio yang terang benderang, lidahnya tiba-tiba menjadi kelu, tangan dan kakinya turut menjadi kaku.
Kenapa? Kenapa aku langsung tak ada keyakinan? Masa dekat rumah aku boleh buat. Tapi bila depan pengarah, aku betul-betul kayu! Bodoh! Ini aje peluang untuk aku jadi pelakon. Tapi aku dah sia-siakannya! Getusnya.
Tangannya memulas throttle lebih kuat. Sawah padi di kiri dan kanan, seolah-olah mengejek impiannya yang semakin jauh. Hud mengetap bibir, cuba menahan perasaannya.
Aku perlu keluar dari kampung ni. Disebabkan aku dekat kampung inilah, aku jadi macam kayu. Tak bertegur dengan orang. Buatkan aku seperti katak bawah tempurung! Kalau aku nak berjaya, aku perlu keluar! Nekad Hud.
Motosikalnya berhenti di halaman rumah. Kelihatan Hamidah ibunya, sedang menyapu sampah saat ini.
“Assalammualaikum,” ucap Hud, sambil turun dari motosikalnya.
“Waalaikummussalam. Awal Hud balik? Bukan petang ni ke?”
Hud tidak menjawab pertanyaan Hamidah. Kedua-dua kasut dibuka. Setelah itu, dia melabuhkan punggung di atas kerusi rotan yang ada di beranda itu.
“Macam mana uji bakat semalam? Dapat ke?” soal Hamidah lagi.
Hud sekadar menggeleng perlahan.
“Kan ibu dah cakap. Tak payahlah pergi uji bakat tu, tapi Hud nak juga pergi. Cubalah dengar cakap ibu ni. Kan dah penat pergi ke KL tu.”
“Tapi Hud nak sangat jadi pelakon. Hud nak dikenali ramai.”
“Tapi Hud… memang bukan rezeki Hud untuk jadi pelakon. Mungkin rezeki Hud dekat tempat lain. Kalau lepas ni Hud kena duduk KL, ibu macam mana pulak? Takkan nak tinggalkan ibu sorang-sorang dekat kampung ni?”
“Hud memang takkan tinggalkan ibu. Sebab itulah, Hud suruh jual rumah dengan tanah ni. Tanah sawah padi pun kita jual juga. Lepas tu, kita pindah aje ke KL. Lagipun, ibu bukannya orang sini. Arwah abah aje orang sini. Kita dah tak ada kena mengena langsung dekat sini.” Hud bangun dari kerusi rotan lalu menghampiri Hamidah, yang sudah berada di hadapannya. Dia benar-benar berharap yang ibunya akan ikut sahaja apa yang dimintanya. Dan dia juga sudah terfikir mahu berpindah ke Kuala Lumpur.
Hamidah menggeleng perlahan melihat anak lelakinya. Hud adalah satu-satunya anaknya. Mereka berdua hidup, dengan mengharapkan pencen suaminya, dan juga pencennya. Arwah suaminya juga ada memiliki tanah sawah padi, dan sekarang diuruskan oleh pekerja upahannya.
“Tak apalah. Nanti cubalah lagi.” Hamidah bersuara perlahan. Hud kerap mengajaknya berpindah ke Kuala Lumpur. Tetapi, dia tidak mahu meninggalkan kampung ini. Lebih-lebih lagi, begitu banyak kenangan bersama arwah suaminya di sini.
“Hud ingat, Hud nak pergi ambil kursus lakonanlah ibu. Hud nak cuba belajar lagi. Mungkin, kena belajar cara nak berdepan dengan orang. Kalau tak, Hud tak tahu kemampuan Hud takat mana. Mungkin sebab itu kut, Hud tak diterima. Memang nampak Hud kayu sikit masa uji bakat semalam.”
“Ambil kursus lakonan?”
Hud mengangguk, dengan matanya mula bersinar-sinar.
“Dekat mana pula?”
“Dekat KL la ibu. Takkan dekat sini pulak? Manalah tahu, bila dah improve semua, ada rezeki Hud untuk jadi pelakon?”
Hamidah tidak menjawab apa-apa. Soalan Hud dibiarkan sepi. Dan kalau boleh, dia tidak mahu Hud meninggalkannya keseorangan di kampung ini.
“ALONG balik lambat ke?” soal Aneesa, sambil menghantar Ajim di muka pintu.
“Tak adalah lambat. Paling lewat pun pukul 5. Takut ramai orang dekat sana” jawab Ajim. Dia akan pergi ke pejabat pertanian untuk menghadiri skim bantuan benih padi.
Aneesa mengangguk sambil menelan liur. Perut digosok perlahan. “Er, along. Boleh ke along singgah di pekan balik nanti, belikan apam balik? Teringin pulak nak makan apam balik.”
“Okey, balik nanti along singgah. Ni kunci pintu. Jangan bukak pintu kalau orang tak kenal bagi salam. Lepas tu kalau ada apa-apa call along,” pesan Ajim.
“Jangan risaulah. Ni kampung. Siapa aje yang nak datang.”
“Jangan nak degil ya? Kampung pun bahaya. Bila along kata kunci, kunci.”
Aneesa mencebik. “Yalah.”
“Okeylah along pergi dulu.”
Aneesa menyalami tangan Ajim. Setelah memastikan abangnya sudah pun menghilang dari pandangannya, barulah Aneesa melangkah masuk ke dalam rumah. Tetapi dia sebenarnya berasa tidak sedap hati hari ini. Seakan ada perkara buruk yang bakal berlaku. Ataupun dia terlalu sangat memikirkan perkara yang bukan-bukan? Tetapi bayangan yang dilihatnya pagi semalam di dalam semak itu, siapa sebenarnya?
JAM sudah menunjukkan pukul 7.45 minit malam. Hamidah selesai memasak gulai ikan bersama dengan sayur bayam masak lemak putih. Sejak dari semalam, Hud hanya menjamah sedikit makanan sahaja. Hamidah sedikit berang dengan anak lelakinya itu.
Laju sahaja dia melangkah ke bilik anak lelakinya. Daun pintu ditolak.
“Apalah yang Hud buat dari pagi tadi ni? Terperap dalam bilik aje. Langsung tak nak makan.”
“Tak ada selera,” jawab Hud pendek.
“Bangunlah. Nak tidur apa lagi? Maghrib dah nak habis dah ni. Pergilah solat. Terperap aje dalam bilik. Hud tu dah besar. Bukan budak-budak lagi,” bebel Hamidah.
Hud mendengus kasar. Nak tak nak terpaksa jugalah dia bangun.
“Ni, ibu dah siap-siap bekal atas meja tu. Tolong hantar ke rumah Ajim ya?”
Kaki Hud terhenti. Dia memandang wajah Hamidah. “Asyik bagi dia orang makan aje. Si Ajim tu ada adik perempuan, kan? Adik dia tak masak ke? Pemalas betul.”
“Hud, ibu saje masak lebih. Lagipun ibu nak pulangkan balik bekal tu. Hari tu Neesa ada hantar ibu kuih seri muka. Apa salahnya kita balas balik dengan lauk pauk.”
Malas mahu melayan, Hud terus melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Sebentar lagi dia perlu ke rumah Ajim pula untuk menghantar makanan yang dimasak ibunya tadi. Dalam dia merungut, dia tetap patuh dengan permintaan ibunya.
Usai solat, Hud terus menuju ke meja makan. Pinggan diambil. Hamidah terus menuju ke arah anak lelakinya.
“Hantarlah dulu bekal ni.”
“Nantilah ibu. Bagi Hud makan dulu. Dari tengah hari tak makan langsung ni.”
Hamidah mengeluh. Nak tak nak dia terpaksa menunggu anak lelakinya menghabiskan makannya.
“Esok kerja ke?” soal Hamidah.
“Kerjalah. Ingatkan dapatlah jadi pelakon. Tapi dah tak dapat, kerja ajelah macam biasa.” Lauk diambil, lalu dibawa ke pinggan.
Hud baru tiga bulan bekerja sebagai kerani bank di Pekan Lama Kuala Selangor. Dan jarak dari Sekinchan ke tempat kerjanya hanya mengambil masa tiga puluh minit sahaja. Sebenarnya dia langsung tidak berminat dengan pekerjaan seperti itu. Tetapi disebabkan arwah ayahnya telah memaksanya untuk menyambung pelajaran di dalam bidang perakaunan, Hud terpaksa turutkan sahaja. Sedangkan dia benar-benar berminat di dalam bidang lakonan.
Dalam 10 minit Hud menghabiskan makannya. Dia terus mengambil bekal yang disediakan oleh ibunya tadi.
“Dah sejuk lauknya,” ujar Hamidah sambil membelek bekal yang dipegang Hud.
“Suruhlah perempuan tu panaskan balik. Takkan itu pun nak diajar.”
“Yang Hud ni asyik nak marah aje kenapa? Kadang-kadang kalau Hud lambat balik, ada jugalah si Neesa tu datang ke rumah borak dengan ibu. Kalau tak, sunyi rasanya.”
“Yang perempuan tu pun, sibuk datang ke sini kenapa? Sebab teringin nak jadi menantu dalam rumah ni?” Hud mendengus kasar.
“Yang Hud berfikir sampai ke situ kenapa pula?”
Malas mahu melayan, Hud terus sahaja melangkah menuju ke muka pintu, sambil diekori Hamidah di belakang. Soalan Hamidah tidak dijawabnya. Jarak rumahnya dengan Ajim hanya dalam 200 meter sahaja. Disebabkan malas mahu menaiki motosikal, dia hanya berjalan kaki sahaja menuju ke rumah lelaki itu.
Pada ketika ini, Aneesa baru sahaja selesai membersihkan diri. Tubuhnya hanya berkemban sahaja saat ini. Ajim pula sudah memberitahu kepadanya, yang dia akan pulang sedikit lewat.
Baru sahaja kaki mahu menapak ke anak tangga, sudah kedengaran bunyi kucing mengiau di luar pintu dapur. Pasti kucing milik abangnya mahu masuk ke dalam.
“Kejap Puteh,” laung Aneesa dari dalam.
Tanpa berfikir apa-apa, Aneesa laju sahaja melangkah ke pintu dapur. Pintu dapur terus sahaja dibuka. Alangkah terkejutnya dia, apabila melihat seorang lelaki berpakaian serba hitam dan turut mengenakan topeng muka, laju sahaja menolak tubuh badannya.
Aneesa langsung tidak sempat menutup pintu, kerana dirinya sudah jatuh terduduk saat ini. Kain batik yang dipakainya, sudah terselak hingga menampakkan betis kakinya.
Naem yang berdiri di hadapan Aneesa saat ini, sudah terdiam. Dia seakan terpukau, saat melihat betis putih milik wanita itu. Ini kali pertama dia melihatnya. Air liur ditelan. Indahnya apa yang dilihatnya saat ini. Memang tak sia-sia dia meminati Aneesa dalam diam.
Aku tak boleh bertindak lebih. Yang penting orang kampung perlu tiba, tepat pada masanya. Walaupun hakikatnya, dia seakan tidak dapat mengawal nafsunya.
Kali ini, Aneesa akan menjadi miliknya! Paling penting, dia hanya perlu dibayar denda dan dinikahkan sahaja. Dia sudah tersenyum. Rancangannya pasti akan menjadi!
Share this novel