Api masih menyala. Membakar. Mendesis. Menelan apa yang dulunya manusia. May berdiri kaku, matanya terpaku pada nyalaan itu. Tidak berkelip.
Sepuluh lelaki yang terbaring mula merasakan sedikit demi sedikit tenaga mereka kembali. Cuba mengambil kesempatan untuk mengesot keluar sebelum May sedar. Mereka baru saja menyaksikan seorang lelaki dibakar hidup-hidup — oleh May.
Sepuluh orang mungkin mampu menewaskan seorang wanita, tapi bukan dalam keadaan begitu. Mereka hanya mampu mengesot seinci demi seinci, seperti siput babi. Tiada siapa berani bersuara.
Langkah seseorang menghentikan pergerakan mereka. Seluruh tenaga dikerah untuk melihat siapa yang mendekat. Dan mata mereka terbeliak — sosok itu muncul dalam ruang pandang mereka.
May tidak berpaling. Sekadar bersuara, tanpa perasaan:
**"Kau terlambat. Tapi aku dah pastikan dia tersiksa sebelum ke neraka."**
**"Asalkan dia tersiksa. Aku dah puas."**
Roy melangkah ke sisi. Dekat — cukup untuk menghidu bau gas dan besi dari kulit tiruan May. Dia tidak bersuara. Sekadar berdiri — berkongsi pemandangan yang sama.
Udara dipenuhi bau daging terbakar dan alkohol. Asap berlingkar di siling, melekat pada dinding seperti bayang yang enggan beredar. Api itu tidak merebak — tidak dengan ganas — tapi cukup. Cukup untuk menghapuskan dia. Melenyapkan dendam dan penyesalan yang terpendam lima belas tahun lamanya. Akhirnya... lunas.
Api terus marak, cuba membawa bersama dosa lima belas tahun lalu bersama bangkai tak bernyawa itu.
---
**"Aku nak pergi dari sini."**
Suara Devon membuat Roy mengangkat kepala memandang abang angkatnya yang tiga tahun lebih tua, sebelum kembali menunduk — cuba menyelesaikan lukisannya. Lukisan dua budak lelaki yang sedang gembira bersama seorang lelaki dewasa yang memakai separuh halo dan satu tanduk di kepalanya.
**"Kau kena ingat. Kau kena kuat. Aku dah tak boleh jaga kau lepas ni."** Devon, yang ketika itu baru darjah lima, bersuara lagi.
Mata Roy berkaca, namun dia masih menunduk. Mereka mungkin baru lima bulan menjadi keluarga apabila papanya tiba-tiba membawa lelaki itu pulang sebagai ‘abang’nya. Satu-satunya pengubat sunyinya semenjak mamanya tiada. Seorang hero yang melindunginya.
Papanya mungkin ayah yang baik — tapi terlalu sibuk dengan kerjanya. Roy sering terabai.
**"Aku minta maaf. Atau kau..."** Devon menjeda. Dia menggeleng. Niatnya ingin membawa Roy bersama, tapi apa dayanya untuk menjaga budak lapan tahun kalau dia sendiri baru sebelas?
Mungkin dia tidak selamat di sini, tapi dia yakin Roy takkan apa-apa. Tapi... macam mana kalau...? Dia menelan air liur. Membayangkan perkara yang sedang berlaku padanya akan turut dilalui Roy suatu hari nanti.
**"Aku nak ikut."** Roy masih menunduk, menekan krayon ke kertas. Tak perlu diberitahu — dia tahu jelas sebab Devon mahu melarikan diri.
Tiga bulan pertama mungkin detik terindah dalam keluarga mereka — sebelum semuanya berubah menjadi neraka.
Bunyi katil bergoncang kuat dari bilik abangnya. Erangan dari papanya sendiri. Roy takkan lupa apa yang disaksikan malam itu. Dan ia berulang — malam demi malam. Mengganggu tidurnya walau dia cuba menutup telinga.
Ketika ayahnya berpura-pura mesra — mengusap kepalanya, mengusap paha Devon, sebelum tangan itu menjalar ke tempat tak sepatutnya di bawah meja — semua itu tak pernah terlepas dari mata Roy. Dia cuma terkejut kenapa Devon tak memilih untuk lari lebih awal.
**"Aku..."** Devon teragak-agak. Dia benar-benar ingin membawa budak itu bersamanya. Tapi dia takut Roy akan hidup melarat jika mengikutinya.
Roy membuka laci meja. Buku bank simpanannya dikeluarkan dan dicampak ke atas meja.
**"Mama tinggalkan untuk aku. Kita takkan merempat."**
Devon mencapai buku itu. Diselak perlahan. Matanya hampir terbeliak apabila melihat jumlah sifar yang menghuni baki. Orang kaya memang lain. Banyak kosong dalam simpanan — walaupun baru berumur lapan tahun.
**"Bawak aku."** Roy bersuara lagi. Dia mungkin masih muda, tapi keseriusan di wajahnya membuktikan dia memahami segalanya. Dan kali ini, Devon mengangguk.
---
Petang itu, suasana sunyi seperti biasa. Tiada siapa pun kelihatan. Mereka berdua telah pun bersiap sedia. Beg sekolah mereka dipenuhi pakaian, digalas di belakang. Segalanya berjalan seperti dirancang. Tapi entah mengapa, Devon terasa mereka takkan berjaya. Seolah dia akan 'menghilang.'
Devon memandang Roy yang bersemangat dengan barangnya. Bersedia untuk meninggalkan hubungan darah demi satu ikatan yang baru terbina.
**"Roy... Kalau ada apa-apa jadi kat aku, kau janji akan jaga diri ye? Jangan ikut uncle masuk bilik dia. Tak kira apa pun yang jadi."** Devon bersuara tiba-tiba, membuatkan dahi Roy berkerut.
**"Takkan ada apa-apa yang jadi. Kita kan dah nak pergi."**
Namun rasa tak senang menyelinap. Kata-kata itu menjentik hatinya. Sejak awal, dia cuba menafikan — tapi mungkin, dia tahu sesuatu akan berlaku.
Mereka berdua berkongsi rasa tidak sedap yang sama, tapi memilih untuk tidak bersuara. Mungkin ketakutan yang sedang merantai kaki mereka itulah yang mencipta ilusi harapan.
Mereka terus melangkah ke pintu utama — dan seperti mimpi ngeri menjadi nyata, pintu itu tiba-tiba terbuka.
Wajah bengis ayahnya muncul bersama pengawal peribadi. Jeritan dan rontaan Devon hari itu — Roy takkan pernah lupa.
Roy cuba berlari menyelamatkan abangnya, tapi dia sendiri ditarik keluar ke kereta. Sebelum pintu kereta ditutup, dia sempat mendengar Devon menjerit memanggil namanya — meminta pertolongan, namun Roy sendiri tidak mampu melawan.
Keesokan harinya, apabila dia kembali ke rumah, dia segera bertanya tentang Devon kepada papanya. Kata papanya, Devon telah dikembalikan ke tempat asalnya.
Tapi Roy perasan ada pokok baru ditanam di belakang rumah. Saat itu, dia tahu. Maksud ‘tempat asal’ yang dimaksudkan papanya... bukanlah rumah anak yatim. Tapi seketul tanah. Devon telah tiada. Dan hari itu papanya benar-benar menjadi raksasa di matanya.
Lots of flashback
Share this novel