“ENCORE! ENCORE! ENCORE!”
Suara peminat bersahutan apabila dia berpaling untuk masuk ke belakang pentas. Senyuman di wajahnya melebar. Dia melontar suara semula ke mikrofon ketika bergerak kembali ke pentas.
Dua bulan lalu, dia sangka semua ini dah berakhir. Dia fikir, yang akan menyambutnya hanyalah caci maki — bukan sorakan. Semuanya kerana gadis bodoh itu yang membongkar segalanya kepada pihak polis.
Dia telah dibawa ke lokap. Bermalam dengan hinanya, sebelum dibebaskan keesokan harinya. Managernya telah menunggunya di hadapan. Pihak polis meminta maaf darinya kerana langsung tiada bukti yang dapat melibatkannya.
Kelab malam yang dia kunjungi memang licik. Segalanya dibuat tanpa jejak. Ditambah pula dengan imejnya sebagai gentleman — lebih mudah untuk dia dibebaskan.
“Apa perasaan Strayz kena masuk lokap?”
Tanya salah seorang wartawan yang menyerbunya sebaik saja dia melangkah keluar dari balai polis.
“Jijik!”
Namun jawapan itu hanya bermain dalam fikirannya.
Dia melemparkan senyuman manis ketika bodyguard cuba menghalang mereka dari mendekatinya. Strayz sekadar mengangkat tangan — membiarkan.
Mengapa lari dari interview bila dia telah dibebaskan tanpa kesalahan? Dia harus tunjuk pada gadis itu beza idol dan orang biasa.
“Sejujurnya Strayz takut. Yelah, Strayz mana pernah ke lokap. Tapi Strayz percaya yang kebenaran akan selalu terungkap. Dan Strayz dah bebas sekarang,” jawabnya dengan rendah hati.
Kebenaran yang ditunjukkan oleh yang berkuasa adalah kebenaran. Dunia tak perlukan kebenaran yang lain.
“Maksud Strayz, Strayz tak salah?” soal wartawan.
Strayz tersenyum dan menggelengkan kepala. “Tak. Strayz tak kenal pun perempuan tu.”
“Jadi Strayz nak kata gadis tu menipu?”
Dia ketawa kecil.
“Jujur, Strayz tak boleh komen pasal orang. Soalan ni patut tanya pada dia sendiri. Kalau dari pihak Strayz — Strayz memang tak buat. Tapi kita tak tahu apa yang dia lalui.
Mungkin dia di bawah pengaruh dadah — yang buat dia nampak orang yang take advantage pada dia sebagai Strayz.
Mungkin. Atau dia one of my fans yang hidup dalam dunia fanfic and cuba turn it to reality. Who knows?”
“Apa tindakan yang Strayz akan ambil pada gadis tu?”
“BUNUH DIA!”
Hatinya menjerit, tapi yang ditunjukkan hanyalah senyuman bak bidadari yang turun ke bumi.
“Kalau Strayz, sebab semuanya dah selesai… Strayz pun dah dibebaskan… Strayz takkan ambil apa-apa tindakan.
Tapi Strayz tak tahulah kalau dari pihak company macam mana. Sebab skandal ni melibatkan nama company jugak.”
“Jadi—”
Seorang lagi wartawan cuba bertanya, namun dipotong oleh managernya.
“Maaf, tapi Strayz perlukan rehat. Jadi setakat ni saja soalan.”
Managernya menarik dia keluar dari himpunan wartawan ke van dengan cermin tinted gelap.
Strayz melambai ke arah mereka sebelum masuk ke van.
#ProtectStrayz #FreeStrayz #WeBelieveStrayz #StandWithStrayz #StopRuiningStrayz
Strayz tersenyum apabila melihat hashtag yang trending di Twitter.
Ternyata satu malam di lokap tidak cukup untuk memusnahkannya.
“What a day,” Strayz bersuara sebaik saja van mula bergerak. Sekadar ingin memecahkan kesunyian.
“Fokus saja pada konsert kau. Aku tak nak apa-apa masalah sampai habis konsert nanti,” dingin suara managernya sambil menatap tablet.
Nada itu menusuk ke tulang. Aura gelap di sekelilingnya terasa jelas.
Pasti kesal dengan skandal yang menimpa Strayz dua bulan sebelum konsertnya.
“Saya tak kenal pun dia,” Strayz bersuara dengan wajah kasihan.
“Nonsense,” herdik pengurusnya. Wajahnya diangkat dari tablet, menjeling tajam.
“Kau boleh pusing orang lain, tapi bukan aku. Jangan ingat aku tak tahu apa yang kau buat belakang aku.”
Strayz tersenyum sinis. Tak perlu lagi berpura-pura bila kulit biri-birinya dah tertanggal.
“Relax lah. Dia bukannya ada bukti pun.”
Strayz bersandar, menyilang kaki dengan selamba, menatap lelaki yang sedang bengang.
“Kalau pun ada, siapa yang akan percaya dia? The unknown vs the gentleman idol — kau rasa siapa yang akan menang?”
Managernya menghela nafas — hembusan kasar yang penuh panik tertahan.
Nada makin tajam. Jari telunjuk menuding ke arahnya, mencabar ego.
“Wey, bangsat… kau ingat kau kebal sangat? Aku tak peduli macam mana kau layan mainan kau. Tapi kalau ada lagi kes sebelum konsert, kau... keluar.”
Strayz masih ingat betul amaran itu.
Dan kerana itulah selama dua bulan ini, dia terpaksa berpuasa penuh.
“Terima kasih!” Strayz bersuara sebelum meninggalkan pentas sekali lagi.
Kali ini menoktahkan konsertnya.
Dan malam ini — dia pasti akan meratah semua hidangan dengan lahapnya.
Dia melangkah ke bilik persalinannya di belakang pentas.
Share this novel