"Apa lagi yang kau nak daripada aku?"
Suara lelaki itu kedengaran tegas dan dingin saat dia menggolekkan tayar kerusi rodanya perlahan ke arah gadis yang sedang mengambil air di dapur. Pergerakannya tidak tergesa, tapi jelas penuh amaran.
May tersentak. Tubuhnya kaku seketika sebelum berpaling memandang lelaki itu.
Wajahnya berubah — sedikit terkejut, sedikit tidak selesa — namun cepat-cepat dia cuba menyembunyikannya.
"Uncle... saya tak perasan uncle ada kat sini."
Dia mengetap bibir. Jawapan itu hanya menyemarakkan kemarahannya.
"Kau jangan nak berlakon dengan aku. Sekarang ni cuma kita berdua kat dapur ni." Suaranya menegang. "Kau dah ambil kaki aku. Apa lagi yang kau nak?"
Nada suaranya kasar. Dendam yang selama ini membuak dalam diam akhirnya terhambur.
May berundur setapak, seolah-olah mahu menjauh.
"Uncle cakap apa ni?" Suaranya perlahan, hampir berbisik. "Saya tak faham..."
"Kau jangan pura-pura! Kenapa kau cuba rapat dengan anak aku?" jerkahnya lagi.
May sudah menghimpit ke kaunter dapur. Ironik. Gadis yang pernah menyiksanya dengan senyuman kini terlihat ketakutan. Tapi reaksinya nyata — bukan lakonan.
"Saya... saya..."
"CAKAPLAH! KAU NAK APA DARI AKU?!"
Jeritannya bergema. Nafasnya tidak teratur. Tangan menggigil.
May terperanjat, namun akhirnya berjaya bersuara — perlahan, takut-takut. "Kami cuma nak siapkan assignment..."
"KAU—"
Namun suaranya terhenti. Dipangkas oleh suara lain.
"Apa papa ni? Kenapa marah May macam tu?!"
Anaknya muncul di ambang pintu dan segera meluru ke arahnya. Dengan cepat, dia menarik kerusi roda si ayah menjauhi dapur — menjauhkan lelaki itu dari ruang peribadi May yang baru saja diceroboh.
Kini, anaknya berdiri di antara mereka. Matanya tajam, penuh amarah.
"Roy... kamu jangan percaya dia ni. Dia perempuan jahat!" Suaranya bergetar, dan matanya menjeling tajam ke arah gadis yang masih bersembunyi di belakang anaknya.
May menggenggam lengan Roy, seolah mencari perlindungan. Dari orang yang dia pernah siksa tanpa belas.
"Apa yang May dah buat pada papa?" Roy mengerutkan dahi. Nada suaranya menunjukkan kekeliruan dan sedikit ketegangan.
"Dia..." Bicaranya terhenti. Bagaimana dia mahu jelaskan bahawa gadis itulah yang pernah menculik dan menderanya selama berhari-hari? Yang meninggalkannya hampir mati?
Bagaimana untuk mengakui bahawa pernyataan yang pernah dia berikan pada polis — bahawa pelakunya seorang lelaki — adalah palsu?
Malu. Tak mungkin dia akan mengakui gadis sekecil itu adalah dalang segalanya.
Dia hanya diam.
"Apa yang May dah buat? Sebab May sentuh wheelchair papa tadi?" Roy menyoal lagi, suaranya kini lebih lembut. Mungkin kerana dia mulai nampak kebingungan di wajah ayahnya, yang kelihatan seperti sedang bergelut dengan perasaan sendiri.
May masih menjenguk sedikit dari bahu Roy, wajahnya penuh ketakutan dan hairan. Seolah-olah reaksi itu bukan sekadar lakonan. Bukan seperti orang yang baik di depan dan tersenyum mengejek di belakangnya.
Dia keliru tiba-tiba. Terasa seperti sedang diperbodohkan. Seperti meletakkan serpihan puzzle yang sebenar di tempatnya — tapi masih tidak padan.
"Papa?" Roy bersuara lagi. Cuba menariknya keluar dari kebingungan.
Dia menelan air liur. Masih kebingungan.
May keluar dari persembunyian di belakang Roy. Roy seolah ingin menghalang. Mereka berdua berpandangan seketika, dan May mengangguk memberi kepastian.
Roy berganjak ke tepi namun tidak sepenuhnya membiarkan May terdedah kepada papanya. Hanya cukup untuk memberi ruang mereka bersemuka. Namun tidak terlalu banyak untuk ayahnya kembali mendekati gadis itu.
"Uncle, saya minta maaf kalau saya buat uncle marah. Tapi saya betul-betul tak ada niat apa-apa dengan Roy. Kami cuma tengah siapkan assignment sama-sama. Kami bukan bercinta. Jadi, uncle jangan risau." May mengangkat kedua-dua tangannya memberi kepastian.
Ber... cinta? Apa yang gadis itu cakap? Dia tak faham.
Roy memandang kembali ke arah May sambil mengerutkan dahi, sebelum menjeling ke arah papanya. "Sebab tu papa marah May? Sebab papa ingat dia girlfriend Roy? Eh, Roy dah besar lah. Roy berhak buat keputusan sendiri."
May terpempan. Mulutnya separuh terbuka, tapi kata-kata seakan tersekat di kerongkong.
"Roy... bukan..." Dia mengeluh perlahan, cuba menjernihkan kembali fikirannya. "Look, papa minta maaf, okey? Papa tak cukup tidur semalam. And papa baru lepas makan ubat. Jadi fikiran papa kacau sikit."
Roy turut mengeluh mendengar katanya, namun kelihatan seperti boleh diterima oleh lelaki itu.
"Uncle minta maaf ye, May." Dia memandang gadis itu, cuba mencari kebenaran di wajahnya.
May tersenyum lembut pada penjelasan itu. Ketakutan tadi seolah sedikit menghilang. Dia kelihatan lebih tenang. "Takpe, uncle. May faham."
Dia membalas senyuman gadis itu biarpun tidak sepenuhnya ikhlas dari hatinya.
Kalau benar gadis itu sedang berlakon — dia akan tahu. Dia akan uji. Tapi bukan di hadapan Roy. Dia hanya perlu keluarkan anaknya dari rumah ini sebelum rancangannya bermula.
Dan jika ini bukan kepura-puraan. Dia akan menghantar gadis itu kembali ke neraka. Tempat syaitan berasal. Senyumannya melebar. Kali ini penuh dengan keikhlasan.
Plannya nak buat 2 chapter ja untuk yang story ni.. tetiba lajak.. tak tahu berapa chapter.. layan jer lah ek
Share this novel