EMPAT BELAS : MASA KECIL YANG DISEWA

Mature Content Series 735

Siapakah manusia yang paling menakutkan di dunia?

Orang kaya? Atau yang berkuasa?

Tidak.

Jawapannya ialah manusia yang tidak punya apa-apa untuk dipertahankan.

Kerana orang seperti itu sanggup melakukan apa sahaja — tanpa rasa takut, tanpa apa-apa yang mengikat.

Kabus tebal—campuran kelabu dan hitam—menyerap cahaya lampu, membuatkan segalanya kabur.

May membuka mata perlahan-lahan.

Setiap kelopak seperti disiat oleh jarum halimunan. Kepalanya berat, badannya kaku. Setiap saraf seperti diikat—bukan dengan tali, tetapi dengan sesuatu yang lebih halus. Lebih akrab.

Dia tahu kesan itu.

Dia tahu nama setiap bahan kimia yang ada dalam darahnya sekarang.

Tahu formula.

Tahu dos.

Tahu tujuannya.

Ujikaji.

Dia berkelip lagi, dan penglihatannya cukup jelas untuk melihat dinding kaca di sekelilingnya.

Dia terperangkap—dalam sebuah kotak yang hanya cukup untuk berdiri atau duduk.

Tiada ruang untuk bergerak bebas.

Tiada ruang untuk bernafas.

Udara penuh dengan asap. Kelabu pekat, membelit pernafasan seperti tangan halimunan yang perlahan-lahan mencekik dari dalam.

Di kotak lain, seorang budak lelaki kecil sedang terbaring, terbatuk lemah dalam ruangan yang dipenuhi asap. Seolah asap itu bakal meragut nyawanya.

Seorang budak perempuan yang kelihatan seusia dengannya pula sedang melutut, mata merah berair.

"Ibu... Ayah... tolong..." rayunya dalam esak tangis.

"Selamatkan Zack... nanti dia mati... Zack lemah... biar May saja yang jadi bahan ujikaji. May janji takkan mengadu...

"Tapi... tolong lepaskan Zack..."

Pasangan yang berada di luar kotak kaca itu saling berpandangan dan—

May terjaga dari tidur.

Dia terduduk di atas katil, peluh membasahi wajah. Nafasnya tercungap, dada berombak.

Tanpa berfikir panjang, dia meluru ke dalam almari pakaian, menolak ke tepi dinding rahsia di dalamnya—sebuah ruang kecil yang hanya dia tahu.

Ruang itu sempit. Hampir sama seperti kotak kaca dalam mimpinya—cuma lokasi berbeza.

May melangkah masuk ke dalam. Tangannya menekan satu butang tersembunyi.

Sekelip mata, ruang itu dipenuhi kabus kelabu bercampur hitam.

Asap racun yang sepatutnya melumpuhkan tubuh manusia dalam masa beberapa saat.

Pekat. Menyesakkan.

Tapi rasa sakit... rasa yang menyekat pergerakannya. Tiada.

"Ni lagi sakit dalam mimpi."

May bermonolog sendiri.

Dia duduk diam, tubuhnya kaku—bukan kerana dadah yang berjaya menguasai dirinya, tapi kerana kenangan.

Jauh di dalam fikirannya, semua yang cuba dikunci muncul semula, satu demi satu.

Sebelas tahun dia telah hidup sebagai lab rat.

Dia lupa bagaimana rasanya hidup.

Lupa bagaimana rasanya ketawa.

Yang dia tahu hanyalah prosedur, suntikan, dan kesakitan yang lama-lama jadi rutin.

Semuanya hanya demi memenuhi kerasukan orang tuanya yang gilakan duit.

Kekuatannya hanya satu... Zack.

Satu-satunya perkara yang paling indah di dalam dunianya yang menyakitkan.

Semuanya hanya supaya Zack dapat hidup normal.

Supaya kembarnya itu tidak lagi berada di ambang maut seperti pertama kali.

Dadah yang Zack hirup buat dia lupa semua pasal eksperimen ini.

Dalam kepala dia, May cuma kakak yang duduk asrama dan akan pulang setiap hujung minggu.

Lelaki itu takkan pernah tahu apa yang May telah korbankan untuknya.

Tapi May merelakannya.

Tapi, pada usia 16, racun, dadah—semua tak lut lagi.

Badan dia dah kebal.

Imun.

Daya tahan tubuhnya tak lagi manusia.

Dan sebab itulah dia tak lagi berguna kepada organisasi itu.

Tidak lagi berguna sebagai mesin pencetak wang kepada orang tuanya.

"Zack kan ada. Diorang kembar. Kalau May boleh, Zack pun tentu boleh."

May takkan lupa suara itu. Suara dari ibu yang membawa mereka ke dunia.

"Dadah dan racun sekarang lagi kuat dari dulu. Boleh ke dia tahan?" suara saintis yang mempergunakannya pula bersuara.

"Kalau May boleh tahan, Zack pun boleh. Takkan lembik sangat lagi." giliran ayahnya pula bersuara.

Ibu bapanya—manusia yang patutnya melindungi—

mereka merancang untuk menghantar Zack semula ke makmal.

Pengganti dirinya.

Sumber pendapatan baru.

May diam.

Sebelas tahun penderitaan—sia-sia.

Dalam mata orang tuanya hanya ada wang.

Dia dan Zack hanyalah alat untuk mendapatkannya.

Dia mampu merayu dulu, kerana dia sendiri sudah lebih dari cukup untuk membawa kemewahan ke dalam poket keluarganya.

Kini bila nilainya telah tiada, dia tahu tiada yang akan mendengar.

Bahasa mereka hanyalah wang.

Jadi, hanya ada satu cara untuk dia lindungi Zack.

Untuk kali ini dan selamanya.

May menekan butang dan nombor kod pada kotak kaca yang memerangkapnya.

Sebelas tahun di dalam kotak yang sama, dia sudah tahu cara untuk melepaskan diri.

Hanya saja keselamatan Zack menjadi taruhan—menyebabkannya terus bertahan.

Ibu bapanya masih leka ber'bincang' dengan saintis itu.

Membuatkan dia keluar dari kaca itu tanpa disedari mereka.

Mereka tidak akan pernah menyangka betapa mudahnya jika May mahu lepas dari mereka.

Dia bergerak ke kabinet yang dipenuhi dadah dan racun di sudut ruangan itu.

Label di botol dibaca.

Dua bekas diambil dan dicampurkan.

Dadah pelumpuh.

Racun yang mampu menyerang sistem tubuh dalam masa 15 minit jika tiada penawar.

"Mana dia?" suara panik mula memenuhi ruangan.

Ketiadaannya telah disedari mereka.

Siren kecemasan berbunyi.

Dia telah melihat adegan ini beberapa kali.

20 minit masa yang dia ada untuk hapuskan segalanya.

Dia berpaling ke belakang.

Orang tuanya dan saintis-saintis di ruangan makmal itu sudahpun mengepungnya.

Anak matanya bergerak mengira bilangan semua yang ada di ruangan itu.

Semua mereka ada di situ.

Syurga seolah sedang membantunya.

Adegan terakhir akan bermula.

Botol kaca di tangannya dilepaskan ke lantai.

Asap memenuhi ruangan dalam masa kurang dari 5 saat.

Semua dari mereka terjelopok jatuh ke lantai.

"Welcome to my world," bisiknya sambil senyum.

Senyum pertama dalam sebelas tahun.

Senyum yang lahir bukan sebab bahagia, tapi sebab akhirnya — episod ini akan tamat sepenuhnya.

Mulut mereka sudah mula berbuih.

Tubuh mereka membiru.

Mereka masih ada masa untuk diselamatkan.

Andai saja mereka mampu mendapatkan antidot.

Tapi kabus bercampur dadah yang melumpuhkan itu membuatkan perkara mudah itu jadi mustahil.

May melangkahi tubuh mereka satu demi satu.

Rak yang menyimpan nama lab rat diselongkar.

Tidak perlu bersusah payah—dia sudah lakukan perkara sama hampir setiap hari.

Hanya hari ini saja dia dapat melakukannya.

Suara kuat kedengaran dari pintu hadapan.

Semua sistem dimatikan apabila siren dibunyikan.

Dia hanya punya waktu 5 minit sebelum pasukan keselamatan bergerak masuk.

File di tangannya diselak laju.

Kertas dengan maklumat Zack ditarik keluar.

May tidak mungkin menyelamatkan dirinya.

Sebelas tahun dia di makmal ini, orang-orang dari HQ organisasi juga sudah mengenalnya.

Tapi Zack berbeza.

Lelaki itu hanya berada di sini sehari sebelas tahun yang lalu.

Tiada yang akan sedar jika maklumat lelaki itu hilang.

2 minit.

May memasukkan kembali file itu ke dalam raknya.

Kertas di tangannya dibawa lari ke arah api yang sedang memasak dadah, dan dicampakkan ke dalamnya sebelum dia berlari kembali ke selnya.

Pintu kaca ditarik, dibiarkan terbuka sedikit.

Kemalangan sewaktu ujikaji adalah perkara biasa.

Tambahan pula, ujikaji ini adalah sebuah rahsia—membuatkan siasatan tidak mungkin dijalankan untuk kes kali ini.

May duduk di lantai, bersandar pada kaca dinding.

Matanya dipejamkan.

Hanya mereka di dalam makmal ini saja yang tahu bahawa tubuhnya telah imun.

Laporan ini masih belum sampai pada HQ organisasi.

Jika mereka menemukannya, mereka akan menganggap kesan dadah dan racun itu masih ada di dalam tubuhnya.

Dia hanyalah salah seorang mangsa kecuaian saintis di sini.

Tidak akan ada yang tahu bahawa semua ini adalah ulahnya.

0...

Dia dapat mendengar pasukan keselamatan menerobos masuk.

Keadaan kedengaran kacau, tapi dia masih tidak membuka matanya.

Tidak ketika tubuhnya diangkat.

Tidak juga ketika dia benar-benar terlena keletihan.

Ketika May sekali lagi membuka matanya, dia sedang terbaring di katil di ruangan putih yang amat dikenalinya.

Bunyi degupan jantung dari monitor di sisi.

"Kau dah sedar?"

Suara Zack menyapa telinganya.

May tersenyum. Zack selamat.

Zack duduk di sisinya, menghulurkan segelas air.

May meneguk rakus, melambangkan betapa keringnya tekaknya.

"Ibu dan ayah... dah takde."

Zack bersuara perlahan, wajah May dipandang. Cuba memancing reaksi kembarnya.

May meletakkan gelas di sisi katil.

Keluhan dilepaskan.

Dia tidak tahu harus bereaksi bagaimana.

"Majikan diorang dah tolong uruskan jenazah. Kemalangan makmal," Zack masih cuba memberi penjelasan.

"Diorang pun dah bayar pampasan pada kita."

May sekadar mengangguk.

Dia cuba untuk menunjukkan reaksi sedih, namun kesedihan itu tidak sedikitpun menjengah.

Jujur, dia sangat lega sekarang.

"Dan diorang jumpa kau pengsan kat situ."

Zack bersuara lagi. Penuh tanda tanya.

Apa yang May buat di sana?

May mengangkat muka, memandang wajah lelaki itu.

Dia tidak mampu menjawab soalan di benak kembarnya.

Tapi dia masih memerlukan kepastian.

"Zack..."

Suaranya hampir berbisik, terhenti sebentar sebelum melanjutkan.

"Kalau aku buat benda jahat, kau akan benci aku tak?"

Sunyi.

Mata mereka bertentangan lama, seolah Zack cuba membaca maksud di sebalik soalan itu sebelum perlahan dia menjawab.

"Kalau kau membunuh sekali pun, aku takkan pernah benci kau."

May mengangguk perlahan.

Tidak perlu bersuara untuk tahu bahawa Zack mampu meneka kesalahannya.

Hanya saja ia taboo untuk disuarakan.

"Sebab aku tahu, kau takkan buat apa-apa tanpa alasan."

Di situ, dalam kesunyian ruang itu, dia tahu—ada sesuatu yang tak pernah musnah antara mereka.

Sebuah ikatan yang lebih kuat daripada kegelapan masa lalu dan rahsia yang mereka simpan.

"Dan sebab kau adik aku."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience