TUJUH : GEMA LUKA

Mature Content Series 260

"Sebelas individu, termasuk pewaris empayar hartanah, ditemui pengsan di sebuah banglo elit lewat malam tadi. Tiada kehilangan nyawa direkodkan, namun pemilik rumah disahkan telah dibakar hidup-hidup. Ini merupakan insiden kedua di lokasi yang sama. Polis percaya semua mangsa telah menghidu sejenis dadah yang menyebabkan kelumpuhan sementara dan gangguan ingatan. Tiada bukti fizikal atau rakaman CCTV ditemui setakat ini."
Bunyi televisyen — yang sengaja dibiarkan terbuka untuk membunuh sunyi — langsung tidak berjaya menarik May keluar dari dunianya sendiri.
Dia masih duduk di tepi tingkap — tingkap yang sama tempat dia melihat Zack jatuh.
Lantai di bawah masih bertompokkan darah kering kembarnya. Peringatan kekal bahawa Zack tidak dapat diselamatkan.
Jari mereka sempat bersentuhan. Hanya sesaat terlalu lambat.
Andai dia melompat lebih awal. Andai dia temani Zack malam itu. Andai dia paksa Zack jumpa kaunselor. Andai mereka tinggalkan tempat ini lebih awal.
Peristiwa itu terus berulang dalam fikirannya — dalam setiap versi yang boleh mengubah segalanya.
Setiap satunya menjerit kebenaran yang sama: dia mampu selamatkan Zack. Tapi dia tak lakukannya.
Dialah pendosa sebenar.
Yang paling ironik? Tiada setitik air mata yang jatuh. Tiada satu pun rasa yang cukup kuat untuk disebut sebagai perasaan.
Segalanya hambar. Keserian rumah itu telah lenyap. Gelak tawa turut pergi — bersama pemilik sejatinya.
Rumah ini bukan lagi rumah. Hanya tempat berteduh — bukan tempat untuk pulang.
Ingatan itu terhenti apabila dia perasan sosok anak jiran sebelah.
Berkemban dengan kain batik dari dada ke paha, gadis itu mengheret kaki keluar dari rumah, dengan tompokan air mata di bawah matanya. Dia duduk di tepi rumah, memeluk lutut, dan menangis dalam diam.
May tak pasti kenapa pandangan itu mengganggunya. Rasanya macam dia dah biasa tengok. Hampir setiap hari.
Cara jiran-jiran mereka membesarkan anak memang tak pernah difahaminya. Mereka kata gadis itu "nakal". Tapi May tak pernah dengar cerita apa-apa pun.
Mungkin dia memang tak pernah ambil tahu. Mungkin kehilangan Zack buat dia lebih peka pada sekeliling. Mungkin kekosongan dalam dirinya buat dia mula mencari sesuatu — apa-apa — untuk isi ruang itu.
May mengeluh perlahan. Dia bangun dari tempat duduk, buka almari Zack, dan menyarung jaket abangnya — satu-satunya benda yang buat dia rasa Zack masih ada.
"Eh, tu jaket aku. Kalau kau nak, kau beli lah sendiri."
Suara itu buat dia menjeling ke sisi. Kekuatan yang telah lama hilang terasa kembali.
"Orang mati tak perlukan jaket," balas May dingin sambil menzip jaket itu.
"Kau nampak gemuk pakai tu," Zack menyindir, cuba menarik jaket itu macam biasa — tapi gagal. Tangannya sekadar menembusi tubuh May.
"Better than you," balas May selamba — macam dulu-dulu.
Zack mengeluh dan berkata, "Nanti tolong bagi Annie makan. Aku rasa diorang tak bagi dia makan lagi."
Zack sentiasa berbeza dengannya. Dia peduli. Dia selalu ambil tahu pasal anak jiran mereka.
May... tak pernah.
Senyuman yang baru mula muncul di bibir May hilang serta-merta bila dengar permintaan itu — satu permintaan yang jelas maksudnya Zack dah tak mampu buat sendiri.
"Kalau kau betul-betul peduli... kau takkan bunuh diri."
May bersuara dingin sebelum melangkah keluar dari bilik yang kini kosong. Meninggalkan ilusi yang dia sendiri cipta.
Langit masih mendung, seolah faham yang May sedang hancur di dalam.
Tangannya dimasukkan ke dalam poket jaket Zack, dan dia berjalan tanpa arah.
Dia cuma nak menjauh — dari rumah tu, dari marah dalam dirinya, dari bayang-bayang yang dia cipta.
Dan untuk cari makanan.
Peti sejuk dah lama tak berisi sejak Zack pergi.
Langkahnya bawa dia ke tengah bandar. Bunyi kasutnya bercampur dengan hiruk-pikuk orang ramai. Tapi semuanya kedengaran jauh — seolah dunia terus bergerak, sedangkan dia masih terhenti.
Bangunan-bangunan tinggi menjulang, tapi pandangannya kabur — dunianya dah lama berhenti berpusing sejak Zack tiada.
Tiba-tiba, riuh. Jeritan dan suara kuat muncul dari hadapan.
Orang ramai berkumpul di hadapan bangunan pencakar langit. Wajah cemas. Telefon diangkat tinggi. Suara bertindih — ada yang menjerit suruh berhenti, ada yang hanya merakam tanpa rasa.
Di hujung bumbung, seorang gadis berdiri, menghadap ke bawah. Walau dari jauh, air matanya jelas kelihatan, mengalir tanpa henti. Wajahnya penuh ketakutan, tapi dalam matanya, ada nyala tekad yang sama jelas.
May terus berjalan. Tak ada niat nak ambil tahu. Itu bukan urusannya. Gadis itu bukan sesiapa pun padanya.
"Sorry."
Suara itu perlahan tapi jelas, langsung tak kena dengan kekecohan sekeliling. Tapi dia kenal suara itu.
Zack.
May berhenti. Dia berpaling.
Gadis itu dah tak ada di atas bumbung.
Tapi Zack ada — berdiri di tempat yang sama. Di hujung. Memandang ke arah May dengan kesayuan yang sama — macam kali terakhir dia lihat dia.
"I'm sorry..." katanya lagi, lembut, mata tak lepas dari May.
"NO! NOOO!" jerit May.
Nafasnya tersekat. Dadanya rasa nak pecah.
Kali ini, dia takkan tunggu.
ZACK AKAN SELAMAT.
Itu sahaja yang diperlukan untuk buat May meluru ke hadapan tanpa berfikir. Dia tolak orang ramai, siku bahu, langgar sesiapa saja yang halang. Jeritan atau makian langsung tak dihiraukan.
Fokusnya hanya satu.
Zack.
Dia mesti selamatkan Zack. Dan kali ini, dia takkan gagal.
Tangga sempit itu terasa tak berpenghujung, tapi May panjat dua anak tangga sekaligus. Lututnya sakit, nafasnya tercungap, tapi dia tak berhenti. Bayangan Zack jatuh — menghentam tanah dengan kuat — berulang dalam mindanya, paksa dia bergerak lebih cepat.
Dia tak boleh lambat lagi. Bukan kali ini.
"ZACK!" dia jerit, tapi tiada sahutan.
Setibanya di tingkat atas, dia hempas pintu kecemasan sekuat hati. Otaknya tak sempat proses apa yang dilihat — tubuhnya sudah bertindak. Dia lari dan melompat, tarik tubuh yang berdiri di hujung itu sekuat hati.
Mereka sama-sama jatuh atas konkrit keras. May menghentam lantai dulu, tubuhnya dihempap yang lain.
Mereka tercungap. Dada turun naik, cuba bernafas.
Dia berjaya. Zack selamat.
Orang di atasnya cepat-cepat bangun duduk, dan May ikut. Tanpa ragu, dia terus peluk tubuh itu. Dia tak peduli tentang rontaan dalam pelukannya. Buat pertama kali sejak Zack pergi, air mata yang lama beku akhirnya mengalir.
"Please... jangan tinggalkan aku. Aku ada sini."
Suaranya pecah. Rapuh. Jauh dari dirinya yang dulu.
Tubuh dalam pelukannya berhenti meronta. May dapat rasa air mata hangat di bahunya. Dia usap rambut itu perlahan... tapi rasa sesuatu yang janggal.
Rambut itu — terlalu panjang. Terlalu lembut. Terlalu asing.
May longgarkan pelukan, cukup untuk tengok wajah orang yang menangis itu.
Bukan Zack.
Dia terkaku. Wajahnya jadi kosong. Air matanya serta-merta kering. Dia hampir ketawa dengan kebodohannya.
Zack dah mati. Dan dia tahu. Dia memang dah tahu dari awal.
Dia lepaskan pelukan. Bangun. Tepuk habuk di tangan.
Kemudian berpaling.
Seolah gadis itu tak pernah wujud.
Dia bersedia untuk berlalu pergi. Kalau itu bukan Zack, maka itu bukan urusannya.
Tapi gadis itu masih terduduk, menggigil. Air matanya masih mengalir. Bibirnya bergerak, suara tersekat dalam kerongkong.
"Kau patut biar je aku mati..." dia bisik.
May berhenti. Tak berpaling. Suaranya muncul — datar. Dingin.
"Kenapa?"
Gadis itu diam. Seperti tak jangka soalan itu. Tapi akhirnya bersuara juga.
"Kau takkan faham."
May tak beri reaksi. Jika dia tak nak cerita, May tak minat nak dengar. Tapi sebelum dia sempat pergi, gadis itu sambung.
"Strayz... dia ambil kesempatan atas aku. Aku ingat dia baik. Aku percaya dia. Tapi dia guna badan aku macam aku ni sampah. Macam aku ni pelacur. Lepas tu dia buang aku macam tak ada nilai."
Sedu-sedannya berubah jadi marah.
May tak berpaling. Angin menyentuh hujung jaket Zack di bahunya.
Cerita itu tak menyentuh hatinya.
Tapi entah kenapa, dia masih berdiri di situ.
Mungkin dia rindu suara seseorang. Mungkin dia rindukan Zack.
"Aku buat laporan... tapi polis lepas dia. Tak cukup bukti. Syarikat dia saman aku sebab fitnah. Semua orang kecam aku. Kata aku murah. Cuma nak tumpang glemer. Aku hilang kerja. Kawan pun semua tinggal aku. Sebab dia artis popular, aku cuma orang biasa. Undang-undang langsung tak berguna. Dunia ni... cuma lindung orang kaya dan berkuasa."
Suara gadis itu bergetar. "Semut macam aku... akan hancur macam tu je."
"So kenapa?"
May potong, masih tak pandang. Suaranya tenang — tapi kali ini ada berat.
Gadis itu terdiam. Nafas tersekat.
"Apa maksud—"
May berpaling perlahan. Suaranya jadi tajam. Matanya pandang tepat — kosong, tapi menikam.
"Kenapa bukan dia?"
Soalan itu tergantung. Berat. Dingin. Terlalu jujur.
Gadis itu terdiam. Terkesima.
Mereka hanya berpandangan. Sunyi menyelubungi, seolah dunia berhenti.
Bunyi pintu kecemasan dibuka tidak mengganggu mereka. Sepasang suami isteri lebih tua masuk — mungkin ibu bapa gadis itu. Si ibu terus peluk anaknya sambil menangis. Si ayah berdiri kaku, wajah sukar dibaca.
Mereka bercakap, tapi May tak dengar. Gadis itu dibawa pergi — tapi sempat berpaling. Cuba tengok May sekali lagi.
May masih berdiri di bumbung, matanya ke bawah. Gadis itu semakin jauh, tapi pandangannya masih cari May.
Pandangan mereka bertemu — sehingga dia hilang.
May diam. Matanya masih pada tanah jauh di bawah. Jari-jarinya genggam hujung jaket Zack.
"Zack..."
Angin bertiup perlahan, bawa bayang kenangan — Zack, berdiri di belakangnya, saat namanya disebut.
May tak berkedip. Tak bergerak.
Dan akhirnya, suara itu keluar — perlahan.
"Rupanya dunia ni bukan cuma ada satu raksasa."

I don't know if I still got reader or not but if I have, thank you for still reading

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience